Bacaan Popular

Rabu, 7 November 2012

Bagaimana Anda Menilai Pekerjaan Anda ?



Adakah anda mendapat kepuasan bekerja yang

setimpal dengan usaha yang anda berikan?



Sebagaimana yang kita ketahui, seseorang itu tentunya akan meletakkan keutamaan masing-masing apabila memilih pekerjaan. Untuk mengetahui sama ada pekerjaan atau kepuasan yang diperoleh daripada pekerjaan yang penting kepada anda, sila buat latihan yang telah disediakan di bawah. Latihan di bawah HANYA memberikan anda gambaran kasar tentang kepentingan pekerjaan anda dan kepuasan yang anda kecapi daripada pekerjaan anda itu.

Baca setiap soalan dengan teliti dan tandakan (/) untuk jawapan ya atau (X) untuk tidak.


Bagaimanakah Anda Menilai Pekerjaan Anda?

1. Mahukah anda membatalkan cuti anda jika anda mendapat peluang untuk kenaikan pangkat pada waktu yang sama?

2. Adakah anda menaruh harapan untuk hidup seperti seorang bintang filem pada satu hari nanti?

3. Pernahkah anda idamkan untuk membeli sebuah rumah yang lebih besar pada masa hadapan?

4. Adakah anda bekerja dengan harapan untuk membuka perniagaan anda sendiri pada satu hari nanti?

5. Apabila tiba masanya untuk membuat sesuatu keputusan, adakah mudah bagi anda untuk melakukannya?

6. Adakah anda mempunyai nilai-nilai diri yang boleh membuatkan anda berjaya dalam kerjaya anda?

7. Adakah menjadi terkenal itu menarik perhatian anda?

8. Adakah anda seorang yang sanggup menerima pujian daripada kerja yang telah dilakukan oleh rakan sekerja anda?

9. Adakah anda seorang yang suka memberi arahan kepada orang lain?

10. Bolehkah anda bekerja dengan orang yang anda tidak suka jika keadaan ini dapat meningkatkan lagi kedudukan anda di pejabat/syarikat itu?

11. Mahukah anda menerima tawaran pekerjaan yang lebih baik walaupun pekerjaan itu akan memisahkan anda daripada keluarga anda?

12. Adakah anda berasa yang anda lebih berkebolehan daripada orang lain?

13. Adakah anda akan menghadiri majlis atau perjumpaan yang diadakan oleh ketua/majikan anda daripada menghadiri majlis yang diadakan oleh rakan-rakan anda?

14. Adakah anda berasa bosan jika anda mengambil bahagian dalam permainan yang tidak mendapat perhatian ketua anda?

15. Pernahkah anda memikirkan bagaimana anda hendak meraikan kejayaan anda sebagai seorang jutawan?




Bagaimanakah kedudukan anda?


Setelah melakukan latihan yang diberikan, anda dikehendaki mengira jumlah markah yang anda peroleh. Untuk setiap jawapan Ya, berikan diri anda 1 markah.

Jika markah anda di antara 9 hingga 15, anda seorang yang bercita-cita tinggi dan mempunyai azam yang kuat. Anda menggunakan pekerjaan anda untuk mendapatkan kejayaan dan kekayaan. Anda mungkin kecapi kepuasan bekerja tetapi kepuasan bekerja itu tidak memainkan peranan yang penting dalam hidup anda.

Markah di antara 5 hingga 8 menunjukkan bahawa anda bekerja hanya untuk mendapatkan wang dan tidak lebih daripada itu. Hal ini bukan bermakna anda tidak ada peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, tetapi anda masih belum bersedia untuk melakukan pengorbanan yang diperlukan dalam pekerjaan itu nanti. Pada banyak ketika, anda mendapat kepuasan daripada pekerjaan yang anda lakukan.

Jika markah anda ialah 4 dan ke bawah, anda seorang yang tidak mementingkan darjat atau gaji yang lumayan. Anda lebih suka memilih pekerjaan yang memberikan anda masa lapang. Anda mendapat kepuasan daripada pekerjaan yang anda lakukan.
Artikel di atas dipetik daripada buku MENILAI POTENSI ANDA. 


kredit: rakangroup



Salam Ukhuwah..~

Selasa, 6 November 2012

Seks Bukan Kunci Utama Kebahagiaan



RAMAI yang percaya, dan ramai yang beranggapan seks adalah segala-galanya dalam sebuah ikatan perkahwinan. Kalau hubungan seks baik, akan bahagialah rumah tangga.

Benarkah begitu? Adakah ia punca utama kepada peningkatan kes perceraian setiap tahun?

Hakikatnya, perkahwinan bukan untuk melampiaskan nafsu seks atau keseronokan semata-mata. Perkahwinan sebenarnya satu ikatan, tugas dan amanah yang perlu dipikul serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Ya, ramai akui, salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan adalah bagi membenarkan satu hubungan halal antara lelaki dan wanita.

Dalam Islam, melalui perkahwinan hubungan tersebut bukan saja dibenarkan, malah pelakunya akan diberikan pahala sama seperti melakukan ibadat suruhan Ilahi.

Namun perlu diingat, bukan itu sahaja tujuan dan hikmah perkahwinan. Malah, kalau dilihat kepada hikmah perkahwinan yang tersenarai, kita telah diajar sejak di bangku sekolah lagi, 'keseronokan' itu adalah tujuan terakhir.

Ini petikan daripada silibus Sijil Pelajaran Malaysia, telitilah sendiri :

Menyenaraikan hikmah perkahwinan:

* Melahirkan zuriat yang bersih.
* Memupuk perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.
* Mengelakkan perbuatan maksiat.
* Melahirkan perasaan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah Allah.
* Memenuhi tuntutan rohani dan jasmani yang menjadi fitrah manusia melalui jalan halal.

Apabila seks menjadi hikmah terakhir dalam pensyariatan, jelaslah seks bukanlah kunci utama kebahagiaan. Lantas, di manakah terletaknya kunci bahagia rumah tangga?


Dua kunci utama

Seperti sebuah rumah, tidak cukup jika dikunci menggunakan satu kunci sahaja. Keselamatannya masih diragui. Paling kurang, ia memerlukan dua kunci iaitu satu kunci biasa dan satu lagi kunci mangga, barulah keselamatan lebih terjamin.

Sama dengan sebuah perkahwinan, ada dua kunci utama yang menjadi tulang belakang dalam usaha mewujudkan bahagia iaitu :

* Peranan yang dilaksanakan oleh suami dan isteri
* Isteri dan suami yang solehah


Peranan suami dan isteri

Suami dan isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri di samping tanggungjawab bersama yang perlu dilaksanakan.

Tanggungjawab suami adalah hak isteri. Tanggungjawab isteri pula adalah hak suami. Suami perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar isteri mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Isteri juga perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar suami mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Secara ringkasnya, tanggungjawab seorang suami adalah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah serta keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri dan bersikap romantik terhadap isteri.

Suami juga perlu bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa menunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.

Sementara itu, tanggungjawab seorang isteri pula termasuklah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami serta keluarga, menghormati suami dan menyenangkan hati suami.

Selain itu, tanggungjawab bersama bagi suami dan isteri pula adalah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga.

Sekiranya segala peranan dan tanggungjawab dilaksanakan dalam suasana penuh toleransi tanpa mengambil kesempatan, bahagia akan wujud walaupun hubungan intim bukan di takhta pertama.


Isteri solehah 

Sukar diakui, tetapi satu hakikat yang perlu diterima adalah isteri yang solehah sebenarnya kunci utama kebahagiaan hidup berumah tangga.

Bukan niat mahu memihak kepada kaum Hawa. Tanyalah pada mana-mana kaunselor sekalipun termasuk kaunselor lelaki, pasti semuanya mengakui, isteri adalah kunci kebahagiaan rumah tangga.

Imbas semula asal usul kejadian manusia. Allah menciptakan Hawa sebagai teman hidup Adam apabila Adam mengadu dirinya keseorangan dan kesepian dalam syurga.

Sebab itulah juga, alim ulama mengatakan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.

Wanita solehah adalah wanita yang menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malah, jika wanita itu seorang isteri, beliau isteri yang taat kepada suaminya selagi si suami tidak menyuruhnya melakukan kemaksiatan kepada Allah dan tidak melarangnya daripada melakukan suruhan Allah.

Ya sesungguhnya, isteri merupakan kunci kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Apa sahaja ujian dan dugaan yang mendatang dalam rumah tangga, sekiranya si isteri bersabar, bukan sekadar bersabar, tetapi berdoa memohon pertolongan Yang Maha Esa, insya-Allah, akan tiba masanya kebahagiaan yang diinginkan akan menjelma di depan mata.

Tiada yang mustahil kerana memang diakui, wanita bukan insan yang lemah. Wanita sebenarnya diciptakan dengan satu kekuatan yang hebat, tetapi sukar dilihat.

Lantaran, kepada semua wanita bernama isteri, anda penentu kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Peranan anda penting! Jika sayangkan perkahwinan, lakukan peranan anda dengan sebaiknya dengan diiringi doa. Dia Maha Mendengar dan Maha Mengurniakan.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Ahad, 4 November 2012

Jangan Bercinta Dengan Isteri Atau Suami Orang


CINTA dan kasih sayang itu anugerah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka". (Maryam, ayat 96).

Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan.

Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan. Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah s.w.t. menyebut tentang cinta iaitu keinginan: "Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa yang diingini."


Haram, harus dan makruh

Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri orang juga bukan luar biasa.

Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain.

Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya." (Hadis Riwayat Bukhari).

Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang.

Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang berkaitan iaitu harus atau makruh.

Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan anak-anak.

Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak.

Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada.


Faktor pencetus cinta yang salah

Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang ini ialah perkongsian masalah diri.  Ada suami orang yang berkongsi kisah dengan kawan wanita.

Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan suami orang.

Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.

Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu berbanding pasangan sedia ada.

Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama pasangan sendiri.

Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih.

Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan yang sepatutnya.

Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih 'rahsia' ini menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang. Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral masyarakat dan kehendak syariat.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.


Hindari cinta salah

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada bersama pasangan.

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi.

Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri.

Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian.

Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status dirinya.

Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati yang tinggi.

Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda.

Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka kepada-Nya.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Jauhi Akhlak Buruk Sangka


SEJAK akhir-akhir ini, sesetengah kita ghairah mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan kesannya terhadap individu dan sensitiviti orang lain. Dalam diri mereka, ada sikap mencari kesilapan orang yang tidak sependapat, malah ditabur fitnah dan penuh dengan buruk sangka.

Islam sentiasa menyuruh agar sentiasa bersangka baik sesama insan, baik kepada Muslim dan bukan Muslim sehingga ada keterangan dan bukti yang boleh kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Ayat Allah banyak mengingatkan kita bersangka baik kerana boleh menjamin kesejahteraan dan keamanan sejagat. Allah berfirman bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kamu daripada sangkaan (iaitu sangkaan membawa kerosakan) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…” (Surah al-Hujurat: 12)

Ayat Allah itu membawa suatu petunjuk kepada kita bahawa orang beriman sentiasa bersangka baik kepada insan, terutama sesama Muslim.

Ramai di antara kita hari ini gemar menilai perilaku individu lain. Lebih menyedihkan apabila kebaikan orang lain ditafsirkan mempunyai agenda dan matlamat tersendiri.

Ini jelas menyalahi apa dinasihatkan Rasulullah s.a.w:

“Aku tidak disuruh untuk menyelidiki setiap gerak hati manusia (membaca niat di hati manusia lain) dan perut mereka” (Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742)

Bagaimana kita berinteraksi dengan ayat Allah dalam surah al-Hujjurat dan juga hadis muttafaqun alaih (al-Bukhari dan Muslim) dalam konteks kehidupan harian kita hari ini? Jika kita meneliti dan mengamati firman Allah dan sabda Rasul itu, sudah pasti kita punyai tanggungjawab besar dalam menjaga diri, terutama dalam menilai dan menghukum orang lain. Ini dapat dilihat antara ahli politik dengan lawan yang tidak sebumbung.

Setiap kebaikan langsung tidak didahului ucapan terima kasih dan syukur, namun lidah cepat mengambil peluang menghunus parti lawan dan menyebarkan kepada orang lain agar tidak terpedaya dengan kebaikan. Ditambah lagi mereka mengambil urusan Allah dengan mempertikaikan kebaikan dan pemberian itu hanyalah sebagai gimik, strategi mengaburi masyarakat.

Sebagai umat Islam, adab terbaik dan akhlak yang dianjurkan adalah dengan sentiasa berterima kasih dan bersyukur. Menjadi prinsip kita sebagai umat Islam agar bila diberi kita bersyukur, bila diuji kita bersabar.

Akhlak buruk sangka ini haruslah dijauhi, terutama sekali dalam urusan politik. Tidak kira daripada mana parti, perbuatan yang baik hendaklah diadili dan dinilai dengan sangkaan baik.

Buruk Sangka Sesama Agamawan

Di antara pakar agama juga kadangkala budaya sangkaan buruk ini juga terjadi. Lebih buruk lagi jika yang berada dalam iklim dan pentas politik. Semestinya setiap gerakan, perkataan dan tulisan akan dikaitkan dengan politik. Lalu muncullah kumpulan yang mampu ‘membaca’ hati manusia lain. Lagak mereka seperti ahli sufi yang seolah-olah bijak mentafsir dan menterjemahkan bicara dakwah orang lain.

Dituduh mereka ulama keji, ustaz yang dibeli dengan memfitnah bahawa mereka disogokkan sejumlah wang ringgit dan diakhiri dengan membangkitkan rasa benci pada pakar agama yang tidak sependapat dengan mereka.

Mengapa tiada sangkaan baik atas usaha dakwah dijalankan? Apa yang melucukan, apabila bahan disampaikan pakar agama kebetulan sama dengan pendapat parti mereka lalu pakar agama itu akan dijulang, mendapat puji-pujian, namun jika berlaku sebaliknya, pakar agama itu akan dihempuk tanpa belas kasihan. Peringatan ini Allah abadikan dalam ayatnya bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Al-Maidah : 8 )

Buruk sangka dan khianat mengenai fakta

Akibat buruk sangka tadi dan juga lidah tidak terurus, maka akan timbullah perpecahan dan permusuhan di antara umat Islam. Lebih buruk lagi, jika ia dipelopori di kalangan ahli politik dan pakar agama. Mereka membawa bicara dan berita untuk ditebarkan pada masyarakat lalu masyarakat menerima tanpa menilai fakta tersebut.

kredit: Ustaz Ahmad Fauzan Yahya




Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 3 November 2012

Yang Pertama


1. 
Orang yang pertama menulis Bismillah :
Nabi Sulaiman AS.


2.
Orang yang pertama minum air zamzam :
Nabi Ismail AS.



3.
Orang yang pertama berkhatan :
Nabi Ibrahim AS.


4.
Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat :
Nabi Ibrahim AS.


5.
Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat :
Nabi Adam AS.


6.
Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa dan Marwah :
Sayyidatina Hajar (Ibu Nabi Ismail AS)


7. 
Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat :
Nabi Muhammad SAW


8. 
Orang yang pertama menjadi khalifah Islam :
Abu Bakar AsSiddiq RA


9. 
Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah:
Umar bin Al-Khattab RA


10. 
Orang yang pertama meletakkah jawatan khalifah dalam Islam:
Al-Hasan bin Ali RA


11.
Orang yang pertama menyusukan Nabi SAW:
Thuwaibah RA


12. 
Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki :
Al-Harith bin Abi Halah RA


13.
Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita:
Sumayyah binti Khabbat RA


14.
Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran :
Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA


15.
Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah :
Saad bin Abi Waqqas RA


16.
Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan azan:
Bilal bin Rabah RA


17. 
Orang yang pertama bersembahyang dengan Rasulullah SAW :
Ali bin Abi Tholib RA


18.
Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW:
Tamim Ad-dary RA


19. 
Orang yang pertama menghunuskan pedang dalam perjuangan fisabilillah : 
Az-Zubair bin Al- Awwam RA


20.
Orang yang pertama menulis sirah Nabi SAW:
Ibban bin Othman bin Affan RA


21. 
Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW :
Khadijah binti Khuwailid RA


22.
Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh :
Imam Syafie RH


23. 
Orang yang pertama membina penjara dalam Islam:
Ali bin Abi Tholib RA


24.
Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam :
Muawayah bin Abi Sufyan RA


25.
Orang yang pertama membuat perpustakaan awam :
Harun Ar-Rasyid RH


26.
Orang yang pertama mengadakan baitul mal :
Umar Al-Khattab RA


27.
Orang yang pertama menghafal Al-Quran selepas Rasulullah SAW:
Ali bn Abi Tholib RA


28.
Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah :
Khalifah Abu Ja̢۪far Al-Mansur RH


29.
Orang yang pertama digelar Al-Muqry :
Mus̢۪ab bin Umair RA


30. 
Orang yang pertama masuk Syurga :
Nabi Muhamamad SAW



kredit: rakangropup


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 2 November 2012

Antara Batu dan Pasir


"Salam ustazah, saya terasa sangat hilang arah... tak tahu apa yang perlu dibuat, difokus dan tidak gembira... keluarga dan suami, anak rasa terabai... ustazah minta bantu," kata Jannah kepada ustazah di kampungnya...

"Jannah ini seorang yang sibuk ke.... sibuk sampai tak ada masa?" tanya ustazah tersebut...

"Ya...." jawab Jannah.

"Boleh bagi ustazah 15 minit... jalan-jalan dengan di tepi pantai..." ustazah bercadang.

"Ustazah, buat apa jalan-jalan... saya tak ada masa.... kalau ada jawapan jawablah saja... tolonglah saya..." kata Jannah yang mula mengalirkan air mata....

Ustazah tersebut melihat Jannah yang kenangisan lalu membawa sebuah balang dan memegang tangan Jannah dan memaksa beliau ikut berjalan di tepi pantai...

Apabila terjumpa batu-batu yang agak besar, ustazah tersebut memungutnya dan memenuhkan balangnya....

"Mengapa ustazah masuk dalam balang... berat lah jadi balang ini... ingat ustazah nak pergi ambil air laut...." kata Jannah.

"Balang ini penuh tak?" tanya ustazah pada Jannah...

"Penuh dengan batu..." jawab Jannah....

Mereka meneruskan perjalanan... apabila terjumpa batu kerikil, ustazah memungutnya dan memasukkan ia dalam balang yang dipenuhi batu besar tadi....

Batu kerikil pun memenuhi ruang kosong antara batu-batu besar dalam balang tersebut....

"Lagi beratlah ustazah... buat apa masuk banyak lagi batu... dah tak muat dah..." kata Jannah...

"Penuh tak balang ini," tanya ustazah sambil bersenyum....

"Dah terlalu penuh..." jawab Jannah....

Kemudian, ustazah mengambil pasir halus dan memasukkannya ke dalam balang... ruang kosong balang kini dipenuhi pasir....

"Penuh tak balang ini?"

"Penuhlah... dah tak boleh masuk perkara lain... apa ustazah buat ini... beratlah balang itu..." kata Jannah....

Kemudian, ustazah menggunakan tangannya untuk menyedok air laut ke dalam balang yang penuh itu sehingga penuh....

"Penuh tak balang ini?"

"Ini dah melimpah dah ustazah... mestilah penuh..." kata Jannah...

Ustazah menyuruh Jannah memegang balang yang berat tersebut sekejap... dan bercerita...

"Jannah, bayangkan balang ini adalah hidup Jannah. Batu-batu besar tadi melambangkan perkara penting dalam hidup Jannah seperti, keluarga, anak, kesihatan, suami... benda-benda yang paling penting dalam hidup Jannah.

Tanpa batu kerikil, pasir mahupun air laut, hidup Jannah masih penuh seperti yg dijawab Jannah semasa ustazah masukkan batu-batu tadi ke dalam balang...

Jika Jannah mengambil berat mengenai batu-batu ini, masih ada ruang untuk perkara lain yang lebih penting seperti kereta, rumah dan pekerjaan seperti batu kerikil yang memasuki balang....

Yang lain dalam kehidupan seperti pasir dan air... adalah tidak penting... tapi masih boleh menjadi sebahagian hidup kita asalkan batu-batu besar diberi perhatian khusus....

Kalaulah balang ini, Jannah masukkan pasir dan air dulu... boleh ke Jannah masuk batu-batu besar ke dalam balang?"

............

Jannah tersengam. Tetiba balang yang berat itu terasa ringan dan dibawanya balik ke rumah... kehidupan Jannah berubah hari itu.

Jika kita menghabiskan masa untuk perkara-perkara tidak penting seperti pasir dan air... kita tiada masa untuk perkara-perkara yang penting untuk kita... Fokuskan perhatian kita kepada perkara-perkara yang kritikal kepada kegembiraan kita... yang lain akan ada ruangnya dalam kehidupan kita.

Jaga batu-batu besar dulu, itu yang penting... yang lain hanyalah pasir.

Senyum.

kredit: Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 1 November 2012

Kisah Seorang Pemuda 'Mencuri' Tabung Masjid



Suatu tengah malam, kecoh di masjid bandar. Seorang pemuda ditangkap kerana disyaki cuba mencuri duit tabung masjid. Lalu terjadilah soal-siasat antara AJK (Ahli Jawatankuasa) masjid dengan saspek.

AJK: "Mengaku je lah. Tak payah nak menipu la. Tipu dosa masuk neraka."

Pemuda: "Qulil Haq Walau Kaana Murra - Berkatalah benar walau pahit sekalipun. Saya tidak menipu. Saya tak bersalah. Saya tak curi duit tabung."

AJK: "Tak curi apanya, ni apa kebenda ni RM5000 dalam poket kau ni? Aku lempang jugak budak ni karang!"

Pemuda: "....Waiyya-yaa Farhabuun." (Surah al-Baqarah ayat 40) - kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain). Lempanglah. Bawalah saya ke balai polis sekalipun. Saya tidak gerun. Tapi, saya sedikit pun tidak akan mengaku bersalah mencuri."

AJK melempang pemuda tersebut di kaki lima masjid. Tersungkur pemuda tersebut. Hilang sabar juga AJK masjid.

AJK: "Cilake betul budak ni! Main dalil Quran pulak! Aku nampak kau panjat pagar masuk dengan mata kepala aku sendiri! Aku nampak sendiri ko curi tabung masjid!"

Pemuda: "Saya panjat ada alasannya."

AJK sudah berada di kemuncak kemarahannya kerana pemuda tersebut berani menjawab.

AJK: "Dasar kaki pil kuda! Pil khayal! Ha!! Kang Ni Makan Dia!" (sambil menghayunkan terajang ke perut pemuda)

Bilal: "Berhenti!!"

AJK: "Apahal?! Budak ni curi duit masjid ni!"

Bilal: "Sabar! Ana nampak kesemuanya. Kebetulan ana ada di belakang tiang masjid. Lepaskan dia. Itu bukan duit masjid."

AJK: "Apa?!"

Bilal: "Duit masjid awal-awal lagi setelah Isyak tadi diserahkan pada Bendahari masjid setelah dikosongkan tabung-tabung masjid. Ana nampak pemuda ini cuba memasukkan wang RM5000 itu ke dalam tabung masjid. Tapi akhirnya ditangkap anta."

AJK: "Dia panjat pagar masjid kot! Kaki pil ni!"

Bilal: "Jelaskan kenapa kamu panjat pagar masjid?"

Pemuda: "Saya panjat pagar masjid sebab masjid kunci sebaik sahaja selesai solat Isyak.

Sedangkan masjid itu rumah Allah terbuka 24 jam sepatutnya. Tetapi sedih sekali masjid hanya dibuka siang hari dan ditutup pada malam hari. Alasannya takut kecurian. Lalu, terpaksa saya panjat pagar tanpa ada pilihan lagi."

Bilal: "Mengapa kamu tidak masukkan duit ketika masjid buka?"

Pemuda: "Ramai orang pada waktu masjid dibuka.

Sedangkan ustaz saya menyebut, mengikut hadith....sedekah yang terbaik adalah - "Seorang yang memberi sedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya". Jika orang nampak saya masukkan duit dalam tabung masjid, saya bimbang pahala sedekah saya kurang. Saya bimbang saya jadi riak. Saya bimbang sedekah saya jadi sia-sia."

Bilal: "Dari mana duit sebanyak itu?"

Pemuda: "Ini dari simpanan saya sendiri selama setahun."

AJK: "Baik, kali ni kami lepaskan. Pergilah bersedekah."

Pemuda: "Maaf, kamu berdua sudah tahu niat saya. Saya dah tak boleh bersedekah di sini.

Biarlah saya pergi ke masjid lain. Terpaksa beritahu ini pun seperti riak. Astaghfirullahaladzim... Moga Allah bantu ikhlaskan hati ini kembali. Aamiiin"

Pemuda tersebut meminta diri dan meminta maaf kerana panjat pagar masjid.

AJK termenung memikirkan kejadian malam tu. Bilal pun masuk tidur.

Cerita ini cuma untuk di jadikan iktibar oleh Jawatankuasa Masjid. Sebab ada Jawatankuasa masjid yang asal pandang orang akan muncul andaian bahawa orang ini macam ni dan orang itu macam tu. Itulah sifat yang tidak elok, sifat yang menaruh curiga kepada orang lain. Sifat yang menyangka buruk kepada orang lain berdasarkan rupa serta pakaian. AJK yang sebegini kalau kita masuk saf sebelah dia dan merapatkan bahu kita ke bahu dia maka serta merta dia akan menjauhkan sedikit dari kita padahalnya bilal baru sebut, 'rapatkan saf...luruskan saf'.

Ada sesetengah masjid bila ada orang yang pakai 'T' shirt masuk dalam saf depan, nak pula berhampiran dengan imam maka di jelingnya seolah-olah memberi tahu bahawa saf depan ini untuk orang yang berjubah dan berserban sahaja.

Astagfirullah alazim...


kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~