Bacaan Popular

Sabtu, 7 September 2013

Muhasabah Diri


Apabila usia semakin meningkat,
banyak perkara harus di ingat. 

Ramai kawan-kawan sudah berangkat, 
pergi tanpa sempat bertaubat, 
tanpa sempat meninggalkan tabiat bermaksiat,
penyakit judi yang lama melekat,
perkara yang dilarang itulah yang dibuat,
kawan-kawan ada juga yang bagi nasihat,
tapi ramai yang sudah tegar sudah liat.

Kawan yang lembut sudah menukar kiblat,
dari maksiat kepada amal ibadat,
itulah hidayah dari yang Zat,
semuga Nabi Muhammad (s.a.w.) dapat memberi syafa'at.

Kepada yang sudah mula beribadat,
mari kita kumpul sedikit maklumat,
berkenaan diri kita di Padang Masyar dan Negeri Akhirat,
serta bagi memudahkan laluan Sirat.

Marilah...


Luangkanlah masa sejenak untuk memikirkan jawapan kepada soalan-soalan dibawah ini sebagai persediaan menyambut bulan haji (Zulhijjah) dan awal Muharram (1435) yang semakin hampir.

Adakah anda bersembahyang terawih sepanjang Ramadhan yang lalu?

Sudahkah anda bersedekah walaupun sedikit?
Adakah anda melakukan perkara-perkara sunat dan solat rawatib?

Adakah anda melakukan solat sunat dhuha dan sunat witir?

Adakah anda telah bertaubat diatas dosa2 yang lalu?

Adakah anda sudah mendoakan kedua ibubapa anda?

Adakah anda membaca ayat-ayat al-Qur'an setiap hari atau membaca hadis?

Adakah anda selawat atas Rasul s.a.w. pada hari ini?

Adakah anda menjalankan dakwah kepada orang lain?

Adakah anda menziarahi saudara lain kerana Allah?

Adakah anda menyeru kepada kebaikan dan mencegah yang mungkar?

Sejauh manakah anda telah merasakan ketaqwaan kepada Allah?

Adakah anda membaca buku-buka agama Islam?

Adakah anda merasakan kewajipan anda lebih banyak dari masa yang ada?

Adakah anda mengambil iktibar dari pengalaman hari ini?

Adakah anda bergaul dengan orang-orang soleh dalam mengingati Allah?

Adakah anda menitis airmata mengingati Allah pada waktu yang sunyi?

Adakah anda bercita-cita untuk mati dan berjihad pada jalan Allah?

Adakah anda berfikir tentang hari akhirat dan bagaimana kedudukan anda di Padang Masyar nanti? Syurga atau neraka?

Adakah anda berfikir tentang mati walau sesaat?

Adakah anda membenci dan menyayangi orang lain kerana Allah?

Adakah anda memungkiri janji?

Adakah anda berbohong?

Adakah anda mempersendakan Allah dan hukumNya?

Adakah anda pernah terjerumus kedalam maksiat?

Adakah anda terfikir untuk melakukan maksiat?

Adakah anda menzalimi orang lain?

Adakah anda menceroboh hak orang lain?

Adakah anda mengumpat orang lain?

Adakah anda membantu orang lain kerana Allah?

Adakah anda memaafkan orang lain kerana Allah?

Adakah anda dapat menahan sabar dan marah di dalam menghadapi kesulitan serta merasa penuh harap kepada Allah?

Adakah anda beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari?

HISABLAH DIRI SEBELUM KITA DIHISAB ALLAH DI AKHIRAT NANTI…



Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 6 September 2013

Kebanyakan Penghuni Syurga Dan Penghuni Neraka


"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ." 

Diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Tujuannya:

Rasulullah s.a.w telah diperlihatkan Allah gambaran syurga dan neraka, dan ia dapati bahawa penghuni syurga yang paling ramai adalah terdiri dari golongan orang-orang miskin atau orang-orang yang tidak berharta, sedangkan penghuni neraka yang paling ramai adalah terdiri daripada kaum wanita. Jika hadis ini ditilik dari permukaannya yang lahir sahaja tentulah timbul kemusykilan- kemusykilan tertentu apakah Islam memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan dan kekayaan sebagai satu penghalang yang boleh menjauhkan seseorang itu dari syurga ? Apakah istilah memandang rendah kepada kaum wanita hingga kebanyakkan mereka menjadi penghuni neraka ? Apakah kaum wanita lebih banyak melakukan maksiat dari kaum lelaki ?

Untuk memahami maksud yang sebenar dari hadis ini perlulah dirujukkan kepada nas-nas lain yang bersangkutan dengan pandangan umum Islam terhadap kekayaan dan kemiskinan, juga pandangan umum Islam terhadap kaum lelaki dan kaum wanita.

Menurut Islam merupakan nikmat dan rahmat yang dikurniai Allah kepada manusia, kerana itulah memohon " rezeki yang luas " merupakan isi utama doa-doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya termasuk doa " " yang dibaca berkali-kali setiap rakaat sembahyang, tetapi kekayaan itu sendiri bukanlah merupakan satu kelebihan kecuali ia dibelanjakan kepada jalan Allah, sedangkan kemiskinan pula menurut pandangan Islam merupakan cabaran dan ujian terhadap ketabahan dan kesabaran seseorang mukmin, kerana itu kemiskinan itu sendiri bukan sekali-kali merupakan kelebihan yang secara automatis melayakan seseorang mukmin untuk menduduki syurga, malah pastilah digandingkan dengan sikap sabar, takwa dan amalan-amalan yang soleh.

Bertolak dari pengertian ini ternyata bahawa yang dimaksudkan dengan "orang-orang yang miskin " yang disebut oleh Rasulullah s.a.w itu ialah orang-orang miskin yang soleh dan bertaqwa bukanlah semata-mata orang miskin, kerana kemiskinan semata-mata kadang-kadang merupakan satu bala yang boleh membawa seseorang kepada kekufuran dan kejahatan. Apabila tekanan kemiskinan itu tidak dapat disabari oleh seseorang ia mungkin menjadi manuisa yang berkecil hati dan bersikap membantah terhadap Allah dan ini bukan sahaja menjerumuskannya ke dalam kekufuran, malah mencetuskan dalam hatinya perasaan hasad dengki dan dendam kesumat terhadap manusia sekelilingnya yang lebih bernasib baik darinya, dan akibatnya ia mungkin terlibat dalam perlakuan - perlakuan jenayah dan kekejaman-kekejaman untuk meluahkan dendam. Inilah maksud sabda Rasulullah s.a.w :

" Kemiskinan itu hampir-hampir membawa seseorang itu kepada kekufuran " 

Kerana itu, pada hemat kami, tidaklah wajar jika ada pihak-pihak yang tertentu mahu menjadikan hadis ( 29 ) ini sebagai alasan bahawa Islam menggalakan umatnya supaya menjadi miskin atau memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan yang melayakan seseorang itu mewarisi syurga di Akhirat. Al- Quran dengan tegasnya menetapkan bahawa syurga itu adalah dicapai dengan taqwa dan amalan-amalan yang soleh bukannya dicapai dengan semata kemiskinan firman Allah Taala :

" Itulah syurga yang Kami warisi dengan kelebihan amalan-amalan kamu." 

Al- 'Araf ( 43 ).
Dan firman-Nya lagi :

" Itulah syurga yang Kami warisikannya kepada orang-orang yang bertaqwa di antara hamba-hamba Kami." Maryam ( 63 )

Sifat kehidupan seseorang muslim yang digariskan Allah adalah penuh dengan kegiatan - kegiatan amalan ibadat dan kebajikan yang memerlukan kepada kewangan yang banyak seperti zakat, ibadat haji, berjihad menegakkan agama Allah, menolong fakir miskin, kaum kerabat, jiran tetangga menyediakan mas kahwin, menanggung nafkah isteri dan anak pinak, mengadakan kenduri akikah, berkorban di hari raya, berderma untuk sabilillah dan sebagainya dari ibadat-ibadat kebajikan yang bertunjangkan kepada kewangan. Di dalam al-Quran dan As- Sunah penuh denga anjuran-anjuran agar setiap orang muslim yang berada supaya menginfaq atau membelanjakan harta mereka ke jalan kebajikan dan itulah perlaburan hakiki untuk masa depan hari akhirat dan itulah keuntungan abadi yang disediakan Allah. Firman Allah :

" Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, sedangkan mereka tidak membelanjakannya ke jalan Allah, maka sampaikan berita kepada mereka bahawa mereka akan mendapat keseksaan yang pedih ." At-Taubat ( 34 )

" Dan belanjakan harta bendamu pada jalan Allah dan janganlah kamu campakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, berbuatlah kebaikan kerana Allah amat menyayangi orang-orang yang berbuat kebaikan." Al-Baqarah ( 195 )

" Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul - Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka ke jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman." Al- Hujurat ( 15 ).

Bertolak dari hakikat ini ternyatalah bahawa "orang- orang yang miskin ," yang terutama yang dimaksudkan oleh hadis itu ialah orang-orang yang menjadi miskin sebagai akibat dari penglibatan mereka di dalam kegiatan-kegiatan infaq dan jihad fisabilillah, bukannya semata - mata orang miskin, apatah lagi mereka yang miskin akibat malas dan kurang berusaha.

Kerana itu Ibn Battal dalam kitab " al- Fath " dengan tegas menyarankan bahawa kemasukan ramai orang-orang miskin ke dalam syurga itu bukanlah kerana kemiskinannya, malah kerana kesolehan di samping kemiskinan, sebab orang yang miskin yang tidak soleh itu tidak mempunyai apa-apa kelebihan sementara al- Alamah al- Syeikh Mansyur Ali Nasar berkata dalam kitabnya " at- Taaj". Kelebihan orang-orang miskin ( yang banyak masuk syurga ) itu bukanlah kerana kemiskinan, malah kerana kesabaran, taqwa dan amalan-amalan mereka yang soleh yang biasanya menyebabkan mereka menjadi miskin.

Apa yang dikatakan oleh al- Syeikh Mansyur itu memang merupakan satu kenyataan yang lumrah dalam kehidupan pemimpin-pemimpin, pejuang-pejuang, ' ulama'- 'ulama' dan para solehin Islam. Mereka menjadi miskin bukanlah kerana kurang usaha tetapi kerana mreka sentiasa mengorbankan harta benda mereka ke jalan Allah dan kerana mereka menumpu sepenuh masa mereka kepada kegiatan dakwah dan jihad fisabilillah, dan seterusnya kerana mereka lebih mementingkan kebajikan orang lain dari kebajikan diri mereka sendiri.

Oleh itu jika terdapat hadis-hadis yang lain yang pada lahirnya seolah-olah memuji atau memandang tinggi kepada kemiskinan, haruslah diruju'kan kepada hakikat kemiskinan yang terpuji yang telah dijelaskan tadi. Jika tidak, maka hadis-hadis itu akan bertentangan dengan hadis - hadis dan ayat-ayat al-Qur'an yang terang menyarankan kelebihan kekayaan dan kelebihan infaq fisabilillah.

Mengapa orang-orang kaya begitu ramai memasuki neraka? Jawabnya kerana kebanyakan mereka telah menyalahgunakan kekayaan itu di dalam kegiatan-kegiatan maksiat yang dilaknat Allah dan kerana mereka telah ditimpa oleh penyakit-penyakit kekayaan iaitu tamak dan haloba, penting diri, bakhil, takbur, lupa daratan, menindas kaum miskin, tidak memperdulikan halal haram dan meninggalkan infaq fisabilillah.

Tegasnya orang-orang kaya yang ramai memasuki neraka bukanlah kerana kekayaan, malah kerana penyelewengan dan kefasiqan hidup mereka yang dapat dilihat dimana-mana masyarakat merekalah saudagar-saudagar yang memperniagakan segala macam maksiat, merekalah perintis-perintis hiburan, permainan dan pertunjukkan yang haram dan merekalah pendorong dan penggalak di belakang kefasiqan-kefasiqan masyarakat. Mereka menggunakan harta mereka untuk merosak dan membeli dhamir orang-orang yang baik untuk meluluskan maksud-maksud mereka yang jahat, malah mereka menggunakan pengaruh harta mereka untuk memaksa kerajaan untuk melindungi kepentingan-kepentingan mereka.

Kerana tindak-tanduk mereka yang tidak jujur itulah menyebabkan perjalanan mereka ke syurga di halangi oleh berbagai-bagai proses pemeriksaan dan hisab yang menyeksakan mereka. Tersebut dalam sebuah Hadis lain yang seakan-akan Hadis ( 92 ):

Dari Usamah bin Zaid r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda " Aku berdiri di pintu syurga, tiba-tiba aku melihat kebanyakan orang yang memasukinya ialah orang-orang miskin, sedangkan hartawan-hartawan telah ditahan, melainkan penghuni-penghuni neraka mereka terus diperintah supaya di humbankan ke dalam nereka, dan aku berdiri di pintu neraka tiba-tiba aku melihat kebanyakan orang memasuki neraka adalah kaum wanita." 

Diriwayatkan oleh al- Bukhari dan Muslim.

Menurut al - A'lamah al- Syeikh Mansyur maksud " hartawan-hartawan telah ditahan " ialah orang-orang kaya dan pembesar - pembesar di dunia adalah di tahan untuk menjalani proses pemeriksaan dan hisab, siapa di antara mereka yang di dapati melakukan jenayah, kufur, penyelewengan, dan kejahatan-kejahatan maksiat akan di masukkan ke dalam neraka.

Kelewatan para hartawan yang menyeleweng dari memasuki syurga telah di jelaskan oleh sebuah Hadis yang lain :

Dari Abi Hurairah r.a Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda : "Orang-orang Islam yang miskin dapat memasuki syurga sebelum orang-orang kaya terdahulu selama setengah hari ( waktu akhirat ) bersamaan 500 tahun ( waktu dunia ). "

Mengapa kebanyakan penghuni neraka terdiri daripada kaum wanita ?

Sebabnya sudah tentu bukan kerana mereka jenis wanita.

Pada prinsipnya kaum lelaki dan wanita sama saja di sisi Allah : di sana tiada sebarang diskriminasi pahala dan dosa dan dilandaskan di atas jenis. Siapa yang lebih bertaqwa dialah yang lebih tinggi di sisi Allah. Oleh itu Hadis ini sama sekali tidak bertujuan untuk menyarankan bahawa kaum wanita itu lebih rendah darjatnya dari kaum lelaki sebagaimana yang mungkin difaham dari tinjauan sekilas.

Mungkin sebabnya terletak pada faktor jumlah kaum wanita di dunia adalah melebihi jumlah kaum lelaki sebagaimana yang dibuktikan oleh perangkaan penduduk dunia dari dahulu hingga sekarang, oleh itu tidaklah menakjubkan jika bilangan mereka yang menjadi penghuni neraka adalah lebih besar dari kaum lelaki, apatah lagi jika ditinjau bahawa jumlah manusia kafir dan masyarakat di dunia di sepanjang zaman adalah jauh lebih ramai dari manusia mukmin. Hakikat ini telah dikuatkan pula oleh kenyataan Hadis bahawa kaum perempuan adalah lebih ramai dari kaum lelaki.

Mungkin sebabnya yang hakiki terletak pada penyelewengan dan penyalahgunaan pengaruh dan sifat-sifat kewanitaan dan akibatnya menyebabkan kaum lelaki terjerumus di dalam perangkap-perangkap kejahatan, kefasiqan dan jenayah. Ahli jiwa sepakat mengakui bahawa pengaruh seks pada wanita merupakan pengaruh yang amat menjahanam di dalam kehidupan lelaki. Al - Qur'an sendiri telah meletakkan kaum wanita pada barisan pertama dalam kumpulan pendorong-pendorong nafsu keinginan manusia firman- Nya :

" Telah dijadikan kesukaan pada manusia menyintai berbagai-bagai nafsu keinginan iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas sawah dan ladang. Itulah kenikmatan hidup di dunia, sedangkan di sisi Allah pula terdapat syurga tempat kembali yang amat indah " 

Al - 'Im ran ( 14 )

Dari situ ternyatalah bahawa wanita merupakan ujian Allah yang paling bahaya dalam kehidupan lelaki di dunia. Ini di sebabkan kerana tabiat lelaki itu mencari wanita, sedangkan tabiat wanita menunggu dan memancing dengan umpan-umpan yang menjadikan lelaki lupa daratan dan sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan wanita, kerana itu wanitalah lebih mempersonakan lelaki dari lelaki mempersonakan wanita. Hakikat ini telah di jelaskan oleh Rasulullah s.a.w :

" Aku tidak tinggal selepasku ujian lebih bahaya kepada lelaki melainkan wanita." 

Muttafaqa ' Alaih

Ujar Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti " Wanita mampu, jika mahu, untuk menjadikan dirinya satu bahaya yang dahsyat kepada lelaki sehingga tidak dapat dihindarinya, dan ia juga boleh menjadikannya dirinya selaku yang boleh membawa lelaki ke jalan yang selamat dan sentosa. " 

" Beberapa banyak umat yang agung runtuh akibat pergaulan bebas lepas dan kemusnahan akhlak, dan faktor pokoknya ialah wanita, kerana itu tugas Islam yang paling besar yang di letakkan pada bahu wanita ialah supaya ia menyembunyikan senjata pesona atau seksnya di depan lelaki seberapa yang terdaya olehnnya agar mereka tidak terjerumus ke dalam malapetaka."

" Sebab yang membawa wanita menjadi penghuni neraka yang terbanyak seperti yang tersebut oleh hadis yang soheh itu ialah adalah berbagai-bagai faktor yang terpentingnya ialah mereka tidak mematuhi dengan penuh taqwa dalam melaksanakan tugas agung (menyembunyikan senjata seksnya ) yang diletakkan di atas bahu mereka. "



kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 5 September 2013

Odit



ODIT LIDAH

Pada hidup ini ada penyakit dan penawarnya. Rugilah mereka yang mencari penyakit, melupakan penawar. Adakalanya manusia mencari penyakit kerana merasakan ianya adalah penawar, dan menjauhi penawar kerana merasakan ianya adalah penyakit. Mereka tertipu oleh bisikan syaitan.

"Dan mengapakah mereka tidak bermohon kepada Allah dengan merendahkan diri, ketika datang siksaan Kami kepada mereka? Bahkan hati mereka telah keras dan syaitan pun mencantikkan amalan-amalan mereka (yang salah itu)." (Al-An'am: 43)

Salah satu saluran yang digunakan oleh syaitan untuk memperdayakan manusia
ialah lidah.

"Kebanyakan dosa anak Adam adalah dari lidahnya." (Hadis Thabrani dan Baihaqi dengan sanad baik)

Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. amat kuat berjihad untuk menegakkan Islam. Mereka juga
kuat berjihad untuk mengawal diri sendiri, terutamanya lidah.

Telah berkata Omar Al-Khattab:
"Selalulah kamu berzikir kepada Allah, kerana ia adalah penawar. Jauhilah dari menyebut-nyebut tentang kecacatan manusia,  kerana itu adalah penyakit."

Berkata Ibn 'Abbas "Apabila kamu hendak menyebutkan tentang kecacatan orang lain, sebutlah tentang kecacatan dirimu."

Manusia hari ini banyak bercakap tentang sistem odit. Rupa-rupanya mengodit keluar masuk harta benda kadang-kala lebih mudah dari mengaudit keluar masuk lidah sendiri.

Muhammad bin Wasi' pernah menasihati Malik bin Dinar: "Wahai Aba Yahya, menjaga lidah itu lebih sukar bagi manusia dari menjaga dinar dan dirham."

Mampu mengawal lidah melambangkan kekuatan iman. Melambangkan kegagahan diri.
"Apabila kamu melihat seseorang mukmin itu pendiam (melainkan pada perkara yang perlu) dan mempunyai kehormatan diri, maka dekatilah dia. Kerana ia akan mengajar mu tentang ilmu-hikmah." (Hadis Ibn Majah)

Muga-muga puasa yang kita lakukan bulan lepas merupakan latihan untuk mencapai kegagahan ini.


ODIT ILMU

Ilmu adalah pintu gerbang kepada kebaikan dan petunjuk. Apatah lagi ilmu agama. Tidak ada kebaikan tanpanya. " Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, Allah permantapkan ilmu deen (agama)nya dan diilhamkan kepadanya petunjuk." (Muslim)

Malah satu diantara tanda-tanda kemunafikan ialah, sikap acuh tak acuh dengan ilmu agama.

"Dua sifat tidak ada pada orang-orang munafik: elok pekerti dan kemantapan dalam kefahaman agama." (Tarmizi)

Manusia akan mati ketika berhenti pernafasan dan degupan jantungnya. Hati
manusia pula akan mati tanpa ilmu.

Telah berkata Fathul Mausuli: "Hati, jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga hari, matilah hati itu." (Ihya' Ulumuddin)

Kita sering berdoa meminta Allah kurniakan 'hasanah di dunia' kepada kita. 'Hasanah' di dunia ini tidak akan diperolehi tanpa ilmu.

"Wahai Tuhan kami kurniakanlah hasanah bagi kami di dunia dan hasanah bagi kami di akhirat." (Al-Baqarah: 201)

Imam Al-Hasan menafsirkan 'hasanah di dunia' sebagai ilmu dan ibadah dan 'hasanah di akhirat' sebagai syurga.

Banyak isu-isu semasa memerlukan ilmu untuk memahaminya dan meletakkannya pada
perspektifnya yang betul.

- Golongan anti-hadis mengingkari hadis.
Bagaimana untuk menangkis kesesatan mereka?

