Bacaan Popular

Jumaat, 30 Mac 2012

Umat Akhir Zaman Sia-siakan Solat


SOLAT Subuh hanya dua raka'at tetapi fadilat dan ganjaran pahalanya amat besar.

Bagaimanapun, kita dapati dalam zaman mutakhir ini, ramai umat Islam khususnya generasi muda sangat berat untuk bangun melaksanakan solat Subuh.

Mengantuk, penat dan malas antara alasan yang sering diberikan.

Sebenarnya, perintah melaksanakan solat Subuh sangat ditekankan seperti ditegaskan Rasulullah s.a.w.

Sabda Nabi saw: “Tiada solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh.

Seandainya mereka mengetahui pahala di sebalik solat Isyak dan Subuh dengan berjema'ah, tentu mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini pernyataan cukup jelas kepada umat Islam supaya mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjema'ah.

Dilema generasi sekarang mahu bangun mengerjakan solat Subuh di rumah pun amat berat, apatah lagi jika diajak berjema'ah di surau ataupun masjid.

Rasulullah saw juga ada mengatakan solat berjema'ah bagi solat Subuh dan Isyak diberi ganjaran pahala 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.

Namun, dalam situasi semasa yang kebanyakan manusia begitu sibuk mencari kemewahan duniawi, kesedaran untuk bersolat secara jema'ah semakin hambar.

Masjid hanya akan penuh ketika solat Jumaat atau solat Aidilfitri dan Aidiladha.

Bagaimana pada waktu Subuh dan Isyak? Adalah dua atau tiga saf, kebanyakannya terdiri daripada warga emas.

Di mana anak-anak muda kita? Masih berselimut jawapannya! Berikut dipaparkan sebuah kisah yang menggambarkan mukmin begitu menjaga solat berjema'ah dan kisah ini seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua.

Diriwayatkan bahawa Ubaidillah bin Umar Al-Qawariri, iaitu guru kepada Imam Bukhari, Imam Muslim dan Abu Daud menceritakan yang dia tidak pernah meninggalkan solat Isyak berjema'ah.

Katanya lagi: “Ditakdirkan Allah, pada suatu malam aku didatangi tetamu sehingga membuatku terlewat untuk menunaikan solat Isyak berjema'ah di masjid.

Sesudah tamuku pulang, aku bergegas ke masjid di sekitar Basrah untuk meninjau kalau-kalau ada yang belum mengerjakan solat Isyak berjema'ah.

Namun, aku kecewa kerana semuanya telah selesai mengerjakannya, malah pintu masjid pun sudah berkunci.

“Lantas aku pun pulang dengan perasaan hampa sambil dalam perjalanan pulang aku teringat satu peringatan Rasulullah saw yang berbunyi: “Sesungguhnya solat berjema'ah itu 27 kali ganda darjatnya jika dibandingkan dengan solat seorang diri.” Kemudian sambung beliau lagi: “Sesampai di rumah, aku mendirikan solat Isyak 27 kali, selepas itu barulah aku tidur.

Ketika tidur aku bermimpi melihat ada sekumpulan manusia menaiki kuda, kemudian aku mengejar mereka dengan kudaku.

“Ketika sa'at hampir dengan kedudukan mereka, salah seorang daripada mereka itu berkata: “Kamu tidak akan mampu mengejar kami, sebab kami mengerjakan solat berjema'ah di masjid sedangkan kamu hanya bersendirian di rumah.” Selepas mendengar kata-kata yang dilontarkan orang itu, aku terjaga daripada tidur dan aku sangat susah hati.” Inilah secebis kisah bagaimana orang terdahulu begitu mengambil berat soal solat berjema'ah.

Kita bagaimana? Adakah kita susah hati seandainya tertinggal solat berjema'ah? Saya pasti ramai tidak berasa bersalah atau kecewa.

Sekarang mari kita baca dan renungkan kisah yang mungkin akan memberikan impak positif kepada daya fikir agar mendidik diri sentiasa mendirikan solat lebih-lebih lagi secara berjema'ah.

Dikatakan pada suatu ketika, malaikat Jibril a.s. datang menemui Rasulullah saw sambil mengatakan: “Bacalah.” Jawab Nabi: “Bacaan manakah yang mesti aku baca?” Kemudian Jibril pun membaca ayat 59 Surah Maryam iaitu: “Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang lebih buruk, yang mensia-siakan solat dan menuruti hawa nafsunya, hingga kelak mereka akan menemui kesesatan.” Lantas Rasulullah saw bertanya: “Ya Jibril, adakah sepeninggalanku nanti akan ada daripada kalangan umatku yang mensia-siakan solat?” Jawab Jibril: “Ya ada."

Pada akhir zaman nanti akan ada sekelompok manusia daripada umatmu yang mensia-siakan solat, mengakhirkan waktu dari waktu yang ditentukan dan memperturutkan kehendak nafsunya.

Wang satu dinar baginya lebih berharga daripada solat.” Subhanallah, memang benar ungkapan Jibril itu.

Cuba kita perhatikan fenomena masa kini, sesetengah umat Islam lebih sayangkan masa dengan menggembleng tenaga untuk mengejar kebendaan duniawi.

Kita sudah pun berada dalam zaman yang diperkatakan Jibril a.s. itu.

Kita boleh menilai kedudukan iman diri sendiri setakat mana tebalnya dengan melihat apakah hati kita sentiasa terpaut pada masjid bagi mengerjakan solat berjemaah.

Kita boleh juga jadikan kerajinan mengunjungi masjid atau surau bagi menunaikan solat berjema'ah sebagai kayu pengukur kepadatan iman kita.

Mari kita jadikan firman Allah ini sebagai motivasi untuk gagah ke masjid bersolat secara berjema'ah.

Allah menegaskan: “Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh.

Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”
(Maksud Surah Al-Isra’ ayat 78).

Inilah perintah Allah kepada kita semua agar sentiasa mematuhi suruhan mendirikan solat dan lihatlah bagaimana Allah swt mengkhususkan solat Subuh dengan memberikan pujian yang lebih, iaitu solat Subuh itu disaksikan malaikat.

Semoga kita semua dibukakan pintu hati dan digagahi semangat untuk solat berjema'ah sama ada di masjid ataupun surau.

Insya-Allah kita semua mampu melakukannya

kredit: paapaada


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan