Bacaan Popular

Khamis, 21 Jun 2012

Kesah Masyitah Dan Bayinya




Gambar hiasan permandangan Masjidil Haram dari arah 'Menara Zam-zam' di Makkah Al Mukaramah

Dalam perjalanan Rasulullah ke Masjidil Al-Aqsa, Baginda melihat beberapa gambaran antara langit dan bumi. Antara pelajaran yang dapat diambil dari peristiwa itu ialah mengenai wanita.

Rasulullah s.a.w melewati satu daerah yang mana baunya sangat harum seperti bau kasturi. Baginda bertanya kepada Jibril, daerah apakah yang sedang mereka lewati.
Jibril menjawab: ''Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga.''


Kita semua, sedia maklum bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata agar menyembah dan memperhambakan diri padanya. Barang siapa yang engkar dengan suruhannya akan diseksa atau dihukum bunuh. Begitulah kejamnya Firaun.

Walaupun hukuman diugut dengan hukuman bunuh, terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah. Diantaranya ialah Siti Asiah, isteri Firaun sendiri dan keluarga Masyitah. Mereka terpaksa menyembunyikan keislaman mereka agar dengan itu mereka tidak diganggu oleh Firaun dan orang-orangnya.

Seorang sahabat baiknya yang juga penjaga perbendaharaan negara, Hazaqil, tidak setuju Fir’aun mengakui dirinya Tuhan. Pada suatu hari, ketika Fir’aun menjatuhkan hukuman mati ke atas 40 orang ahli sihir yang telah beriman kepada Allah, Hazaqil sangat tidak setuju.

Hazaqil menghadap Fir’aun dan membantah hukuman itu. “Tuanku, patik tidak setuju dengan hukuman mati ke atas 40 ahli sihir itu. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara kita ini,” Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Fir’aun.

“Mereka dihukum mati kerana tidak mengakui beta sebagai Tuhan mereka!” tegas Fir’aun dengan nada marah, sambil menambah: “Kalau kamu mempertahankan nasib ahli-ahli sihir itu, itu bermakna kamu juga seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah.”

Fir’aun mula berfikir mengapa Hazaqil mempertahankan nasib 40 ahli sihir yang dihukum mati itu. “Oleh kerana kamu salah seorang daripada mereka, beta jatuhkan hukuman mati ke atas kamu,” kata Fir’aun tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman mati ke atas sahabat yang juga pegawai kerajaannya itu.

Hazaqil dibawa keluar dari istana. Dia diikat pada sebatang pohon kurma. Dia kemudian dipanah pengawal Fir’aun sehingga mati.

Isteri Hazaqil, iaitu Siti Masyitah, yang bertugas sebagai pendandan puteri Fir’aun, berasa sangat sedih dan kecewa atas pembunuhan suaminya itu. Dia semakin benci melihat wajah Fir’aun dan keimanannya kepada Allah semakin teguh.

Pada suatu pagi, ketika Siti Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, dia teringatkan suaminya. Tumpuan kepada tugasnya hilang. Tiba-tiba sikat yang digunakan menyikat rambut puteri Fir’aun jatuh ke lantai.
“Allahu Akbar,” kata Siti Masyitah lalu mengambil sikat itu.

“Masitah, kamu akan dihukum kerana berkata begitu. Apakah ada Tuhan lain selain ayahandaku?” tanya puteri Fir’aun. Pada mulanya Masyitah enggan menjawab pertanyaan itu. Namun puteri itu terus mendesak Masyitah agar menjawab pertanyaannya. Akhirnya dengan tenang Masyitah berkata, “Ya. Memang ada Tuhan yang patut disembah, bukan ayahanda tuan puteri. Allah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam” kata Masyitah dengan tegas dan berani.

Puteri sangat marah, lalu mengadu hal itu kepada bapanya. Darah Fir’aun menyirap mendengar kata-kata anaknya. Dia lalu meminta Masyitah menghadapnya.
“Siapakah Tuhan kamu?” Tanya Fir’an dengan marah.
“Allah, itulah Tuhan saya,” jawab Masyitah dengan tegas.
“Biadab! Kamu akan dihukum sebab menghina beta!” Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintah menterinya bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan keluarganya yang telah menyembah Allah.

Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya menyediakan kawah yang besar. Hamman ingin merebus Masyitah serta keluarganya yang terdiri daripada empat orang anak termasuk seorang bayi yang masih kecil.
“Dengar rakyat semua, inilah hukuman kepada orang yang tidak mengaku beta sebagai Tuhan.”

Masyitah dan keluarganya melihat air di dalam kawah yang dimasak sehingga mendidih namun itu sedikitpun tidak menggugat keyakinan mereka kepada Allah. Sebelum ditolak ke dalam kawah tersebut, Masyitah sekeluarga telah ditanya oleh Hamman samada mahu selamat dengan menyembah Firaun kembali atau masuk ke dalam kawah dengan beriman kepada Allah. Dengan tegas mereka berkata, “Kami akan terus beriman kepada Allah sekalipun terpaksa terjun ke dalam kawah yang menggelegak ini.”

Maka Hamman pun memaksa satu-persatu keluarga Masyitah terjun ke kawah tersebut dengan sombong dan ketawa terbahak-bahak sambil menyindir dan menghina mereka. Masyitah melihat sendiri bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. Akhirnya tinggal Masyitah bersama bayi yang sedang dikendongnya.

Di waktu itulah syaitan membisik ke telinganya, tidakkah dia rasa kasihan dan simpati pada bayinya yang masih merah dan tidak tahu apa-apa itu. Masyitah mula merasa ragu-ragu sama ada hendak membiarkan dirinya dicampak ke dalam kawah itu atau tidak. Ketika itu, dengan kuasa dan kehendak Allah, tiba-tiba anak yang masih kecil itu berkatakata berkata kepada Masyitah, ibunya, “Wahai ibu marilah kita menyusuli ayah. Sesungguhnya syurga sedang menanti kita.”

Bila mendengar kata-kata itu, Masyitah dengan rasa kehambaan kepada Allah mencampakkan diri dan anaknya ke dalam kawah yang sedang menggelegak itu. Kawah itu dikacau oleh pengawal dengan menggunakan penyudip besi. Mereka dikacau seperti ikan yang direbus. Maka matilah Masyitah bersama keluarganya demi mempertahankan aqidah dan keimanan mereka.

Walaupun di dunia ini menerima seksa dan sengsara tetapi di akhirat nanti, Allah telah menjamin syurga untuknya. Masyitah rela direbus hidup-hidup di dalam air menggelegak panas sehingga menyebabkan hancur dan masak kulit, isi dan seluruh badannya demi mempertahankan keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan, sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan keyakinan itu.

Orang ramai yang hadir dan melihat kejadian itu berasa terkejut dan sedih melihat Siti Masyitah dan dua anaknya menjadi korban Fir’aun demi mempertahankan agama Allah.

Tiba-tiba mereka terhidu bau yang sangat harum keluar daripada kuali besar berisi minyak mendidih yang telah ‘memasak’ Masyitah dan anak-anaknya itu.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan:

  1. sungguh besar kuasa Allah,
    dan salute pada Masyitah..

    BalasPadam