- Golongan yang mengatakan hukum-hakam dan peraturan Islam tidak relevan.
Benarkah ini, dan apakah yang dikatakan oleh Quran dan Sunnah tentang ini.

- Islam kolot dan tidak saintifik. 
Benarkah ini?

- Islam menghina wanita. 
Bagaimana untuk menangkis dakwaan ini?

- Mohammad di dalam Kitab-kitab dahulu. Mengetahui tentangnya merupakan satu
aset kepada dakwah non-Muslim.

Dan banyak lagi.

Jangan tangguh - tangguh dalam aspek pencarian ilmu. Islam memusuhi kejahilan.
Jangan biarkan diri kita di penjuru musuh!

Berkata Abdullah Ibn Masud: "Hendaklah kamu mencari ilmu sebelum ilmu diangkat.Sesungguhnya tidak ada seorangpun yang dilahirkan berilmu. Ilmu diperolehi dengan belajar."

Baik sekali jika ini dapat dihayati di musim Ramadan setiap tahun.



ODIT SOLAT

Iman memerlukan pembuktian. Solat fardu merupakan satu di antara pembuktian iman yang terpenting. Yang mengabaikannya, telah meruntuhkan agamanya.

"Seorang lelaki telah mendatangi Rasul s.a.w. dan bertanya: 'Ya Rasulallah, apakah amal yang paling disukai Allah?' Jawab Nabi s.a.w:'Sembahyang tepat pada waktunya. Barangsiapa yang meninggalkan solat, tidak ada agama baginya. Sembahyang adalah tiang agama." (Baihaqi)

Pemeliharaan Allah amat penting di dalam hidup seseorang. Meninggalkan sembahyang fardu bermakna telah memutuskan diri dari pemeliharaan itu.

"Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dia telah terputus dari pemeliharaan Allah."
(Ibn Majah & Baihaqi)

Firaun dan Qarun merupakan manusia yang terkutuk. Jika sembahyang diabaikan,
dikhuatiri, seseorang akan bersama-sama dengan manusia yang terkutuk itu.

"Barangsiapa memelihara solat (yang fardu), maka baginya cahaya, bukti dan kemenangan di hari kiamat. Barangsiapa yang tidak memeliharanya, tidak ada baginya cahaya, bukti dan kemenangan di hari kiamat. Malah pada hari kiamat, dia akan bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman dan Ubai bin Khalaf." (Ahmad, Ibn Hibban & Thabrani)

Melewat-lewatkan solat sehingga masuk ke dalam waktu yang lain (qadhaan) juga
adalah suatu yang dicela oleh agama.

"Kemudian akan datang selepas mereka satu golongan yang akan melalaikan sembahyang dan mengikut syahwat, dan mereka akan bertemu dengan kesesatan."(Maryam: 59)

Berhubung dengan ayat ini Abdullah ibn 'Abbas telah berkata: "Golongan ini bukannya tidak bersembahyang sama sekali, tetapi melambatkan sembahyang sehingga keluar dari waktunya." (Al-Kabair - Imam Az-Zahabi)

Imam Said ibn Musayyib pula telah berkata: "Mereka tidak bersembahyang zohor sehingga datang waktu asar, tidak bersembahyang asar sehingga maghrib dan begitulah seterusnya. Mereka yang berterusan seperti ini tanpa bertaubat, akan dimasukkan ke dalam sebuah lembah khas di neraka."

Meninggalkan sembahyang akan membawa kepada kekufuran.

"Batas di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan sembahyang." (Hadis Muslim)

Dan juga "Sesiapa yang meninggalkan sembahyang, telah kafir ia." (Hadis Ahmad)

Meninggalkan sembahyang kerana malas, akan menyebabkan kekufuran, tetapi tidak sampai terkeluar daripada Islam. Sebaliknya, meninggalkan sembahyang kerana ingkar atau mempersendakan perintah Allah, akan menyebabkan seseorang itu terkeluar dari
agama (murtad). Itulah pendapat jumhur (majoriti) ulama. (Fiqhul Awlawiyat - Dr. Yusuf Qardawi)

Muga-muga puasa kali ini menimbulkan kesedaran ke arah peningkatan amal yang
lebih baik.



ODIT DOSA-DOSA

Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa-dosa. Ia lambang kekukuhan iman.

"Tidak berzina seorang penzina jika dia beriman. Tidak mencuri seorang pencuri jika dia beriman. Namun pintu taubat terbuka luas." (Tarmizi)

Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama.

"Jauhilah perbuatan haram niscaya kamu menjadi orang yang paling kuat beribadah." (Hadis - Abu Ya'la)

Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.

Aisyah telah berkata: "Sesungguhnya kamu melupakan ibadah yang paling utama, yaitu wara' (yakni: menjauhi yang haram)."

Abdullah ibn Omar pula memperingatkan: "Jika kamu mengerjakan solat seperti busur yang melengkung dan berpuasa sehingga kamu menjadi seperti anak panah kerana kekurusan, tidaklah itu diterima daripada kamu, melainkan dengan wara' (menjauhi haram) yang mendinding."

Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."

Biasanya, suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan larangannya.

Imam Ahmad ibn Hanbal berkata: "Sesungguhnya larangan itu adalah lebih berat daripada perintah suruhan."

Justeru itu kita mudah bertemu dengan orang yang berpuasa tetapi masih bermaksiat. Mampu mengeluarkan sedekah dalam perjalanan ke kasino untuk memuaskan nafsu. Bersembahyang tetapi rajin mengumpat. Sentiasa memegang tasbih untuk berzikir tetapi mengabaikan pembayaran hutang kepada orang lain.

Orang yang mantap kefahamannya tentang agama mengetahui bahawa meninggalkan
kemungkaran dan dosa, walaupun nampaknya kecil, teramat penting dalam usaha
mendekatkan diri kepada Allah.

Abdullah ibn Omar berkata: "Sesungguhnya memulangkan kembali perkara kecil (sedikit) yang haram adalah lebih baik daripada membelanjakan seratus ribu dinar pada jalan Allah."

Imam Abdullah bin Mubarak pula telah berkata: "Sesungguhnya menolak sebutir dirham yang syubhat lebih aku sukai daripada bersedekah seratus ribu sehingga sembilan ratus ribu dirham."

Berzikrullah adalah baik. Tetapi jika sekadar dengan lidah, ianya belum mencukupi.

Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."

Rezeki yang diperolehi dari perbuatan dan pekerjaan yang haram, walaupun
digunakan unutk ketaatan, tidak akan membantu kita ke arah taqarrub kepada
Allah.

Berkata Imam Sufyan at-Thauri: "Barangsiapa membelanjakan wang haram pada mentaati Allah, perbuatannya adalah seperti seseorang yang cuba membersihkan kain yang bernajis dengan menggunakan air kencing."

Walau bagaimanapun, manusia tidak maksum. Insan ada kelemahannya. Kelemahan ini
bukannya alasan untuk berterusan melakukan dosa, sebaliknya untuk lebih berhati-hati dan berjaga-jaga. Pintu taubah sentiasa terbuka. Hadis ada menceritakan tentang seorang dari Bani Israil yang telah membunuh 100 orang, kemudian insaf dan bertaubat. Allah terima taubatnya.

Muga-muga artikel kali ini dapat meningkatkan kesedaran kita bersama untuk menjauhi semua yang dilarang agama sebaliknya dapat membawa kita menuju ketakwaan yang dituntut oleh Allah s.w.t.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 4 September 2013

22 Tanda Hari Kiamat Semakin Hampir



1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 3 September 2013

Al Kisah Aku Dengan Mak Aku


Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapkan kerja rumah.

“Mi, sekolah macam mana hari ini? Mengapa lambat?” tanya mak sejurus saya tiba di rumah.

“Bagus. Cuma Ustaz Ismail minta bantu di surau susun buku,” saya menipu kerana tidak mahukan mak terasa sedih, hampa, sakit hati, bimbang dan pelbagai alasan.
Mak tidak berkata apa-apa.

Seminggu berlalu, saya sekali lagi didenda untuk tinggal selepas waktu sekolah dan membersihkan tandas surau. Kali ini atas sebab yang agak memalukan, saya bergaduh dengan kawan saya yang mengejek saya didenda berdiri di luar kelas.

Hari itu, saya pulang ke rumah. Mak bertanya seperti biasa apa keadaan di sekolah dan mengapa saya lambat balik.

Saya menjawab terlewat dan menggunakan alasan yang sama bahawa Ustaz Ismail minta membantu kerja di surau kali ini mencuci tandas surau.

Mak tidak berkata apa-apa.

Kali ketiga, saya cuba ponteng kelas dan apabila memanjat dinding, saya terjatuh dan terseliuh kaki. Ustaz Ismail yang datang membantu, tapi dalam keadaan nak melenting kerana saya tidak pernah nak belajar jadi baik.

Ustaz Ismail memanggil mak saya datang menjemput saya balik ke rumah. Tapi mak saya tidak tahu memandu, dan bapa pula sudah tiada, maka Ustaz Ismail akhirnya membawa saya balik ke rumah.

Saya gementar setibanya di rumah. Apakah rahsia saya akan terbongkar?

Selepas menghantar saya ke bilik, mak saya ke pintu pagar berbincang sesuatu dengan Ustaz Ismail.

30 minit mereka berbual. Saya bertambah gementar kerana saya yakin Ustaz Ismail telah menceritakan segala kejahatan saya pada mak saya.

Selesai perbualan, mak saya datang ke bilik saya. Tangan saya terketar-ketar terasa mak akan menampar saya kerana menipunya.

“Tiga minggu lepas hari Selasa, Mi balik lewat sebab apa? Dan minggu lepas, Mi balik pun sebab apa?” tanya mak saya.

Saya ternganga dengan soalan itu. Apakah saya harus meneruskan kata-kata bohong saya? Apakah mak sudah tahu segalanya sekarang datang ‘test’ saya? Apakah Ustaz Ismail dah memberitahu segalanya?

“Saya tak ingat mak, rasanya kerana Ustaz Ismail,” jawab saya mengambil jalan yang selamat dengan menipu sekali lagi.

Mak melihat saya.

“Tadi Ustaz Ismail memberitahu mak sesuatu,” kata mak. Berdebar-debar hati saya mendengarnya… habislah kali ini.

“Ustaz Ismail suruh mak sampaikan ini pada Mi: "Orang yang menipu selalu sakitkan otak dan minda dia. Sebab dia kena ingat pada kata bohong dia sampai bila-bila; kerana jika dia terlupa segalanya akan terbongkar. Orang yang berkata benar otak dan mindanya ringan. Sebab dia tak perlu ingat kerana apa yang diceritakannya cerita benar yang tidak berubah mengikut masa,” kata mak.

Mendengar kata-kata itu, saya tersentak dan tersentuh seketika.

“Itu saja Ustaz Ismail bagitahu?” tanya saya.

“Ya. Dia pesan Mi jangan berbohong dengan mak kerana nanti rosak otak. Kata Mi ok, cuma nakal sikit. Dan cara hilang nakal mudah, Mi jangan berbohong pada mak, kata Ustaz Ismail,” tambah mak.

Sejak hari itu, saya berubah baik. Hubungan dengan Ustaz Ismail semakin rapat, daripada seorang guru kepada ayah angkat saya.



Wahai anakku,

Janganlah beratkan mindamu dengan kata-kata bohongmu. Kerana setiap kata tipumu kamu akan terpaksa ingat supaya tembelang kamu tidak pecah. Bercakap benarlah sentiasa, kerana ia mudah dan tidak perlu diingat. Apa yang dicerita ialah kebenaran yang tidak diubah masa.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 2 September 2013

Hukum Berkicap



Ada kalanya darah naluri seks bergelora pada diri seorang pemuda , lalu ia mempermainkan tangannya pada alat kelaminnya, atau berkicap untuk mengeluarkan air mani supaya merasa tenang urat sarafnya dan merasa kepuasan dari gelora seks yang membangkitkan syahwatnya, dan perbuatan semacam ini sudah terkenal hari ini dengan nama onani, yang dalam bahasa Arabnya Aadah Sirriyah.


Perbuatan seperti ini sudah diharamkan oleh ramai dari para ulama mazhab Imam Maliki mengambil dalil haramnya daripada firman Allah ta'ala berikut :


Maksudnya : "Dan orang-orang yang mereka itu memelihara kemaluannya , kecuali terhadap isteri-isteri mereka , atau hamba sahaya yang dimiliki tangan kanan mereka, maka mereka itu tiadalah tercela. Tetapi , barangsiapa yang mencari kepuasannya dari selain yang demikian , maka mereka itu adalah orang-orang yang melanggar batas." (Al-Mukminun :5-7)


Jadi , orang yang melakukan onani atau berkicap kelaminnya untuk tujuan melepaskan kepuasan syahwatnya , ialah orang yang mencari kepuasan dari selain yang dibolehkan oleh hukum Islam.


Dan diriwayatkan pula daripada Imam Ahmad bin Hanbal , bahawa dia menganggap air mani itu adalah barang kelebihannya yang ada di dalam tubuh badan manusia , yang boleh dikeluarkannya dengan injeksi dan sebagainya. Pendapatnya ini telah diperteguh dan disokong oleh Ibnu Hazm.


Lantaran itu, para Fikh Mazhab Imam Hanbali telah mengharuskan melancap kelamin itu dengan dua sebab :


1- Kerana bimbang dirinya akan melakukan zina .
2- Kerana tidak mampu berkahwin.


Kita boleh memakai pendapat Imam Ahmad ini dalam keadaan-keadaan bergeloranya nafsu syahwat dan kebimbangan tergelincirnya diri ke dalam perkara yang haram, umpamanya pemuda yang sedang belajar di negeri orang, atau yang sedang bekerja di luar negeri , padahal pengaruh yang membangkitkan nafsu sangat banyak dan terpampang di hadapan mukanya, dan keadaan sungguh membimbangkan kerana takut terjatuh ke dalam perbuatan yang keji itu.


Maka dalam keadaan serupa itu tidaklah kiranya menjadi salah untuk melancap kelaminnya sampai mematikan gelora naluri seksnya itu tetapi dengan syarat jangan sampai dilakukan berlebih-lebihan dan dijadikan suatu perkara yang biasa.


Dan lebih utama dari itu ialah dengan mengikut petunjuk Rasul yang mulia kepada para pemuda yang tidak mampu berkahwin , iaitu dengan banyak berpuasa . Dengan berpuasa bakal mengurangi keinginan dan mengajar cara-cara bersabar serta memperteguh takwa yang ada di dalam diri dan memperlihatkan diri terhadap larangan Allah ta'ala yang mana disimpulkan oleh sabda Baginda s.a.w. yang berbunyi :


"Hai para pemuda ! barangsiapa di antara kamu yang sudah ada berkemampuan , hendaklah dia berkahwin , kerana perkahwinan itu lebih menjamin menahan pandangan dan lebih kuat membentengi kemaluan! Tetapi barangsiapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin), maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya."
(Riwayat Bukhari)


kredit: Buku"Halal dan Haram Dalam Islam" Halaman 277-279 Dr.Yusuf Al-Qardhawi


Salam Ukhuwah..~



Ahad, 1 September 2013

Nikah Mut'ah



Islam amat menitikberatkan kesucian institusi kekeluargaan melalui konsep perkahwinan yang dapat memelihara kehormatan, hak-hak kaum wanita, nasab keturunan dan membanteras budaya jahiliah seperti pengamalan seks bebas serta pelacuran.

Namun, kehadiran fahaman Syiah yang sering dikaitkan sebagai salah satu aliran mazhab dalam Islam telah menggugat institusi kekeluargaan serta mencemar kehormatan kaum wanita yang dilayan tidak ubah seperti pelacur jalanan dengan menghalalkan nikah mut’ah (kontrak).

Apa itu nikah mut’ah? Ia adalah satu proses di mana seorang lelaki menikahi seorang wanita dengan bayaran tertentu untuk jangka waktu tertentu.

Pernikahan ini berakhir apabila berakhirnya tempoh tersebut tanpa perlu adanya perceraian. Juga tiada kewajipan memberi nafkah dan tempat tinggal kepada isteri serta tiada waris-mewarisi di antara keduanya apabila salah seorang meninggal dunia sebelum berakhirnya tempoh pernikahan.

Pernikahan ini juga tidak mensyaratkan adanya saksi dan tidak disyaratkan mendapatkan keizinan wali. Status wanita yang melakukan nikah mut’ah ini sama dengan wanita sewaan atau hamba abdi.

Menurut ajaran Syiah, nikah mut’ah ini merupakan satu perkara yang boleh menentukan keimanan penganutnya. Menolak konsep nikahmut’ah ini menyebabkan seseorang itu menjadi kafir atau murtad. Lihatlah riwayat palsu yang dinamakan atas Imam Ja’afar al-Sadiq seperti yang termaktub dalam kitab-kitab mereka. Ja’afar al-Sadiq berkata:

Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak mempercayairaj’ah (kebangkitan semula para imam sebelum kiamat untuk menghukum orang yang menentang dan memusuhi Ahlul Bait) dan tidak menganggap halal mut’ah kita. (Rujuk Man Laa Yahdhuruhu al-Faqih, jil. 3, ms. 458)


Daripada Imam Ja’afar al-Sadiq lagi:

Bahwa mut’ah adalah sebahagian daripada agamaku dan agama nenek moyangku. Barang siapa yang mengamalkannya, bererti dia telah mengamalkan agama kami. Dan yang mengingkarinya bererti (dia telah) mengingkari agama kami. Bahkan, dia boleh dianggap beragama dengan selain agama kami. Anak yang dilahirkan menerusi perkahwinan mut’ah ini lebih utama daripada anak yang dilahirkan melalui nikah yang tetap. Dan orang yang mengingkari nikah mut’ah, maka dia kafir dan murtad. (Rujuk Minhajul Qashidin karya Fathullah al-Kasyani, ms. 356)

Bukan sekadar anak yang lahir hasil pernikahan kontrak ini dianggap lebih mulia berbanding anak yang lahir daripada pernikahan tetap, nikah mut’ah ini turut menjanjikan ganjaran pahala yang besar oleh ALLAH.

Abu Abdillah (Ja’afar al-Sadiq) pernah ditanya: “Apakah nikahmut’ah itu memiliki pahala?” Maka, beliau menjawab: “Bila dia mengharapkan wajah ALLAH (ikhlas), maka tidaklah dia membicarakan keutamaan nikah tersebut kecuali ALLAH menulis baginya satu kebaikan. Apabila dia mula mendekatinya, maka ALLAH ampuni dosanya. Apabila dia telah mandi (iaitu mandi wajib setelah berjimak ketika nikah mut’ah), maka ALLAH ampuni dosanya sebanyak air yang mengalir pada rambutnya.” (Rujuk Man Laa Yahdhuruhu al-Faqih, jil. 3, ms. 366)

Pernikahan secara mut’ah ini tidak memerlukan majlis-majlis rasmi sebagaimana majlis perkahwinan yang biasa kita lihat. Memadailah ia dilakukan berduaan tanpa saksi mahupun keizinan wali. Setelah itu, pasangan tersebut dibenarkan untuk melakukan persetubuhan sebagaimana suami isteri yang sah.

Ja’afar al-Sadiq pernah ditanya seseorang: “Apa yang aku katakan kepada dia (wanita yang akan dinikahkan) bila aku telah berduaan dengannya?” Maka, beliau menjawab: “Engkau katakan: ‘Aku bernikah dengan­mu secara mut’ah berdasarkan kitabullah dan sunnah Nabi-NYA, namun engkau tidak mendapat warisan daripadaku dan tidak pula memberikan warisan apapun kepadaku selama sehari atau setahun dengan upah senilai dirham demikian dan demikian.’ Engkau sebutkan jumlah upah yang telah disepakati sama ada sedikit mahupun banyak.” Apabila wanita tersebut mengatakan: “Ya” bererti dia telah redha dan halal bagi lelaki tersebut untuk menggaulinya. (Rujuk al-Kulaini, Al-Furu’ Minal Kafi, jil. 5, ms. 455)

Ja’afar al-Sadiq berkata:

Tidak mengapa bernikah dengan seorang wanita yang masih perawan bilamana dia redha walaupun tanpa izin kedua orang tuanya. (Rujuk at-Thusi di dalam Tahdzibul Ahkam, jil. 7, ms. 254)

Nilai mahar atau mas kahwin yang perlu dibayar adalah berdasarkan persetujuan pasangan tersebut. Bahkan menurut ajaran Syiah, ia boleh dibayar dengan hanya segenggam makanan seperti gandum atau buah kurma.

Hal ini telah diriwayatkan daripada Abu Ja’afar dan anaknya Ja’afar iaitu (nilai upah nikah mut’ah adalah) sebanyak satu dirham atau lebih, (ataupun) gandum, makanan ruji, tepung gandum atau kurma sebanyak satu tapak tangan. (Rujuk Al-Furu’ Minal Kafi, jil. 5, ms. 457)

Nikah mut’ah ini bukan sekadar memberi keringanan kepada pengamalnya dengan nilai mas kahwin yang begitu murah, malah tempoh perkahwinan tersebut juga bergantung pada apa yang telah dipersetujui oleh pasangan tersebut seperti setahun, sebulan atau sehari. Bahkan, ia boleh berada dalam tempoh amat singkat iaitu sekadar sekali persetubuhan.

