Bacaan Popular

Jumaat, 14 Mac 2014

Tabarruj Bahagian Kedua




Mari kita lihat lagi firman Allah:
“Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka..” (al-Nur, ayat 31)

Sebagaimana yang telah disinggung di atas, bahawa para ulamak berselisih pendapat mengenai, apakah muka itu aurat atau bukan. Dan ayat di atas telah menjadi hujah kepada kedua-dua kelompok dengan penafsiran yang berbeda.

Kita ambil sedikit petikan ayat: “…..dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya.”

Terjemahan ayat : “kecuali yang biasa kelihatan padanya..” dapat juga diterjemahkan: “kecuali apa yang zahir” (illa ma zahara). Pada ayat ini Allah Taala melarang wanita mempamirkan perhiasan, kecuali apa yang zahir. Persoalannya di sini ialah, apa maksud perhiasan zahir yang boleh dipamirkan? Jadi, dapat difahami bahawa perhiasan ada dua:


1. Yang zahir/nyata
2. Yang tidak zahir/nyata (batin/dalaman/tersembunyi)

Apakah perhiasan zahir? Apakah pula perhiasan yang tidak nyata? Para ulamak yang mengatakan muka itu adalah aurat, mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri. Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah, rantai leher, gelang, anting-anting dsbnya..

Manakala menurut ulamak yang berpendapat muka itu bukan aurat menafsirkan bahawa maksud perhiasan yang zahir yang boleh diperlihatkan di hadapan lelaki ialah celak dan cincin. Ada yang menambah telapak tangan. Ada yang tambah warna telapak tangan, iaitu pewarna yang dibubuh di telapak tangan (termasuk kuku). Dan, macam-macam lagilah.. tetapi di sekitar itulah. Perhiasan yang tersembunyi pula ialah rantai leher, anting-anting dsbnya.

Kitab-kitab tafsir berikut ada menjelaskan pendapat-pendapat berkenaan: 

1. Jami’ul Bayan – Al-Thabari
2. Ahkamul Quran – AL-Jashas
3. Al-Wajiz fi Tafsiril Quran al-Aziz – Al-Wahidi
4. Ma’alimatut Tanzil – AL-Baghawi
5. Tafsir al-Kasyaf – Al-Zamakhsyari
6. Ahkamul Quran – Ibnul Arabi
7. Al-Muharrir al-Wajiz – Ibnu Athiyah
8. Zadul Masir Fi Ilmit Tafsir – Ibnul Jauzi
9. Al-Tafsir al-Kabir – Al-Fakhrur Razi
10. Al-Jami’ li Ahkamil Quran – Al-Qurthubi
11. Tafsir al-Baidhawi
12. Lubabut Ta’wil Fi Maanit Tanzil – Al-Khazin
Dan banyak lagi……

Pembahasannya lebih kurang sama dalam menafsirkan `perhiasan yang zahir’. Berikut ini adalah apa yang tersebut di dalam Zadul Masir fi Ilmit Tafsir oleh Ibnul Jauzi: 

Maksud `perhiasan yang zahir/apa yang biasa dilihat’, terdapat tujuh pendapat, iaitu: 

1. Ia bermaksud pakaian. Ini adalah riwayat dari Abu Ahwash dari Ibnu Mas’ud.
2. Bererti telapak tangan, cincin dan muka - Dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas
3. Bererti celak dan cincin – Juga dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas.
4. Bererti gelang, cincin dan celak – Al-Misywar bin Mukhrimah.
5. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – Pendapat dari Mujahid.
6. Bererti cincin dan gelang – Dari al-Hasan.
7. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – dari al-Dhahhak.


Itulah pendapat mereka tentang maksud perhiasan zahir yang biasa dilihat. Berdasarkan pendapat Ibnu Abbas, Al-Misywar bin Mukhrimah, Mujahid, dan al-Dhahhak dan al-Hasan dapat kita simpulkan bahawa yang boleh dipamerkan ialah perhiasan yang tidak mungkin diselindung yang memang biasa dipakai oleh para wanita. Kalau perhiasan di muka apa lagi kalau bukan celak. Kalau di telapak tangan apa lagi kalau bukan cincin. Cuma ada beberapa ulamak yang mengatakan bahawa muka itu sendiri adalah perhiasan. Dan telapak tangan itu sendiri adalah perhiasan. Jadi, mereka tidak memasukkan celak dan cincin sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan.

Mereka yang memasukkan celak dan pewarna telapak tangan sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi tidaklah dihadkan terhadap dua perkara itu sahaja. Ia disebutkan hanyalah sebagai wakil dari perhiasan-perhiasan lain yang biasa digunakan pada muka atau telapak tangan. Ia berdasarkan adat, tradisi dan kebiasaan satu-satu kelompok masyarakat. Berikut ini adalah antara perhiasan yang ada dan biasa digunakan oleh para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w atau tradisi arab dahulu:
1. Khidhab – Pewarna untuk tangan
2. Shufrah – Pewarna kuning untuk wajah
3. Kalkun – Pewarna untuk memerahkan wajah
4. Isfidaj – Pewarna putih untuk wanita berhias.
5. Celak – Berhias pada mata
(Nanti akan disertakan dalil tentang kewujudan perhiasan ini)


Zaman kita ini sudah tentu yang biasa digunakan sebagai perhiasan muka ialah gincu, bedak, losyen dan juga celak. Jadi, bila celak dan segala macam di atas itu boleh, mengapa tidak gincu? Sebab yang dibenarkan bukanlah diri celak itu secara khusus tetapi sesuatu yang lebih umum iaitu – perhiasan yang biasa dilihat, yang biasa digunakan pada muka. Dan gincu serta bedak adalah termasuk di bawah keumuman ini.

Begitu juga dengan perwarna kuku, ia termasuk di bawah perhiasan yang boleh dipamerkan tetapi hendaklah dari bahan yang tidak menghalang air. Kerana jika air terhalang dari sampai ke kuku akan mengakibatkan wuduk tidak sah.

Berikut ini adalah sebahagian dalil kewujudan perhiasan di atas:

Dari Zainab binti Abu Salamah, dia berkata: Ketika datang berita kematian Abu Sufian dari Syam, Ummu Habibah meminta diberikan wangi-wangian berwarna kuning pada hari yang ketiga. Lalu dia mengusapkannya pada kedua pipinnya dan kedua lengannya. Dia berkata: Sesungguhnya aku benar-benar tidak memerlukan ini, kalaulah bukan kerana aku pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari kemudian untuk berkabung atas mayat lebih dari tiga hari, kecuali atas suami, maka dia berkabung atasnya empat bulan sepuluh hari. (HR Bukhari & Muslim)

Wangi-wangian di dalam hadis bermaksud pewarna yang menyerlah warnanya dan tersembunyi baunya (tidak menyerlah dan menyemarak). Adakalanya ia disapukan di muka untuk memperelok warna muka atau pada telapak tangan.

Wajib berhias setelah tamat tempoh 3 hari berkabung kerana kematian, kecuali kematian suami yang tempoh perkabungan adalah selama 4 bulan 10 hari. Berhias di sini adalah untuk keluar dari tempoh perkabungan.

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbai’ah kepadanya, tetapi perempuan itu tidak ber –ikhtidab, sehingga baginda tidak mahu membai’ahnya melainkan setelah ber-ikhtidab (HR Abu Daud)

Ikhtidab ialah sejenis pewarna yang biasa digunakan pada telapak tangan pada zaman itu.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Wangi-wangian lelaki adalah apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Dan perhiasan wanita ialah apa yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya (HR al-Tarmizi)

Dari Imran bin Husin, bahawa Nabi Allah s.a.w. bersabda: “… ingatlah bahawa wangi-wangian lelaki adalah bau tanpa warna. (HR Abu Daud)

Dari Ummu Athiyah, dia berkata: Adalah kami dilarang untuk berkabung terhadap seorang mayat lebih dari tiga hari, kecuali terhadap suami, maka empat bulan sepuluh hari. Kami tidak boleh bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian bercelup. (HR Bukhari & Muslim)


Apabila kita menerima hujah yang mengatakan bahawa perhiasan yang zahir atau yang biasa dilihat itu adalah celak, gincu, bedak dan segala suku-sakatnya, maka perlu kita ketahui juga batas-batas yang perlu dipelihara. Iaitu: 

1. Memelihara niat dan tujuan berhias. Tidak bertujuan untuk menarik pandangan dan perhatian lelaki ajnabi.
2. Dari segi praktiknya hendaklah bertepatan dengan niatnya. Iaitu tidak berhias secara berlebih-lebihan hingga atau yang dapat menarik perhatian serta menggugah perasaan lelaki ajnabi. Seperti bercelak dengan cara dan gaya yang dapat menarik perhatian. Atau bergincu dengan warna yang begitu menyerlah – merah menyala-nyala. Atau berbedak dengan bedak yang berwarna warni. Di tambah dengan keharuman yang menyemarak. Atau memanjangkan kuku. Atau sebagainya.
3. Tidak dari bahan yang mengeluarkan bau wangi dan harum menyemarak serta tersebar. Boleh dari bahan yang wangi tetapi yang tersembunyi baunya.

Ya, pokoknya bersoleklah secara sopan, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik. Tidak kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq dsbnya. Seperti kita lihat ramai wanita hari ini yang bersolek mengenakan gincu, bedak dan segala macam… Melebihi dari sekadar yang dibenarkan oleh syarak. Mereka ini berhias begini hanya diluar rumah sahaja, sedangkan ketika bersama suami keadaan adalah sebaliknya.

Lebih baik lagi jika diniatkan solekan itu sekadar untuk mengelakkan diri dari kusut masai, berserabut dan tidak terurus. Berginculah sekadar mahu mengelakkan diri dari kelihatan lesu, tak bermaya dan tidak cergas. Berbedak atau berlosyenlah sekadarnya sahaja dengan tujuan mahu menjaga kesihatan kulit muka dsbnya.

Ya.. Kalau bersolek itu tidak boleh, silakan saja. Pergilah ke pejabat atau mengajar ke sekolah, dan jangan bersolek samasekali. Pergilah dalam keadaan kusut masai dengan muka seperti orang yang belum mandi. Kelihatan lesu. Pakaian pula tidak bergosok. Berkedut sana dan sini. Baju bergosok, haram katanya. Ditambah lagi dengan bau peluh yang kurang enak dan menyengat hidung. Pakai wangian walaupun yang baunya tersembunyi utk menghindarkan dari bau peluh, juga haram katanya. Ya.. silakan saja..

Sudah tentu para wanita muslimah dapat menggambarkan bagaimana cara hendak menghindarkan keadaan di atas. Dan.. Kalau sudah dapat menggambarkannya, itulah dia solekkan yang dibenarkan oleh syarak ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan nampak tidak terurus.


Saudara yang bertanya berkata: Bagaimana kaedah terbaik untuk menangani masalah tersebut terutama masalah lipstik yang seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada wanita?

Jawab: Bukan sekadar lipstik, malahan umumnya wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolek. Sebab sudah memang naluri semulajadi mereka sukakan begitu. Syeikh Athiyah Saqar mengatakan: “Memperelok /menghias diri oleh seseorang manusia secara umumnya mempunyai kepentingan/kebaikan. Dan secara khususnya, menghias diri bagi seorang wanita mengandungi mara bahaya. Kecantikan adalah satu perkara yang disukai oleh jiwa/naluri. Ia mempunyai tempat di dalam agama, di mana ia dituntut secara syarak dengan kadar yang dapat membawa kepada tujuan yang baik darinya, serta terhindar dari perkara-perkara yang diharamkan dari sudut cara, tujuan dan maksud.”


Kesimpulan 

1. Sebahagian ulamak mengatakan muka itu adalah aurat. Sebahagiannya mengatakan muka bukan aurat.
2. Tabarruj jahiliyah yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat di hadapan meraka yang haram melihatnya.
3. Kebanyakkan ulamak menyatakan bahawa maksud firman Allah: “…kecuali apa yang biasa dilihat.” Adalah sebagai celak dan cincin. Ada yang menambah dengan gelang tangan dan pewarna tangan.
4. Bersolek pada muka dan telapak tangan (termasuk kuku) adalah dibenarkan tetapi dalam batasan-batasan umum yang telah ditetapkan syarak.

Sekian adanya. Wallhu a’lam

Rujukan
1. Al-Quran
2. Ahsanul Kalam – Syeikh Athiyah Sqar
3. Al-Hijab – Al-Maududi
4. Tahrir al-Mar’ah Fi Ashri al-Risalah – Prof. Abdul Halim Muhamad Abu Syuqqah
5. Fatawa Mu’asharah 1 – AL-Qardhawi
6. Fatawa Mu’asharah 2 – AL-Qardhawi.

La haula walla quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan