Bacaan Popular

Jumaat, 28 Februari 2014

Doa Kepada Orang Tua

Gambar sekedar hiasan sahaja.


Dalam sebuah hadith Malik bin Rabi'ah berkata: "Suatu hari aku duduk bersama Rasulullah s.a.w, lalu datanglah seorang lelaki dari bani Salamah bertanya: "Wahai Rasulullah, masih adakah kebaikan yang dapat aku lakukan untuk kedua orang tuaku yang telah meninggal? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ya, bersholat (berdo'a) untuk keduanya, memintakan keampunan kepada Allah untuk keduanya, memenuhi janji-janjinya, menyambung silaturrahmi sanak saudaranya dan menghormati sahabat-sahabatnya". H.R. Abu Daud

Dan termasuk yang berguna untuk orang tua yang telah meninggal adalah bersedekah untuk keduanya, mengirimkan pahala bacaan Al Quran kepadanya, dll. 


Mengenai terkabul atau tidaknya sesebuah doa kita kembalikan sahaja kepada Allah. Allah Maha Mengetahui dan lebih tahu bahawa sesuatu yang kita panjatkan itu baik untuk kita dan orang yang kita doakan. Jadi, jika merasa sesuatu doa itu belum terkabul, maka jangan terus malas berdoa, atau bahkan menuntut Allah (kenapa tidak dikabulkan?). Kerana boleh jadi saat kita berdoa belum mampu melepaskan egoisme kita sebagai hamba, kita tidak tahu sesungguhnya apakah sesuatu yang kita minta itu benar-benar maslahat bagi kita atau tidak. Barangkali lebih maslahat bila yang kita minta itu tidak terkabul dalam waktu terdekat ini, atau bahkan selama kita hidup di dunia, kerananya saat kita berdoa, apa yang kita mohon kita pasrahkan kepada Allah apa yang terbaik bagi kita. Ini dalam hal memanjatkan sesuatu bagi kita sendiri.

Demikian juga mendoakan kebaikan bagi orang lain, termasuk orangtua kita sendiri, dalam hal kepasrahan ini, tidak ada bezanya. Yang penting kita mendoakan sesuatu yang baik, seperti agar dosa- dosa orang tua kita diampuni, dilimpahkan kasih sayang kepadanya, dan sebagainya, bersamaan kita pasrah mengenai hasilnya, kita yakin bahawa Allah Maha Mendengar dan Mengabulkan. Jika kita tulus mendoakan, sebagaimana janji Allah, Allah pasti mengabulkan.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." Q.S Al Baqarah : 186

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku

"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "


La haula walla quwwata illa billah..~

Khamis, 27 Februari 2014

Abu Ayyub Al-Ansariy r.a.

Gambar Masjid Narbawi masa lampau.


Nama sebenarnya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Bani An-Najjar. Mendapat penghormatan kerana Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah semasa baginda berhijrah ke sana dari Mekah.

Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Madinah, setiap orang dari kalangan orang-orang Ansar bercita-cita supaya Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah mereka. Mereka menghalang perjalanan unta Nabi s.a.w secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: (Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan). Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansariy r.a. Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah s.a.w menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w seolah-olah beliau membawa khazanah dunia kemudian terus masuk ke rumahnya.

Rumah Abu Ayyub r.a terdiri dari dua tingkat. Nabi memilih tingkat bawah supaya baginda boleh berjumpa para sahabat dengan mudah di mana mereka dapat masuk dan keluar dengan mudah. Tetapi keadaan tersebut menyebabkan Abu Ayyub tidak dapat tidur di atas Rasulullah s.a.w malah beliau tidak dapat tidur sedikitpun pada malam tersebut sehingga menjelang waktu pagi. Lalu beliau datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan mengadu kepada baginda mengenai keadaan tersebut kemudian beliau meminta baginda supaya berpindah ke tingkat atas. Pada masa itu juga muka baginda kelihatan bertambah ceria lantas baginda menjawab kepadanya: (Janganlah kamu menyusahkan diri kamu wahai Abu Ayyub, sesungguhnya kami lebih sesuai berada di tingkat bawah kerana ramai orang yang datang berjumpa kami). Kemudian Abu Ayyub berkata: Aku melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w tersebut sehinggalah berlaku pada suatu malam yang sangat sejuk, kendi kami pecah menyebabkan airnya tumpah ke atas lantai di tingkat atas. Lalu aku dan Ummu Ayyub terus bergegas ke tempat air yang tumpah tersebut sedangkan pada masa tersebut kami tidak memiliki apa-apa kecuali sehelai kain baldu yang kami jadikan sebagai selimut. Kami menggunakan kain tersebut untuk mengelap air yang tumpah kerana bimbang air tersebut menitis ke tingkat bawah tempat Rasulullah s.a.w berada. Pada pagi keesokannya aku berjumpa dengan Rasulullah s.a.w kemudian aku berkata: Demi bapaku, kamu dan ibuku! Aku tidak suka berada di atas kamu sedangkan kamu berada di bawahku. Setelah itu aku ceritakan berita mengenai kendi tersebut. Lalu baginda menerima permintaan aku dan baginda bersetuju untuk naik ke tingkat atas manakala aku dan Ummu Ayyub pula turun ke tingkat bawah.

Rasulullah s.a.w menetap di rumah Abu Ayyub selama lebih kurang tujuh bulan sehinggalah masjid baginda dibina bersama-sama dengan bilik-bilik yang terdapat di sekeliling masjid yang kemudiannya baginda berpindah ke sana.

Abu Ayyub adalah seorang yang berhati lembut, terlalu sayang kepada Rasulullah s.a.w, sangat pemurah, suka memberi makan kepada orang lain dan beliau memiliki sebatang pokok kurma di mana beliau mengusahakannya untuk menampung kehidupannya dan keluarganya.

Selain dari itu Abu Ayyub juga merupakan salah seorang pahlawan perang. Beliau menyertai kesemua peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, begitu juga dengan peperangan yang berlaku pada zaman pembukaan kawasan Islam, semuanya beliau serta kecuali berlaku beberapa peperangan dalam satu masa.

Abu Ayyub r.a tidak pernah ketinggalan dari mengikuti peperangan yang diikuti oleh umat Islam semenjak zaman Nabi s.a.w sehinggalah ke zaman Muawiyah r.a.

Pada zaman pemerintahan Muawiyah, Muawiyah telah menghantar sepasukan tentera untuk membuat pembukaan Constantinople di bawah pimpinan anaknya Yazid. Pada masa tersebut Abu Ayyub merupakan seorang yang telah terlalu tua kerana umurnya menjangkau 80 tahun. Walau bagaimanapun dia tetap keluar bersama-sama dengan pasukan tentera dan menaiki pengangkutan laut lalu beliau jatuh sakit. Pada masa panglima tentera mengunjungi beliau, panglima bertanya kepadanya: Wahai Abu Ayyub! Adakah kamu ingin sesuatu permintaan? Lalu beliau meminta daripada panglima supaya tentera mengusung beliau sekiranya beliau meninggal dunia kemudian mengebumikan beliau di bumi musuh iaitu supaya mereka mengebumikan beliau di pagar Constantinople. Ternyata beliau meninggal dunia pada masa tersebut.

Setelah peristiwa tersebut berlaku, mereka berusaha menyerang musuh sedikit demi sedikit sehinggalah mereka berjaya sampai ke pagar Constantinople dalam keadaan mereka mengusung Abu Ayyub bersama-sama dengan mereka dan di sana mereka menggali sebuah kubur untuk Abu Ayyub kemudian mengebumikan beliau di sana.


kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 26 Februari 2014

Menangis Kerana Takutkan Allah



Rasulullah S.A.W telah bersabda, 

"Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu." 

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28) 

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang Nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad s.a.w. berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali." 

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. 

Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T. 

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 25 Februari 2014

Pahala Membantu Tetangga Dan Anak Yatim



Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak berhaji, ia tertidur di Masjidil Haram. Dia telah bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa banyak orang-orang yang berhaji pada tahun ini?"

Jawab yang lain, "Enam ratus ribu."

Lalu ia bertanya lagi, "Berapa banyak yang diterima ?"

Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat berhaji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun itu diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."

Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapannya itu, maka terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke Damsyik mencari orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga ia sampailah ke rumahnya. Dan ketika diketuknya pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera ia bertanya namanya.

Jawab orang itu, "Muwaffaq."

Lalu Abdullah bin Mubarak bertanya padanya, "Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjat yang sedemikian itu?"

Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin berhaji tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus dirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu, lalu aku berniat haji pada tahun ini sedang isteriku pula hamil, maka suatu hari dia tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pergi ke rumah jiranku dan menyampaikan tujuan sebenarku kepada wanita jiranku itu.

Jawab jiranku, "Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anak yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, kerana itu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba bertemulah aku dengan bangkai himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk masak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk makanan kamu."

Ketika aku mendegar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan keserahkan kepada jiranku tadi seraya menyuruhnya membelanjakan wang itu untuk keperluan anak-anak yatim yang ada dalam jagaannya itu.

"Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Kata Muwaffaq lagi.

Demikianlah cerita yang sangat berkesan bahawa membantu jiran tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya apalagi di dalamnya terdapat anak-anak yatim.

Rasulullah s.a.w ada ditanya, "Ya Rasullah tunjukkan padaku amal perbuatan yang bila kuamalkan akan masuk syurga."

Jawab Rasulullah s.a.w, "Jadilah kamu orang yang baik."

Orang itu bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimanakah akan aku ketahui bahawa aku telah berbuat baik?"

Jawab Rasulullah s.a.w, "Tanyakan pada tetanggamu, maka bila mereka berkata engkau baik maka engkau benar-benar baik dan bila mereka berkata engkau jahat, maka engkau sebenarnya jahat."


Salam Ukhuwah..~

Ahad, 23 Februari 2014

Mengapa Doa Tidak Dimakbulkan



SELALUNYA Tuhan akan mengabulkan setiap doa melalui saluran yang diizinkan syarak. Tetapi jika pemberian itu tidak sampai ke tangan kita atau kita tidak menerimanya, maka itu bukanlah salah Tuhan. Mungkin ada kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan. Di antara kemungkinan itu ialah:

-Ada kalanya kita sudah terlalu jauh dengan Tuhan.

-Ada dinding yang membataskan kita dengan Tuhan seperti dosa yang sudah bertimbun-timbun sehingga Tuhan berasa tidak patut lagi kita menerima pemberian-Nya yang bernilai tinggi dan suci itu.

-Kita selalu berdoa tetapi perbuatan maksiat tidak kita tinggalkan dan kita suka mengambil sesuatu melalui jalan yang haram.

-Boleh jadi kerana salah kita melanggar syaratnya atau kerana salah satu sebab yang kita tahu atau sedar.

Ibrahim Adham, seorang ahli sufi yang sangat masyhur pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah, mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah pada hal kami selalu berdoa.

Ibrahim Adham menjawab: "Kerana hati kamu buta (mati) disebabkan sepuluh perkara, iaitu":

-Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.

-Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.

-Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.

-Kamu makan nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.

-Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.

-Kamu mengaku syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.

-Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.

-Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.

-Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.

-Kamu kebumikan mayat saudara-saudara kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Daripada sepuluh sebab yang membutakan hati itu tersimpul satu sifat bahawa kebanyakan kita tidak menjunjung tugas sebagai hamba yang sebenar bagi Allah. Sebab itu wajar sekali kita tidak mendapat keistimewaan yang melimpah ruah - setiap panggilan tak mungkin disahut dan setiap permintaan tak mungkin dikabulkan Allah.

Bey Ariffin dalam bukunya Samudra Al-Fatihah antara lain mengatakan; doa seseorang itu tidak akan dimakbulkan Allah walaupun ia merendah diri serendah-rendahnya (khusyu' dan tawadhu') sewaktu berdoa, serta memuliakan Allah dengan semulia-mulianya, tetapi apabila sebelum berdoa atau sesudahnya dia mengerjakan pekerjaan yang sangat dilarang dan dimurkai Allah.

Di sinilah letaknya rahsia mengapa Allah tidak mengabulkan doa sebahagian besar dari manusia yang berdoa dan di sinilah pula letaknya kenapa Allah selalu mengabulkan doa Rasul dan nabi, para sahabat dan tabi'iin, para wali dan orang soleh lainnya.

Untuk membolehkan doa itu dimakbulkan Allah s.w.t maka ia hendaklah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab- adab berdoa.

Di antara adab-adab berdoa ialah:

-Doa hendaklah dilakukan dalam waktu yang baik dan mulia seperti pada hari Arafah, ketika Ramadhan, Jumaat, sepertiga yang akhir dari malam dan pada waktu sahur.

-Berdoa dalam keadaan yang mulia seperti ketika sujud dalam sembahyang, ketika berhadapan dengan musuh dalam pertempuran, ketika hujan turun, sebelum menunaikan sembahyang dan sesudahnya, ketika jiwa sedang tenang dan bersih daripada gangguan syaitan dan ketika menghadap Kaabah.

-Berdoa dengan menghadap kiblat.

-Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita.

-Berdoa dengan tidak menggunakan kata-kata yang bersajak. Memadai dengan kata-kata biasa dan sederhana, sopan dan tepat dengan apa yang dihajati dan tidak perlu dilagukan dan amat baik dipilih lafaz-lafaz doa Rasulullah s.a.w yang bersesuaian.

-Berdoa dalam keadaan khusyu' dan tawadhu' dengan merasakan kebesaran dan kehebatan Allah dalam jiwa.

-Mengukuhkan kepercayaan bahawa doa itu akan dimakbulkan Allah dan tidak sedikitpun berasa gelisah jika tidak diperkenankan Allah s.w.t.

-Mengulangkan doa yang diutamakan dua hingga tiga kali.

-Memuji Allah di permulaan dan pengakhiran doa.

-Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.

kredit: Hashim Ahmad


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 22 Februari 2014

Iman Yang Paling Menakjubkan



"Wahai manusia, siapakah makhluk Allah yang imannya paling menakjubkan (man a'jabul khalqi imanan)?"

Demikian pertanyaan Nabi Muhammad s.a.w. kepada sahabatnya di suatu pagi. Para sahabat langsung menjawab, "Malaikat!".

Nabi menangkis, "Bagaimana para malaikat tidak beriman sedangkan mereka pelaksana perintah Allah?" Sahabat menjawab lagi, "Kalau begitu, para Nabi-lah yang imannya paling menakjubkan!"

"Bagaimana para Nabi tidak beriman, padahal wahyu turun kepada mereka," sahut Nabi.

Untuk ketiga kalinya, sahabat mencoba memberikan jawaban, "Kalau begitu, sahabat-sahabatmu ya Rasul."

Nabi s.a.w. pun menolak jawaban itu dengan berkata, "Bagaimana sahabat-sahabatku tidak beriman, sedangkan mereka menyaksikan apa yang mereka saksikan."

Rasul yang mulia meneruskan kalimatnya, "Orang yang imannya paling menakjubkan adalah kaum yang datang sesudah kalian. Mereka beriman kepadaku, walaupun mereka tidak melihatku. Mereka benarkan aku tanpa pernah melihatku. Mereka temukan tulisan dan beriman kepadaku. Mereka amalkan apa yang ada dalam tulisan itu. Mereka bela aku seperti kalian membela aku. Alangkah inginnya aku berjumpa dengan ikhwanku itu!"

Berangkat dari riwayat di atas, saya belajar memaknakan iman sebagai sebuah tentangan. Semakin tinggi tingkat tentangan, semakin tinggi pula tingkat iman kita. Semakin sulit kita menjalankan sebuah keyakinan (iman), semakin tinggi pula nilai iman kita di sisi Allah.

Ilustrasi berikut mungkin boleh menyederhanakan persoalan: Seorang waliyullah tidak diragukan lagi telah melihat berbagai "keajaiban" dan "rahsia" Allah. Dia sudah menyaksikan dan merasakan getaran cinta ilahi. Kalau Allah mengangkat derjatnya, tentu saja kita tak akan hairan. Yang membuat kita takjub adalah, seorang pengurus yang sangat sibuk dan telah menyaksikan bahwa "time is money", namun tetap berusaha menunaikan solat lima waktu di celah-celah kesibukannya. Begitu juga dengan seorang kuli bangunan yang lebih banyak menggunakan potensi otot dibanding potensi otaknya, namun tetap berpuasa di bulan Ramadhan meskipun dia harus bekerja di tengah terik mentari.

Bagi saya, pengurus dan kuli bangunan tersebut memiliki iman yang paling menakjubkan.

Kita bukanlah sahabat Nabi yang menyaksikan secara langsung betapa mulianya akhlak junjungan kita itu; kita juga bukan malaikat yang tidak memiliki hawa nafsu; kita juga bukan waliyullah yang telah merasakan manisnya kasih sayang Allah. Kita adalah manusia biasa yang penuh dengan kelemahan.

Dalam kelemahan itulah kita masih beriman kepada Allah. Dalam ketidakhebatan kita itulah kita selalu berusaha mendekati Allah. Di tengah kesibukan dan beban ekonomi yang semakin meningkat, kita tetap keluarkan zakat dan sedekah. Tak sedikitpun kita akan gadaikan iman kita.

Di tengah dunia yang semakin kompetitif, kita masih sempatkan untuk solat. Di tengah godaan duniawi yang luar biasa, kita tahan nafsu kita di bulan Ramadhan. Di tengah kumpulan manusia yang putus asa dengan krisis ekonomi ini, kita masih boleh mensyukuri sejemput ni'mat yang diberikan Allah.

