Bacaan Popular

Ahad, 7 Oktober 2012

Lagu Menyokong Yahudi Yang Pernah Kita Layan Syok


Pernah tidak kita mendengar lagu 'River of Babylon' ini. Memang sedapkan. Tapi di sebalik lagu ini ada perkara yang tersirat. Dahulunya saya melayan juga lagu ni. Sebenarnya sudah lama saya tahu tentang lagu ini ada kena mengena dengan Zion cuma saya kurang memahami sejarah daripada lagu ini. Hari ini saya terpanggil untuk berkongsi apa sebenarnya di sebalik lagu ini.

Jelajah di internet akhirnya saya ketemu juga. Rivers of Babylon yang dinyanyikan oleh kumpulan dari Jerman di era tahun 70-an bernama Boney M. Penyanyi-penyanyi Boney M adalah Liz Mitchell, Marcia Barnett, Maizie Williams dan seorang jejaka Bobby Farell. Mereka semua masih lagi hidup kecuali Bobby Farrell yang telah mati pada 30 Oktober 2010. Selain daripada lagu ini kumpulan ini juga terkenal dengan lagu Daddy Cool


Sejarah 

Mengungkap bait-bait lagu ini, ada baiknya kita mengetahui latar belakang dan sejarah bangsa Israel.

Saat itu bangsa Israel telah terpecah menjadi 2 kerajaan iaitu kerajaan Israel di sebelah utara dengan ibu kotanya Samaria dan kerajaan Yehuda di sebelah selatan dengan ibu kotanya Yerusalem. Lalu kedua kerajaan ini sama-sama dijajah oleh negara tetangganya. Israel dijajah bangsa Asyur (Assyria) sedangkan Yehuda dijajah bangsa Babel (Babylon) yang sekarang ini kita kenal dengan nama Iraq.

Pada tahun 587 BC, hampir seluruh penduduk Yehuda diangkut menjadi tawanan ke negeri Babel yang sama sekali asing bagi mereka. Di sana mereka harus menenerima agama, kebudayaan dan bahasa orang-orang Kasdim tersebut. Bahkan nama mereka pun diganti, contohnya Daniel berganti nama menjadi Beltsazar.

Di negeri buangan itulah mereka teringat akan tanah air mereka. Mereka duduk sambil menangis di tepi sungai-sungai yang ada di Babel, salah satunya adalah Sungai Efrat yang sangat terkenal sejak zaman purba. Yang lebih menyakitkan lagi, para penjajah itu mengolok-olok mereka dan meminta mereka menyanyikan salah satu lagu pujian untuk Tuhan yang biasa mereka nyanyikan di negeri asal mereka.



Diilhamkan

Rupa-rupanya bait lirik lagu Rivers Of Babylon ini telah diilhamkan daripada petikan dalam siddur Psalm 137:1. Siddur adalah (dalam bahasa Hebrew: סידור‎; plural סידורים siddurim) merupakan buku untuk upacara sembahyang orang Yahudi mengandungi kumpulan lengkap tatacara dan rukun sembahyang mereka.


Kitab yang bernama The Complete Art School Siddur.
Untuk lebih jelas klik pada gambar untuk membesarkan imej.
Atau tekan Ctrl dan +


Lirik dan Makna Lagu


Psalm 137:1 Grace After Meals


Maksud lagunya lebih kurang beginilah

Di tepian sungai-sungai Babel, 
di sanalah kita duduk sambil menangis, 
apabila kita mengingat Zion.

Sebab di sanalah orang-orang yang menawan, 
menyiksa kita dengan meminta kita menyanyikan nyanyian sukacita. 
Bagaimanakah kita menyanyikan nyanyian TUHAN di negeri asing?

Jika aku melupakan engkau, hai Yerusalem,
biarlah menjadi kering tangan kananku!
Biarlah lidahku melekat pada langit-langitku, 
jika aku tidak mengingat engkau,
jika aku tidak jadikan Yerusalem puncak sukacitaku!


Lirik lagunya saling tidak tumpah sama seperti ayat di dalam buku sembahyang orang Yahudi. Makanya peminat muzik kumpulan Boney M berhati-hatilah apabila mendengar lagu mereka kerana kebanyakkan lirik mereka menyokong Yahudi dan adalah tidak terkejut jika mereka adalah sekelompok kaum Yahudi yang berkulit hitam dikenali sebagai Fallashah yang berasal dari Habshah atau Ethopia.
DJ-DJ stesen radio perlu lebih peka dan bertanggung-jawab terutama mereka yang beragama Islam dalam memutarkan lagu ke udara kerana pendengar sebenarnya bergantung kepada pemilihan lagu-lagu anda.  Andalah yang mencorakkan pendengar sebenarnya. Lagu bukanlah sekadar HIBURAN! Lagu merupakan jiwa yang seni bersemi dalam tubuh manusia yang suci. Janganlah ia dikotori.

kredit:Unit Takmir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 6 Oktober 2012

Kebanyakan Seksa Kubur Itu Disebabkan Air Kencing


Ibnu Abbas ra mengisahkan bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. melintasi dua makam, lalu beliau bersabda, "Sesungguhnya mereka berdua sedang di seksa, mereka berdua di seksa bukan di sebabkan melakukan dosa besar. Salah satu daripada mereka di seksa kerana TIDAK SAMPAI BERSIH SA'AT BERSUCI dari BUANG AIR KECIL. "Seorang perempuan Yahudi menemui Aisyah seraya berkata,

"Sesungguhnya azab kubur itu disebabkan air kencing." Mendengar perkataannya, Aisyah berkata, "Engkau bohong."Perempuan Yahudi itu menjelaskan, "Kerana air kencing itu mengenai kulit dan pakaian." Kemudian Rasulullah s.a.w. keluar untuk mengerjakan solat, sedangkan suara kami semakin keras terdengar (kerana ribut). Mendengar keributan ini Rasulullah s.a.w. bertanya, "Ada apa ini?" Aisyah pun meceritakan kepadanya apa yang telah dikatakan oleh perempuan Yahudi tadi, selepas Rasulullah s.a.w. bersabda, "Dia memang benar."

Abdul Rahman bin Hasaah mendengar Rasulullah s.a.w. bertanya,"Tahukah kamu apa yang telah menimpa salah seorang Bani Israil? Dulu, saat mereka terkena air kencing, mereka akan membersihkannya dengan memotong pakaian yang terkena percikan air kencing tersebut. Melihat perbuatan ini, orang itu melarang mereka, maka dia pun di azab dalam kuburnya.

Dalam hadis yang diriwayatkan dari Abu Huraihah ra secara mauquf, Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Kebanyakan siksa kubur itu di sebabkan air kencing."

Pada suatu malam 'Abdullah bin 'Umar pergi ke rumah seorang perempuan tua yang berhampiran rumahnya terdapat perkuburan. Lalu dia mendengar suara berbisik yang berkata,

"Kencing, apa itu kencing? Gayung, apa itu gayung?" 


'Abdullah bin 'Umar pun berkata, "Celaka, apa yang terjadi?"

Perempuan tua itu menjawab, "Itu adalah suara suamiku yang tidak pernah bersuci dari buang air kecil. "Mendengar penjelasan tersebut, 'Abdullah bin 'Umar berkata, "Celakalah dia! Unta pun kalau kencing akan bersuci, tapi dia malah tidak peduli. "Perempuan tua itu kembali bercakap kisah suaminya.

Ketika suamiku sedang duduk, ada seorang lelaki mendatanginya seraya berkata, "Berilah aku minum, aku sangat haus. "Suamiku malah berkata," Engkau membawa gayung sedangkan gayung kami bergantung. "


Orang itu berkata," Wahai tuan, berilah aku minum, aku hampir mati kehausan. "Suamiku berkata," Engkau membawa gayung. "

Akhirnya lelaki yang meminta air untuk minum itu meninggal dunia. Setelah itu, suamiku juga meninggal dunia. Namun sejak hari pertama dia meninggal dunia, seringkali terdengar suara suamiku dari arah perkuburan,

"Kencing, apa itu kencing? Gayung, apa itu gayung?"

* Nauzubillah min dzalik, ternyata perkara yang cuma kecil boleh menyebabkan kita mendapat siksa kubur. Banyak orang memandang remeh bersuci selepas buang air kecil (kurang bersih bahkan tidak bersuci sama sekali), padahal perkara yang remeh itu boleh menjadi malapetaka ketika kita masuk pada Alam Barzakh.

"Ya Allah, lindungi kami semua dari siksa kubur, siksa neraka, fitnah dari manusia yang masih hidup serta yang telah mati, fitnah dunia & alam barzakh, dan fitnah yang ditimbulkan oleh dajjal al masih, Aamiiinnn. "

kredit: Mohd Hanyzan Al Muari


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 5 Oktober 2012

Golongan Yang Sentiasa Menang



Daripada Mughirah bin Syu' bah r.a. berkata:

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Sentiasa dikalangan kamu ada golongan yang berjaya
(dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Mereka sentiasa berjaya".

(Riwayat Bukhari)


Keterangan:

Allah s.w.t. telah menjadikan umat Islam ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah s.w.t. berjanji akan memelihara kitabnya (Al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demigenerasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin di permukaan bumi ini. Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga kehari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat.

Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamaddun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai terhadap kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan di segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya dan sebagainya.

Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia di hari ini.Walaupun di hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya. Walau pun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur.

