Bacaan Popular

Ahad, 23 Oktober 2011

Belia...Antara Masjid & Cafe


Segala puji bagi Allah semata-mata, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw yang tiada lagi nabi selepasnya, keluarga dan para sahabatnya.



Semua orang tahu kepentingan masjid, kemuliaan serta peranannya dalam pembinaan umat. Begitu juga semua orang tahu kepentingan belia dan peranannya dalam pembinaan umat dan pembangunannya.



Sesuatu umat tidak akan bangkit melainkan dengan menyempurnakan kedua-dua teras dari teras-teras pembangunan dan pembinaan. Belia rabbani adalah berhubung erat dengan masjid yang dididik dan dikeluarkan di dalamnya sehingga melayakkannya untuk mendukung panji Islam. Allah SWT berfirman bermaksud:



“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (An-Nur: 36-37).



Allah SWT berfirman lagi bermaksud:



“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

(At-Taubat:108).



Inilah rijal atau lelaki sebenar yang tidak akan dapat dilahirkan melainkan di masjid-masjid. Kebangkitan yang diidam-idamkan ini pula tidak akan dapat dicapai melainkan mengembalikan belia dan pemuda kita ke pangkuan rumah-rumah Allah SWT.



Berdasarkan pemerhatian kepada para belia, kita dapati kebanyakan mereka menyisihkan diri daripada masjid dan keinginan yang lebih untuk ke kelab dan kafe sehingga sebahagian belia kita hampir-hampir tidak pernah memasuki masjid kecuali semasa majlis-majlis khas seperti pengebumian jenazah keluarga terdekatnya atau menghadiri majlis akad nikah rakannya ..



Di mana kesilapan?

Persoalan harus kita jawab dengan jujur ​​ialah di mana punca kesilapan? Pihak manakah yang harus dipersalahkan, adakah pihak masjid, para belia atau pendakwah? Dan bagaimanakah cara untuk menarik golongan muda ke masjid-masjid sekali lagi sehingga masjid-masjid menjadi keutamaan daripada kelab dan kafe? Adakah puncanya pada setengah-setengah imam? Ya. Apakah kata-kata yang sesuai yang perlu diperkatakan kepada belia-belia kita hari ini di dalam masjid? Bahkan yang berada di luar masjid .. Mereka tidak akan datang ke masjid-masjid melainkan kita berkomunikasi dengan mereka di luar masjid di tempat-tempat perjumpaan dan kelab-kelab mereka dengan cara dan teknik yang bersesuaian.



Justeru, apakah peranan belia-belia dakwah dan imam-imam masjid dalam isu yang serius ini? Mungkin berpunca pemimpin-pemimpin masjid atau mungkin sebab ketiadaan peranan pendidikan di rumah dan di pelbagai peringkat pembelajaran dan media massa.



Peranan keluarga:



1 – Keluarga menjalankan peranan pendidikan dan keimanan melalui tingkah laku yang praktikal seperti bapa yang mengambil berat soal solat berjemaah dan membawa anak-anak ke masjid.



2 - Jangan lupa peranan ibu dalam menghubungkan anak-anak dengan masjid melalui galakan dan pertandingan antara anak-anak lelaki; Siapakah yang sempat mendapat takbiratul ihram bersama imam? Siapakah yang solat dalam saff yang pertama?



3 – Menerangkan kelebihan solat di masjid dan menuliskan hadits nabi tentangnya dalam bentuk poster dan digantung di rumah sebagai persediaan untuk dihafaz dan diamalkan.



Peranan pendakwah dan pendidik:



1 – Memberi penekanan kepada pembentukan akidah dan pembinaan iman apabila berurusan dengan golongan muda dan menghubungkan mereka ke masjid melalui cara dan aktiviti yang berbeza.



2 – Menganjurkan pertandingan dan kejohanan sukan yang dikaitkan dengan masjid seperti "liga majid" dalam pelbagai acara sukan di mana setiap pasukan mengambil nama salah satu daripada masjid-masjid kampong, taman atau bandar.



3 – Membentuk kumpulan-kumpulan aktiviti belia bagi pihak masjid seperti kumpulan pemidato, kumpulan penyajak dan pendeklamsi sajak, pasukan nasyid, kumpulan marhaban...dll.



4 - Membentuk pasukan kerja untuk masjid yang terdiri dari belia untuk melakukan kerja-kerja perkhidmatan seperti kebersihan alam sekitar, celik al-Quran, menderma darah dsb.



5 – Memupuk minat dan bakat golongan muda dalam Internet dan komputer dengan mewujudkan satu blog untuk masjid atau halaman (page) dalam " Facebook "bagi pihak masjid, dan melantik pengarah (admin) untuk blog ini dan pasukan pembantu.



6 – Memilih belia yang memilih kemahiran tulisan khat yang baik untuk mengemas kinikan papan kenyataan, menulis hadist nabi dan doa.



7 – Menganjurkan seminar mengenai golongan muda dan isu-iu berkaitan mereka, terutamanya semasa sempena tertentu seperti kecemerlangan akademik, kursus pengurusan masa, pecutan akhir sebelum peperiksaan).



8 – Khatib menyentuh dalam khutbahnya tentang isu-isu belia dan mengkhususkan tajuk-tajuk berkaitan belia.



9 – Melatih belia yang berbakat dalam pengucapan awam atau berkhutbah, serta memilih belia yang memiliki suara yang baik dengan melantik mereka menjadi imam dalam solat Terawih atau waktu-waktu solat yang lain. Semua ini mempunyai kesan yang besar kepada rakan-rakan mereka.



Peranan media dan pendidikan:



1 - Menekankan bahawa terdapat masjid atau surau di setiap sekolah dan mengaktifkan peranan masjid di setiap institusi pendidikan di semua peringkat.



2 - Menyesuaikan jadual kelas dan kuliah supaya selari dengan waktu solat.



3 – Mewujudkan media infomasi dan mengadakan kempen untuk menerangkan kelebihan masjid, kelebihan belia yang memakmurkannya dan kelebihan memelihara solat berjamaah di masjid.



4 – Membuat soal selidik di kalangan belia untuk mengetahui sebab-sebab keengganan mereka untuk ke masjid dan cara untuk membawa mereka lebih dekat dengan masjid.



5 – Mengadakan seminar atau forum bersama para pendakwah untuk mengetahui pandangan orang-orang muda bagaimana untuk menghubungkan mereka ke masjid.



Akhirnya



Kami menunggu idea-idea anda mengenai cara dan teknik untuk mengembalikan semula para belia kita ke masjid bagi merealisasikan pesanan Nabi saw:



"Tujuh golongan yang diberikan naungan Allah pada hari tiada naungan selain-Nya". Di antara mereka itu ialah " seorang pemuda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah," dan "Seorang lelaki yang hatinya tergantung di masjid. " Diriwayatkan oleh Muslim.



Ya Allah, naungilah kami dengan naungan-Mu pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Mu. Berilah hidayah kepada para belia kami dan kembalikanlah mereka kepada agama dengan pengembalian yang baik wahai Tuhan sekalian alam.



Selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad saw, keluarganya dan para sahabatnya.





Syeikh Abdul Latif al-Manahy

* Penulis adalah imam dan khatib di Kementerian Hal Ehwal Agama dan ahli jawatankuasa penaja bagi Kesatuan Pendakwah Mesir yang sedang dalam pembinaan.




Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan