Bacaan Popular

Ahad, 7 April 2013

Kembalilah Kepada Allah




Kita harus sedar bahawa kita manusia adalah setinggi-tinggi makhluk Allah di muka bumi ini. Kesedaran ini janganlah sampai membawa kita terlupa bahawa kita juga boleh jatuh menjadi serendah-rendah makhluk jika tersalah mengemudikan bahtera hidup ini. Ini sesuai dengan Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal soleh. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus"

Manusia menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran dari otak. Malang sekali jika disalahgunakan kecerdasan fikiran ini untuk merosakkan kemanusiaan itu sendiri sehingga menjadi kebinatangan.

Akal yang ada pada manusia telah menjadikan kita makhluk yang mulia, berbudaya dan mempunyai tamaddun yang boleh dibanggakan. Manusia mampu mencipta pelbagai alat moden yang canggih-canggih untuk keperluan mereka. Dengan akal juga, manusia dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Oleh kerana kemampuan akal inilah maka manusia menjadi makhluk yang paling tinggi dibandingkan dengan haiwan, tumbuhan dan makhluk-makhluk lain.

Walaupun akal satu unsur mulia dianugerah kepada manusia, namun ia sering disalahguna sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kerosakan seperti pergaduhan, rompakan, fitnah, rasuah dan penipuan sama ada di peringkat atas maupun rakyat biasa. Sejarah telah melihat kejatuhan sesuatu tamaddun atau bangsa itu adalah kerana manusia sendiri menggunakan kebijaksanaan akalnya untuk melakukan segala bentuk kejahatan dan penindasan sesama mereka. Mereka sanggup melakukan kezaliman dan penindasan semata-mata untuk menjaga kepentingan sendiri dan kumpulannya. Gejala kronism dan nepotism adalah contoh manifestasi penyalahgunaan akal dalam mengurus diri dan masyarakat.

Apabila akal yang sepatutnya diletakkan di satu kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepatlah apa yang difirmankan Allah bahawa manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata. Manusia begini adalah ibarat bangkai manusia; jasad berlembaga manusia tetapi mempunyai pekerti seperti binatang. Maruah kemanusiaan yang ada pada diri tergadai kerana menurutkan nafsu yang menjadi musuh kepada akal.

Jadi, satu persoalan timbul bagaimana seharusnya kita menjaga akal kita supaya kemanusiaan kita tidak bertukar dari taraf setinggi-tinggi makhluk kepada taraf serendah-rendahnya? Untuk menjelaskan presoalan ini, kita semestinya kembali kepada persoalan siapa yang menjadikan kita dan akal kita. Ringkasnya, manusia mestilah kembali kepada Allah, beriman serta mengabdikan diri semata-mata kepadaNya. Manusia tidak akan sempurna setakat mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang sekular dan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam teknologi IT atau seumpamanya tanpa disertai dengan keimanan yang teguh terhadap Allah.

Kepercayaan dan keimanan kepada Allah adalah menjadi kesedaran yang tertinggi dan menjadi paksi segala kesedaran dan anutan. Ia akan membangkit atau mendorong manusia melakukan amalan yang baik seperti yang dituntut oleh Allah. Di samping itu pada masa yang sama manusia akan menjauhkan diri dari melakukan sebarang perkara mungkar yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

Apabila seseorang mengaku beriman kepada Allah, hendaknya bukanlah setakat ucapan lahir saja. Ia mesti disertakan dengan tindakan untuk membuktikan kepercayaan itu adalah benar. Selain mempercayai Allah itu ada (wujud) dan Dia adalah pencipta segala yang ada di alam ini, kita harus sedar bahawa Allah adalah pentadbir alam yang menyusun atau mentadbir segala-galanya. Allah sentiasa dalam keadaan sedar mengawasi diri kita setiap saat sama ada yang zahir maupun yang batin. Dia tidak pernah lalai malahan setiap sifat-sifat kesempurnaan ada pada diriNya. Kita juga harus sedar setiap tindakan kita dalam pemerhatian Allah dan kita akan dipertanggungjawapkan di akhirat kelak atas apa yang kita buat sama ada yang besar ataupun yang kecil. Perbicaraan di akhirat adalah maha adil di mana semua anggota badan kita akan menjadi saksi di atas perlakuan kita di dunia ini. Di sana kita dibicara sama ada kita menggunakan akal kurniaan Allah itu untuk kebajikan atau sebaliknya. Mereka yang menang akan ke syurga dan yang kalah akan diseret ke neraka.

Oleh sebab pentingnya akal, sayugia bagi kita menggunakan akal itu untuk tujuan kebaikan. Sebaliknya jika manusia masih membuat bohong, fitnah, mencuri, memukul, rasuah, zina dan lain-lain kejahatan, ingatlah bahawa Allah tetap memerhatikannya dan akan memberikan hukuman yang setimpal dengan kejahatannya.

Kesimpulannya, adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan bahawa akal yang kita miliki itu dapat membawa kepada keredhaan Allah. Hanya dengan keimanan kepada Allah sahaja yang dapat menyelamatkan diri kita daripada ditimpa kemurkaan Allah. Insyallah bangsa dan negara kita akan selamat jika pemimpin dan rakyat kembali kepada Allah. Ikutlah landasan yang ditetapkan oleh Allah. Gunakan akal dan fikiran untuk meraih keredhaan Allah dan bukan kemurkaanNya. Ingatlah pesanan ulama: sekiranya timbul perselisihan di muka bumi ini, kembalilah merujuk kepada Islam. Islam adalah agama yang lengkap dan tinggi; tiada satu agama yang dapat menandingi kesempurnaan Islam. Mengapa kita berdegil menjauhkan diri daripada kebenaran? Adakah undang-undang lain lebih syumul dari Islam sendiri? 


Adakah kita kata masih beriman kepada Allah sedangkan perlakuan kita jauh lari dari kebenaran. Baliklah kita ke pangkal jalan jika sudah tersesat di hujung jalan. Allah masih menerima taubat kita selagi nyawa belum sampai ke halkum. Lihat apa berlaku kepada Firaun yang bertaubat setelah nyawa akan berpisah dari jasad? Allah tidak menerima taubatnya dan memasukkannya ke dalam neraka yang amat dahsyat seksaannya. Memadailah ini menjadi ingatan kepada kita. Semoga Allah selamatkan kita dan generasi kita dari ditimpa dari azab yang pedih ini. Amiinn.

kredit: haikal amri moh


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 6 April 2013

Cinta Abadi



Cinta yang hakiki ialah cinta oleh akal dan hati. Tanpa melihat atau berjumpa, ia sudah bertaut dan dapat dirasa kerana bersatu adalah hati, bukannya fizikal dan ia disatukan oleh tali Allah dan bukannya oleh nafsu dan kepentingan diri.

Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Begitulah cinta, ia adalah kuasa, tetapi kuasa itu memerlukan peraturan dan kawalan. Sebagaimana jasad memerlukan makanan, begitu juga halnya dengan jiwa yang memerlukan cinta. Allah menciptakan naluri tersebut kerana ingin menyelamatkan, membahagiakan dan mententeramkan jiwa manusia. Tetapi cinta sekarang banyak yang meruntuhkan erti kemanusiaan itu sendiri. Bukannya menyelamatkan tetapi merosakkan.

Hukum cinta perlu dipatuhi agar maksud penciptaanya tercapai. Cintailah sesiapapun, asalkan cinta itu dapat memberi lorong yang sebaik-baiknya untuk terus menyintai Allah. Cinta itu harus dibina atas dasar cinta kepada Allah. Sebagai bukti, kita akan mendahulukan kehendak kecintaan kita kepada Allah melebihi kehendak kecintaan kita kepada lain. Cinta harus tumbuh atas dasar tapak yang murni dan selalunya didorong oleh faktor agama, akhlak, kewibawaan dan kepribadian yang baik. Dorongan dan rangsangan yang menyuburkan cinta ini tidak memerlukan kata-kata luahan yang indah, namun body languange sudah cukup membuktikan betapa dalamnya cinta.

Kebiasaannya cinta yang suci pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan, untuk bercinta lagi dengan seribu keindahan. Bahkan jika diizinkan Allah, ia akan bersambung di akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi diakhirat. Jikalau cinta seseorang itu benar-benar hanya kerana Allah, dia akan lebih khusyuk selalu dalam solatnya dan semakin bertambah pula amal ibadat dan ketakwaannya kepada Alah. Sebaliknya jikalau hubungannya dengan Allah semakin renggang dan mengarahkan dirinya melakukan perkara-perkara yang merugikan dan melalaikan. Itu ertinya Cinta Nafsu.

Cinta yang bersalut nafsu akan mudah diganggu oleh syaitan. Maka akan berlakulah zina hati dan mata. Orang yang sebegini sifatnya jikalau dia mengaku yang cintanya itu dibina atas dasar cinta kepada Allah jelaslah dia telah menipu dirinya sendiri. Mustahil boleh bersatu dua unsur yang berlainan dalam satu masa sebagaimana sukarnya air dan minyak bercantum menjadi satu. Semangat itu perlu untuk menghidupkan perjuangan yang telah lama mati dalam diri. Tetapi bukankah kita masih mempunyai Allah. Bergantung sepenuhnya kepada Allah itulah sebaik-baiknya pilihan. Tidak ada usaha yang luar biasa dilakukan oleh pejuang-pejuang agama Allah untuk menegakkan kebenaran. Mereka hanya menundukkan nafsu dan menguasainya. Perjuangan menegakkan kalimah Allah memang pahit. Tohmahan dan hinaan datang silih berganti. Namun syurga dan segala nikmatnya telah dijanjikan oleh Allah buat hamba-hambaNya yang bersabar.

kredit: Cerpen Pertemuan bukan milik kita (Majalah Akhawat)


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 5 April 2013

Grade Dalam Solat @ Sembahyang



Peringkat-peringkat sembahyang atau grade dalam solat, nilaikan dimana tahap sembahyang kita. Dalam era membaiki diri ini, kita check sembahyang kita, nanti akan terjawap kenapa kita tidak dibantu, dan ini juga gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat Islam terbiar dan tiada pembela dan umat Islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.

Golongan 1. Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat Islam yang tak sembahyang, bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang, mereka telah jatuh kafir. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan 2. Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara resmi atau tak resmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Ta'ala.

Golongan 3. Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4. Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafasnya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5. Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan 6. Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali didalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa. Allah belum lagi cinta orang ini.

Golongan 7. Golongan yang mengerjakan sembahyang yang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8. Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah )

Golongan 9. Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan Tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsuk ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.

Setelah kita nilai keseluruhan 9 peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk boleh menrungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan 7, 8 dan 9 sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur fasik dan zalim.

Jadi dimanakah tahap sembahyang kita ? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat / sembahyang kita. Marilah bersama membaiki solat kita agar segera dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.


"Solat itu ibu pada segala ibadah."

kredit: ahalim


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 4 April 2013

Buruk Sangka



Tajuk di atas telah dikulliahkan dalam beberapa pengajian (kulliah akidah) dibeberapa tempat di Selangor, Johor (terutamanya Johor Bahru) dan di Singapura pada pertengahan tahun 1990.

Buruk sangka terbahagi dua, iaitu:

Pertama: Prasangka yang membawa kepada keburukan walaupun pada mulanya ia menyangka atau berniat baik. Misalnya menambah atau mengurangkan sesuatu amal yang tiada hujjahnya dari syara, maka ia diharamkan kerana selain bertentangan dengan syara ia juga adalah bid'ah yang diharamkan. Dalilnya dapat difahami dari firman Allah Azza wa-Jalla yang bermaksud:

"Dan mereka mengira (menyangka) bahawa apa yang mereka lakukan adalah baik (kebaikan)". AL KAHFI, 18:104.

Menurut ayat di atas, perkiraan atau sangkaan mereka yang baik dalam mencipta serta mengadakan-adakan suatu amal yang baru adalah salah walaupun dengan niat yang baik dan kerana Allah, kerana menambah atau mengurangkan sesuatu dalam agama Islam tidak pernah ada keizinannya dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Agama Allah (Islam) sudah sempurna sehingga tidak perlu ditokok tambah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:


"Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu". AL MAIDAH, 5:3.

Kedua: Buruk sangka dari hati yang sedar dan disengajakan oleh pembuatnya. Al-Quran dan as-Sunnah telah menjelaskan bahawa kebanyakan manusia mempunyai rasa buruk sangka terhadap Allah dan agamaNya. Termasuklah mereka yang mengakui sebagai muslim lantaran kejahilannya. Sama ada mereka berburuk sangka terhadap Allah mengenai kesempurnaan syariatNya atau terhadap kebenaran dan kesucian agamaNya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud:
"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja, sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran". YUNUS, 10:36.

Buruk sangka terhadap Allah sehingga kurang meyakini akan kebesaranNya, kebijaksanaanNya dan kuasaNya untuk melakukan segala apa sahaja yang dikehendakiNya. Atau tidak dapat menerima hakikat bahawa manusia dicipta untuk diuji dan untuk menghambakan diri kepada Allah, maka penafian dan keingkaran yang tidak berasas ini diistilahkan sebagai buruk sangka terhadap Allah. Sikap manusia seperti ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud:


"Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa, dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah sangkaan sahaja". AL JAATSIYAH, 45:24.

"Apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?". AL MU'MINUUN, 23:115.

Orang-orang yang kufur dan fasik menyangka bahawa Allah tidak akan menyiksa mereka, begitu juga dengan perkiraan sebahagian orang-orang yang jahil yang menyangka bahawa Allah tidak akan menyiksa mereka selagi mereka mengakui sebagai orang Islam sedangkan mereka tidak melaksanakan kewajiban syara seperti sembahyang, puasa dan lainnya. Allah telah menjelaskan tentang orang-orang yang fasik seperti ini sebagaimana firmanNya yang bermaksud:


"Janganlah kamu sekali-kali menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan janganlah kamu menyangka bahawa mereka akan terlepas dari siksa, dan bagi mereka siksa yang pedih". ALI IMRAN, 3:188.

Ada segolongan manusia yang berburuk sangka terhadap penerimaan Allah tentang sebahagian amal ibadah yang telah dikerjakan, ia menyangka ada amal ibadahnya yang tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Ia berpunca sama ada disebabkan keraguan atau penyakit was-was. Keraguan dan was-was seperti ini adalah haram dan boleh membawa kepada buruk sangka terhadap Allah. Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam melarang umatnya dari berasa ragu-ragu dan was-was tentang ibadah yang telah dikerjakan sebagaimana sabda baginda:


Dari Jabir berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w:

" Janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan berprasangka baik terhadap Allah, sesungguhnya terdapat satu kaum dibinasakan kerana telah berprasangka buruk terhadap Allah Azza Wajl (sebagaimana firman Allah) "Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka terhadap Tuhanmu, prasangka itu telah membinasakan dirimu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi".  H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Orang-orang yang beriman diharamkan dari meragui apa sahaja perkara dan kejadian yang berlaku terhadap dirinya atau terhadap yang lainnya sehingga membelakang dan mengenepikan Allah atas urusan tersebut, kerana keraguan seperti itu boleh membawa kepada buruk sangka terhadap Allah.

Dari Abi Bakar berkata:
 

"Aku katakan kepada Nabi s.a.w. dan aku di dalam gua: Jika salah seorang dari mereka melihat (melalui) bawah kakinya, nescaya akan melihat kita hanya berdua. Maka baginda bersabda: Tidaklah begitu persangkaanmu wahai Abi Bakar, dengan berdua (dan) Allah yang ketiga". H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Kesemua dalil-dalil dari al-Quran dan hadith di atas menjelaskan bahawa berburuk sangka (berperasangkaan buruk) terhadap Allah Subhanahu wa-Ta'ala dalam apa hal sekalipun adalah perbuatan keji dan kufur (syirik terhadap Allah). Buruk sangka terhadap Allah adalah sikap orang-orang kafir (musyrikin) jahiliah yang sangat dikutuk dan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala.

Setiap orang yang beriman dilarang dari berburuk sangka terhadap keadilan Allah kepada makhlukNya, berburuk sangka terhadap kesempurnaan agama Allah dan berburuk sangka terhadap kekuasaan Allah sehingga membelakangkan Allah dalam segala aspek dan cara hidup yang dianggap ibadah oleh syara.


Hukum Buruk Sangka Terhadap Sesama Islam

Allah 'Azza wa-Jalla telah mengharamkan sikap buruk sangka terhadap sesama mukmin, kerana ia akan menyebabkan timbulnya fitnah, bukan sahaja di antara seseorang individu dengan individu yang lain tetapi juga dalam anggota Jamaah Islamiyah. Apabila sikap terkutuk ini terdapat di kalangan anggota jamaah ia boleh mengwujudkan perasaan saling tidak percaya, saling meragui, benci-membenci, pertelingkahan, perpecahan dan akhirnya bermusuh-musuhan di antara sesama Islam.

Allah Subhanahu wa-Ta'ala mengharamkan hambaNya yang beriman dari menyimpan perasaan persangkaan atau sangka-sangka buruk terhadap Allah dan terhadap saudara-saudaranya yang seagama. Malah Allah mengharamkan juga segala unsur, bibit atau segala punca yang boleh menyebabkan timbulnya rasa buruk sangka di kalangan anggota Jamaah Islamiyah. Pengharaman ini telah ditegaskan di dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagaimana firman Allah dan sabda Nabi s.a.w:


"Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesunguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang". AL-HUJURAAT, 49:12. 


"Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Aku peringatkan kamu dari prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong. Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, keaiban dan keburukan saudaranya), janganlah merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, jangan berhasad (dengki), jangan berbenci-bencian, janganlah membelakangkan (saudaramu seagama). Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara". H/R al-Bukhari.

"Dari Abdullah bin Umar berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. sedang tawaf di Kaabah lalu bersabda: Demi jiwa Muhammad yang di tanganNya, sesungguhnya kehormatan seseorang mukmin lebih besar di sisi Allah dari engkau (Kaabah) wangnya dan darahnya sehinggalah dia berprangsangka sesamanya yang baik". H/R Ibn Majah.

"Dari Umar bin Al-Khatab beliau berkata: Janganlah kamu berprasangka (buruk) dengan kalimah yang keluar dari (mulut) saudara kamu yang mukmin kecuali yang baik". Lihat Tafsir Ibn Kathir, jld. 4, m/s 271.

"Dari Haritha bin an-Nukman berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Tiga perkara yang sentiasa ada pada umatku: Kepercayaan sial. Hasad dengki. Prasangka. Beliau bertanya: Apakah yang boleh menghilangkan dari itu (semua) wahai Rasulullah bagi sesiapa yang telah ada pada dirinya perkara-perkara tersebut? Baginda bersabda: Apabila berhasad dengki mintalah ampun, apabila berprasangka janganlah diteruskan dan apabila mempercayai tataiyur hendaklah dihapuskan". H/R at-Tabrani.

Semua punca-punca timbulnya buruk sangka yang dijelaskan oleh ayat al-Quran dan hadith-hadith di atas berpangkal dari hati yang rosak dan berpenyakit lantaran kejahilan (tidak berilmu agama). Akhirnya menyebabkan lemah iman, lemah keperibadian, hilang panduan dan tidak tahu ke arah mana mahu dituju sehingga mudah berburuk sangka. Hal keadaan seperti ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. 


"Apabila (seseorang) kurang berilmu akan (mudah) menimbulkan perasaan benci dan tuduhan salah (kepada orang lain). Dan jika pengetahuan tentang athar (hadith dan perbuatan sahabat) hanya sedikit, akan ramai yang mengikut hawa nafsu. Berpunca dari yang demikian, akan engkau temui suatu kaum (kumpulan) yang ramai mencintai (menyebelahi) kaum (kumpulan) yang lain hanya atas dasar hawa nafsu (bukan atas dasar kebenaran al-Quran atau al-Hadith) kerana tidak mengetahui (ilmu)nya dan dalilnya. Sedangkan mereka menyokong atau memusuhi (satu kumpulan) tanpa mengikut (landasan) hadith yang sahih dari Nabi dan dari Salaf ummah ini, mereka tidak mengetahui makna (al-Quran dan al-Hadith) dan tidak mengetahui apa yang dikehendaki (oleh hadith) tersebut dan tidak tahu untuk mempraktikalkannya". H/R Imam Malik.

Orang-orang yang mempunyai penyakit ragu-ragu, was-was dan buruk sangka terhadap Allah dan terhaap ibadahnya, ia perlu segara meninggalkan penyakit tersebut dan segera bertaubat. Agar ia tidak berulang, maka perlu dirawat dengan ilmu agama terutama ilmu akidah. Oleh itu setiap mukmin sewajarnya menyebukkan dirinya dengan menuntut ilmu seperti menghadiri majlis-majlis ilmu yang memperkatakan tentang agama. Kerana hanya ilmu agama yang dapat merawat dan menyembuhkan penyakit ragu-ragu, was-was dan buruk sangka.

kredit: Ustaz Rasul Dahri


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 3 April 2013

Jaga Aurat Jaga Amalan



JAGA AURAT TANDA MALU PADA ALLAH


AURAT yang dimaksudkan dalam syariat Islam adalah bahagian tubuh yang tidak patut diperlihatkan kepada orang lain. Seseorang wanita harus menutupinya pada waktu solat dan pada saat berhadapan dengan orang lain.

Hadis riwayat Ibnu Hakim bermaksud: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w, manakah dari aurat kami yang boleh diperlihatkan dan mana yang tidak? Maka jawab Nabi: 

"Peliharalah auratmu, kecuali terhadap isterimu atau hamba sahayamu."

Saya bertanya pula; "Kalau orang itu berkumpul satu sama lain?" Jawab baginda s.a.w; 

"Kalau boleh tak seorangpun melihat auratmu, maka jangan sampai ia melihatnya."

Tanya saya pula, "Kalau seorang dari kami dalam keadaan bersendirian?" Maka baginda s.a.w. menjawab, 

"Maka terhadap Allah s.w.t sepatutnya orang lebih berasa malu daripada terhadap sesama insan."

Semua ulama fikah berpendapat menutup aurat bagi wanita yang sudah akil baligh adalah satu kewajipan, apabila tidak dilaksanakan akan mendapat dosa. Perbezaan muncul ketika menetapkan batasan aurat wanita harus ditutup ketika solat dengan orang lain.

Dalam hal ini ada tiga pendapat:

- Semua anggota tubuh wanita adalah aurat, mulai dari hujung rambut sampailah hujung kaki; menurut mazhab Ahmad dan pendapat Ibnu Taimiyah.

- Semua tubuh wanita kecuali wajah, tapak tangan dan telapak kaki, menurut mazhab Abu Hanifah.

- Semua tubuh wanita kecuali wajah dan telapak tangan sahaja; menurut mazhab Maliki dan Syafie.


Timbulnya perbezaan ini kerana ulama berbeza fahaman dalam mentafsirkan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (zinah) selain dari yang nyata mesti terbuka."