Walaupun syi'ar-syi'ar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di tempat lain syi'ar-syi'ar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walau pun aktivis-aktivis Islam di tindas dan di seksa pada suatu tempat tetapi di tempat lain mereka akan disanjung dan di hormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi ini hinggalah sampai pada masa yang di kehendaki oleh Allah s.w.t. Maka pada masa itu Allah s.w.t. akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal setelah itu hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir, maka pada saat itulah akan berlaku hari qiamat.

Jadi kita inilah golongan yang sentiasa menang.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 4 Oktober 2012

Setiap Perkataan Dibicarakan Menunjukan Keperibadian



ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza

dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang
menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu
bermuamalah dengan sesiapa saja,
termasuk kepada binatang
dan alam.


Keistimewaannya paling utama ialah Allah s.w.t. menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak menyakitkan hati sesiapa.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah s.w.t. yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud:

“Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap bicara mendapat keredaan Allah s.w.t.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.

Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w. mafhumnya: 

“Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.

Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu di elakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.

Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.

kredit: ustazcambodia


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 3 Oktober 2012

Gadis Mimpi Bertemu Ibu Di Neraka

Al Kesah maka terjumpalah satu e-mail dari rakan dalam group
yang dah lama 'inbox'. Baca punya baca menarik juga dan timbul hasrat untuk berkongsi dengan rakan tok dalam blog ini. Habis baca maka tok pun mula edit sana edit sini agar rakan-rakan lebih mudah membacanya. Beginilah kesahnya...


Seorang gadis datang menemui Rasulullah s.a.w. dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.

Lalu Rasulullah s.a.w. menegurnya, 

“Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?”

Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku padanya:

“Ya, Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini,” balas gadis tadi.

“Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku,” Rasulullah s.a.w. mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut.

“Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata.” Gadis itu berhenti seketika menahan sebak. “Kemudian kulihat ditangan kirinya ada seketul keju dan ditangan kanannya ada sehelai tuala kecil.

Ibuku mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran Islam dan seorang isteri yang ta'at kepada suaminya?

Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.

Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya ayahku berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga Nabi s.a.w. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku. 

“Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menangung azab di eraka.Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia kulihat ibu amat menta'atimu dan menurut perintah agama.

Lalu dijawab oleh ayah. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika didunia.

Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur. Seketika itu juga aku tersedar dari mimpi dan mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah.”

Panjang lebar gadis itu bercerita sambil air matanya tidak henti-henti mengalir dipipi. Rasulullah s.a.w. kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah.

Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat Islam. Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh. Rasulullah s.a.w. lantas berkata, 

“Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun.”
kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 2 Oktober 2012

Kudaku 'Keris' Namanya

Tahun 1998 seorang kawan menghadiahkan kepada tok seekor kuda yang bewarna putih. Ianya putih melepak cuma di bahagian mulutnya yang ada sedikit hitam kelabu. Nama asalnya 'Christ' seperti dalam surat beranaknya, lalu tok tukar namanya kepada 'Keris'.

Kuda ini baka 'throughbred' berasal dari New Zealand. Harga asalnya ialah RM 80k. Ia dari Divisen 1 dalam kelas perlumbaannya di Malaysia. Rumahnya di Malaysia ialah di Kelab Lumba Kuda Selangor (Selangor Turf Club). Selepas menmasuki 4 perlumbaan maka paru-parunya berair (flural effusion) dan di bawa ke Tanjung Rambutan kerana disana ada sebuah hospital untuk haiwan jenis kuda dan menjalani pembedahan.

Selepas menjalani pembedahan dan beransur sihat ia di bawa semula ke Selangor Turf Club. Pada suatu hari yang sesuai setelah lama berehat maka Keris dibawa ke  belapan untuk ujian lari (test run). Lalu hasilnya mengecewakan pemiliknya (rakan tok itu). Keputusan dibuat untuk keluarkan dia dari senarai pelumba. Dalam istilah doktor haiwan disebut 'delete'. Hukuman delete ialah dengan memangkah di bahagian dahi kuda yakni dua garisan dari telinga hingga ke mata. Ditengah-tengah silang itulah sebutir peluru akan di benamkan yang akan menghala ke otak. Dalam beberapa saat kuda itu akan mati. Sedih memikirkan nasib yang bakal menimpa kuda tersebut maka rakan tok ini mempelawa supaya tok mengambilnya untuk terus di pelihara di pusat reakreasi tok.

Ohhh... yer...lupa nak perkenalkan pusat rekreasi yang tok miliki. Ia adalah suatu kawasan 22 ekar dalam kawasan Bandar Tun Razak bersempadan dengan perumahan Sri Johor Cheras. Kawasan seluass ini tok pinjam dari DBKL melalui perjumpaan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur pada masa itu Elyas Omar. Dalam kawassan ini tok memelihara 16 ekor kuda untuk disewakan bagi tujuan.

1. Untuk mereka yang ingin belajar menunggang kuda.
2. Tujuan penggambaran drama atau filem.
3. Melepaskan gian penunggang kuda yang tiada kuda sendiri.
4. Bagi kekanak naik pada hujung minggu (petang) dengan ditemani oleh pekerja-pekerja yang bertugas menemani kekanak yang menunggang kuda.

Hasil dari pendapatan itulah tok membeli makanan untuk kuda makan. Makanan kuda memang mahal. Bila kuda tidak sihat ia memerlukan ubat. Untuk ubat selsema saja RM 30 setiap paket 1 gm. Sabun serta shampoo untuk kuda mandi dan alat-alat lain untuk 'polish' badan kuda yang sudah mandi. Penjagaan peralatan yang di pasang pada badan kuda termasuk 'saddle', 'reain', kasut kuda (ladam) dan pelbagai eksesori yang sentiasa kena beli dari masa ke semasa.

Berbalik kepada cerita 'Keris' tadi. Bila tak sampai hati untuk delete maka Keris dibawa ketempat tok. Mula-mula sampai ia seakan-akan seekor kuda liar. Pertama kali tiba di lokasi baru tok lepaskan ia dalam 'paddock' (paddock ialah kawasan berpagar kayu setinggi 5 kaki seluas 1/2 padang bola) maka berlarilah Keris sekuat-kuat hatinya kesana-kemari. Lagaknya seperti rusa masuk kampong. Lari punya lari sampai hujung paddock, serta merta ia berhenti dan lari pula kearah lain. Sampai hujung paddock ia berhenti lagi kerana ia tidak diajar melompat pagar. Ingat...kuda lumba tidak di ajar melompat. Kuda yang melompat pagar ialah kuda ekuestrian. Kuda untuk perlawanan polo pun tak di ajar melompat.

Setelah penat berlari kesana-kemari maka Keris pun insaf bahawa sekeliling paddock itu tiada kawasan untuk ia keluar melainkan cuma berlari dalam paddock. Setelah agak damai dan setelah mengenali sekeliling barulah tok hampiri dia. Pelan-pelan tok pegang hidungnya dan rapatkan pipinya pada badan tok. Tujuannya ialah 'salam perkenalan'. Disitulah ia mencium bau badan kita.

Rupa-rupanya Keris adalah jenis kuda yang paling jinak dan manja yang tok pernah miliki. Itulah kuda yang paling tok sayang. Warna mulutnya yang pada asalnya hitam kelabu bertukar menjadi putih semuanya. Ia hidup sehat dan selalu menjalankan tugas membawa kekanak berjalan-jalan dalam paddock pada setiap hujung minggu dengan tenang. Atau membawa mereka-mereka yang ketageh lama tak menunggang kuda. Dan bagi mereka yang telah pandai menunggang kuda tok benarkan mereka membawa Keris keluar dari paddock untuk berjalan atau berlari disekitar Bandar Sri Permaisuri sekarang ini. Tapi waktu itu Bandar Sri Permaisuri belum wujud lagi. Yang ada cuma rumah setinggan dengan jalan tanah merah yang berlubang sana berlubang sini.

Pada tahun 2001 apabila perjanjian untuk meminjam tanah DBKL tamat maka tok terpaksa mengosongkan tanah tersebut untuk pembangunan kepada Danau Lumayan Sdn Bhd. Keris tok jual kepada seorang kawan yang kemudiannya telah membawa Keris ke Melaka. Katanya Keris dibawa ke pantai Kelebang untuk kerja mengambil sewa disana. Tapi setiap kali tok ke pantai Kelebang di Melaka tok cuba cari Keris tapi tak jumpa.

Namun perasaan rindu kepada Keris tok simpan semuga suatu hari nanti tok akan dapat juga bertemu dengan Keris, kalaupun tidak di dunia mungkin disana. Insyaallah...


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 1 Oktober 2012

20 Amalan Membuka Pintu Rezeki


Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya
untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca 
kebaikan
dunia dan akhirat. 
Diantaranya:


1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” 
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)


2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” 
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)


3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)


4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” 
(Ar-ra’d: 28)


5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)


6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” 
(Riwayat Bukhari)


7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)


8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.


9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”


10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.


11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” 
(Riwayat Bukhari)


12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” 
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)


13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” 
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)


14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .


15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” 
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)


16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” 
(Ibrahim: 7)

Firman-Nya lagi: 

“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” 
(Ali Imran: 145)


17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.


18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.


19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. 
(Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.


20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” 
(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” 
At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

kredit: hanan.com.my


Salam Ukhuwah..~