Diriwayatkan daripada Abu Hassan Ali bin Muhammad al-Jawad bahawa beliau pernah ditanya tentang tempoh minimum jangka waktu mut’ah. Apakah diperbolehkan mut’ah dengan kesepakatan jangka waktu sekali persetubuhan? Beliau menjawab: “Ya, tidak mengapa tetapi setelah selesai hendaklah memalingkan muka dan tidak memandang lagi (kepada wanita itu).” (Rujuk Al-Furu’ Minal Kafi, jil. 5, ms. 460)

Islam membataskan seorang lelaki hanya boleh memiliki empat isteri dalam satu-satu masa, namun nikah mut’ah Syiah ini membenarkan penganutnya bernikah dengan ramai wanita tanpa batasan. Diriwayatkan daripada Ja’afar al-Sadiq bahawa dia berkata:

Berkahwinlah dengan mereka secara mut’ah walaupun sehingga 1000 orang kerana mereka itu termasuk di antara wanita yang disewakan. (Rujuk Tahdzibul Ahkam, jil. 7, ms. 259)

Konsep nikah mut’ah ini turut membenarkan seseorang itu untuk bernikah dengan wanita yang sama beberapa kali. Diriwayatkan daripada Imam Ja’afar al-Sadiq yang berkata:

Tidak mengapa. Seseorang boleh melakukan mut’ah dengan seseorang wanita seberapa banyak yang di­kehendakinya. (RujukAl-Furu’ Minal Kafi, jil. 5, ms. 460)
Untuk lebih memudahkan lagi proses nikah mut’ah, lelaki Syiah tidak perlu menyelidiki status wanita yang ingin dinikahi itu, sama ada sudah bersuami atau masih perawan. Daripada Aban bin Taghlab yang berkata:

“Aku bertanya pada Abu Abdullah bahawa aku sedang berada di sebatang jalan lalu aku ternampak seorang wanita cantik dan aku takut sekiranya dia telah bersuami atau barangkali dia adalah seorang pelacur.” Beliau menjawab: “Ini bukan urusanmu, percayalah kepada pengakuannya.” (Rujuk Al-Furu’ Minal Kafi, jil. 5, ms. 462)

Bahkan, kemudahan untuk melakukan nikah mut’ah ini tidak terhenti setakat itu. Di dalam kitab-kitab Syiah yang lain, penganutnya dibenarkan untuk bernikah secara mut’ah dengan wanita beragama Kristian, Yahudi, Majusi dan penganut agama lain. Bukan sekadar itu, penganut Syiah juga membenarkan perbuatan meminjamkan kemaluan seperti menyerahkan isteri atau ibunya kepada lelaki lain.

Sayid Hussain al-Musawi seorang tokoh ulama Syiah yang telah bertaubat dan kembali kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah menceritakan tentang amalan meminjamkan kemaluan di sisi penganut Syiah. Menurut beliau:

Jika seseorang lelaki hendak bermusafir, dia meninggalkan isterinya kepada jirannya, kawannya atau kepada sesiapa sahaja yang dipilihnya. Dia membenarkan orang tersebut untuk membuat apa sahaja yang dia suka (kepada isterinya itu) selama dia berada dalam musafir. Alasannya sangat jelas iaitu agar si suami berasa tenang hingga isterinya tidak melakukan zina selama dia ditinggalkan. Jika salah seorang datang sebagai tetamu dan sebagai usaha untuk memuliakan tetamu, maka tuan rumah akan meminjamkan isterinya kepada tetamu tersebut selama dia tinggal di rumahnya. (Rujuk Lillahi Tsumma Li at-Tarikh dalamedisi terjemahanMengapa Saya Keluar Dari Syi’ah, Pustaka al-Kautsar, ms. 61-62)

Di dalam buku yang sama, Sayid Hussain al-Musawi turut memaparkan fatwa pelik yang dikeluarkan oleh pengarang kitabal-Muraja’at (edisi terjemahan dengan tajuk Dialog Sunnah - Syi’ah), Sayid Abdul Husain Syarafuddin al-Musawi.

Seorang pemuda yang sedang belajar jurusan perubatan di London telah mengadu masalah untuk mencari pasangan hidup di sana kerana dia tidak boleh bernikah dengan penganut Kristian mahupun Yahudi.

Malah, dia juga gagal mencari pasangan Muslimah untuk bernikah walaupun secara mut’ah. Hanya perbuatan zina sahaja yang dilihat akan dapat mengeluarkan pemuda tersebut daripada masalah yang dihadapinya. Maka, Sayid Abdul Husain Syarafuddin al-Musawi pun berkata:

Sesungguhnya keadaanmu betul-betul darurat. Namun aku ingat, aku pernah membaca satu riwayat daripada Ja’afar al-Sadiq jika datang seorang lelaki yang sering bermusafir, sementara dia tidak dapat ditemani oleh isterinya serta tidak boleh melakukan nikah mut’ah di sebuah negara yang dikunjunginya, sehingga dia merasakan penderitaan sebagaimana yang kamu rasakan, maka Abu Abdillah (Ja’afar al-Sadiq) berkata kepadanya: “Maka kahwinilah lelaki.” Inilah jawapan atas pertanyaanmu. (Rujuk Lillahi Tsumma Li at-Tarikh, ms. 69-70)

Beginilah caranya Syiah menghalalkan perbuatan homoseksual yang keji. Sungguh memalukan fatwa daripada pengarang al-Muraja’at yang masyhur ini. Seterusnya penganut Syiah turut dibenarkan untuk bernikah mut’ah dengan kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur 10 tahun.

Abu Ja’afar telah ditanya tentang umur minimum wanita yang boleh dilakukan mut’ah. Beliau menjawab: “Iaitu kanak-kanak yang tidak tertipu.” Berkata perawi, aku pun bertanya: “Semoga ALLAH mendamaikan engkau. Berapakah umur minimum wanita yang tidak tertipu?” Beliau menjawab: “10 tahun.” (Rujuk Al-Furu’ Minal Kafi, jil. 5, ms. 463)

Pemimpin revolusi Iran iaitu Imam Khomeini berpendapat dibenarkan untuk melakukan nikah mut’ah sekalipun dengan anak kecil yang masih menyusu. Dia berkata:

Tidak mengapa melakukan mut’ah dengan anak yang masih menyusu melalui pelukan, himpitan paha (meletakkan zakar di antara dua pahanya) dan ciuman. (Rujuk Tahrir al-Wasilah, jil. 2, ms. 241)

Beginilah martabat seorang wanita di sisi ajaran Syiah yang tidak ubah seperti pelacur jalanan yang dijadikan objek pemuas hawa nafsu kaum lelaki. Apa yang lebih memburukkan lagi keadaan, wanita yang dinikahi secara mut’ah ini tidak berhak mewarisi apa jua harta daripada pasangan lelakinya. Menurut Ayatullah Ali al-Sistani:

Nikah mut’ah tidak mengakibatkan hubungan warisan di antara suami dan isteri. Dan jika mereka berdua sepakat, berlakunya kesepakatan itu masih dipermasalahkan. Tetapi, jangan sampai mengabaikan asas berhati-hati dalam hal ini. (Rujuk Minhajus Salihin, jil. 3, ms. 80)

Pihak lelaki juga tidak diwajibkan untuk memberi sebarang bentuk nafkah kepada pasangannya mahupun zuriat yang dilahirkan hasil daripada pernikahan mut’ah tersebut. Ayatullah Ali al-Sistani berkata:

Lelaki yang bernikah secara mut’ah dengan seorang wanita tidak wajib untuk memberi nafkah kepada isteri mut’ahnya walaupun dia sedang hamil hasil perbuatannya. Suami tidak wajib menginap di tempat isterinya kecuali telah disepakati pada akad mut’ah atau akad lain yang mengikat. (RujukMinhajus Salihin, jil. 3, ms. 80)

Adakah layak dikatakan konsep nikah mut’ah sebegini rupa dianggap sebagai satu ajaran yang menepati al-Quran dan sunnah Rasulullah? Sungguh mengaibkan untuk meletakkan sistem perkahwinan sejelik ini sebagai sesuatu yang bersumber daripada wahyu.

Pada zaman awal kedatangan Islam, nikah mut’ah sememangnya dibenarkan:

Daripada Jabir bin ‘Abdullah dan Salamah bin al-Akwa’, keduanya berkata: “Kami berada dalam suatu pasukan (tentara dalam peperangan), lalu utusan Rasulullah datang kepada kami dan mengatakan: ‘“Sesungguhnya telah diizinkan bagi kamu untuk bernikah mut’ah, maka bernikahlah secara mut’ah.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya.

Menurut Imam Al-Muzani yang berkata:

Telah sah bahawa nikah mut’ah pernah dibenarkan pada awal-awal Islam. Kemudian datang hadis-hadis yang sahih bahawa nikah tersebut tidak diperbolehkan lagi. Kesepakatan ulama telah menyatakan keharaman nikah tersebut. (Rujuk Imam al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim)


Ini sebagaimana sabda Baginda s.a.w:

Wahai manusia! Sesungguhnya aku duhulu pernah mengizin­kan kamu untuk melakukan nikah mut’ah. Namun sekarang ALLAH telah mengharamkan nikah tersebut sampai hari kiamat. - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya.

Namun begitu, konsep nikah mut’ah pada zaman tersebut sama sekali tidak menyerupai amalan golongan Syiah kini. Nikahmut’ah pada masa itu hanya dibenarkan bagi mereka yang berada dalam keadaan musafir yang lama kerana peperangan.

Dalam situasi tersebut, mereka terpaksa hidup membujang atau tidak dapat melakukan hubungan kelamin dalam jangka waktu yang agak lama. Ini kerana isteri tidak turut serta bersama mereka.

Situasi sebegini amat menyeksakan bagi sesetengah umat Islam pada masa tersebut kerana mereka masih berada dalam tempoh peralihan dari zaman jahiliah kepada Islam.

Perzinaan pada masa jahiliah merupakan satu perkara biasa yang diamalkan secara meluas. Tahap keimanan di kalangan para sahabat pada masa itu berbeza kekuatannya.

Ada yang kuat dan ada juga yang agak lemah. Dikhuatiri bagi yang lemah imannya akan terjerumus semula dalam perbuatan zina sebagaimana ketika zaman jahiliah. Maka, sebagai alternatif, Rasulullah membenarkan nikah mut’ah pada masa itu.

Dapatlah kita fahami bahawa dihalalkan nikah mut’ah pada zaman awal kedatangan Islam adalah ketika keadaan darurat atau terpaksa, bukannya dalam situasi senang-lenang untuk memuaskan nafsu sebagaimana amalan golongan Syiah. Hal ini dapat kita perhatikan dalam sebuah riwayat daripada Abu Jamrah yang berkata:

Aku mendengar Ibnu Abbas ditanya tentang bernikah dengan perempuan secara mut’ah lalu beliau membolehkannya. Maka, maula (hamba) beliau berkata kepadanya: “Sesungguhnya yang demikian itu hanya dalam keadaan yang terpaksa dan saat jumlah wanita sedikit atau sepertinya.” Maka, Ibnu Abbas menjawab: “Benar.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya.

Tambahan pula, nikah mut’ah pada zaman itu perlu memenuhi syarat sah akad nikah seperti memerlukan keizinan wali, perlunya dua orang saksi dan adanya mas kahwin. Setelah selesai tempohnya, wanita tersebut perlu memastikan bahawa dia tidak hamil sebelum melakukan nikah mut’ah yang lain.

Sekiranya hamil, maka anak itu akan dinasabkan kepada bapanya iaitu pasangan wanita dalam nikah mut’ah tersebut. Berkata Imam Ibu Athiyah:

Nikah mut’ah yang pernah dibenarkan adalah apabila seorang lelaki bernikah dengan wanita berserta dua orang saksi dan izin wali sampai batas waktu tertentu, hanya sahaja ia tanpa hak saling mewarisi antara keduanya, namun tetap harus dengan mahar atas kesepakatan keduanya. Dan apabila telah selesai tempoh masanya, maka dia tidak lagi mempunyai hak atas isterinya dan harusistibra rahimnya (mengosongkan rahim daripada janin dan boleh diketahui dengan datangnya haid atau setelah melahirkan anaknya), kerana anak yang lahir akan dinasabkan kepada pasangan lelakinya. Tetapi apabila tidak hamil, maka dia boleh bernikah dengan yang lainnya.

Pengharaman nikah mut’ah ini disepakati oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana hukumnya telah dimansuhkan oleh Rasulullah sendiri menerusi beberapa hadis baginda. Al-Khathabi berkata:

Pengharaman mut’ah juga bersandarkan ijmak, kecuali sebahagian pengikut Syiah. Tetapi, ia tidak sesuai dengan dasar mereka yang mengembalikan perkara yang diperselisihkan kepada ‘Ali dan ahli baitnya. Sebagaimana yang telah dinukilkan daripada Ali melalui jalur yang sahih bahawa hukum nikah mut’ah telah mansukh (dihapuskan). (Rujuk Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari)

Hadis yang dimaksudkan Imam al-Khathabi adalah daripada ‘Ali bin Abi Talib yang berkata kepada Ibnu Abbas:

Sesungguhnya Rasulullah melarang nikah mut’ah dan memakan daging khimar jinak pada waktu perang Khaibar. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya.

Realitinya, nikah mut’ah ini hanya merendahkan martabat wanita dan menjadikan mereka seperti objek permainan seks kaum lelaki untuk kepuasan hawa nafsu mereka. Ia juga mencemar institusi kekeluargaan kerana semakin ramai anak yang tidak berbapa secara sah akan dilahirkan.

Bahkan, kemungkinan juga kerana terlalu kerap mengamalkan nikah mut’ah, para wanita tersebut tidak dapat mengenal pasti siapakah bapa sebenar kepada bayi mereka. Golongan wanita juga akan dibebankan dengan tanggungjawab yang lebih kerana mereka tidak akan menerima apa jua bentuk nafkah material daripada pasanganmut’ahnya. Senario ini diibaratkan seperti habis madu sepah dibuang.

Ketahuilah bahawa di antara kelompok Syiah yang menghalalkan nikah mut’ah ini adalah Syiah Imamiyah atau Ja’fariyah sebagaimana yang sedang giat disebarkan di beberapa buah negeri.

Tindakan tegas oleh pihak berkuasa amat dialu-alukan demi membendung tersebarnya kesesatan ajaran Syiah di negara ini yang telah menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai aliran rasmi.

Pihak berkuasa juga perlu memperhebat usaha untuk menyebarkan bahan-bahan dakwah serta menganjurkan majlis-majlis penerangan tentang hakikat sebenar ajaran Syiah kepada semua umat Islam. Wallahu a‘lam.


kredit: Sinar Harian


Salam Ukhuwah..~