Nabi Muhammad s.a.w. menghibur kita, "Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku," Nabi ucapkan kalimat ini satu kali.

"Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku." Nabi ucapkan kalimat terakhir ini tujuh kali.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 21 Februari 2014

Cara Untuk Mendapatkan Iman



Banyak orang menyangka ia orang beriman. Tetapi bila diuji keimanan mereka oleh Allah menerusi solat, ibadat, kesusahan, penyakit dan sebagainya, ternyata mereka sebenarnya tidak beriman yang sebenar. Mereka menyangka mereka beriman kerana mereka beriman secara keturunan. Bapanya Islam, maka dia pun Islam. 

Iman perlu diusahakan untuk memperolehinya. Bagaimanakah hendak mendapat Iman?


1.Melalui mujahadatunnaf. 

Mujanadatunnaf ialah berjuang melawan hawa nafsu jahat dan melawan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak dan mendorong kita ke jalan kejahatan. 

Latihan-latihannya adalah melalui 3 peringkat iaitu: 

a ) Takhalli : Takhalli ialah berusaha berjuang membuang segala sifat-sifat jahat atau membersihkan jiwa kita daripada sifat jahat atau mazmunah 

b) Tahalli : Tahalli ialah mengisi jiwa kita dengan sifat baik (Mahmudah). Setelah kerja pembersihan selesai kita isi pula wadah (jiwa dan hati) dengan perkara baik. 

c) Tajalli : Peringkat Tajalli ialah peringkat merasa nikmat meninggal atau membuang sifat jahat dan merasa nikmat mengisi atau melakukan sifat baik serta merasa keagungan dan kehebaan Allah. Orang yang dapat membuang sifat-sifat jahat dan dapat pula menghiasi dirinya dengan sifat baik, Allah akan singkap hatinya dapat merasa nikmatnya beribadah dan nikmat sentiasa mengingat Allah dan sentiasa ingin membuat kebaikan.

2. Cara atau peringkat kedua ialah melalui mengerjakan amalan sunat. Terutama sembahyang sunat khususnya di waktu malam (sembahyang tahajjud). Selain daripada amalan sembahyang sunat ialah puasa sunat, berdoa, baca Al Quran dan sebagainya.

3. Cara dan peringkat ketiga untuk mendapatkan iman ialah melalui tafakur. Tafakur atau berfikir atau merenung ialah salah satu cara mendapatkan iman. Khususnya merenung dan berfikir akan kebesaran Allah dan kehebatan serta hikmah sesuatu yang dijadikan oleh Allah sama ada berbentuk benda (alam, muka bumi, bintang dan lain-lain) dan juga kejadian-kejadian ke atas diri kita seperti nikmat dan ujian. Semuanya mempunyai hikmah yang kalau kita renungkan akan mendapat iman.

Jelaslah bahawa iman perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Susah payah pasti akan diharungi. Pengorbanan perlu dilakukan. Siapa yang memperolehi iman secara mudah, contohnya seperti orang Melayu yang memperolehi iman secara keturunan, biasanya amat mudah pula mereka merosakkannya. Siapa yang memperolehi iman secara susah payah,maka dipeliharanya iman mereka.
 


CARA MEMELIHARA IMAN

Iman perlu dipelihara kerana ia akan dirosakkan oleh nafsu dan syaitan. Dengan itu ada orang beriman yang kemudiannya jadi tidak beriman kerana imannya telah dirosakkan. Cara memelihara iman:

1.Mengawal iman supaya tidak rosak. Iman boleh rosak menerusi Iktiqad seperti meragui hadis Nabi, meragui hukum dan undang-undang Islam dan sebagainya.
Perkataan atau ucapan seperti menghina Rasulullah, tidak yakin hukum Allah dan sebagainya. Perbuatan seperti melakukan perbuatan syirik, memohon pertolongan kepada selain dari Allah.

2.Menjaga Iman. Iman yang telah ada pada kita kena dikawal dengan beberapa sifat diri kita. Yakin pada agama Allah dan perintahnya Ikhlas dalam melakukan amalan. Contohnya solat hendaklah atas niat taat kepada Allah bukan kerana menunjuk atau kerana malu atau kerana dipaksa. Selalu melakukan amalan sunat Istiqamah dalam ibadat. Ibadat yang kita lakukan hendaklah berkekalan, bukan dikerjakan secara bermusim, atau bila lapang baru buat. Beramal dengan penuh tertib dan khusyuk.

kredit: ida*Alegra*


Salam Ukhuwah..~