Bacaan Popular

Isnin, 21 Januari 2013

Sujud Syukur



Ramai juga yang bertanya tentang sujud syukur. Bukan tak tahu tapi keliru sebab selalu tengok pengantin lelaki apabila selesai akad nikah akan melakukan solat sunat syukur 2 rakaat. Solat sunat syukur dengan sujud syukur memang berbeza, Kerana yang satu ialah solat 2 rakaat memanglah memerlukan ruku' i'tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan ulang lagi dari mula dan diakhiri dengan tahaya akhir serta salam, sementara yang lagi satu ini cuma sujud sahaja. Lepas angkat takbir terus sujud.

Cuba lihat rakaman video Ustaz Azhar Idrus ini sebagai rujukan.




DEFINASI 

Sujud Syukur ialah sujud terima kasih kerana mendapat nikmat (keuntungan) atau terhindar daripada bahaya dan kesusahan yang besar.


Waktunya 

Sujud Syukur disunatkan sewaktu mendapat keuntungan atau sewaktu terhindar daripada bencana dan sebagainya.


Dalilnya 

Daripada saiyidina Abu Bakar r.a. menceritakan bahawa Nabi Mohammad s.a.w. Apabila datang kepada beliau sesuatu yang mengembirakan atau khabar yang baik, beliau terus sujud berterima kasih kepada Allah ta'ala. Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan Termidzi r.a.


Rukunnya 

1 Niat
2 Takbiratulihram
3 Sujud
4 Memberi salam


Syarat-syaratnya 

Disyaratkan sujud syukur dengan beberapa syarat : 

a. Suci dari hadath besar dan kecil
b. Suci dari najis samaada di badan, pakaian dan tempat
c. Menghadap ke kiblat
d. Menutup aurat


Cara-cara melakukannya.

Pertama : Niat, SAHAJA AKU SUJUD SYUKUR KERANA ALLAH TAALA
Kedua : Mengangkat takbiratulihram, ( ALLAHUAKBAR )
Ketiga : Sujud, sepertimana sujud dalam Solat


Bacaan dalam sujud

1. SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH WALA ILAHA ILLALLAH HUWALLAHU AKBAR 3kali

2. Kemudian berdoa di dalam hati dalam bahasa melayu (peringatan kalau dilafazkan dalam bahasa melayu batal sujud syukur tersebut)

A. YA ALLAH KAMI BERSYUKUR DI ATAS KURNIAAN DAN NIKMATMU

B. YA ALLAH KAMI BERSYUKUR DENGAN REZEKI YANG TELAH ENGKAU BERIKAN KEPADA KAMI

C. YA ALLAH AMPUNLAH DOSA-DOSA KAMI, KEDUA IBU BAPA DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN

D. YA ALLAH JAUHILAH RUMAH DAN TEMPAT KERJA KAMI DARI BENCANA DAN MALAPETAKA

E. YA ALLAH KAMI BERJANJI UNTUK MENTAATI SEGALA PERINTAH-MU DAN MENJAUHI SEGALA LARANGAN-MU

Keempat : Duduk selepas sujud lalu memberi salam.

Wallahu'alam...


Salam Ukhuwah..~

Ahad, 20 Januari 2013

Kisah Sedih Seorang Ayah_Kisah Benar




Nak berkongsikan satu kisah benar kasih seorang ayah terhadap anaknya, kita semua mungkin bakal lalui pengalaman yang sama kelak. KERANA DIA SEORANG AYAH -Kisah Benar sebagai pengajaran dan pedoman buat kalian, buat aku juga.

Ada seorang bapa datang ke kedai, melihat-lihat seperti pelanggan lain. Aku menerjahnya, "Pakcik, laptop..." - dia tersenyum dan masih melihat-lihat laptop yang ada di kedai.

Aku menyambung lagi, "Nak beli untuk anak ke?", 

"Ya, nak beli untuk anak - dia nak sambung belajar - laptop yang mana yang ok?". 

Aku mempromosi barang seperti biasa, aku biasanya mengsyorkan yang paling murah. 

"Kalau nak yang bagus mahal pakcik - tapi kalau setakat nak buat belajar yang nie lah, Samsung - seribu seratus lebih je...". 

Dalam aku bercakap dengan dia, dia banyak diam dan seperti berfikir. Sedikit lama dia terdiam, dia membuka mulut "Nanti saya datang balik ya, duit tak berapa nak ada lagi ni..."  Dia pergi dengan suatu perasaan yang lain.


Aku dengan rutinku berkerja setiap hujung minggu sahaja, kebetulan - aku duduk di kaunter menunggu pelanggan - dia datang semula ke kedai, tapi dengan anaknya - perempuan. 

"Yang mana ya yang haritu, ada lagi tak?", 

"Yang nie Samsung haritu, tapi yang nie stok baru - harga sama je", 

Aku menyambut soalan nya. Dia bertanya kepada anaknya, 

"Yang nie ok ke dik?" 

"Ermmm, ok ke nie murah je - karang rosak karang susah..." jawabnya dengan muka yang kurang puas hati - anaknya seperti menginginkan yang lain yang lebih mahal. 

"Yang acer nie tak boleh ke ayah?", ayahnya terdiam seketika dan menyambut dengan negosiasi, 

"Yang acer nie berapa boleh murah lagi?" 

"Yang tu tak dapat dah pakcik,... Dah harga kos dah tu..." 

Aku dengan rasa geram namun masih dalam nada yang baik menyambung lagi, 

"Dik, nak laptop untuk belajar kan... Rasanya kalau untuk belajar - yang nie lebih dari cukup - rosak tak payah pikir sangat - warenti setahun."

Aku mengeluarkan kata-kata tersebut atas dasar aku seperti mengerti kerut wajah bapanya.


"Oklah, yang ini." jawab anaknya. 

Sedang aku menulis resit dan membungkus laptop dari meja 'display' - aku terpandang bapanya yang mengira duit untuk membayar - aku nampak dompetnya kosong - habis semua duit digunakan untuk membayar laptop. Dia menyerahkan duit kepadaku dan aku mengiranya semula - dia melihat tanganku yang mengira. Habis aku mengira - wang aku masukkan dalam cash drawer, 

"Cukup duit tadi dik?" 

"Cukup, Terima Kasih ya...". 

Dia dan anaknya meninggalkan kedai. Aku hanya menahan airmata mengira duit yang diberikan - RM1, RM5, RM10 dan hanya sekeping RM50. Aku membayangkan dari mana si ayah mencari duit untuk membeli sebuah laptop untuk anaknya - penuh harapan.


Aku geram kepada anaknya - seperti dia tidak tahu ayahnya bagaimana - hanya tahu minta. Aku tahu ayahnya tiada duit, dia dah sebut awal-awal pada aku, aku nampak airmukanya, aku perhati sekeping-sekepi­ng duit yang diserahkan. Aku tahu dia tiada duit pulang ke rumah dan perlu 'mengais' untuk hari esoknya.


Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Ampunilah dosa sekelian muslimin dan muslimat. Jauhilah kami dari siksa kubur dan siksa api neraka. Hindarilah kami dari fitnah manusia yang masih hidup maupun yang telah meninggal dunia dan hindarilah kami dari fitnah Dajjal al Masih. Amin...


Kasih Sayang Membawa Ke Syurga

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 19 Januari 2013

Kisah Ibrahim Adham Bertaubat Kerana Termakan Benda Haram



Suatu hari selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berhajat untuk ziarah ke Masjidil Aqsa. Untuk bekal diperjalanan dia membeli 1 kilogram kurma daripada seorang peniaga tua berhampiran Masjidil Haram. Ketika kurma itu ditimbang Ibrahim melihat sebutir tergeletak di dalam timbangan. Dia menyangka kurma itu sebahagian daripada yang dibelinya. Lalu Ibrahim memungut memakannya. Kemudian dia berangkat menuju ke Al-Aqsa.

Dalam tempuh empat bulan Ibrahim tiba di Al-Aqsa. Seperti biasa Ibrahim suka memilih tempat beribadah di bawah kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba-tiba dia mendengar dua malaikat berbual-bual mengenai dirinya." Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud, warak dan doanya selalu di kabulkan Allah SWT" kata salah seorang malaikat itu."

"Tetapi sekarang doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma seorang peniaga tua di Masjidil Haram,"jawab malaikat yang satu lagi.

"Astaghfirullah, jadi selama empat bulan ini ibadahku, solatku, doaku dan mungkin amalanku yang lain tidak di terima oleh Allah SWT. kerana sebutir kurma yang bukan hakku itu!"

Terkejut Ibrahim mendengar ungkapan malaikat tadi. Dengan penuh penyesalan, dia bergegas ke Makkah menemui peniaga tua itu. Dia ingin meminta dihalalkan kurma yang terlanjur dimakannya dulu.

Sebaik sampai di Makkah, Ibrahim terus menuju tempat peniaga tua itu. Bagaimanapun, dia tidak melihat peniaga tua itu di situ lagi melainkan seorang anak muda yang sibuk melayan orang ramai yang membeli kurmanya.

"Empat bulan yang lalu saya membeli kurma disini daripada seorang tua. Ke mana pak cik tu sekarang?" tanya Ibrahim kepada anak muda itu.

"Sudah meninggal sebulan yang lalu dan saya yang akan meneruskan perniagaannya." jawab pemuda itu.

"Innalillahi wa innailaihi raji un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan?" sambung Ibrahim yang kemudian menceritakan peristiwa yang dialaminya.

"Engkau sebagai waris orang tua itu, mahukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?" pinta Ibrahim.

"Insya Allah, saya halalkan tapi entah dengan saudara-saudara saya yang sebelas orang lagi. Saya tidak berani mewakili mereka kerana kami mempunyai hak waris yang sama ke atas perniagaan ini." jelas anak muda itu.

"Dimana saudara-saudaramu itu tinggal, saya mahu menemui mereka satu persatu." tanya Ibrahim bersungguh-sungguh.

Setelah mengetahui alamat sebelas waris itu, Ibrahim meneruskan perjalanan untuk mendapatkan penghalalan. Akhirnya, setelah berjalan jauh dan menemui sebelas beradik, hajat Ibrahim ditunaikan apabila kesemua mereka bersetuju menghalalkan kurma milik ayah mereka yang tidak sengaja dimakan itu.

Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada di bawah kubah Sakhra. Dia kembali mendengar perbualan dua malaikat itu.

"Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak akibat termakan sebutir kurma milik orang lain" kata salah satu malaikat itu.

"Oh. tidak sekarang doanya sudah makbul lagi kerana telah mendapat penghalalan dari waris peniaga kurma itu." bisik malaikat yang satu lagi.

Kini, diri dan jiwa Ibrahim sudah ceria serta bersih dari kotoran kurma yang haram itu.

Bagaimana pula keadaan kita yang hidup dalam zaman yang akhir ini? Marilah kita berusaha merubah diri menuju Redha Allah.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 18 Januari 2013

Pentingnya Solat Malam

PENTINGNYA SOLAT MALAM
UNTUK MENJADI IBU BAPA YANG LEBIH SIHAT.


Petua Rasulullah s.a.w buat yang menghidap penyakit kronik..

Sekiranya sahabat mempunyai kenalan yang menghidap penyakit kronik (kanser, kencing manis, sakit jantung, darah tinggi dll) pujuklah dia / mereka untuk mengamalkan solat pada waktu malam (walaupun sekadar 1 rakat witir) kerana dari Salman al-Farisi katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.;

"Dituntut ke atasmu melakukan solat malam kerana sesungguhnya solat malam itu merupakan antara kebiasaan orang soleh sebelum kamu, sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, penutup segala kejahatan, penghapus segala dosa dan pembasmi segala penyakit dalam badan."

Menurut guru kami, Al Fadhil Ustaz Wan Nasir Wan Abdul Wahab, pembasmi segala penyakit dalam badan bukan sahaja merujuk kepada menyembuh penyakit tetapi turut bermaksud MENGHALAU penyakit tersebut dari menghinggapi badan si sakit semula.

Mesti cuba tau! Moga Allah menganugerahkan sifat istiqamah kepada kita semua.

kredit: Ustaz Zahazan Mohamed


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 17 Januari 2013

'Uqbah bin Amir al Juhani...Demi Ilmu, Tinggalkan Kerja




Semasa Nabi Muhammad s.a.w. sampai di Yastrib, beliau berada di padang pasir untuk mengembala kambing. Berita kehadiran Nabi s.a.w., menyebabkan beliau bersegera meninggalkan gembalaannya yang merupakan sumber rezekinya, semata-mata mahu bersua-muka, bertemu-mata dengan Baginda s.a.w.


Setelah berjumpa, beliau memeluk Islam dan berbai'ah dengan Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. bertanya, apakah beliau mahu berbai'ah hijrah atau berbai'ah Badwi. Beliau mahu berbai'h sebagai Hijrah.


Setelah berbai'ah, beliau pulang semula ke padang pasir untuk meneruskan kerja hariannya, mengembala kambing. Bersama rakan-rakan di padang pasir seramai 12 orang. Mereka bergilir-gilir mengembala kambing di padang pasir dan berulang alik untuk mendapatkan ilmu dari Nabi s.a.w. Kemudian sesama mereka, berkongsi balik ilmu itu. 'Uqbah merasa rugi, menyebabkan beliau berhenti terus dari menjadi pengembala kambing untuk sentiasa berdampingan dengan Nabi s.a.w. demi khidmat dan ilmu.


Ke mana sahaja Nabi s.a.w. bermusafir, dia akan ambil peluang untuk berkhidmat dengan Nabi s.a.w. Ternyata, beliau kagum dengan diri Nabi s.a.w. yang mempunyai semangat persahabatan yang kuat. Walaupun 'Uqbah berkhidmat dengan Nabi, tetapi Nabi s.a.w.  tidak pernah menganggap ia sebagai khadam, sebaliknya menganggap 'Uqbah sebagai teman yang wajar dihormati.


Dalam permusafiran, baginda s.a.w. di atas unta, sedangkan 'Uqbah berjalan kaki memegang tali unta Nabi s.a.w. Dalam perjalanan, Nabi s.a.w. bertanya kepada 'Uqbah, apakah beliau keletihan? Tanpa sempat beliau memberi jawapan, Nabi s.a.w. menyuruh beliau naik atas unta, dan Nabi s.a.w. pula berjalan kaki dan memegang tali unta itu.


Memandangkan ia suruhan Nabi s.a.w. 'Uqbah tidak tergamak untuk menolak, menyebabkan beliau naik sejurus Nabi s.a.w. turun dari unta. Semasa dalam perjalanan yang tidak jauh, 'Uqbah minta untuk berjalan kaki semula, dan meminta agar Nabi s.a.w. pula menaiki balik unta tersebut.


Ketika itu juga, Nabi s.a.w. menyatakan kepadanya bahawa Baginda s.a.w. mahu ajarkan kepadanya dua surah, dan 'Uqbah bersedia untuk belajar, iaitu surah al-Falaq dan surah al-Nas.


Kelebihan yang ada pada 'Uqbah adalah, kemahirannya dalam memanah. Dalam peperangan Uhud, beliau ditugaskan sebagai pemanah. Disamping itu juga, suara beliau cukup merdu. Ia menjadi ingatan bagi para sahabat yang berjumpa dengan beliau, bahawa mahu mendengar bacaan al-Quran dari 'Uqbah.


Ketika Umar bin al-Khattab menjadi khalifah, beliau sering menyuruh 'Uqbah menuturkan ayat-ayat suci Ilahi. Bacaan al-Quran itu menyebabkan air mata Umar menitis lebat membasahi janggutnya.


Di era pemerintahan Abu Bakar, beliau tinggal di Syam. Di era Umar, beliau berpindah di Damsyiq. Di era Muawiyah menjadi khalifah, beliau berpindah pula ke mesir dan meninggal di sana pada tahun ke 58 Hijrah.


Sebelum beliau meninggal, sempat juga beliau berpesan kepada anak-anaknya dengan tiga pesanan penting, iaitu agar tidak mengambil hadis kecuali dari orang kepercayaan, agar tidak berhutang walaupun terpaksa memakai pakaian compang camping dan agar tidak terlalai dari membaca al-Quran walaupun sebuk dengan syair-syair indah. 
Wallahu 'Alam


kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 16 Januari 2013

Bahaya Kemewahan




Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekkah).

Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini.Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu". (Riwayat Tirmizi)


Keterangan:


Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad s.a.w. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad s.a.w. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah s.w.t.,
sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan.


Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w., "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian.

Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan. Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia initempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 15 Januari 2013

Bersabar Menghadapi Ujian



Hidup di dunia tidak lepas dari ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada dua jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan.

Cuma, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.

Bahkan ujian kesenangan sebenarnya lebih sukar kerana kebiasaannya manusia itu lupa kepada Tuhan tatkala dirinya mengecapi pelbagai kesenangan hidup. Apabila ditimpa kesusahan, kebanyakan manusia akan kembali menyeru Tuhannya.

Mengenai ujian kesusahan, firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah:

[155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

[156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

[157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira.


Ciri Manusia Yang Sabar

Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un," bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya.

Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..."

Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan.

Apa pula bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa.

Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada siksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah.


Abu Salamah Dan Ummu Salamah

Ada satu kisah menarik yang perlu kita soroti. Siapa yang tidak kenal akan Abu Salamah dan isterinya, Ummu Salamah, radiyallahu 'anhuma. Kedua-duanya adalah antara sahabat Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang terawal memeluk Islam. Mereka berdua adalah antara pasangan yang sangat bahagia, namun ditentang oleh suku kaum mereka kerana mereka memeluk Islam. Suku Makhzum adalah antara puak yang terkenal sangat kuat menentang Islam di Makkah.

Pada awalnya, kedua-dua Abu Salamah dan Ummu Salamah berhijrah ke Habsyah. Kemudian tatkala timbul seruan hijrah ke Madinah, bersiap-siaplah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anak mereka Salamah untuk berhijrah ke Madinah. Abu Salamah hanya memiliki seekor unta, maka dia terpaksa berjalan dan membiarkan isteri dan anaknya menunggang unta.

Malang sekali di pertengahan jalan, kaum keluarga mereka telah mengejar dan menahan mereka. Unta Abu Salamah dirampas, manakala Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ke Makkah manakala keluarga Abu Salamah pula mengambil anak mereka Salamah kembali ke Makkah jua. Akhirnya Abu Salamah terpaksa berhijrah ke Madinah seorang diri, dan terpisahlah ketiga-tiga mereka.

Setiap hari, Ummu Salamah akan kembali ke tempat mereka dipisahkan dan mengenangkan suaminya di Madinah dan anaknya yang dijaga oleh keluarga suaminya di Makkah. Lebih kurang setahun ketiga-tiga mereka hidup terpisah sehinggalah akhirnya Ummu Salamah dan anaknya dibebaskan.

Dengan semangat yang kuat, Ummu Salamah membawa anaknya, Salamah yang masih kecil untuk ke Madinah. Bayangkan seorang wanita dan anak kecilnya ingin berjalan jauh menuju ke pangkuan suami berseorangan semata-mata kerana ingin menjaga agamanya!

Ummu Salamah tidak mahu berlengah kerana takut suku kaumnya akan merubah fikiran dan kembali menahannya dan memisahkannya dari anaknya. Lantas dia memulakan perjalanan, dan sesampainya di Tan'im, penjaga Kaabah - Uthman ibn Talhah yang masih belum memeluk Islam berpendapat bahawa tidaklah patut Ummu Salamah dan anak kecilnya dibiarkan berkelana ke Madinah tanpa ditemani lelaki. Maka dia berjanji kepada Ummu Salamah bahawa dia akan membawa mereka ke Madinah.

Akhirnya bersatulah kembali Ummu Salamah dan suaminya, Abu Salamah. Percintaan suami isteri ini sangatlah kuat, sehingga dikatakan pada suatu hari, Ummu Salamah berkata kepada suaminya bahawa dia (Ummu Salamah) mendengar daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bahawa sekiranya kedua-dua suami isteri dapat masuk syurga, maka si suami akan kembali bersama isterinya jika isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya; begitu juga isteri akan bersama suaminya jika suaminya tidak berkahwin lain selepas isterinya mati.

Lantas Ummu Salamah meminta suaminya agar mereka sama-sama berjanji untuk tidak berkahwin lain jika salah seorang mereka mati dahulu agar dapat bersama-sama kembali di syurga. Tetapi suaminya, Abu Salamah berkata, sekiranya dia (Abu Salamah) mati dahulu, dia mahu isterinya berkahwin lagi. Lantas Abu Salamah berdoa kepada Allah, andai dia (Abu Salamah) mati dahulu, kurniakanlah kepada isterinya seorang suami yang lebih baik darinya. Begitu hebat cinta dan kasih sayang kedua-dua suami isteri ini.

Pada peperangan Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan teruk. Ketika masih dirawat isterinya, Abu Salamah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memberitahu, sesiapa yang ditimpa bala musibah, hendaklah dia menyebut istirja' (Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un), dan berdoa, "Ya Allah, berilah ganjaran atas kehilangan akibat musibah yang melanda diriku, dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya, maka pasti Allah akan mengurniakan sesuatu yang lebih baik." Akhirnya Abu Salamah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya, dan tinggallah Ummu Salamah bersama anak-anak mereka di Madinah.

Ummu Salamah, tatkala teringat kembali akan kata-kata suaminya, sering melafazkan istirja' dan doa tersebut. Cuma dia seringkali tidak dapat meneruskan lafaz 'berilah ganti yang lebih baik', dan jika disebut juga lafaz tersebut, dia akan terkenang kerana baginya siapakah lelaki yang dapat menjadi suamu yang lebih baik daripada Abu Salamah. Segala kesusahan yang pernah mereka alami tatkala mula-mula memeluk Islam, ditambah dengan kebahagiaan mereka di Madinah menguatkan lagi rasa cinta Ummu Salamah kepada suaminya. Namun akhirnya berkat doa Ummu Salamah tersebut Allah mengurniakan Ummu Salamah seorang suami yang akhirnya diakui lebih baik dari Abu Salamah. Siapakah lelaki itu? Tidak lain daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri.

Lihat sahaja ujian yang melanda Ummu Salamah. Ujian apakah yang lebih berat daripada kehilangan insan-insan tersayang yang banyak pula menempuh suka duka kehidupan bersama di jalan Allah. Namun Allah tetap memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Nya yang bersabar.

kredit: Muhammad Irfan Ariffin


Salam Ukhuwah..~