Bacaan Popular

Ahad, 3 Mac 2013

Ulama, Umara Patut Bersatu



Sejarah perkembangan Islam telah membuktikan bahawa apabila hubungan kesalingan antara ulama dan umara menjadi erat, maka sesebuah kerajaan itu pasti bertambah kuat, nasib ummah terbela, negara bertambah maju dan aman damai.


Persoalan besar timbul siapakah ulama dan umara yang sebenarnya dan apakah bidang tugas mereka? Ini penting kerana masih ramai yang keliru dengan istilah dan juga peranan ulama dan umara kerana sesiapa saja boleh mengakui dirinya ulama.


Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.” 
(Riwayat Muslim)

Ulama ialah mereka yang arif hukum hakam Allah SWT berbanding orang lain, manakala umara pula ialah mereka yang mempunyai mandat dan kuasa untuk membuat orang lain mematuhinya. Ulama pernah menduduki barisan kepimpinan yang memimpin negara dengan adil seperti di zaman kesultanan Melaka dan Aceh pada suatu masa dulu.

Golongan ini sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan amat berpengaruh kerana itulah ketika Islam mula bertapak di Tanah Melayu, alim ulama diangkat kedudukannya dengan diberi pengiktirafan oleh pemerintah sebagai penasihat kepada sultan atau raja.


Menjunjung kedudukan ulama

Pengiktirafan tinggi ini sebenarnya bertepatan dengan prinsip Islam yang menjunjung kedudukan ulama selaras sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”

Alhamdulillah, kesinambungan pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan ulama sedikit pun tidak pernah dilupakan malah terus dimartabatkan oleh pemerintah negara dengan mengangkat golongan ini ke kedudukan sewajarnya.

Malah telah mewujudkan pelbagai jawatan, skim dan platform supaya ulama terus boleh berbakti pada agama dan negara. Tanpa ulama semua orang akan menjadi jahil dan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata, tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurnanya.


Pendirian teguh berpaksikan al-Quran

Percayalah, masyarakat dan pemerintah sangat memerlukan ulama yang sentiasa teguh pendirian berpaksikan al-Quran dan hadis yang meletakkan tanggungjawabnya pada agama dan masyarakat melebihi kepentingan peribadi atau politik.

Hubungan antara ulama dan umara adalah tunjang kepada kekuatan ummah serta menentukan hala tuju umat Islam pada masa depan. Merekalah yang berada di barisan hadapan yang menentukan kejayaan atau kejatuhan sesebuah ummah itu.

Contohnya, kejayaan negara kita pada hari ini dengan tertubuhnya institusi dan instrumen berdasarkan Islam seperti Universiti Islam, perbankan Islam, pusat rawatan Islam dan lain-lain lagi adalah hasil pemikiran ulama yang ingin melihat negara dibangunkan.

Sebaliknya, apabila dua golongan ini bermusuhan, maka pemerintahan menjadi lemah, ummah tidak terbela, negara kucar-kacir dan akan ditimpa kehancuran.

Diriwayatkan daripada Abu Naim, Rasulullah SAW bersabda: “Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umara.”

Bagaimana kaedah untuk membina hubungan ulama dan umara? Saling hormat menghormati adalah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan ulama dan umara. Setiap ulama mestilah berintegriti, bersifat ikhlas, jujur, jati diri, berpandangan luas serta tidak fanatik dalam setiap tindakannya.

Memberi nasihat dan teguran berlandaskan kepada kebenaran tanpa dipengaruhi mana-mana pihak atau fahaman tertentu. Begitu juga dengan umara, mereka mestilah bersikap terbuka menerima nasihat dan pandangan serta mampu membina kerjasama baik dengan mana-mana pihak. 


Bersatu atas kepentingan Islam

Inilah masanya, golongan umara dan ulama bersatu hati atas dasar kepentingan Islam dan saling hormat menghormati antara satu sama lain demi masa depan agama serta bangsa walaupun berbeza pandangan ataupun fahaman.

Ulama terkenal, Muhammad bin Nasr ketika menjelaskan maksud nasihat untuk pemerintah ialah supaya mereka menjadi baik, mendapat petunjuk dan berlaku adil, menyukai umat bersatu di bawah pemerintahannya dan tidak berpecah belah.

Dengan memperkasakan kaedah ini ia akan meletakkan peranan ulama di tempat sepatutnya, mereka akan dihormati dan akan memartabatkan kedudukan ulama dalam sistem pemerintahan negara.

Iman al-Turtusyi dalam kitabnya siraj al-Muluk berkata: “Manusia yang paling utama taat kepada pemerintah dan menasihatinya ialah ahli agama dan mereka yang mendapat nikmat serta golongan yang bermaruah kerana agama tidak boleh tegak tanpa kuasa pemerintah.”

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya asas hubungan dalam agama adalah nasihat, iaitu bagi mentaati Allah dan rasul-Nya bagi menolong pemerintah umat Islam dan rakyat amnya.” 
(Riwayat Muslim)

Ulama tidak boleh berdiam diri memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya.

Ulama juga tidak boleh sama sekali memisah dan memencil diri daripada dunia yang berasingan dan haruslah berada dalam realiti masyarakat yang nyata. Ingatlah, hubungan ulama dan umara ibarat aur dengan tebing dan perkongsian bijak mereka akan membawa rahmat kepada negara serta ummah.

kredit: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan