Bacaan Popular

Ahad, 30 September 2012

Membalas Cercaan (Penghinaan Keatas Nabi S.A.W.)



Rasul s.a.w. MELARANG Abu Bakar ra membalas cercaan...

kerana membalas cercaan HANYA menimbulkan bencana... 



Secara rasionalnya.. Apakah Rasulullah s.a.w. mahu ummatnya membalas cercaan terhadap dirinya s.a.w. ???


Nabi s.a.w. tetap mulia disisi Allah s.w.t.... Walaupun sekelian manusia membencinya... Kerana dia adalah kekasih Allah s.w.t...



Begitulah juga, Islam tetap mulia disisi Allah s.w.t.... Walaupun sekelian manusia meminggirkannya... Kerana dia adalah agama yang diredhai Allah s.w.t...


Dari Jabir bin Sulaim r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Janganlah engkau mencaci maki seseorang, dan janganlah engkau meremehkan yang makruf sedikitpun sekalipun hanya pembicaraan dari saudaramu yang disertai muka manis dan ceria. Dan angkatlah kakimu hingga setengah betis, dan tidak boleh bagimu menghulurkan ( melampai mata kaki ), kerana ia menunjukkan kesombongan. Jika ada orang mencela atau mencacimu, dengan cacat cela yang engkau miliki, janganlah engkau membalas dengan mencaci memaki melalui cacat celanya yang engkau ketahui, sesungguhnya perkara itu menimbulkan bencana.



Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tabarani daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki telah mencerca Abu Bakar r.a.

Ketika itu, Rasulullah s.a.w. juga sedang duduk di sana.

Baginda s.a.w. tersenyum dan kehairanan melihatkan keadaan lelaki tersebut.

Apabila lelaki itu mula bersikap kurang ajar terhadap dirinya, Abu Bakar r.a. pun membalas beberapa kata lelaki tersebut.

Dengan yang demikian, Rasulullah s.a.w. menjadi amat marah lalu bangun dan di ekori oleh Abu Bakar r.a..

Abu Bakar berkata kepada Rasulullah s.a.w.:

Lelaki itu bersikap kurang ajar terhadap diriku, oleh kerana itu aku membalasnya. Apabila aku mula membalasnya, kamu meninggalkan kami di tempat itu.

Rasulullah SAW bersabda:

Apabila kamu tidak membalas kata-katanya, terdapat malaikat yang membalasnya untuk kamu.

Walau bagaimanapun apabila kami mula membalas kata-kata kesatnya itu syaitan mula mengambil tempat dan duduk di antara kamu.

Oleh yang demikian, aku tidak mahu duduk bersama-sama dengan syaitan.

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:



Ya Abu Bakar ! Terdapat tiga perkara yang benar iaitu:

1) Apabila seorang hamba itu dizalimi dengan satu kezaliman, maka dia meninggalkan tempat itu semata-mata kerana Allah,  Allah akan menguatkan dan membantunya.

2) Apabila seseorang itu membuka pintu kedermawannannya dan memberi hadiah, maka Allah s.w.t. akan menambahkan kekayaannya.

3) Apabila seseorang itu mula meminta-minta untuk menambahkan kekayaannya, maka Allah s.w.t. akan mengurangkan kekayaannya



Amat menghairankan,

Ada manusia sanggup mengembeling umat Islam memprotes cercaan terhadap Nabi s.a.w...

Sedangkan mereka sendiri ingkar terhadap seruan dan ketetapan Nabi s.a.w...

Malah mereka menghalang manusia dari melaksanakan undang-undang yang ditetapkan Allah s.w.t. dan RasulNYA..



Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 29 September 2012

Menyesal Sepanjang Hayat

CERITA BENAR; Kerana tidak melayan kehendak suami. 
Isteri menyesal sepanjang hayat...


“SAYA mahu berkongsi peristiwa yang masih mencengkam hidup walaupun ia sudah lama berlaku. Memang sukar untuk saya maafkan diri ini dan rasa bersalah sentiasa bermain difikiran apabila mengingatkan saat-saat itu. Saya dan suami adalah pasangan yang romantis malah menjadi perbualan rakan-rakan di pejabat. Walaupun sibuk dengan tugas harian, tanggungjawab melayan suami dan menguruskan anak-anak, saya lakukan dengan sempurna.

Suami memahami tannggungjawab di rumah dan sentiasa membantu menguruskan rumah tangga. Kami sering mengerjakan solat berjema'ah dan saya gembira melihat hubungan dalam keluarga saya.

Walaupun sesibuk mana tugas di pejabat, tanggungjawab melayan suami dan anak-anak tidak pernah diabaikan. Saya bersyukur suami memahami saya dan sentiasa bertolak ansur. Ini menjadikan saya semakin sayang kepadanya.

Memang dalam kehidupan, kita tak dapat melawan takdir dan ketentuan Ilahi. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan.

Hari itu, Isnin. Saya masih ingat, saya ke pejabat awal pagi kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan selain temu janji dengan beberapa pelanggan yang perlu dibereskan.
Hari itu, saya pulang lewat ke rumah, biasanya jam 6 petang, saya sudah ada di rumah. Ketika saya sampai ke rumah, azan dari masjid berhampiran berkumandang. Saya lihat suami sudah bersiap-siap untuk pergi menunaikan solat Magrib. Begitu juga anak-anak saya sudah mandi dan riang bersama bapa mereka. saya lihat suami saya amat gembira petang itu.

Saya begitu terhibur melihat telatah mereka kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat. Suami sedar saya amat penat hari itu. Oleh itu, dia meminta agar saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan makan di luar. Saya dengan senang hati bersetuju.

Selepas menunaikan solat Magrib, kami keluar ke sebuah restoren kira-kira lima kilometer dari rumah. Di restoren, kami sekeluarga berbual panjang, bergurau senda dan usik-mengusik, memang seronok bersama. Macam-macam yang dibualkan malah saya lihat suami begitu ceria melayan tiga anak kami yang berusia tujuh hingga 12 tahun.

Saya dapat rasakan kemesraan suami luar biasa, cara dia melayan dan ketawa memang bukan seperti hari biasa. Dalam hati terpancar rasa bangga kerana mampu membahagiakan suami tersayang. Saya melihat jam tangan.

“Sudah jam 12.30 tengah malam, bang. Dah lewat ni, ayuh kita pulang,” kata saya.

Suami tanpa banyak soal memanggil pelayan dan membayar bil makanan dan minuman. Kami tiba di rumah jan 12.50 tengah malam. Anak-anak yang keletihan terus masuk tidur.
Saya memang terlalu mengantuk apatah lagi selepas menikmati hidangan lazat di restoren. Mata pun seperti berat dibuka lagi. Ketika saya hampir melelapkan mata, suami membelai lembut rambut dan mencium pipi saya. Saya membuka mata dan hanya tersenyum.

Dalam hati, saya memang mahu melayan kehendak suami tetapi hati saya berkata, esoklah, mata terlalu mengantuk, esok masih ada. Saya memberitahu suami terlalu mengantuk dan tidak boleh melayan kehendaknya. Saya mencium suami dan mahu melelapkan mata.

Bagaimanapun, saya pelik kerana suami masih merangkul tubuh saya, seolah-olah terlalu berat untuk melepaskan. Saya membuka mata dan melihat wajah suami yang berseri-seri. Hairan saya kerana suami belum mengantuk, sedangkan dia juga keletihan.

Dia menarik saya lebih dekat dan membisikkan di telinga bahawa itu permintaan terakhirnya. Namun, dek terlalu letih dan tidak memikirkan perkara itu terlalu penting ketika itu, saya seolah-olah terus melelapkan mata tanpa sepatah bicara. Perlahan-lahan, suami melepaskan tangan yang merangkul saya.

Esoknya, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada pekara yang tidak kena. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab. Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka daripada pihak polis yang mengatakan suami saya terbabit dalam kemalangan dan meminta saya datang segera ke hospital.

Hati saya seperti mahu meletup ketika itu. Saya bergegas ke hospital tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami dan saya tidak sempat betemunya. Meskipun redha dengan pemergian suami tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis daripada hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir hidupnya di dunia ini.

Hakikatnya itulah pahala terakhir saya sebagai seorang isteri. dan yang lebih saya takuti jika suami tidak redha terhadap saya pada malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.

Teringat Sabda Rasulullah s.a.w. yang saya baca dalam buku agama, ‘Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang mengajak isteri tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba ditolak isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu hingga dimaafkan suaminya’.

Sehingga kini, setiap kali saya terkenangkan suami, air mata akan mengalir ke pipi. saya sentiasa memohon keampunan daripada Allah supaya diampunkan kesalahan saya.”

kredit: Seorang Insan Yang Menyesal..


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 28 September 2012

Pindah Solat Jumaat Ke Hari Sabtu


Kerajaan Azerbaijan Pindah Solat Jumaat Ke hari Sabtu
(Merenung Sejenak)

Sesuatu yang aneh dan pelik bahkan sedikit lucu, tapi itulah kenyataannya yang berlaku di negara bekas jajahan soviet ini.

Sejak 30 Jun yang lalu atas arahan Jawatankuasa Kebangsaan Bahagian Urusan Agama Republik Azarbaijan memerintahkan kepada para khatib masjid di seluruh negara itu untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu.

Alasan pemindahan tersebut kerana dinilai mengganggu jam kerja, di mana hari Jumaat di Azarbaijan adalah hari kerja rasmi negara itu.

Menurut pemerintah Azarbaijan, pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah.

Menanggapi alasan pemerintah, khatib Masjid Masyhadi Dodosh, H Shahin Hasanali mengatakan, pemindahan tersebut dinilai sebagai sebuah sentimen politik semata-mata.

“Pemerintah risau solat Jumaat menjadi medan pendidikan politik yang boleh menggugat kewibawaan pemerintah. Solat Jumaat tidak boleh dipindahkan hari sesuka hati,” ujarnya.

Republik Azarbaijan adalah negara kecil yang majoriti penduduknya beragama Islam. Dilaporkan, jumlah komuniti muslim di sana mencapai 90% dari jumlah keseluruhan penduduknya.

Kedekatan regim yang berkuasa dengan Israel, menyebabkan dasar-dasar pemerintah cenderung anti Islam. Sehingga kini, warga muslim Azarbaijan masih memperjuangkan hak-hak kaum muslimah untuk memakai tudung.

Kita di Malaysia masih beruntung dapat mendirikan solah juma'at pada hari juma'at dan tiada siapa yang menghalang. Namun masih ramai yang tidak menunaikan solah juma'at sedangkan dosa meninggalkan solah juma'at sudah sedia tahu.

So...kalau dah tahu dosa tapi buat juga maknanya tak takut pada Perintah Allah. Bila mati nanti tentu Allah tanya kenapa di dunia dulu tak takut? Arr...waktu itu nak jawab macamana?

Ayuhlah, bersegeralah menuju masjid yang cantik-cantik di dalam negara kita ini. Kalau terasa panas carilah tempat duduk yang berhampiran kipas angin. Tiada masjid yang tiada kipas angin di Malaysia. Bahkan masjid yang ada air-cond pun dah banyak. Bukan setakat itu sahaja, mengambil wuduk pun tak kena bayar bahkan ada pisang disediakan untuk memaniskan mulut.


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 27 September 2012

Mengaku Pejuang

Gambar sekadar hiasan sahaja


MENGAKU PEJUANG



Kita mengaku berjuang ikut sunnah Nabi s.a.w.


Selama berjuang sudah berapa ramai manusia kita ISLAM kan? 


Selama berjuang sudah berapa ramai
umat Islam kita SESAT kan
dan kita KAFIR kan? 


Selama berjuang berapa kali kita pernah mendoa kan
keselamatan dan kesejahteraan untuk
seluruh umat Islam? 


Kepada umat yang sesat
pernah kah kita doakan agar mereka kembali kepangkal jalan.
Dan apabila mereka tidak kembali kepangkal 
jalan

adakah kita rasa kesal dan merasakan satu
kegagalan bagi diri kita sebagai pejuang
di sisi Allah s.w.t. dan
Rasul Nya?


Pernahkah kita mendoakan untuk pemimpin
atau pemerintah yang kita kata zalim agar di beri hidayah
dan taufiq agar jadi baik? Dan kepada pemimpin yang baik
agar jadi bertambah baik? 


ATAU
tidak kira samada pemerintah itu baik
atau zalim kita tetap mahu menjatuhkannya kerana kita
BERJUANG UNTUK MEREBUT KUASA?




Salam Ukhuwah..~

Rabu, 26 September 2012

Awas, Ajaran Sesat...Ajaran Juruzon


Masihkah anda ingat lagi dengan kisah tanah runtuh yang melibatkan
Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat,
Selangor pada 21 Mei tahun lalu?


Tragedi yang menyayat hati itu telah mengorbankan seramai 16 orang anak yatim. Hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas kejadian itu menemui sesuatu yang amat memeranjatkan. Madrasah itu dikesan sebagai markas penyebaran ajaran sesat yang diberi nama "Ajaran Juruzon".

Pihak berkuasa juga mendapati bahawa pengasas madrasah itu adalah ketua ajaran sesat itu sendiri yang bernama Juruzon Bin Abd. Latif iaitu individu yang sama mengembangkan ajaran Juruzon di Wilayah Persekutuan.

Melalui tinjauan, pendedahan mengenai Madrasah Al-Taqwa menjadi pusat ajaran sesat itu telah didedahkan dalam khutbah pada Jumaat lalu (21 September 2012) dan disiarkan dalam laman rasmi JAIS di link;
 SINI


"Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,


Terbongkarnya ajaran ini di Selangor ialah apabila berlakunya suatu peristiwa tanah runtuh yang melibatkan sebuah madrasah di Batu 14, Hulu Langat, Selangor yang telah mengorbankan seramai 16 orang pada 21 Mei 2011 tahun lalu. Setelah disiasat, pihak berkuasa mendapati bahawa pengasas ajaran adalah orang yang sama mengembangkan ajaran Juruzon di Wilayah Persekutuan. Beliau telah membina Madrasah At-Taqwa yang bernaung di bawah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2002 sebagai tapak baru.



Menyingkap kisah bermulanya ajaran Juruzon, pengasas itu telah membina Madrasah Al-Taqwa dengan bernaung di bawah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2002 sebagai tapak baru.

Ajaran Juruzon telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan pada 23 Februari 2012 yang lalu.

Ajaran itu juga telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan lebih awal lagi iaitu pada 5 September 1996.

Siasatan JAIS mendapati, antara ajaran yang disampaikan di madrasah itu adalah penerimaan ilmu yang bertentangan dengan hukum syarak dengan meyakini akan kehadiran "Guru Ghaib" yang turun melalui badan Juruzon.

Selain itu, mereka mengamalkan amalan atau pegangan yang bersifat kepada salah laku seks yang melampau.




Juruzon juga mengugut ibubapa yang keluar daripada kumpulan ini dengan menghasut anak-anak mereka supaya membenci ibu bapa.

Pengasas itu akan menghalang dan memisahkan anak-anak daripada berjumpa dengan ibu bapa mereka sendiri.

Mereka yang mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan dianggap pembelot dan pengkhianat agama. Juruzon juga mengancam kepada ahli kumpulan yang hendak keluar dengan ancaman yang menakutkan.

Jadi, pihak JAIS mahu umat Islam untuk sentiasa peka dan membuka mata dengan kejadian yang berlaku di madrasah itu serta dijadikan sebagai iktibar dan pengajaran agar tidak mudah tersesat.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 25 September 2012

Tidak Halal Seseorang Bercakap Dan Mentafsir Kitab Allah Jika Tidak Arif Bahasa Arab



Kini di zaman sains dan teknologi kita lihat ramai orang Islam atau pun bukan Islam yang bukan ahli, terutamanya politikus yang ghairah mentafsir dan mengaitkan sesuatu isu dan peristiwa semasa dengan Al Quran dan Hadith.

Para ulama banyak membahaskan syarat-syarat tafsir al-Quran sebelum di tafsirkannya seperti al-Suyuti melalui kitabnya, al-Itqan Fi Ulum al-Quran, Syeikh Ibn Taimiyah dengan Mukadimah Fi Usul al-Tafsir, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyan Fi Aqsam al-Quran, al-Zarkasyi dengan al-Burhan, al-Zurqani dengan Manahil al-Irfan dan ramai lagi ulama.


Syarat syarat mufassir dan adab-adabnya.

* Keikhlasan.

* Iktikad yang sahih.

* Sejahtera daripada amalan dan iktikad bidaah.

* Bertaubat dan sentiasa kembali kepada Allah.

* Sentiasa berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.



Para Ulama juga menegaskan bahawa sesiapa yang ingin mengaitkan sesuatu isu atau peristiwa dengan mengguna mana-mana ayat ayat Al Quran dan Hadith perlu mempunyai pelbagai ilmu antaranya, Ilmu lughah seperti kata Mujahid: Tidak halal bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat bercakap tentang kitab Allah s.w.t. jika tidak arif / tahu dengan bahasa Arab.

Maka sesiapa yang cuba mentafsirkan sesuatu kejadian yang berlaku di hadapan nya dengan di kaitkan dengan beberapa ayat-ayat al Quran dan Hadith sedangkan dia tidak mempunyai ilmu saperti yang tersebut adalah melakukan bida'ah dan berdosa.


Antara ilmu bahasa itu :

* Nahu.

* Tasrif atau Sarf.

* Istiqaq sama ada istiqaq besar atau kecil.

* Balaghah iaitu bayan ma'ani dan badi'.

* Usuluddin.

* Usul fiqh.

* Asbab al-Nuzul

- sebab-sebab diturunkan ayat.

* Nasikh dan mansukh.

* Ilmu Fikah.

* Ilmu Hadith

* Ilmu Qiraat.

* Ilmu al-Mauhibah
.  Al-Zarkasyi dalam al-Burhan berkata: "Ketahuilah bahawa tidak tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala sir-sirnya sedangkan dalam hatinya terdapat unsur bida'ah, takabbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal melakukan maksiat, atau tidak tahqiq iman atau daif tahqiq atau bergantung kepada pendapat mufassir tanpa ilmu atau kembali kepada akalnya. Ini semua adalah hijab / terdinding daripada tafsir.''

* Ilmu Sirah.

* Ilmu Tarikh al-Adyan (agama). Ini terutamanya agama-agama samawi antaranya Yahudi, Masihi dan juga agama lain. Suka ditambah di sini ilmu-ilmu moden seperti mukjizat al-Quran mengikut sains dan lain-lain lagi.


Disyaratkan juga ahli tafsir menjauhkan perkara-perkara ini:

* Tanpa ilmu dan tidak mencukupi syarat-syarat ahli tafsir.

* Membincangkan perkara yang berada di dalam ilmu Allah semata-mata.

* Mengikut hawa nafsu.

* Tafsir ayat-ayat dengan makna yang tidak boleh ditanggungnya.

* Tafsir secara pasti seperti kehendak Allah daripada ayat ini begini-begini.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam Mukadimah Fi Usul al-Tafsir halaman 83, memberi peringatan kepada golongan yang berpaling daripada tafsir al-Sahabat dan al-Tabiin tegasnya, "Sesiapa yang berpaling daripada mazhab-mazhab sahabat dan al-Tabiin, sedangkan tafsir mereka bercanggah daripada yang demikian itu, sebenarnya dia tersilap dan juga ahli bida'ah.

kredit: Amri el Wahab


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 24 September 2012

Kristian Tempat Pertama Islam Kedua



St. Paul's Chapel Kinarut Sabah
السلام عليكم ورحمة الله وابركت

Tahukah anda bahawa populasi penganut Kristian adalah paling ramai melebihi populasi Muslim? Penguasaan mereka kini melebihi 1/3 daripada keseluruhan penduduk dunia.

Pernahkah anda terfikir mengenai betapa kuatnya gerakan Kristianisasi di Malaysia khususnya?

Tahukah anda, di bawah Christian Federation of Malaysia, penganut Kristian bersatu lebih dari 40 buah mazhab untuk melancarkan Kristianisasi besar-besaran di Malaysia?

Maaf dipinta jika fakta tersebut membuatkan anda berasa tidak selesa. Sememangnya kita berada dalam situasi yang amat tidak selesa bahkan kita terancam. “We are at war”.

Muslim Malaysia tidak pernah berasa terancam daripada gerakan Kristianisasi tempatan. Bukanlah dimaksudkan bahawa kita tiada pendakwah berkualiti, tetapi kita tidak punyai kelebihan kuantiti.

Kita sebagai Muslim sering bercakaran dan bertelagah. Mungkin kerana kita berasa selesa dan tidak terancam. Kita telahpun sedia maklum tentang permasalahan dunia Muslim yang sentiasa bergoncang ini. Sesama saudara kita bertegang urat menghamburkan kebencian. Menjarakkan kita daripada realiti yang memupuskan populasi Muslim hari demi hari ini.

Gerakan Kristianisasi di Malaysia dipelopori gabungan antara-gereja yang menyisihkan semangat assobiyah antara mazhab mereka. Penerapan akidah berlandaskan gospel Jesus adalah tunjang dalam penyebaran dakwah mereka.

Berbanding Muslim, mereka menekankan pegangan akidah. Mereka meletakkan kepentingan agama ritual dan beramalan di tangga yang kedua dan ketiga. Mereka cuba memudahkan anutan Jesus ini diterima dalam keberadaban dunia Melayu.

Dr. Muhammad Taqiuddin Al-Hilali merungkaikan kata bagi menterjemahkan realiti Kristianisasi masa kini. Beliau menyebut:

Yang ada pada Kristian adalah manusianya/penganutnya dan bukanlah agamanya.
Yang ada pada Islam adalah agamanya, tapi bukan pada penganutnya.

Dengan kata lain, gerakan Kristianisasi merealisasikan ajaran agama mereka pada tindak tanduk mereka bagi membolehkan ajaran ini diterima ramai. Sebaliknya Muslim, mereka punyai agama yang hebat lagi benar, sayangnya mereka tidak menghidupkan ajaran itu sepenuhnya. Dan mengakibatkan kegagalan mereka mempengaruhi umat manusia yang lain, tidak seperti zaman Nabi dan sahabat dahulu.

Kristian punyai tenaga kerja yang komited, gerak kerja yang efektif dan jaringan manusia yang tidak pernah putus dalam menyuburkan ajaran agama mereka.

Kualiti seorang mubaligh Kristian meliputi kejujuran, kasih sayang sesama manusia, setia, peramah, suka membantu, hormat menghormati, memberi layanan tanpa mengira darjat, dan bersimpati.

Mereka juga mengamalkan keterbukaan yang amat mengkagumkan dan ini dilihat menjadi satu kelebihan utama gerakan ini dalam menyelusuri kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia. Mereka membuka mata masyarakat dengan lenturan ajaran yang lembut lagi mudah untuk diamalkan di Malaysia sendiri.

Mereka juga giat menyebarkan risalah mengenai kisah-kisah yang berkaitan dengan gospel (Berita Baik) yang menyentuh hati segenap masyarakat.

Jika di zaman jajahan British dahulu, dakwah Kristian hampir menemui jalan buntu apabila dikatakan bilangan Melayu yang memeluk Kristian jika dibilang dengan hanya sebelah tangan pun sudah memadai.


Zaman telah berubah, Melayu juga tidak ketinggalan


Kini, gerakan Kristianisasi telah mengembeleng tenaga dari seantero dunia. Segala pengalaman yang mereka dapat daripada Indonesia, Filipina, Nigeria dan negara-negara lain dibawa masuk untuk digunapakai dalam proses penyebaran dakwah mereka.

Gerakan ini tidak hanya mengharap bantuan kewangan daripada institusi unggul mereka yang berpangkalan di luar negara. Mereka juga punyai cara tersendiri untuk mengumpulkan dana bagi menampung perbelanjaan aktiviti ini.

Tahukah anda ramai penggiat Kristianisasi Malaysia sanggup membuat pemotongan gaji bulanan mereka bagi disalurkan terus kepada gereja?

Para mubaligh Kristian kini telahpun mahir bahkan mereka sendiri hidup dalam jaringan budaya Melayu. Mereka kenal benar perihal adab santun Melayu kerana mereka ini bukanlah orang asing, mereka ini rakan-rakan kita juga, mungkin sebangsa dengan kita?

Telah direkodkan sepanjang tahun-tahun 1970-an, pertambahan penganut Kristian adalah 3.9% berbanding penganut Islam hanya 0.7% daripada jumlah penduduk Malaysia ketika itu.

Muslim kini sedang leka melayan siaran langsung EPL, sedangkan Mubaligh Kristian sibuk menghulur bantuan kepada orang gelandangan dan fakir miskin.

Ramai dari kita yang telah menyaksikan sudah bertahun lamanya golongan ini menyerap masuk ke dalam universiti dan kolej tempatan untuk membantu dan mendekati pelajar.

Selama ini mereka banyak melakukan kerja sosial menjaga kebajikan penghidap HIV/AIDS, kanser, OKU dan juga autism. Mereka juga giat berusaha mendekati dan menghulurkan bantuan kepada pesakit-pesakit kronik lain yang di kategorikan sebagai terminally ill (tiada harapan untuk hidup).

Penerimaan luas ini banyak menyumbang kepada kekukuhan Kristian dalam mewakilkan pencalonan mereka di dalam parti-parti politik di Malaysia. Ini bagi menjamin hak mereka terus terbela dan terpelihara. Disamping memulakan usaha menentang dasar Islam secara halus.


Feast of Corpus Christi at St Michael Church 1965 

Tahukah anda secularism itu adalah salah satu agenda Kristian? Rujuk Matthew 22:2, John 18:36. Usaha ini adalah bertujuan menyekat pengaruh Islamisasi Malaysia yang sememangnya lemah tanpa dorongan dan tajaan kerajaan sendiri.Selain itu, mereka juga sering memberikan bantuan kelengkapan persekolahan, malah memberikan bantuan kewangan kepada anak-anak Melayu, sepertimana yang digemparkan oleh beberapa penggiat politik negara satu ketika dahulu.Terdapat juga kes mangsa along (peminjam wang haram) dan mangsa penderaan mendapat perlindungan serta layanan mesra oleh gereja-gereja tempatan.

Gereja juga menyediakan bantuan dan perlindungan kepada anak-anak dan ibu tunggal yang menjadi mangsa keruntuhan institusi keluarga. Begitu juga dengan golongan yang dicabuli hak mereka, mubaligh Kristian menghulurkan kepakaran bantuan guaman kepada yang memerlukan.

Malaysia sendiri sudah beberapa kali dihentam oleh keruncingan media luar kerana dituduh tidak mengamalkan kebebasan beragama. Berdasarkan laporan mereka, Kristian Malaysia seringkali dilabel sebagai golongan yang ditindas dan dipulaukan serta tidak mendapat hak bersuara.

Persatuan dan badan-badan berkaitan Kristian seluruh dunia kerapkali meluahkan rasa simpati dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Situasi ini secara tidak langsung memberikan tekanan kepada kerajaan dalam perlaksanaan polisi berkaitan Islamisasi dalam pentadbirannya.

Usaha-usaha Kristianisasi ini boleh sahaja dinafikan oleh saudara se-Islam kita yang lain. Hanya kerana ianya tidak mendapat liputan sewajarnya. Gerakan Kristianisasi sememangnya bergerak dengan rahsia, mereka mendekati Muslim disebalik tabir-tabir bantuan kemanusiaan sebegini.

Tulisan ini bukanlah bertujuan menabur benih benci kepada penganut Kristian. Tetapi bertujuan untuk menyedarkan betapa Muslim Malaysia khususnya, lalai dan leka dengan perkembangan pesat para mubaligh Kristian. Ini adalah cubaan untuk menyedarkan mereka dari tanggapan berada di dalam zon selesa.

Apa yang mubaligh Kristian lakukan ini sama sekali tidak salah. Malah bantuan dan keprihatinan mereka amat digalakkan. Mereka hanya menjalankan tanggungjawab menegakkan agama yang mereka anuti dan sanjungi. Persoalan puncaknya tersembul di atas kepala Muslim itu sendiri. Apakah kita selesa melihat perkembangan ini? Jika Kristian mampu lakukan, kenapa tidak kita?

Malaysia bakal mengalami masalah “kecairan” umat Islam sekiranya tiada usaha serius memperhebatkan dakwah Islamiah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam khususnya. Ini kerana kita dikelilingi oleh para mubaligh yang amat berkaliber dari Indonesia, Filipina, Singapura dan negara jiran lain. Mereka ini tidak pernah jemu membanting tulang menyebarkan dan meluaskan pengaruh.

Suasana protes Muslim Malaysia


Maaf cakap, Muslim Malaysia kaya dengan protestnya. Bukan bermakna protest itu tiada manfaat, iaitu menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pihak tertentu. Tetapi amat dikesali jika protest itu tidak disahut oleh kesinambungan gerak kerja praktikal menegakkan agama Islam.

Muslim Malaysia juga perlu positif, proaktif dan responsif untuk berdepan dengan hakikat perkembangan Kristianisasi kini. Sikap “tak kisah” perlu segera dilempar keluar demi memastikan kelangsungan syariat untuk anak cucu kita.

Sayang sekali Malaysia negara Islam hanya pada nama, pemimpin sendiri acuh tak acuh menjaga kesucian agama. Bukan bermaksud ingin menghentam kerajaan, tetapi inilah realitinya, jika ini fantasi mana mungkin kita ketinggalan sebegini?

Sekali lagi diulangi,

“We are at war”, “Not with them, but ourselves; our attitude and mentality”

Kita ada kuasa, kita ada dana, tapi sayangnya kita ramai hanya pada angka.

kredit: rakangroup



Salam Ukhuwah..~

Ahad, 23 September 2012

7 Perkara Yang Wajib Kita Ingat


Abul Laits meriwayatkan dengan
sanadnya dari
Abu Dzar r.a. berkata:

"Daku dipesan oleh junjunganku Nabi Muhammad s.a.w. tujuh macam yang tidak sampai daku tinggalkan dan tidak akan daku tinggal semua itu iaitu:


1. Daku dipesan supaya suka kepada orang-orang miskin dan mendekati mereka.


2. Daku dipesan supaya selalu melihat kepada orang-orang yang di bawahku dan tidak melihat pada orang-orang yang di atasku.


3. Daku dipesan supaya tetap menghubungi kaum kerabat meskipun mereka jauh dan memutuskan hubungan.

4. Daku dipesan supaya memperbanyakkan membaca: 'Laa haula walaa quwwata illa billahi,' kerana itu sebagai perbendaharaan kebaikan atau tabungannya.


5. Daku dipesan supaya jangan minta apapun dari sesama manusia.


6. Daku dipesan supaya jangan takut di dalam melaksanakan hukum Allah s.w.t. dari cela (ejekan) orang-orang yang mengejek.


7. Daku dipesan supaya selalu berkata benar meskipun pahit dan berat."

Dan adanya Abu Dzar jika jatuh 'pecut'* dari tangannya sedang ia diatas kenderaannya, maka tidak suka minta tolong kepada orang untuk mengambilkannya.


* pecut ialah rotan atau kayu untuk memecut haiwan yang menunda kenderaan.

kredit: rakangroup



Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 22 September 2012

13 Perkara Yang Wanita Islam Perlu Jaga


1. Bulu kening.

Menurut Bukhari, Rasullulah s.a.w. melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.


2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng.

Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan atau melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng, sama juga seperti pelacur di zaman jahiliyah.


3. Wangian

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal, kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.


4. Dada.

Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.


5. Gigi.

Rasullulah s.a.w. melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah s.w.t. – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


6. Muka dan leher.

Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasanmu seperti orang jahilliah yang dahulu.

Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.


7. Muka dan Tangan.

Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah s.a.w. dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah s.a.w:

“Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja,” – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.


8. Tangan.

Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.


9. Mata.

Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad s.a.w;

“Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram,” – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.


10. Mulut (suara).

Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah s.a.w. akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi,” – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.


11. Kemaluan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan menta'ati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah s.a.w. – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.


12. Pakaian.

Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah s.w.t. akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud:

“Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya,” – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.


13. Rambut.

“Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya,” – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 21 September 2012

Ada Apa Dalam Solah ?


Sebagai usaha untuk mendapat keberkatan, di bawah ini ditulis mafhum 40 (empat puloh) buah hadith Baginda s.a.w. yang berkaaitan dengan kepentingan solah;

1. Solah merupakan perintah Allah s.w.t. yang pertama ke atas umatku dan solahlah yang pertama akan dihisab pada hari kiamat.


2. Takutilah Allah s.w.t. tentang solah.


3. Solah adalah pemisah antara seseorang yang beriman dengan syirik.


4. Solah ialah tanda Islam. Seseorang yang bersolah dengan khusyuk serta memelihara waktu solah dan perkara-perkara yang disunatkan dalam solah adalah seorang mukmin.


5.Tidak ada amalan yang difardhukan oleh Allah s.w.t. lebih afdal daripada iman dan solah. Sekiranya terdapat amalan-amalan yang lebih afdal daripada solah, nescaya Allah s.w.t. akan memerintahkan para malaikat untuk melakukan amalan-amalan itu. Oleh itu sepanjang siang dan malam ada malaikat yang rukuk dan ada yang sujud.


6. Solah adalah tiang agama.


7. Solah menghitamkan muka syaitan.


8. Solah adalah nur bagi orang mukmin.


9. Solah adalah sebaik-baik jihad.


10/ Apabila seorang mulai mengerjakan solah, Allah s.w.t. menumpukan sepenuh perhatian kepadanya. Apabila dia selesai bersolah Allah s.w.t. akan mengalihkan perhatian daripadanya.


11. Apabila bala turun dari langit maka mereka yang memakmurkan masjid terselamat daripada bala itu.


12. Kalaulah seseorang dimasukkan ke dalam neraka kerana sesuatu sebab, api neraka tidak akan membakar bahagian anggota sujud.


13. Allah s.w.t. telah mengharamkan api neraka daripada menyentuh anggota sujud.


14. Amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah solah yang ditunaikan pada awal waktu.


15. Keadaan manusia yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah ketika melihat seseorang itu sujud dan dahinya menyentuh ke tanah.


16. Seorang itu sangat hampir dengan Allah s.w.t. ketika dia dalam sujud.


17. Solah adalah anak kunci syurga.


18. Apabila seorang berdiri untuk mengerjakan solah maka terbukalah pintu-pintu syurga dan tabir antara dia dengan Allah s.w.t. disingkap, selagi dia tidak melakukan perkara-perkara yang makhruh.


19. Seorang yang bersolah adalah seperti dia sedang mengetuk pintu Raja segala Raja dan pada kebiasaannya apabila pintu diketuk berterusan maka pastilah pintu itu akan dibuka.


20. Kedudukan solah dalam agama adalah seumpama kepala pada badan.


21. Solah adalah cahaya bagi hati.


22. Seorang mengambil wuduk dengan sempurna lalu menunaikan dua atau empat raka'at solah fardhu atau sunat dengan khusyuk dan khudu lalu memohon keampunan daripada Allah s.w.t. terhadap dosanya maka Allah s.w.t. akan mengampuninya.


23. Bahagian bumi yang di atasnya terdapat manusia yang mengingati Allah s.w.t. dengan menunaikan solah, bahagian itu berbangga ke atas bahagian bumi yang lain.


24. Seseorang yang menunaikan dua raka'at solah lalu memohon sebarang hajat daripada Allah s.w.t. maka permohonannya itu akan diperkenankan sama ada pada ketika itu juga atau dilambatkan sedikit kerana sesuatu maslahat (sesuatu munafa'at dan kebaikan).


35. Sesiapa yang mengerjakan solah dua raka'at bersendirian dan tiada siapa yang melihatnya kecuali Allah s.w.t. serta malaikat-malaikatNya maka dia mendapat jaminan kelepasan daripada api neraka.


26. Sesuatu doa akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t. selepass seorang itu menunaikan setiap solah fardhunya.


27. Seseorang yang mengambil berat terhadap solah lima waktu dengan menyempurnakan rukuk, sujud, wuduk dan lain-lain dengan sempurna maka pasti dia akan memasuki syurga dan neraka diharamkan keatasnya.


28. Selagi seseorang Islam mengambil berat dalam menunaikan solah lima waktu maka selagi itulah syaitan akan takut kepadanya. Apabila dia mencuaikan solah maka syaitan menjadi berani dan bersungguh-sungguh untuk menyelewengkannya.

29. Amalan yang paling baik ialah mendirikan solah pada awal waktu.

30. Solah adalah persembahan orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t.

31. Solah yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah solah yang dikerjakan pada awal waktu.

32. Mereka yang pergi mengerjakan solah pada waktu subuh membawa bendera iman. Sementara mereka yang pergi ke pasar (tanpa mendirikan solah suboh) membawa bendera syaitan.

33. Pahala empat raka'at solah sunat sebelum zohor sama seperti pahala empat raka'at solah tahajud.

34. Empat raka'atsolah sunat sebelum zohor, sama dengan empat raka'at solah tahajud.

35. Apabila seseorang berdiri untuk mengerjakan solah maka rahmat Allah s.w.t. tertumpu kepadanya.

36. Solah yang paling afdal ialah solah pada tengah malam, tetapi sangat sedikit orang yang mengerjakannya.

37. Jibril a.s. datang menemui saya lalu berkata, "Wahai Muhammad, walau berapa lama tuan hidup, satu hari nanti tuan akan mati. Cintailah sesiapa yang tuan suka, satu hari tuan akan berpisah dengannya. Sebarang amalan yang tuan buat (baik atau buruk) tuan pasti mendapat balasannya. Tidak syak lagi bahawa ketinggian dan kemuliaan seorang mukmin adalah dalam solah tahajud dan penghormatannya adalah dalam bersifat istighna yakni tidak mengharapkan sesuatu daripada manusia."

38. Solah dua raka'at adalah lebih bbernilai daripada seluruh harta benda dunia. Kalaulah tidak kerana dikhuatiri menyusahkan ummatku nescaya aku mewajibkannya.

39. Hendaklah kamu mengerjakan solah tahajud, kerana solah ini adalah amalan orqng soleh dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Solah Tahajud menghalang kita daripada melakukan dosa, penghapus dosa dan menambahkan kesihatan badan.

40. Allah s.w.t. berfirman, "Hai anak Adam, jangan kamu malsa daripada mengerjakan solah empat raka'at pada permulaan hari nescaya Aku akan menyelesaikan masalah-masalah kamu sepanjang hari itu."

Galakan dan kelebihan solah telah banyak disebutkan dalam kitab-kitab hadith. Adalah memadai dengan empat puloh (40) hadith ini kerana sekiranya seseorang menghafalkan hadith-hadith ini nescaya dia akan mendapat kelebihan menghafal empat puloh hadith. 

Sebenarnya solah adalah satu anugerah yang besar daripada Allah s.w.t. Hanya mereka yang benar-benar mengecapi nikmat bersolah sahaja yang dapat menghargainya. Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa solah adalah penyejuk mata Baginda s.a.w.

Baginda s.a.w. menghabiskan sebahagian besar malam hari dengan bersolah kerana menikmati kelazatan bersolah. Oleh kerana itulah Baginda s.a.w. mewassiatkan tentang solah secara khusus dan menegaskan supaya mengambil berat terhadap solah ketika Baginda s.a.w. hampir wafat. Diriwayatkan dalam banyak hadith bahawa Baginda s.a.w. bersabda, "Takutilah Allah s.w.t. dalam perkara solah."

Hazrat 'Abdullah bin Mas'ud r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Daripada segala amalan, solahlah yang paling aku kasihi." 

Seorang sahabat berkata, "Pada suatu malam saya berjalan berhampiran masjid Nabi s.a.w. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang mengerjakan solah.  Saya pun menyertainya. Rasulullah s.a.w. sedang membaca surah al Baqarah. Saya fikir pada ayat yang ke seratus Rasulullah s.a.w. akan rukuk. Walau bagaimanapun, setelah berlalu (100 ayat) Baginda s.a.w. tidak juga rukuk. Saya berfikir barangkali Rasulullah s.a.w. akan rukuk setelah selesai membaca ayat yang kedua ratus tetapi setelah sampai ke ayat dua ratus juga Baginda s.a.w. tidak rukuk. Saya menyangka Rasulullah s.a.w. akan rukuk setelah selesai membaca surah tersebut, Baginda s.a.w. membaca beberapa kali 'Allahumma Lakal Hamd' dan mulai membaca surah Ali Imran. Saya berfikir dan mengagak, di akhir surah ini pasti Rasulullah ss.a.w. akan rukuk. Setelah selesai membaca surah tersebut Baginda s.a.w. menyebut pula 'Allahumma Lakal Hamd' tiga kali dan mulai membaca surah al Maidah. Setelah selesai membaca surah itu barulah Baginda s.a.w. rukuk. 

Dalam rukuk Baginda s.a.w. berkali-kali membaca, 'Subhana Rabbiyal 'azim' dan membaca zikir dan doa yang lain yang saya tidak dapat meemahaminya. Begitu juga dalam sujud, Baginda s.a.w. berkali-kali membaca 'Subhaa Rabbiyak 'ala' dan juga membaca zikir dan doa yang lain. Pada raka'at yang kedua Rasulullah s.a.w. mulai membaca surah al An'am. 

bersambung...

kredit: fadhilat amal



Salam Ukhuwah..~

Khamis, 20 September 2012

Hadith Nabi s.a.w._Keta'atan


Daripada Saidina ‘Ubadah Bin as-Somit r.a,

Dia pernah berkata:

"Aku pernah berjanji-setia dengan Baginda Rasulullah s.a.w di dalam satu kumpulan kecil , lalu Baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

Aku memohon janji-setia kamu agar kamu semua;

1 - tidak menyekutui Allah dengan apa sekalipun,

2 - janganlah juga kamu mencuri,

3 - janganlah juga kamu membunuh anak-anak kamu,

4 - jangan membawa sebarang berita palsu ( fitnah ) daripada hadapan tangan-tangan dan kaki-kaki kamu,

5 - janganlah juga kamu semua menentang aku di dalam urusan yang baik, 
dan sesiapa sahaja yang memenuhi janji-setia ini, maka ganjarannya adalah di sisi Allah, dan sesiapa pula yang melakukan dosa-dosa itu, lalu dia dihukum di dunia ini, maka hukuman itu adalah kaffarah ( penghapus ) baginya dan juga pembersih. Dan sesiapa pula yang dilindungi rahsianya oleh Allah ( tidak dihukum kerana melakukan kesalahan-kesalahan itu ), maka hukumannya itu nanti diserahkan kepada Allah kelak ( di hari akhirat ) 
kalau Allah mengkehendaki,  Allah boleh sahaja mengazab pesalah itu ataupun mengampunkannya."

Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh, al-Imam Muslim rh, al-Imam at-Tirmidzie rh, al-Imam Ahmad rh dan al-Imam ad-Darimi rh.



Salam Ukhuwah..~

Rabu, 19 September 2012

Kelebihan Solah Sunat 2 Raka'at

Diriwayatkan daripada Hazrat Ibnu Salman r.a. bahawa salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan, " Apabila kami  telah mendapat kemenangan dalam peperangan Khaibar, orang ramai mengeluarkan harta rampasan perang masing-masing yang terdiri daripada barang-barang dan orang tawanan lalu mereka mula berjual-beli antara satu sama lain. Seorang datang memberitahu Rasulullah s.a.w.. "Wahai Rasulullah, tidak seorangpun di lembah ini yang mendapat keuntungan seperti keuntungan yang saya peroleh hari ini. Rasulullah s.a.w. bertanya, "Wah, berapa banyakkah keuntungannya?" Dia menjawab, "Saya terus menjual dan membeli sehingga saya mendapat keuntungan sebanyak tiga ratus uqiyah perak." Baginda s.a.w. bersabda, "Saya akan memberitahu kamu perkaara yang lebih menguntungkan yang akan di peroleh oleh seseorang." Dia bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Jawab Baginda s.a.w., "Dua raka'at solah sunat selepas solah (fardhu)."
Hadith riwayat Imam Abu Daud.


Keterangan:

Satu uqiyah perak adalah empat puluh dirham. Manakala satu dirham bersamaan lebih kurang satu ringgit tujuh puloh sen (RM 1.70). Mengikut perkiraan itu kesemuanya berjumlah dua puloh ribu empat ratus ringgit (RM 20, 400.00). Sebaliknya mengikut sabdaan Rasulullah s.a.w. keuntungan tersebut bukanlah satu keuntungan yang besar. Keuntungan yang sebenarnya ialah keuntungan yang kekal dan tidak akan habis selama-lamanya. Sekiranya iman kita benar-benar sampai ke tahap yang tinggi sehingga wang sebanyak dua puloh ribu empat ratus ringgit itu tidak bernilai berbanding dengan dua raka'at solah maka kehidupan kita pasti akan bahagia. Sebenarnya solah begitu bernilai. Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa penyejuk mata Baginda s.a.w. adalah dalam bersolah. Dalam wasiat Baginda s.a.w. yang terakhir ketika hampir-hampir wafat, Baginda s.a.w. memerintahkan kita supaya mengambil berat tentang solah (Kanzul 'Ummmal). Wasiat tersebut telah diriwayatkan dalam banyak hadith.

Hazrat Ummi Salamah r.anha berkata ketika Baginda s.a.w. hampir wafat lidah Baginda s.a.w. yang mulia tidak dapat lagi mengeluarkan kata-kata dengan sempurna. Dalam keadaan sebegitu pun Baginda s.a.w. masih bersungguh-sungguh menekankan tentang solah dan menyuruh menunaikan hak-hak hamba sahaya. Begitu juga telah diriwayatkan oleh Hazrat Ali r.a. bahawa perkataan terakhir Baginda s.a.w. ialah perintah mengambil berat tentang solah dan takutkan Allah s.w.t. dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hamba sahaya (Jami ul Saghir).

Sekali Baginda s.a.w. telah mengutuskan satu jemaah tentera ke Najd. Mereka pulang dengan begitu cepat serta membawa harta rampasan yang banyak. Orang ramai sangat hairan kerana dalam masa yang begitu singkat mereka kembali dengan harta rampasan dan kejayaan yang besar. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Inginkah kamu mengetahui tentang segolongan manusia yang memperoleh keuntungan yang lebih banyak daripada harta benda itu dalam masa yang lebih singkat? Mereka itu ialah orang yang mengerjakan solah subuh dengan berjemaah, kemudian duduk hingga terbit matahari, lalu mengerjakan dua raka'at solah sunat isyraq (waktunya lebih kurang 20 minit selepas terbit matahari). Mereka ini ialah orang yang memperoleh keuntungan yang sangat banyak dalam masa yang sangat singkat.

Hazrat Shaqiq Balkhi rah. seorang ahli sufi dan wali Allah yang masyur berkata, "Kami mencari lima perkara dan menemui perkara-perkara itu melalui lima amalan;

1. Keberkatan rezeki didapati dari solah Dhuha.

2. Cahaya di dalam kubur didapati melalui solah Tahajud.

3. Jawapan terhadap soalan Munkar dan Nakir didapati melalui bacaan al Quran.

4.  Mudah melintasi sirat didapati melalui berpuasa dan bersedekah.

5. Mendapat naungan Arasy Illahi melalui mengingati Allah s.w.t. dalam keadaan bersunyi diri." 

Penekanan dan penerangan tentang solah dan kelebihan-kelebihan solah terdapat dalam banyak kitab hadith. Sangat sukar untuk dicatatkan keseluruhan perkara itu. 

kredit: fadhilat amal



Salam Ukhuwah..~