Dalam tafsir ar-Razi yang diambil Yusuf Qordhawi dijelaskan bahawa pendapat yang dianggap lebih kuat dalam memahami seperti zinah adalah anggota tubuh. Wanita tidak boleh menampakkan anggota tubuhnya selain daripada biasa terbuka iaitu wajah dan telapak tangan.

Dibolehkannya membuka kedua anggota seperti kata ar-Razi untuk kepentingan bekerja, mengambil dan memberi. Oleh kerana itu wanita diberi ruksoh untuk membukanya.

Aurat anak perempuan yang belum akil baligh namun sudah membangkitkan syahwat lelaki yang sihat sama seperti aurat wanita dewasa. Jika masih terlalu kecil dan belum membangkitkan syahwat tetap diharamkan melihat kemaluannya selain terhadap orang tua dan pengasuhnya.

Untuk kepentingan pendidikan, lebih baik seorang ibu memperkenalkan anak perempuannya sejak belum baligh mengenai batas aurat yang mesti ditutup, misalnya di luar rumah, paha dan betisnya tertutup; atau menggalakkannya memakai tudung ketika keluar rumah.




PAKAIAN MENUTUP AURAT

ALLAH memberikan pakaian kepada manusia agar auratnya ditutup sebagaimana firman Allah dalam surah al-A'raaf ayat 26, bermaksud: 

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat."

Untuk itu, Allah memerintahkan nabi supaya menyampaikan seruan berbunyi:

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri mukmin semua, supaya mereka menutup tubuhnya dengan jilbab mereka. Dengan demikian itu mereka lebih patut dikenal dan mereka tidak diganggu, 
(surah al-Ahzab ayat 59).

Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya wanita Arab keluar rumah tanpa mengenakan jilbab. Pakaian mereka memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian daripada kecantikan dan perhiasannya.

Ayat itu diturunkan Allah sebagai penyelamat wanita muslimah agar tidak menjadi korban gangguan orang munafik dan fasik. Allah juga memerintahkan mereka memakai jilbab, supaya wanita muslimah dikenali sebagai wanita yang terpelihara.

Jilbab adalah pakaian khusus muslimah yang tidak dipakai oleh wanita lain, kerana pengertian dari jilbab itu sendiri adalah:


1) Pakaian yang menutupi semua badan dari atas sampai ke bawah.

2) Pakaian yang lebar dari kerudung (kerudung lebar sampai ke bawah).

3) Pakaian luar wanita seperti jubah.

4) Menurut Ibnu Arabi, jilbab adalah pakaian yang menutupi seluruh badan dari kepala hingga mata kaki.


Pakaian selain jilbab yang digunakan untuk menutup aurat adalah al-khimar, sejenis kain penutup yang biasanya menutup kepala wanita, disebut juga dengan kerudung seperti mana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: 

"Dan hendaklah mereka menghulurkan kerudung ke dada mereka."

Dalam tafsir ar-Razi ketika menjelaskan ayat di atas, wanita pada zaman jahiliyah memakai kerudung dan membiarkannya panjang ke belakang, sehingga leher dan kalung kelihatan, maka Allah memerintahkan wanita muslimah untuk menutupi dada mereka, sehingga leher, kalung, anting-anting dan dada mereka tertutup dan tidak kelihatan sesuatu kecuali wajah sahaja.



Ciri-ciri pakaian yang memenuhi syarak

PAKAIAN yang digunakan untuk menutup aurat adalah pakaian yang dapat menutupi seluruh tubuh wanita kecuali yang bukan termasuk aurat. Pakaian berkenaan tidak sempit, tidak menggambarkan bentuk badan, bukan pakaian untuk dipamerkan, kebanggaan tidak menyerupai pakaian lelaki, tidak menyerupai pakaian wanita kafir, tiada wangi-wangian dan pakaian yang tidak mempunyai gambar makhluk hidup.

Adapun model pakaian tidak ada dalil dalam al-Quran dan hadis yang menjelaskan secara terperinci, malah model apapun boleh digunakan selama ia tidak bertentangan dengan ciri di atas.

Pernah seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Umar mengenai pakaian bagaimanakah yang harus ia kenakan? Ia menjawab: 

"Yang tidak membuat iri hati orang yang bodoh dan tidak mengundang cemuhan orang yang lemah lembut".



Suara wanita aurat

DALAM fiqh ala Al-Mazahib Al-Arba'ah dijelaskan bahawa suara wanita bukanlah aurat. Isteri Nabi Muhammad s.a.w berbicara dengan sahabat beliau dan juga mendengarkan hukum ad-Din yang diajarkan oleh Ummaahatul Mu'minin itu. Namun, suara wanita boleh menjadi haram jika membangkitkan nafsu dan menggoda kaum lelaki.

Oleh kerana itulah Allah melarang wanita berkata-kata dengan suara yang lemah lembut menggoda sehingga dapat membangkitkan nafsu lelaki, sepertimana firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud: 

"Hai isteri nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa, maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapakanlah perkataan yang baik."

kredit: Anak Melaka


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 2 April 2013

Bila Hati Dan Minda Keracunan



Daripada 'Abdullaah bin Syaqiiq Al-'Aqiiliyy rah.a...: Daripada Ka'ab Al-Ahbaar rah.a., katanya ...... (mafhumnya)..:

Pastilah seandainya daku menangis kerana takut akan Allah swt (min khosyyatillaah) sehingga mencucurkan airmataku di atas pipiku, maka ini lebih dicintai olehku daripada daku bersedeqoh (infaaq) ketulan emas seberat badanku. Dan demi (Dia) yang mana diri Ka'ab berada dalam tangannya, tidaklah menangis seorang hamba kerana takut akan Allah swt sehingga jatuhlah satu tetes daripada airmatanya ke bumi lalu disentuh api neraka (ya'niidia tidak akan disentuh api neraka) buat selama-lamanya sehinggalah kembali semula tetesan langit (ya'nii tetesan hujan) yang telah jatuh ke bumi ke tempat mana telah datang ia, dan ianya tidak akan kembali (ke tempat) itu buat selama-lamanya.

Begitulah kira2nya terjemahan kasar daripada kitab SIFAH AS- SOFWAH (susunan Al-ImaamAl-'Aalim Jamaaluddin Abil Faroj Ibnu Al-Jauziyy rah.a.), jilid 4, halaman 204.


Mari kita sama2 muhasabah akan diri kita.......

Di antara kita ada yang telah ber'umur 50 tahun ke atas, ada yang 40 tahun ke atas, ada yang 30 tahun ke atas.......dan sebagainya. 


Dalam tempoh waktu 50 atau 40 atau 30 tahun (dan sebagainya) ini, pernahkah SATU TETES airmata kita keluar kerana takut akan Allah swt ?

Kalau keluar air mata kerana hal2 lain, seperti kerana kematian ayah atau isteri / suami yang disayangi, atau kerana sakit akibat luka dan pedih dan sakit2 lain, atau kerana gagal dalam sesuatu perkara atau urusan duniawi, itu adalah lumrah dan tak aci. Saya kira dalam tahap keimanan kita pada hari ini, berserta kegelapan hati yang begitu pekat, adalah amat sukar untuk kita menangis KERANA TAKUT AKAN ALLAH SWT sehingga tercucur airmata walau pun setetes, apatah lagi untuk jatuh ke bumi................!

Bagi Ka'ab Al-Ahbaar rah.a. (dan semestinya bagi kita juga), nilai setetes air mata ini lebih berharga daripada bersedeqoh (infaaq) ketulan emas seberat badan sendiri....!!!Kalau berat badan kita 60 Kg, tentulah ketulan emas yang nak disedeqohkan itu pun 60 Kg juga !!!Makin berat dan gemuk seseorang itu maka makin tinggi pulalah nilai kilonya tu....

Rasa2 untuk tahap kita ini, hampir2 mustahil untuk mendapatkan ketulan emas yang seberat itu walaupun seumur hidup kita bekerja......... sedangkan jika hati seseorang itu suci dan keimananya pula tinggi, bukan setetes, bukan dua tetes, malahratusan / ribuan / jutaan tetes air mata kerana takut akan Allah swt pun boleh dicapai. Begitulah nilainya setetes air mata yang keluar kerana takutkan Allah swt.

Jadi kesimpulannya, benih sebenar kejayaan setiap insan di sisi Allaah swt itu adalah dalam hati dan diri insan itu sendiri, tidak di luar. Sejauh mana insan itu berusaha atas ketinggian / kesucian hati dan nuraninya, maka sejauh itulah pula tahap KEJAYAAN yang akan diperolehinya. 


Bila kita bercakap fasal KEJAYAAN, janganlah kita tersilap arah dan faham pula. Janganlah sampai kita memahami bahawa KEJAYAAN itu adalah bilamana mempunyai kemegahan2 duniawi seperti memiliki banglo2 mewah, kereta2 mewah, banyak asset, banyak tanah, mempunyai anak2 yang memiliki berlembar2 ijazah, masyhur dan dikenali ramai, pangkat itu pangkat ini, pingat itu pingat ini, gelaran itu gelaran ini,.....dan sebagainya.

Kalau inilah arah dan skop pemahaman kita, maka tak ubahlah seperti skop pemaham SEORANG KAFIR !!!

Bagi seorang muslim, sudah tentulah rujukan adalah Al-Quran, As-Sunnah, Aathar Para Sahabat, Para 'Ulamaa` yang mu'tabar,.....dan sebagainya. Untuk itu mari kita memahami erti KEJAYAAN berdasarkan Al-Quraan.



Perhatikan (mafhum) ayat berikut :

MAN YUTI'ILLAAHA WA ROSUULAHUU FAQOD FAAZA FAUZAN 'ADZIIMAN......(SESIAPA YANG TA'AT ALLAH DAN RASULNYA MAKA SESUNGGUHNYA DIA TELAH BERJAYA

DENGAN/SEBAGAI KEJAYAAN YANG BESAR....) [33.71].

Jadi sejauh mana seseorang insan itu dapat ta'at Allah swt dan Rasulullah s.a.w, maka sejauh itulah pula tahap kejayaannya. Dengan perkatan lain, kalau insan itu memiliki segala kebendaan dan kemegahan duniawi (seperti yang disebutkan di atas) sekali pun, tapi dalam hatinya tidak ada TA'AT ALLAH dan TA'AT RASUL, pastilah insan itu dinamakan insan yang GAGAL.

Mari kita perhatikan ucapan seorang sahabat ketika tombak / lembing menembusi dadanya semasa menjalankan usaha agama Allah swt. Sebaik sahaja tombak / lembing terpacak di dada, beliau terus berkata: WA ROBBIL KA'BAH, FUZTU....! 


(Mafhumnya : DEMI TUHAN KA'ABAH, DAKU TELAH BERJAYA...!).

Di sini pun jelas pada kita akan erti KEJAYAAN yang difahami oleh para sahabat r.a. Kejayaan bermakna bila seseorang itu diberi taufiiq untuk menta'ati Allah dan RasulNya. ......meski pun dada tembus memancutkan darah dik pacakan lembing/tombak ! Bagaimana pula kefahaman KEJAYAAN pada benak kita dan pada muslimiin seluruhnya hari ini ?


Adakah sudah jauh menyimpang ? Atau bagaimana ?

Kalau kita perhatikan, sama ada di mana2, di laut mahu pun di barat, di timur atau pun di barat, di negara sana atau pun di negara sini, di tempat kerja, di pejabat, di rumah, dalam upacara2 kehidupan, pada peribadi,..... dan sebagainya, semuanya rata2 pemikiran dan kefahaman kita tentang kejayaan, kebaikan, kemajuan,

kebahagiaan..... dan sebagainya masih dibelenggu dengan bentuk dan pola kefahaman kejayaan disisi orang2 kafir.

Pada peringkat negara misalnya, negara itu dikatakan maju kiranya banyak bangunan yang indah dan besar tersergam, kiranya banyak alat2 yang canggih yang seribu satu macam.....dan sebagainya, meski pun tahap kerohanian dan agama begitu runtuh dan hancur di negara itu.

Begitu pun pada peringkat pejabat, seorang pegawai yang begitu sibuk dan bertungkus dengan projek2 dan agenda2 duniawi, akan dinilai sebagai seorang pegawai yang baik dan maju dan berjaya meskipun dia tidak memberati solat dan segala perintah2 Allah swt yang dalam ertikata yang sebenarnya. Seolah2 agama dan perintah2 Allah swt tidak ada ada kena mengena (atau sedikit sekali) dengan kemajuan sesebuah negara atau kejayaan seseorang itu.

Pada peringkat keluarga dan upacara kehidupan pula, bila kita mahu cari menantu mithalnya, pastilah datang pada benak kita untuk mencari menantu yang ada ijazah dan bergaji besar, atau orang kaya ringkasnya...dan sebagainya, tidak datang pada benak dan minda kita(kalau ada pun sedikit sekali) untuk mencari menantu seorang yang hafiz / hafizah Al-Quran, atau orang 'alim /'alimah, atau seorang yang wara' dan sebagainya.

Lebih dahsyat lagi, bila nak melantik seorang imam di surau atau pun di masjid, kriteria yang digunakan adalah kedudukan atau pangkat duniawi (atau pendidikan duniawi) yang ada pada seseorang itu walau pun latar belakang ilmu agamanya adalah tidak seberapa, kadang2 tu usahkan nak ada sedikit sebanyak pengetahuan nahu dan bahasa 'Arab, sebutan kalimah2 'Arab / Al-Quran dan baris2 pun lintang pukang. Walhal seorang yang yang pakar dalam bidang kejuruteraan / sains mithalnya, belum tentu lagi pakar atau baik solatnya. Kerana belajar kejuruteraan / sains dan belajar solat adalah dua perkara yang tersangat berbeza. Pernah saya terlihat seorang Professor dalam bidang tertentu (bukan bidang 'agama'), bila sujud dalam solat kakinya terangkat dan tidak menyentuh dilantai / tempat sujud (apa lagi untuk perut2 jari menyentuh tempat sujud).

Dari segi peribadi pula (di pejabat juga), seorang yang berpakaian dengan tali leher dan kot serta seluar barat (pakaian mat salehlah katakan) pula adalah dianggap kemas, sementara yang berserban dan berjubah, berjanggut (apa lagi kalau berkain pelikat ) akan dipandang 'serong' dan dianggap tidak kemas, walhal pakaian sebegini mendekati pakaian Rasulullah s.a.w. Apakah pakaian yang mendekati Rasulullah s.a.w. itu hanya sesuai di surau / masjid sahaja, dan tidak sesuai di pejabat ? Apakah suasana berketayap / bersongkok /  berserban / berkain pelikat itu perlu dihidupkan disurau / masjid sahaja, jangan di bawa ke pejabat ?

Dan apakah pakaian mat saleh itu sesuai di mana2 ? Atau apakah kita sememangnya menganut fahaman sekular ?

Atau apakah HUBBUDDUNYAA (CINTA DUNIA) telah begitu terbenam di lubuk hati kita, dan kesannya menjalar segar bugar hingga ke seluruh urat saraf kita ? Atau bagaimana ?

Aduhai ......betapa mindset kita (terutama saya sendiri) yang semestinya berteraskan agama telah RANAP sama sekali !!! Aduhai.......betapa hati dan minda kita telah KERACUNAN!!! Semoga sama2 kita mengambil i'tibaar.

Wassalaamu'alaikum wrb.,

Al-faqiiru ilallaah.



kredit: Ustaz Jalil


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 1 April 2013

Dunia Ini Medan Ujian



MANUSIA dicipta oleh Allah untuk menjadi hamba-Nya. Oleh itu, segala matlamat hidup yang perlu dipatuhi setiap Muslim ialah bagaimana untuk menjadi seorang hamba yang menjujung sepenuhnya perintah Allah.

Firman Allah bermaksud: 

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” 
(Surah adz-Dzariyat, ayat 56).

Sesungguhnya kehidupan manusia tidak hanya setakat di dunia ini. Kehidupan sebenar dan kekal ialah di akhirat. Dunia ini hanya persinggahan sebentar untuk melaksanakan ‘ujian’ menentukan darjat setiap hamba-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda mengumpamakan dunia ini sekadar sepohon pokok yang memberi tempat berteduh kepada pengembara.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w: 

“Apalah erti dunia bagiku. Hubunganku dengan dunia ini laksana seorang pengembara yang sedang berjalan di bawah terik matahari.

Apabila melihat sepohon pokok yang dapat dia berteduh, maka dia berada sejenak di situ. Tetapi seketika kemudian dia meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanan.” 
(Hadis riwayat Tarmizi).

Kehidupan manusia di dunia dizahirkan dengan adanya jasad atau anggota badan yang wujud dengan nyata bagi membolehkan ia dilihat dan disentuh. Jasad adalah ‘kenderaan’ bagi roh melaksanakan segala matlamat hidup.

Sedangkan kehidupan sebenar manusia tertumpu kepada roh. Roh adalah unsur yang wujud tanpa boleh dilihat dan disentuh. Justeru, kita mempercayai wujudnya roh berdasarkan penjelasan dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah bermaksud:

“Katakanlah! Bahawa roh itu daripada urusan Tuhanku. Dan kamu sekalian tidak diberikan pengetahuan kecuali hanya sedikit.” 
(Surah al-Isra, ayat 85).

Dalam firman lain dijelaskan mengenai roh dimasukkan ke dalam jasad. Firman Allah bermaksud: 

“Selepas Aku bentuk dengan sempurna, lalu Aku tiupkan ke dalamya roh.” 
(Surah al-Hijr, ayat 29).

Akal manusia juga menerima hakikat kewujudan roh berdasarkan perlu adanya satu ‘kuasa’ yang membolehkan jasad hidup.

Oleh itu kepercayaan mengenai wujudnya roh turut dipercayai semua fahaman agama dan kepercayaan.

Roh dipisahkan daripada jasad apabila tiba masa kematian manusia dan kemudian dipindahkan ke alam barzakh. Pada saat kematian di mana roh akan dicabutkan daripada jasad akan merasai keperitan mengikut amalannya.

Pedih dan ngerinya saat ketika roh dicabutkan daripada jasad diumpamakan seperti pohon berduri dimasukkan ke dalam badan, yang setiap durinya berkait dengan urat, lalu ia ditarik keluar dengan kuatnya sehingga memutuskan apa yang terputus dan meninggalkan apa yang masih tertinggal.

Kesakitan ketika menghadapi malaikatulmaut dirasakan seperti tidak akan hilang-hilang. Diceritakan, Nabi Isa a.s. ketika bertanya kepada orang mati yang dihidupkan semula dengan katanya: “Berapa lama kamu sudah mati?” Lalu dijawab oleh yang mati itu: “Sejak empat ribu tahun lalu, tetapi belum hilang rasa pedihnya maut.”

Kehidupan manusia sememangnya sentiasa dibayangi bisikan syaitan agar manusia melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah dan mendatangkan keburukan kepada kehidupan.

Syaitan mempengaruhi nafsu agar inginkan kesenangan hidup di dunia semata-mata dan melupai kehidupan akhirat.

Firman Allah bermaksud: 

“Dihiaskan kepada manusia nafsu yang inginkan perempuan, anak keturunan, harta benda emas perak, kuda, binatang ternakan serta kebun tanaman, semua itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (yakni syurga).” 
(Surah Ali Imran, ayat 14).

Segala unsur yang dikehendaki nafsu hanya bersifat sebagai perhiasan hidup di dunia semata-mata. Ia tidak memberi apa-apa makna lagi apabila manusia meninggal dunia.

Kesan nafsu yang berjaya dipengaruhi oleh syaitan amat buruk. Sememangnya syaitan bersumpah ingin mendatangkan keburukan kepada kehidupan manusia.

Seseorang itu hanya dapat menjauhkan penguasaan syaitan terhadap dirinya jika sentiasa mendekatkan kepada Allah dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang.

Sesungguhnya nafsu tidak mengenal usia. Justeru, masih ramai orang sudah di ambang maut, tetapi masih tidak insaf untuk memperbaiki kehidupan. Hidup masih bergelumang dosa dan perasaan seperti masih muda dan ingin hidup seribu tahun lagi.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: 

“Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah s.a.w. menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: 

“Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat dulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau bilau.” 
(Hadis riwayat Hakim).

Sesungguhnya penyakit itu hanya dapat diubati dengan mengamalkan sikap takwa yang sebenar-benarnya. Mukmin sejati tidak sekali-kali mengamalkan sikap bertentangan dengan apa yang disyariatkan.

Lantaran kehidupan di dunia ini hanya sementara, tidak wajarlah bagi sesiapa juga mengutamakan kehidupan di dunia lebih daripada pencarian untuk bekal hidup di akhirat.

Al-Hasan al-Bashri berkata:
“Barang siapa ingin melebihkan dunia daripada akhirat, maka Allah akan berikan seksa kepadanya enam seksaan. Tiga di antaranya di dunia dan tiga lainnya pada akhirat.

“Adapun tiga di dunia ialah angan-angan yang tiada kesudahan, keinginan yang tiada batasnya dan hilangnya kemanisan ibadat.

“Ada pun yang di akhirat ialah kebingungan yang hebat pada hari kiamat, hisab yang hebat dan kesedihan yang berpanjangan.”


Bagi memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa dikuasai akal dan bukannya nafsu.

Akal akan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan.

Dengan kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan sempurna amalan kehidupan di dunia ini.

Atas matlamat itu, kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak tergelincir daripada landasan keimanan.

Allah menjanjikan balasan hidup pada akhirat. Mereka yang tidak ragu-ragu dengan janji Allah sentiasa tenang melaksanakan tugas sebagai hamba yang taat dan mengharapkan keredaan Allah.

Sesungguhnya kehidupan ini hanya satu ujian. Siapa yang lebih mementingkan kehidupan di dunia, maka rugilah dia di akhirat nanti.

Firman Allah bermaksud: 

“Yang sudah menjadikan kehidupan dan kematian untuk menguji kamu, manakah di antara kamu yang paling baik amalannya.” 
(Surah al-Mulk, ayat 2).

Kaum tidak beriman hanya menjadikan dunia ini untuk menikmati kesenangan. Mereka sebenarnya tidak ubah seperti binatang.

Firman Allah bermaksud: 

“...Dan (sebaliknya) orang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang ternakan makan minum, sedangkan nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” 
(Surah Muhammad, ayat 12).

Biarpun kenikmatan hidup di dunia ini mempesonakan, ia tidak dapat menandingi apa yang disediakan pada akhirat. Apa yang dinikmati di dunia amat sedikit jika dibandingkan apa bakal dinikmati di akhirat bagi mereka yang lulus ujian daripada Allah.

Firman Allah bermaksud: 

“...Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit.” 
(Surah at-Taubah, ayat 38).

Islam tidak melarang manusia mencari kemewahan hidup di dunia, selagi tidak melanggar lunas ditetapkan. Malah sesiapa mencari kemewahan hidup di atas maksud mencari keredaan Allah, maka usahanya itu adalah laluan baginya menuju syurga.

Firman Allah bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta mereka dengan (balasan) mereka akan beroleh syurga disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah...” 
(Surah at-Taubah, ayat 111).

kredit: Xmeng


Salam Ukhuwah..~