Bacaan Popular

Ahad, 23 Oktober 2011

Ulul Ilmi, Para Malaikat Jadi Saksi ke-Esaan Allah SWT


ILMU adalah perkara utama yang mempunyai fadilat dan amat bernilai; Allah SWT menjelaskan tentang kelebihan ilmu melalui firman-Nya yang bermaksud: “Allah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang berilmu (juga menyatakan demikian itu). Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Maidah ayat 18)

Renunglah, melalui ayat tersebut Allah SWT telah memulakan kesaksian tentang ke-Esaan-Nya. Turut membuat kesaksian oleh para malaikat, diikuti oleh manusia daripada para ilmuan (Ulul Ilmi). Ia menjadi bukti betapa ilmu pengetahuan terlalu tinggi nilai keutamaannya.

Allah SWT menegaskan betapa orang-orang berilmu pengetahuan setaraf dengan para malaikat yang sesama jadi saksi, ketika Allah SWT sendiri bersaksi bahawa diri-Nya adalah Tuhan Yang Maha Esa dan lagi Maha Bijaksana.

Hanya para ilmuan (berasas wahyu) yang layak menjadi saksi itu, semestinya terdiri dari para anbiya, para rasul, serta para wali (auliya) dan para ulama. Kesemuanya beriman terhadap Allah SWT, meyakini bahawa Allah SWT adalah Zat Yang Maha Sempurna.

Renunglah ayat 18 surah Al-Maidah bagaimana Allah SWT menjadi saksi pertama untuk Ke-Esaan Diri-Nya sendiri, kemudian diikuti golongan kedua iaitu para malaikat dan ketiganya ialah ahli ilmu (Ulul Ilmi).

Maksudnya golongan ulama diletak sebaris dengan para malaikat dan Allah SWT sendiri, dalam perkara kesaksian terhadap ke-Esaan Zat Yang Maha Sempurna itu.

Ia menjadi dalil yang nyata bahawa ilmu adalah perkara yang murni dan mulia, sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat (yang banyak)...” (Surah al- Mujadilah ayat 11)

Allah SWT berjanji meninggikan darjat di sisi- Nya hanya kedua-dua gologan manusia, pertama ialah golongan orang beriman, kedua, golongan orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang Allah SWT (fardhu ain) dan yang berkaitan dengan hamba-Nya (fardhu kifayah).

Mengenai ilmu ini ditegaskan lagi melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui?” (Surah Az- Zumar ayat 9)

Jawapannya, tentulah tidak serupa antara ulama dengan juhala (orang jahil). Untuk membezakan antara kedua-dua golongan itu mestilah berusaha menuntut ilmu bagi bebaskan diri dari selimut kejahilan.

Allah SWT menjelaskan lagi tentang fungsi ilmu itu melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba- Nya, hanyalah ulama.” (Surah Fathir ayat 28)

Yang dimaksudkan ‘ulama’ pada ayat tersebut ialah orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahun mengenai Kebesaran dan Kekuasaan Allah SWT dengan penuh keyakinan.

Allah SWT mengingatkan manusia supaya takut dan gerun kepada-Nya, kerana perasaan takut itu menjadi benteng kepada kesejahteraan akidah dari penyakit syirik dan kufur.

Tidak mungkin mengenali Allah SWT jika tiada takut dan gerun kepada-Nya. Justeru orang yang hatinya gerun kepada Allah SWT hanya daripada kalangan hamba-Nya yang ulama, kerana mereka mengenali sifat Allah Yang Maha Esa.

Bukan sebarang orang alim takut dan gerun kepada Allah SWT, misalnya ulama Bani Israil dan ‘Ulamaus-Suk (ulama yang rosak). Sebaliknya ulama sebenar menjadikan mereka mukmin serta muttakin, hanya merekalah yang gementar hatinya kepada Allah SWT.

Berhubung dengan ilmu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita keamanan atau ketakutan, lalu mereka (munafikin) menyibarkannya. Dan kalau mereka menyerahkan kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka tentulah orang-orang yang tahu kebenarannya akan dapat mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulil Amri). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, nescaya kamu mengikut syaitan kecuali sebahagian kecil sahaja (di antaramu).” (Surah An-Nisa ayat 83)

Ayat tersebut menceritakan perihal orang orang munafik pantang mendengar berita negatif tentang Nabi s.a.w. walaupun belum pasti, nescaya akan dikutip dan segera menyebarkannya.

Allah SWT menegaskan melalui ayat tersebut, jika merujuk kepada Rasul dan kepada orang-orang bertanggungjawab dalam perkara itu, nescaya orang-orang yang ingin tahu akan mengetahui kedudukan sebenarnya.

Golongan yang ingin tahu akan merujuk terus kepada sumbernya yang sebenar, disifatkan sebagai golongan setaraf dengan anbiya dan mursalin. Kerana telah berusaha untuk mendapatkan ilmu dari sumber utama dan pihak yang bertanggungjawab.

Demikian beberapa firman Allah SWT yang menjelaskan mengenai keutamaan ilmu dan fadilatnya.

kredit: TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan