Bersyukur kita ke hadrat Ilahi yang mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia. Tetamu yang cuma datang setahun sekali. Ramadhan kali ini sebenarnya berbeza dengan Ramadhan yang lalu kerana usia kita semakin bertambah. Sebab itulah kita sepatutnya lebih merasai kehangatan Ramadhan kali ini dengan menambahkan amalan dan kebaikan berbanding dari Ramadhan sebelumnya.Ambillah peluang Ramadhan yang tiba pada tahun ini, kerana besar kemungkinan kita tidak akan menemuinya pada tahun hadapan.
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
" Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: " Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah S.W.T"
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Sedarkah kita menjalani ibadah puasa dapat melatih diri dan membentuk sifat-sifat terpuji. Antaranya:
* sifat ikhlas
Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keihklasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya. seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketaqwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya, dan kerana mengharapkan pahala dan redha Allah, ia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadat ini lebih istimewa dari yang lain. sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil.
* Kekentalan jiwa
Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya selain Ramadhan. Ini mendidik kita lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan.
* Sabar
Puasa melatih kita supaya dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadhan. Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dalam kehidupan.
* Memelihara fizikal
Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, mata, telinga, lidah, tangan dan kaki dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
* Prihatin dan belas kasihan
Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut. Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.
* Membuka hijab antara diri dengan Allah
Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya.
* Mengenali erti kejayaan sebenar
Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperolehi dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya.
* Rasa belas dan lemah lembut
Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah ia berkata " Aku berpuasa!." Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan. Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikitpun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga.
* Memperkukuhkan kesatuan ummah
Orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan Ramadhan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat dan kebaikan bulan Ramadhan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat islam tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap mukmin.
* Merapatkan hubungan dengan alam
Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat islam memerhati perjalanan bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan rasa keagungan kepada Penciptanya.
* Menjaga masa
Puasa mengajar seorang muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadhan, seorang muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka puasa dan bersahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan.
* Kesihatan tubuh badan
Pakar-pakar perubatan puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengan ubat-ubatan moden dan tradisi. Terutama penyakit berkaitan masalah perut.
kredit: rakangroup
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan