Bacaan Popular

Isnin, 20 Februari 2012

Kesah Zaman Dulu-dulu



Kerbau adalah satu haiwan yang penting untuk mengerjakan sawah padi pada masa dulu. Setiap keluarga yang bersawah padi, pasti mempunyai kerbau setidak-tidaknya seekor. Siapa-siapa yang tidak mempunyai kerbau dan tidak mampu untuk membeli kerbau maka boleh pula berbincang dengan orang yang ada kerbau bagi mendapatkan kerbau tanpa mengeluarkan wang. Bagaimana caranya?

Caranya ialah dengan menjaga kerbau tersebut pagi petang siang malam sampai kerbau tersebut beranak dan bila sudah cerai susu maka anak kerbau tersebut jadi milik orang yang menjaganya.

Tapi kalau orang yang di bawa berbincang tersebut tidak ada kerbau betina maka kena cari pula dengan orang yang ada kerbau betina untuk di kahwenkan. Bila sudah bunting maka orang yang hendak kerbau kena jaga kerbau betina yang bunting itu sampai dia beranak, sampai cerai susu. Sungguh cantek sifat tolong menolong dalam sebuah kampong pada masa dulu.

Tok Wan sendiri pernah menunggang kerbau seperti dalam gambar di atas suatu masa dulu. Kebetulan masa itu cuti sekolah, tok pergi ke rumah Pak Anjang (adek kepada arwah mak) di Kampong Kelompang, Mukim Jerlun Kedah Darul Aman.

Masa itu kebetulan Pak Anjang ada seekor kerbau yang dinamakan 'Awang'. Awang ni memang jinak, bila kita panggil nama dia, dia akan memandang kita, bila kita panggil suruh dia datang pada kita dia akan datang pada kita. Jinaknya si Awang ni sama seperti jinak kuda yang boleh kita bagi arahan melalui mulut sahaja.

Jadi apabila hendak mandikan awang ni tak susah sangat. Kita masuk dalam sungai atau parit tali air kemudian kita ajak dia masuk sama pasti dia masuk mandi bersama-sama kita, apalagi masa itulah kita siram badan dia dan bersihkan badan dia dari kotoran selut atau lanyau (lumpur).

Selesai mandi kita boleh naik belakang dia dan bagitau pada awang, 'Jom balik', pasti dia akan bawa kita balik sampai ke rumah. Sampai laman rumah pasti pula dia berhenti. Dan apa yang lebih menarik lagi tentang awang ialah kalau kita nak supaya dia jalan cepat kita cakap pada dia,'Cepat Awang....hah...', maka serta merta dia akan tukar gear dari gear 2 kepada gear 3 atau 4 seperti mana yang kita mahu.

Bila kerbau yang bernama Awang ni dah faham bahasa kita maka mudah kita nak suruh dia buat apa-apa kerja seperti membajak sawah, menarik 'Anok' atau berlumba bersama kerbau-kerbau lain di dalam kampong itu. Pertandingan kerbau selalu di adakan bagi mencari kerbau terkuat dalam perlumbaan. Pertandingan laga kerbau pun ada juga masa tok kecil-kecil dulu, tapi pertandingan tersebut terpaksa di adakan sembunyi-sembunyi takut Polis tahu sebab laga kerbau satu perbuatan salah di sisi undang-undang.

Sekarang ini nak mencari kerbau sangat susah. Pernah sekali Hang Mokhtar penyanyi lagu-lagu humor yang popular tu minta tok masukkan footage kerbau dalam video-clip lagunya 'Kocik-kocik Den Jago Kobau'penat juga mencari.

Satu hari suntuk dari pagi sampai nak masuk maghrib baru jumpa kerbau, itupun tempatnya teramat jauh, di Kampong Hujung Pasir, Sri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan Darul Khusus. Tempat tu namanya pun dah Hujung Pasir sudah pasti seperti di hujung dunia, line hotlink takder, line digi pun takder nasib baik tok bawa juga tepon yang guna line celcom, kalau tidak sudah pasti terputus hubungan dengan dunia luar.

Kerbau di Sri Menanti nie kebanyakannya kerbau liar. Walaupun ianya kerbau liar tetapi masih mempunyai tuannya masing-masing. Hanya tuannya sahaja yang tau mana satu kerbaunya. Kerbau-kerbau ini tidur dalam kebun kelapa sawet dan mereka sentiasa bergerak dalam satu kumpulan yang besar yang terdiri antara 20 hingga ke 50 ekor.

Ringkas cerita kerbau-kerbau ini sudah tidak ada kerja berat seperti moyang mereka dulu yang setiap hari membantu tuannya mengerjakan sawah padi. Selain faktor sawah padi sudah di usahakan oleh jentera, sawah padi yang sudah tidak di usahakan pun semakin bertambah. Kalau dulu tanah di tepi jalan itu sawah padi maka kini sudah bertukar menjadi ladang kelapa sawet atau ladang buah 'Naga'.

Tapi hari ini kalau anda bercadang nak buat kenduri dengan daging kerbau anda boleh membeli seekor kerbau yang murah beharga antara RM 3k dan yang paling mahal RM 5k (yang gemok) di Terachi yang terletak berhampiran dengan Sri Menanti. Di sana kerbau di sembelih dan di lapah sampai bersih, anda cuma bawa balik daging serta tulang sahaja. Kalau nak buat 'Aqiqah sangat sesuai.


Ini adalah 'Anok' sebuah alat yang (kenderaan) di tarik menggunakan tenaga kerbau. Kayu yang anda nampak bengkok tersebut akan di letakkan pada tengkok kerbau.

Anok biasanya di gunakan untuk membawa padi atau anak-anak padi dari tapak semai ke tapak tanaman. Anok juga di gunakan untuk mengangkut padi yang telah di isi kedalam guni sewaktu musim menuai untuk di bawa balik ke rumah. Oleh kertana jalan yang baik hampir-hampir tidak ada di sesuatu kawasan sawah padi maka ada juga anok yang di gunakan untuk mengangkut padi dari kampong ke tepi jalan sehingga menjangkau jauh sekitar lima batu atau lebih. Di Thailand terutama daerah Chengrai ada anok yang digunakan untuk membawa padi sehingga ketep[i jalan jauhnya sampai 12 batu.

Di Malaysia anok sudah tidak di gunakan sebab hampir semua kampong telah mempunyai jalan tar atau jalan tanah merah sekurang-kurangnya, dan petani boleh menggunakan motorsikal mereka untuk mengangkut padi yang telah masak atau pun terus masuk kedalam lori. Ada juga mesin padi yang terus menghampiri pinggir jalan dan mencurahkan padi terus kedalam lori di tepi jalan tersebut.


Anok di gunakan dalam kehidupan moden hari ini sebagai penarik pelancong.

Pengalaman menaiki anok semasa di Kampong Kelompang dulu memang satu pengalaman yang tak dapat tok wan lupakan sampai bila-bila. Kita cuma duduk atas anok bersama-sama guni-guni padi dan si awang akan menarik anok tersebut sampai depan rumah. Hari ini mungkin jentera Kubota boleh di gantikan dengan awang namuin tak sama sebab jentera kubota memerlukan minyak, untuk memulakan kerja harus mencari minyak dulu.

Berbeza sangat dengan kerbau yang tidak memerlukan minyak. Cuma bagi makan rumput, potonglah rumput yang banyak tumbuh meliar di tepi tali air dan bawa balik bagi kerbau makan. Bila kerbau tersebut sudah tua boleh di sembelih untuk kenduri kawen. Waktu itu kalau kenduri kawen takder daging kerbau memang tak best.

Dalam perjalanan semasa shooting filem 'Momok Jangan Panggil Aku' dulu tok sempat singgah kenduri kawen orang di Temerloh. Mereka memasak daging kerbau. Kata mereka kalau kenduri kawen takder kerbau tak ummphh. Alhamdulillah...masih ada lagi orang yang nak bela kerbau dan menggunakan kerbau sebagai bahan utama dalam kenduri-kendara.

Bagaimana dengan anda. Pernahkah makan daging kerbau? Kalau belum pernah sila utamakan jemputan kawen orang Kuala Pilah khususnya Sri Menanti ataupun Terachi ataupun Temerloh, pasti anda akan berjumpa dengan masakan daging kerbau.



Salam Ukhuwah..~

Ahad, 19 Februari 2012

Apabila Anda Marah


Apabila Anda marah, Anda sebenarnya sedang meletakkan diri Anda di depan pintu gerbang sikap negatif.



Marah adalah emosi negatif paling kuat.

Sesiapa yang selalu marah maka dia adalah orang beremosi negatif. Sikapnya juga automatik jadi negatif.

Emosi negatif lain adalah benci, dendam, sakit hati, cemburu.



Marah Sifatnya Api

Apa saja yang bersifat api akan memusnahkan.

Memusnahkan persahabatan, memusnahkan motivasi, memusnahkan cinta antara suami isteri,

memusnahkan cinta antara seorang hamba dengan TUHAN juga memusnahkan iman di dalam diri.



Amatlah merugikan jika anda kehilangan yang di miliki hanya kerana menurut nafsu amarah

demi kepuasan diri yang sementara.



Apabila Anda marah, berikut adalah dua perkara yang Anda perlu lakukan.





1. Cuba bertenang.

Jangan lawan marah. Makin di lawan, makin terasa mau marah. Tenangkan diri. Tenangkan emosi.

Tarik nafas supaya Anda beroleh kekuatan untuk menenangkan diri.

Hampirkan diri Anda dengan tempat yang sejuk, yang kurang orang dan kurang kebisingan.

Lebih afdal jika anda dapat mengambil wuduk dengan segera.



2. Amalkan Maaf.



Maafkan orang yang Anda marah dan jangan ingat lagi kesalahannya. Anggap tidak ada apa-apa berlaku.

Anggap macam biasa (Nota: hal ini sangat mencabar. Ia memerlukan latihan berterusan!

Ego mendorong Anda tidak mahu melupakan perkara yang membuat Anda marah.

Hati-hati dengan diri sendiri, termasuk diri saya juga).



3. Turunkan ego.

Bagaimana?

Jangan ungkit pasal siapa Anda, untuk mendabik dada dengan jawatan Anda, duit Anda,

gaji Anda, kedudukan Anda, pangkat Anda, anugerah-anugerah Anda, pujian-pujian yang pernah diberi kepada Anda,

tahap pendidikan Anda, paling penting sekali jangan ungkit kebaikan-kebaikan Anda.



Mengungkit hanya menyebabkan ganjaran pahala menjadi kosong , jangan sampai anda menjadi

orang yang muflis di akhirat walaupun telah membuat beribu-ribu kebaikan.



Ingatlah dosa-dosa Anda. Anda bukan siapa-siapa, cuma hamba yang hina.

Nafas Anda dan nyawa Anda bukan milik Anda (semuanya milik Dia) jadi tidak ada sebab untuk Anda riak

atau menyombong diri.



4. Beristighfarlah.



Mohon ampun kepada Allah. Istighfar dapat mencuci hati dan menghilangkan marah,

seperti mana air biasa menghilangkan kepanasan api yang sedang membara.



Pesanan ini untuk diri saya juga.


kredit: Maslina Omar


Salam Ukhuwah..~

Main Cak-cak Dengan Adek


Masa kecik-kecik dulu Tok Wan suka main cak-cak dengan adek-adek yang masih kecil. Bila adek yang kecil tu dah besar sikit dah tak seronok main dengan dia. Mak bawa balik adek baru dari hospital. Tok tanya mak 'Mak ambil kat mana adek nie?' Mak kata, 'Ambil kat hospital'. Hampir setiap tahun mak akan bawa balik adek baru, jadi Tok Wan ada banyak peluang untuk bermain dengan adek-adek yang masih kecil.

Adek beradek Tok Wan sebenarnya ada tiga belas orang (13). Dan sebenarnya Mak tok wan dah meninggal dunia. Al Fatehah untuk arwah mak yang banyak mengajar tok wan jadi dewasa.

Semasa muda mak kawen kali pertama dengan seorang lelaki yang kemudiannya setelah mendapat dua anak lelaki mereka bercerai, mak kawen pula dengan ayah tok wan, setelah mendapat empat orang anak ayah tok wan pula meninggal, kemudian mak kawen lagi dan dapat tujuh orang anak. Jadi dalam kalangan anak-anak mak tok wan ialah anak ke enam.

Rumah kami masa tu di Jalan Travers Kuala Lumpur, rumah quaters KTM. Kalau korunk semua nak tahu lokasi tepat rumah tok wan ialah dekat tempat korunk tunggu KTM Komuter di KL Sentral tu. Itulah tapak rumah tok wan dulu. Setiap pagi buka jer pintu depan nampaklah tersergam indah bangunan Muzium Negara.

Waktu yang paling riuh dalam rumah kami ialah waktu makan malam (kira-kira jam 6.30 waktu tu, waktu sebelum jam di ubah menjadi cepat 30 minit).

Waktu itulah mak paling sibuk menyediakan pinggan makan kami adek-beradek. Masing-masing ada pinggan (pinggan tin / pinggan ayan) masing-masing. Tak puas-puas mak berleter dalam banyak hal bila masing-masing berebut pinggan atau berebut lauk. Waktu tu kami tak kesah lauk apa pun janji ada makan. Memang nak makan waktu tu agak susah, makanan jenis mewah jarang ada, yang selalu Mak buat ialah sambal tumis ikan bilis.

Dalam sibuk-sibuk makan tu sempat juga mak bersuara lagi. "Jangan pukul orang tengah makan". Itu ayat yang selalu mak pesan. Ketika kanak-kanak tok dan adek beradek sering bergaduh. Kadangkala ketika makanpun bergaduh lalu terlepaslah pukulan rambang "kedebuk!" kena belakang ketika tengah suap makanan ke dalam mulut. Apa lagi tersedak dan tersembul keluar nasi dari mulut.

Bila dah dewasa ni baru tok perasan ada hikmah dari larangan mak itu.

Perbuatan pukul orang ketika makan merupakan pantang mak. Siapa yang langgar pantang tersebut alamat cari nahas yang amat besar. Bukan saja sesama adik beradik. Siapa saja yang nak rotan anak yang tengah makan akan ditegah oleh mak. Sampai dah tua sekarang ini tok wan bila melihat orang yang tengah makan mendatangkan satu perasaan syahdu dan belas yang amat sangat kepada orang yang tengah makan tersebut.

Budak atau orang dewasa atau orang tua, seburuk manapun perangainya yang membuatkan kita meluat pada individu tersebut, apabila melihat dia sedang menyuapkan makanan ke dalam mulutnya akan menyebabkan perasaan meluat pada orang itu hancur luluh. Terus timbul perasaan belas dan kasih pada orang yang tengah makan.

Tok percaya jiwa kita akan terbentuk menjadi jiwa yang pemaaf dan lembut.

Patut lah orang tua-tua dulu kata waktu makan tak baik marah-marah atau pukul memukul antara adek beradek maupun orang lain. Waktu tak makan sebelah petang ketika cuaca redup elok kita main cak-cak lagi dengan adek kita, jikalau adek dah besar-besar mainlah dengan anak-anak, kalau anak pun dah besar-besar elok main dengan cucu pula. Kalau semua pun takder mainlah dengan anak jiran.

Semuga kita semua menjadi insan yang pemaaf dan lembut hati sanubari.


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 18 Februari 2012

Jepun: Muslim Tanpa Islam



Bercerita tentang Jepun, ramai yang memuji sifat masyarakatnya yang berdisiplin, menepati masa, menjaga kebersihan dan macam-macam lagi. Benar, di sini kita dapat melihat Muslim tanpa Islam. Namun, dalam macam-macam yang dikatakan orang itu, satu yang menarik perhatian saya.

Ramai yang bertanya, lelaki Jepun handsome tak?

Saya akan garu kepala dan senyum. Sebab kan beauty lies on the eyes of the beholder.

Tapi kalau ada yang bertanya, nak kahwin dengan lelaki Jepun tak?

Saya akan jawab nak!!!


Lelaki Jepun

Rata-rata masyarakat di sini berkahwin lambat. Namun, dapat dilihat mereka yang berkahwin adalah mereka yang benar-benar bertanggungjawab terhadap keluarga mereka. Saya sangat kagum dengan sifat para suami atau ayah di Jepun.

Setiap pagi, dalam perjalanan ke university, inilah pemandangan yang saya lihat.


Ayah berpimpinan tangan dengan anak-anak kecil mereka, berjalan bersama ke sekolah sebelum ke tempat kerja masing-masing.

Kalau dilihat dalam train pula, apabila anak-anak kecil menangis atau merengek, maka si ayah yang akan mendukung dan menghiburkan hati si anak.


Apabila berjalan bersama isteri dan anak-anak, si ayah yang akan mendukung atau memimpin si anak. Si ibu pula hanya menolak stroller kosong atau tertawa melihat telatah suami dan anak.


Ayah berbasikal membawa anak dalam raga, ayah melayan rengek si anak. Pemandangan yang biasa dilihat di sini. Pemandangan yang sangat jarang dilihat di tanah air kita sendiri. Sifat penyayang mereka terhadap keluarga dan anak-anak, sifat prihatin terhadap kaum wanita yang telah melahirkan zuriat untuk mereka, benar-benar mengagumkan. Memang banyak lagi sifat buruk lelaki Jepun, tapi dalam buruk-buruk perangai mereka, mereka sangat baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

Wanita Jepun

Pernah juga saya dan rakan-rakan melepak di masjid di sini, si ibu(Jepun) masuk bersama anaknya yang sedang menangis dan mengamuk sehingga menggulingkan diri di lantai masjid. Kami yang sedang makan pun berasa tidak sedap hati, lalu seorang sahabat saya membawa coklat dan menghulurkan kepada si anak untuk memujuknya daripada terus menangis, namun jawab si ibu,

“Daijoubu desu. Ima daiji na tokoro desu.”

“Tak mengapa. Sekarang masa yang penting.”

Masa untuk si ibu mentarbiyah anak untuk berperangai lebih baik. Lalu kami mendengarkan pertuturan mereka.

“Aisyah, awak nak ape? Kalau awak nangis-nangis macam ni mama tak faham. Nangis-nangis ni baby je. Aisyah bukan baby lagi. Awak nak ape? Nak buat ape?”

“Cakap. Kalau nangis memang mama tak faham. Awak bukan budak kecik lagi dah.”

Mereka melayan si anak sewajarnya seperti orang dewasa. Patutlah anak-anak kecil di sini tak banyak meragam. Didikan itu bukan dengan memberikan mereka apa yang mereka mahukan, tetapi mengajar mereka untuk berfikir dan bertindak sewajarnya sesuai dengan usia mereka.

Kalau dalam train pula, apabila anak-anak yang telah boleh berjalan, lingkungan 4 hingga 6 tahun bermain-main atau membuat bising, si ibu akan menyuruh mereka agar berdisiplin sambil menunjukkan tanda-tanda jangan bising, sila pegang penghadang untuk mendisiplinkan mereka. Dalam kelembutan wanita-wanita Jepun, mereka sangat serius dalam mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna.


Masih belum terlambat

Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Lagi sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)

Masih belum terlambat untuk kita semua merubah diri dan sifat diri mencontohi yang terbaik, Rasulullah SAW dalam bergaul dengan keluarga. Kalau mereka yang tiada aqidah Islam, mampu untuk menghormati wanita dan anak-anak, menyayangi keluarga, kerana itulah fitrah manusia yang telah ditetapkan olehNya. Apatah lagi kita yang Allah ganjarkan bermacam-macam ganjaran apabila berbuat baik kepada ibubapa dan keluarga.

Jom usaha kembali kepada fitrah!!



kredit: Fairuz Hakim Nor Azim


Salam Ukhuwah..~

Alhamdulillah...Tapi Jangan Politikkan Segala-galanya


Syukur Alhamdulillah...

Negara kita Malaysia masih aman, tidak berlaku pertumpahan darah kecuali eksiden kecil-kecil sana-sini atau amukan kecil yang mungkin menyebabkan seorang atau dua orang menjadi mangsa.

Syukur juga kerana walaupun arena politik yang selalu disebut orang sebagai arena yang kotor masih tidak terlalu kotor di sini sebab belum berlaku sehingga angkat senjata, tembak-menembak antara dua pasukan penyokong parti politik masing-masing.

Di tengah2 pentas negara kita kini, nampaknya para pemain dan pelakonnya rancak bermain politik. Semua lakonan, dialog watak2nya, pemandangan, latar belakangnya adalah lakonan politik, iaitu lakonan politik realiti, atau imaginasi, persepsi dan sebagainya.

Politik yang dimainkan adalah politik kepartian yang mempunyai rencah taksub, fanatik, berat sebelah, dan dipenuhi dengan tuduhan melulu, fitnah, sandiwara, ditambah dengan peluru dan kata2 kesat, maki hamun, jauh dari adat tradisi dan budaya bangsa serta agama yang berpandukan kepada sikap lemah lembut, adab sopan, tata susila, akhlak dan nilai2 moral yang diwarisi selama ini.

Orang boleh berkata kepada orang lain, tidak kira siapa lagi, dia Sultan, Perdana Menteri, tokoh agama, ketua kaum, orang yang seharusnya di hormati, orang yang berjasa, dan sesiapa saja, asalkan dia bernama manusia, dan semuanya sesama manusia, maka setiap orang bebas berkata kepadanya apa2 yang dikehendakinya, sama ada dalam bahasa kasar, bahasa biadap pada ketika2 yang tertentu dan maki hamun yang kadang2 amat memalukan.

Saya rasa semuanya dibolehkan oleh norma2 politik kepartian sekarang ini, kerana politik kepartian seolah2 merupakan lesen untuk seseorang itu bercakap kasar dan membuat fitnah, melemparkan tuduhan, melepaskan dendam kesumat, malah tujuannya hanyalah satu iaitu untuk mendapat pengaruh dalam masyarakat, dan mendapatkan simpati orang awam, terutamanya orang yang akan mengundi dalam PRU nanti.

Lesen ini kadang2 boleh digunakan untuk menjual maruah, menggadai agama, mempertaruhkan bangsa, dan yang lebih merbahaya lagi meletakkan negara keseluruhannya dalam tangan2 seteru yang sedang mengintai2 untuk merosakkan negara ini.

Oleh itu, saya rasa, apa2 saja yang berlaku dalam negara ini semuanya tidaklah harus dipolitikkan secara sempit begitu. Isu ekonomi, pendidikan, kemiskinan, kesihatan, perumahan, ikan dan telor, susu dan minyak masak, sungai dan parit, gerai dan kedai makan, sehingga ke isu pertahanan, kapal selam dan jet pejuang, bank negara yang menghadapi potensi kejatuhan ekonomi negara, malah sampai kepada isu agama, orang Islam murtad, dan seribu satu isu kemasyarakatan dan negara, semuanya itu tidaklah harus dijadikan isu politik partisan, tidaklah seharusnya diborongkan dalam satu bakul tanpa melihat kepada isu yang sebenarnya.

Politik boleh dipolitikkan, kerana politik adalah sistem dan pentadbiran negara yang wajib diperkemaskan dan bersih serta sehat, bukan politik kotor, tanpa etika, tanpa tapisan, tanpa sopan, tanpa adab, tanpa ilmu dan pertimbangan yang saksama.

Tetapi yang harus dielakkan ialah politik melulu dan melampau kerana kepentingan diri, puak, golongan, dan pihak tertentu, yang berbentuk politik hanyalah kerana politik untuk mencari pengaruh, walau pun terpaksa mengikuti jalan salah, bercanggah dengan nilai kesopanan dan agama, partisan melulu, taksub buta dan sebagainya, tanpa tamadun dan peradaban lagi.

Realiti dalam masyarakat kita pada hari ini ialah pertembungan diantara dua pihak dalam politik kepartian. Kedua2nya mempunyai pengikut setia, termasuk yang mengikut secara membuta tuli, hitam putih, apa2 yang dilakukan oleh partinya adalah putih dan bersih, dan apa2 yang dilakukan oleh parti lawannya adalah kotor, hitam. Media masing2 dalam bentuk cetak atau portal, akan membawa cerita2 yang enak dan lazat bagi pihak ideologi politik mereka masing2, dan menutup segala kebaikan lawannya, membuka pekong yang diada2kan terhadap lawannya, tak kira betul atau tidak.

Sepatutnya dalam keadaan ini, kita mempunyai golongan berkecuali dan berada ditengah-tengah, golongan ulamak, akademik, siswa, profesional, dan beberapa pihak lain lagi, yang tidak mempunyai mentaliti hitam puteh seperti pengikut parti partisan, iaitu golongan yang boleh berbicara dengan bersandarkan fakta dan hakikat, yang boleh menonjolkan kebenaran dan menolak kebatilan.

Tetapi golongan ini pun kadang2 terpengaruh dengan aliran semasa politik partisan, maka ilmu yang ada padanya, hikmah yang seharusnya terpancar dari dadanya, agama yang sewajarnya menjadi panduan tulen, akan turut diwarnai dengan warna semasa dalam permainan politik yang berorientasikan ideologikal sempit, yang melampaui asas2 ilmu dan budaya, tamadun dan kesopanan manusia.

Maka akhirnya pentas lakonan, hanyalah tinggal untuk para pelakon yang bermain politik sempit, dan mereka lah yang amat popular, mendapat tepuk sorak para penonton, bercakap dan berbicara sepanjang hari 24 jam, penuh ratorik dan semangat, yang penghujung perjuangan dan matlamatnya tidaklah diketahui oleh orang2 yang tidak terlibat dalam politik partisan ini, malah tidak diketahui matlamatnya. Tetapi merekalah yang menjadi wira bangsa, wira agama, wira akademik, wira itu….pejuang ini ….etc.etc.

Dalam keadaan ini, orang2 yang tidak terlibat amat takut untuk masuk ke dalam gelanggang, kerana sekiranya mereka masuk maka mereka mungkin akan diseret dan dijadikan mangsa pula….Sebab itulah golongan pertengahan dan profesional, malah golongan yang rasional dan berkecuali, akan terus membisu seribu bahasa, kerana kalau mereka membuka mulut maka mereka mungkin akan di lebalkan sebagai tali barut itu dan ini ! Jadi untuk selamat, tak usahlah pedulikan apa2 yang berlaku di sekeliling mereka …walau pun hal ini tidaklah seharusnya menjadi trend yang berpanjangan dalam masyarakat kita yang kekecohan ini, tetapi apa nak dibuatkan……, si luncai terjun dengan labu2nya, biarkan..! biarkan …!

kredit: Dr Ismail Ibrahim (MA – Universiti Al Azhar Cairo; PhD - Universiti St Andrew, Scotland; Bekas Duta Arab Saudi 2005-2008)


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 17 Februari 2012

Apabila Islam Hanya Tinggal Nama


Mesti kalimah ini tergantung di dinding rumah anda kan?

Alangkah bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah saw. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda saw, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah.

Zaman Baginda saw itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah swt sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah swt.

Inilah generasi yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu Baginda saw menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan individu di kalangan Sahabat Rasulullah saw terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.


Empayar Islam begitu gah dan dihormati suatu ketika dulu. Adakah mereka maju dengan meniru barat?


Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar dan memperluaskan ajaran Baginda Rasulullah saw sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.

Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?

Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad saw, di antara mereka ada yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.

Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari kekurangannya.

Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.

Inilah yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah saw lebih 14 abad lalu, seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda saw sentiasa menerima wahyu daripada Allah Ta'ala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi saw yang bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib RA berkata:

“Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”.
(Hadis riwayat Al Baihaqi)

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah Ssaw. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda saw sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan Baginda saw itu.

Islam hanya tinggal namanya sahaja.
Al Quran hanya tinggal tulisannya.
Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.



Islam Hanya Tinggal Namanya Sahaja

Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.

Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ dan ada yang sanggup memberi rasuah kerana nak cepat pergi haji, namun masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa di kedai kopi.

Ramai yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam, sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.



Islam yang hanya tinggal nama


Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik sebagaimana Sahabat Nabi saw yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Baginda saw menjawab:

“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”.
(Masnad ar-Rabi’)


Al Quran Hanya Tinggal Tulisannya

Dalam banyak hadis Rasulullah saw, Baginda saw menganjurkan kita sebagai umatnya agar membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit cintakan dunia secara berlebihan.

Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal akidah, iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah swt yang ada di dalamnya.


Ayat Quran terukir indah di dinding masjid, lebih indah lagi jika terukir di hati umat Islam


Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi saw bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.


Masjid Tersergam Indah Tetapi Kosong Daripada Hidayah Allah






Indahnya masjid disebabkan pengunjungnya.


Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah saw bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.

Terdapat masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik dan bersih.


Lahirnya Ulama Jahat

Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda saw, justeru itulah yang diingatkan oleh Baginda saw dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.
(surah Al ‘Araf ayat 176)

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.

Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa as ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah swt telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar (Doa Bal'am bin Ba'ura mustajab). Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa as dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya (berdoa) untuk mengalahkan Nabi Musa as.

Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.

Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa as, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa as tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang dinamakan semenanjung Sinai) selama 40 tahun.

Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa as bertanya Allah swt, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh ini?”.

Jawab Allah SWT, “Berpunca dari doa Bal’am”

Nabi Musa as berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.

Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah swt, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.

“Minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan pengajaran kepada kita).

Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.


Fitnah Tersebar Akibat Kedangkalan Ulama-Ulama Jahat

Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim yang baik di sisi Allah swt. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.

kredit: Sebuah Kehidupan


Salam Ukhuwah..~

Gulongan Kera Dan Babi Yang Disebut Rasulullah SAW


Siapakah golongan umat Islam yang di sifatkan Rasulullah saw sebagai kera dan babi?

Saperti yang di sabdakan Baginda saw dalam Hadisnya yang bermaksud,

“Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi” (HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727).

Berdasarkan hadis di atas, terdapat golongan dalam masyarakat Islam yang disabdakan oleh Baginda saw yang tidak tahu apa-apa mengenai ilmu agama lalu merujuk kepada para ulama mereka. Salah satu fatwa yang menyempurnakan nubuwatan Rasulullah saw ialah berkenaan fatwa mengkafirkan sekumpulan Islam yang lain. Apabila para ulama mereka mengeluarkan fatwa tersebut maka para pengikutnya mempercayai dan mengikut tanpa menyelidiki kesahihannya. Sifat ini yang diumpamakan oleh Rasulullah saw sebagai “kera” iaitu suka bertaqlid dan meniru sahaja tanpa memahami atau menyelidiki sendiri tentang perkara tersebut.

Sifat babi yang kita ketahui adalah suka kepada kekotoran atau najis dan tidak tahu malu yang bermaksud golongan ini bukan sahaja suka meniru atau menurut sahaja, malah tidak malu untuk melakukan dusta dan fitnah. Mereka di umpamakan saperti kera dan babi oleh Rasulullah saw kerana mereka adalah golongan yang suka bertaqlid mengikut sahaja, memfatwakan dan menabur fitnah-fitnah kepada orang-orang Islam yang lain sebagai sesat, murtad dan kafir, padahal golongan yang dikatakan itu adalah orang Islam. Fitnah dan pembohongan ini yang menyebabkan Rasulullah saw terpaksa menggunakan perumpamaan yang sangat keras saperti dalam Hadis tersebut.

Rasulullah saw bersabda:

“Barang siapa memanggil dan menyebut seseorang kafir atau musuh Allah padahal sebenarnya bukan demikian, maka ucapannya itu akan kembali kepada orang yang mengatakan (menuduh) itu” (HR Bukhari).

Hadis ini memperlihatkan betapa beratnya hukuman kepada orang yang menuduh orang Islam lain kafir atau murtad dan sekiranya tidak benar, hukum kafir atau murtad itu akan kembali kepada si penuduh.

Selagi umat Islam bermain isu kafir mengkafir atau murtad memurtad yang keji ini maka selama itulah mereka akan menghadapi masalah dengan Allah swt dan manusia itu sendiri.


kredit: Amri el Wahab


Salam Ukhuwah..~