Bacaan Popular

Ahad, 4 November 2012

Jangan Bercinta Dengan Isteri Atau Suami Orang


CINTA dan kasih sayang itu anugerah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka". (Maryam, ayat 96).

Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan.

Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan. Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah s.w.t. menyebut tentang cinta iaitu keinginan: "Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa yang diingini."


Haram, harus dan makruh

Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri orang juga bukan luar biasa.

Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain.

Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya." (Hadis Riwayat Bukhari).

Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang.

Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang berkaitan iaitu harus atau makruh.

Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan anak-anak.

Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak.

Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada.


Faktor pencetus cinta yang salah

Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang ini ialah perkongsian masalah diri.  Ada suami orang yang berkongsi kisah dengan kawan wanita.

Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan suami orang.

Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.

Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu berbanding pasangan sedia ada.

Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama pasangan sendiri.

Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih.

Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan yang sepatutnya.

Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih 'rahsia' ini menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang. Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral masyarakat dan kehendak syariat.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.


Hindari cinta salah

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada bersama pasangan.

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi.

Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri.

Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian.

Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status dirinya.

Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati yang tinggi.

Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda.

Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka kepada-Nya.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan