Bacaan Popular

Selasa, 31 Julai 2012

Tidak Tahu Baca Qur'an, Kuburnya Bercahaya Menjulang Ke Langit...


Suatu kisah yang diceritakan dalam tazkirah ramadhan di Masjid Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu yang sangat mengharukan Dan bisa menitis air Mata.

Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam Dan sunyi. Tiba-tiba IA terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, Dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan Dan berdebar.

Terpegun Dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Samada IA seorang waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi tuhan. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu.

Keesokannya lelaki itu datang lagi kekawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidiki Dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.

Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal?.

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui Dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama istrinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut , lelaki itu berkunjung kerumah simati Dan bertemu dengan isteri simati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat diperkuburan suaminya.

Anihnya isteri simati terkejut Dan kehairanan. Dia sangat mengenal suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa . Suaminya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru quran. Malah suaminya tidak pandai membaca quran Dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut Dan isteri simati.

Akhirmya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara anih yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh is mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam. Katanya , setiap malam sebelum tidur suaminya akan mengambil wudhu, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya alqur'an di atas rak, lalu dicium Dan dipeluknya dengan penuh kecintaan Dan kasih sayang.

Ia akan duduk Dan membelek alqur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan IA seorang yang buta alqur’an. Dia akan meraba-raba ayat-ayat qur’an itu dengan tangannya , seolah-olah sedang menyentuh Dan mebelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri simati lagi, IA pernah mendengar rintihan Dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah mu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.” “Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan Ku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu.

Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu. “ “Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapanTuhan diakhirat nanti”. Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani alqur’an buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat alquran kesayangan suaminya itu. Benar Dan sangat mengharukan apabila IA melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan Ada bekas-bekas airmata di kertasnya ,tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh alqur’an. Dia sangat mengasihi kalimat tuhan dengan sesungguhnya. Bererti IA mengasihi tuhan dengan seluruh jiwa Dan raganya. Marilah Kita menghidupkan alquran di dalam masjid Kita, di dalam rumah Kita, di dalam diri Kita, sepanjang bulan ramadhan, bulan pengampunan ini.

Perkisahan ini ditulis Dan disesuaikan semula untuk bacaan semua.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 30 Julai 2012

Fadzilat Puasa Dibulan Ramadhan



Bersyukur kita ke hadrat Ilahi yang mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia. Tetamu yang cuma datang setahun sekali. Ramadhan kali ini sebenarnya berbeza dengan Ramadhan yang lalu kerana usia kita semakin bertambah. Sebab itulah kita sepatutnya lebih merasai kehangatan Ramadhan kali ini dengan menambahkan amalan dan kebaikan berbanding dari Ramadhan sebelumnya.Ambillah peluang Ramadhan yang tiba pada tahun ini, kerana besar kemungkinan kita tidak akan menemuinya pada tahun hadapan. 

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." 

( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ) 

" Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: " Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah S.W.T" 

( Riwayat al-Bukhari dan Muslim ) 

Sedarkah kita menjalani ibadah puasa dapat melatih diri dan membentuk sifat-sifat terpuji. Antaranya: 

* sifat ikhlas 


Puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keihklasan bagi seorang hamba. Ini kerana ibadat puasa merupakan rahsia antara hamba dan tuhannya. seorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain, tetapi kerana ketaqwaannya kepada Allah yang mengetahui zahir dan batinnya, dan kerana mengharapkan pahala dan redha Allah, ia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadat ini lebih istimewa dari yang lain. sifat inilah yang paling berharga dalam kehidupan seorang muslim kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima oleh Allah dan tidak membuahkan hasil. 

* Kekentalan jiwa 


Puasa memaksa kita meninggalkan keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya selain Ramadhan. Ini mendidik kita lebih tegas dan meninggalkan perkara yang sememangnya telah diharamkan oleh syariat di luar bulan Ramadhan. 

* Sabar 

Puasa melatih kita supaya dalam berhadapan dengan keinginan diri dan godaan luaran sepanjang Ramadhan. Sabar seperti ini amat perlu dalam berhadapan dengan segala kemungkinan dalam kehidupan. 

* Memelihara fizikal 


Puasa menyebabkan kita terpaksa memelihara perut, mata, telinga, lidah, tangan dan kaki dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. 

* Prihatin dan belas kasihan 


Puasa melahirkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah pada bulan ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut. Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat. 

* Membuka hijab antara diri dengan Allah 


Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan berupaya membersihkan roh dan hati. Dengan itu terbukalah hijab antara hamba dengan tuhannya. 

* Mengenali erti kejayaan sebenar 


Puasa mengajar mukmin erti kejayaan sebenar. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan oleh Allah adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperolehi dua kejayaan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika menemui tuhannya. 

* Rasa belas dan lemah lembut 


Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya, apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa, maka hendaklah ia berkata " Aku berpuasa!." Seorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini, kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan. Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri dari perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikitpun mendatangkan keuntungan kepada dakwah, bahkan merugikan masa dan tenaga. 

* Memperkukuhkan kesatuan ummah 


Orang Islam di seluruh pelosok dunia berpuasa dalam bulan Ramadhan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat dan kebaikan bulan Ramadhan dan perasaan ini dikongsi bersama oleh seluruh umat islam tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap mukmin. 



* Merapatkan hubungan dengan alam
 

Penentuan Ramadhan dan Syawal, membawa umat islam memerhati perjalanan bulan dan bintang. Demikian itu melahirkan rasa keagungan kepada Penciptanya. 

* Menjaga masa 


Puasa mengajar seorang muslim supaya teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadhan, seorang muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka puasa dan bersahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang mukmin agar setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa yang ditetapkan. 

* Kesihatan tubuh badan 


Pakar-pakar perubatan puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengan ubat-ubatan moden dan tradisi. Terutama penyakit berkaitan masalah perut.



kredit: rakangroup

Salam Ukhuwah..~

Ahad, 29 Julai 2012

Puasa Tapi Tak Buat Solat Fardhu


Saya mendapat soalan mengenai orang yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Banyak fatwa ditemui dan pelbagai ragam fatwanya.

Ini semua berpaksi kepada hukum meninggalkan solat dengan sengaja. Apakah jatuh kafir atau tidak. Sebahagian menyatakan hanya jatuh kafir jika menolak kewajipan solat, dan berdosa besar meninggalkannya jika masih beriman solat itu wajib. Sedangkan ada sekelompok ulama yang lain berpegang meninggalkan solat dengan sengaja jatuh hukum sebagai kafir tidak kira seseorang itu menolak kewajipan solat atau tidak.

Tidak kiralah yang mana satu antara kedua pendapat ulama’ ini. Kita mengetahui bahawa paling ringan, meninggalkan solat ada dosa yang sangat besar. Silap-silap lebih besar daripada berzina, minum arak dan sebagainya. Boleh jadi ia dosa yang bawah sedikit sahaja daripada syirik.

Jika membuka aurat, menyebabkan pahala puasa berkurangan, mengumpat menyebabkan pahala puasa berkurangan, berbohong menyebabkan pahala puasa berkurangan, lalu apa lagi jika meninggalkan solat. Puasa kita hanya mendapat lapar dan dahaga, dan kita menanggung dosa yang sangat besar, yang mana kita berada di sempadan antara iman dan kufur.

Nasihat saya: Jadikanlah Ramadhan ini akademi untuk kita melengkapkan kewajipan yang selama ini kita abaikan. Tidak mengapa jika selepas Isya’ anda mahu pulang tidur, menonton televisyen, walau itu satu sikap yang tidak elok. Tetapi sangatlah tercela, jika kita berpuasa, tetapi solat wajib tidak didirikan. Meninggalkan solat lebih jijik daripada berzina, meliwat, minum arak, melacur, buka aurat, dating………. Apakah kita mahu puasa kita sekadar lapar dan dahaga. Puasa apakah ini ketika mana kita malas dan lalai daripada solat. Puasa apakah ini?

Saya ingin berkongsi fatwa Shaikh al-Uthaimin. Suka diingatkan beliau berpegang bahawa kafir jika meninggalkan solat dengan sengaja. Jadi beliau menyimpulkan puasa orang yang tidak solat, tidak sah. Sifirnya mudah, amalan orang kafir, semuanya tidak sah. Teruskan membaca agar kita dapat memahami betapa besarnya dosa meninggalkan solat.

Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin -rahimahullah- pernah ditanya: “Apa hukum orang yang berpuasa namun meninggalkan solat?”
Beliau rahimahullah menjawab:

“Puasa yang dilakukan oleh orang yang meninggalkan solat tidaklah diterima kerana orang yang meninggalkan solat adalah kafir dan murtad. Dalil bahawa meninggalkan shalat termasuk bentuk kekafiran adalah firman Allah Ta’ala,


فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَنُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
“Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.” (Qs. At Taubah [9]: 11)

Alasan lain adalah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ
“Pembatas antara seorang muslim dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (HR. Muslim no. 82)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda,

الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir.” (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa’i, Ibnu Majah. Dikatakan shahih oleh Syaikh Al Albani)

Pendapat yang mengatakan bahawa meninggalkan solat merupakan suatu kekafiran adalah pendapat majoriti sahabat Nabi bahkan dapat dikatakan pendapat tersebut adalah ijma’ (kesepakatan) para sahabat.

‘Abdullah bin Syaqiq –rahimahullah- (seorang tabi’in yang masyhur) mengatakan, “Para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tidaklah pernah menganggap suatu amalan yang apabila seseorang meninggalkannya akan menyebabkan dia kafir selain perkara solat.” [Perkataan
ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi dari 'Abdullah bin Syaqiq Al 'Aqliy; seorang tabi'in. Hakim mengatakan bahawa hadits ini bersambung dengan menyebut Abu Hurairah di dalamnya. Dan sanad (periwayat) hadits ini adalah shohih. Lihat Ats Tsamar Al Mustathob fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, hal. 52, -pen]

Oleh karena itu, apabila seseorang berpuasa namun dia meninggalkan solat, puasa yang dia lakukan tidaklah sah (tidak diterima). Amalan puasa yang dia lakukan tidaklah bermanfaat pada hari kiamat nanti.

Oleh sebab itu, kami katakan, “Solatlah kemudian tunaikanlah puasa.” Adapun jika engkau puasa namun tidak solat, amalan puasamu akan tertolak kerana orang kafir (disebabkan meninggalkan solat) tidak diterima ibadah daripadanya.

kredit: Majmu' Fatawa wa Rosa-il Ibnu 'Utsaimin, 17/62, Asy Syamilah


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 28 Julai 2012

Wahai Wanita, Nabi S.A.W. Menangis Melihat Azabmu Di Neraka


Ali r.a. meriwayatkan sebagai berikut:

Saya bersama Fatimah r.a. berkunjung kerumah Rasulullah s.a.w. dan kami temui Baginda sedang menangis. Kami bertanya kepada Baginda, “mengapa tuan menangis wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “pada malam aku di Isra’kan kelangit, daku melihat orang sedang mengalami berbagai penyeksaan… maka bila teringatkan mereka aku menangis.” Saya bertanya lagi,”wahai Rasulullah apakah yang tuan lihat?

Baginda bersabda:
  • Wanita yang digantung dengan rambutnya dan otak kepalanya mendidih.
  • Wanita yang digantung dengan lidahnya serta tangannya dipaut dari punggungnya sedangkan air yang mendidih dari neraka dituangkan ke kerongkongnya.
  • Wanita yang digantung dengan buah dadanya dari balik punggungnya sedangkan air getah kayu zakum dituang ke kerongkongnya.
  • Wanita yang digantung , diikat kedua kaki dan tangannya ke arah ubun-ubun kepalanya serta dibelit dibawah kekuasaan ular dan kala jengking.
  • Wanita yang memakan badannya sendiri serta dibawahnya tampak api yang menyala-nyala dengan hebatnya.
  • Wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka.
  • Wanita yang bermuka hitam dan memakan ususnya sendiri.
  • Wanita yang tuli, buta dan bisu dalam peti neraka sedang darahnya mengalir dari rongga badannya (hidung,telinga,mulut) dan badannya membusuk akibat penyakit kulit dan lepra.
  • Wanita yang berkepala seperti kepala babi dan kaldai yang mendapat berjuta jenis seksaan.
Maka berdirilah Fatimah r.a. seraya berkata, “Wahai ayahku, cahaya mata kesayanganku… ceritakanlah kepadaku apakah amal perbuatan wanita2 itu.”
Rasulullah s.a.w bersabda,
“Wahai Fatimah, adapun tentang :
  • Wanita yang digantung dengan rambutnya kerana dia tidak menjaga rambutnya (di jilbab) dikalangan lelaki.
  • Wanita yang digantung dengan lidahnya kerana dia menyakiti hati suaminya dengan kata Kemudian Nabi s.a.w bersabda: “Tidak seorang wanita yang menyakiti hati suaminya melalui kata2nya kecuali Allah akan membuatnya mulutnya kelak dihari kiamat,selebar 70 zira’ kemudian akan mengikatnya dibelakang lehernya.”
  • Adapun wanita yang digantung dengan buah dadanya kerana dia menyusui anak orang lain tanpa izin suaminya.
  • Adapun wanita yang diikat dengan kaki dan tangannya itu kerana dia keluar rumah tanpa izin suaminya, tidak mandi wajib dari haidh dan nifas.
  • Adapun wanita yang memakan badannya sendiri kerana suka bersolek untuk dilihat lelaki lain serta suka membicarakan keaiban orang.
  • Adapun wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka kerana dia suka menonjolkan diri (ingin terkenal) dikalangan orang yang banyak dengan maksud supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta padanya kerana melihat perhiasannya.
  • Adapun wanita yang diikat kedua kaki dan tangannya sampai ke ubun-ubunnya dan dibelit oleh ular dan kala jengking kerana dia mampu mengerjakan solat dan puasa. Tetapi dia tidak mahu berwudhuk dan tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.
  • Adapun wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya seperti keldai kerana dia suka mengadu-domba (melaga-lagakan orang) serta berdusta.
  • Adapun wanita yang berbentuk seperti anjing kerana dia ahli fitnah serta suka marah-marah pada suaminya.
Dan ada diantara isteri nabi-nabi yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk. Walaupun mereka adalah isteri manusia yang terbaik dizaman itu. Diantara sifat buruk mereka:
  • Isteri Nabi Nuh suka mengejek dan mengutuk suaminya.
  • Isteri Nabi Lut suka bertandang ke rumah orang.
Semoga Allah beri kita kekuatan untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Kalau kita tidak berasa takut atau rasa perlu berubah… maka kita kena khuatir .Takut kita tergolong dalam mereka yang tidak diberi petunjuk oleh Allah.
kredit: rakangroup

Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 27 Julai 2012

Pujian vs Galakan



Sebagai ibu bapa dan pendidik, kita perlu memberi pujian dengan betul dan berpada-pada. Mungkin anda tertanya-tanya, adakah pujian-pujian yang anda berikan kepada anak-anak dan pelajar-pelajar kita itu ada keburukannya? Ya, pujian ada keburukannya jika tidak digunakan dengan betul. Memang pujian itu merupakan satu cara yang agak berkesan untuk meningkatkan harga diri seseorang tetapi terdapat satu lagi strategi yang lebih berkesan.

          Dr. Rudolph Dreikur, seorang pakar psikologi yang terkenal, pernah berkata, “…seorang kanak-kanak itu memerlukan galakan seperti pokok perlukan matahari dan air”. Strategi ini lebih memberikan kesan berpanjangan kepada cara kanak-kanak itu melihat dirinya. Pujian dan galakan itu merupakan strategi yang positif, berkesan dan membawa manfaat jika digunakan. Kedua-dua teknik ini boleh:

i. Membina harga diri
ii.Meningkatkan rasa bangga
iii.Menggalakkan kerjasama
iv.Membina perhubungan yang positif
v.Membantu kanak-kanak semasa mereka menghadapi kesukaran dan masalah

          Bagaimanapun, jika anda kaji betul-betul, sebenarnya ada perbezaan yang ketara antara pujian dan galakan. Cuba anda lihat perbezaannya:

1.   Pujian ialah satu ganjaran yang perlu dimenangi:
  “Tahniah Haziq kerana berjaya dapat A dalam ujian semalam!

  Galakan pula ialah satu hadiah:
  ”Abah berasa bangga kerana Haziq betul-betul berusaha dengan gigih untuk peperiksaan kali ini!

2.   Pujian menggunakan perkataan-perkataan yang menunjukkan kita menghakimi:
   “Awak dapat jawab semua soalan dengan betul. Tahniah!

  Galakan menggunakan pertuturan perkataan yang menunjukkan kita mengambil berat:
   Saya berasa gembira apabila awak mencuba untuk menjawab soalan saya tadi.

3.   Pujian menggalakkan pertandingan:
   Tahniah Aiman! Aiman dapat nombor satu dalam kelas!

  Galakan menggalakkan kerjasama:
  ”Teruskan usaha Ain! Nampak makin bagus keputusan periksa Ain.

4.   Pujian menunjukkan penerimaan bersyarat:
   Emak sayangkan Odah apabila Odah dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

  Galakan menunjukkan penerimaan tanpa syarat:
  “Emak sayangkan Odah apabila Odah berada di sisi emak.

5.   Pujian mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati orang dewasa:
  “Bagus betul Hafiz hari ini kerana tolong mak mengemas rumah. Mak rasa bangga dengan Hafiz.

  Galakan pula mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati mereka sendiri:
  “Abah perhatikan sekarang ini, Syakirin semakin rajin mengulang kaji pelajaran. Syakirin patut bangga dengan diri Syakirin.

6.   Pujian hanya boleh diberi apabila kanak-kanak itu berjaya:
   Tahniah, Zul kerana berjaya mendapat keputus-an cemerlang dalam peperiksaan.

  Galakan pula boleh digunakan apabila seseorang kanak-kanak itu sedang menghadapi kegagalan atau kekecewaan:
   Tak apa, adik. Emak tahu adik dah berusaha keras untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam ujian Matematik itu. Teruskan usaha adik itu!

          Daripada penerangan-penerangan di atas, anda boleh lihat bahawa puji-pujian boleh mendatangkan ketagihan dan boleh menyebabkan kanak-kanak itu mencari motivasi yang berbentuk luaran. Sebaliknya, galakan akan kurang menyebabkan ketagihan dan lebih menggalakkan motivasi dalaman kanak-kanak itu. Secara amnya, pujian itu berkesan, tetapi galakan lebih berkesan!

          Topik ini dapat mendidik kita agar memberi pujian dan galakan bagi memotivasikan kanak-kanak untuk belajar dengan lebih gigih dalam memahirkan diri mereka dalam bahasa Inggeris. Selain dua strategi ini, ada satu strategi yang lain. Strategi ini juga sering disarankan oleh penulis perhubungan manusia yang tersohor, Dale Carnegie, dalam buku beliau “How to Win Friends and Influence People”. Lihat dalam cerita berikut bagaimana strategi ini digunakan dengan efektif:

          “Strategi ini saya pelajari daripada John William, yang merupakan Pengerusi di syarikat tempat saya bekerja dahulu. John merupakan seorang ahli korporat yang hebat dan amat berbakat. ‘Kemahiran manusia’ beliau amat menakjubkan dan beliau disayangi, dihormati dan disegani oleh semua orang yang me-ngenali beliau. Saya amat seronok memerhati dan mempelajari cara beliau berinteraksi dengan orang lain.

            Bila-bila sahaja setiausaha saya memberitahu bahawa John sedang di talian, saya akan berasa teruja. Saya amat seronok berbual dengan beliau. Suatu hari, saya cuba menganalisa sebab-sebab penggilan beliau cukup menyeronokkan saya. Selepas membuat analisa, saya mula memahaminya! John sering memuji saya, “Minit mesyuarat yang awak buat itu cukup hebat.” Beliau juga sering memberi galakan kepada saya, “Saya berasa gembira melihat awak hadir ke perlawanan persahabatan bola sepak syarikat kita semalam. Bagus kerana awak sudi meluangkan masa awak untuk datang memberikan sokongan.”

            Tetapi apa yang lebih penting ialah John sering menunjukkan minat beliau terhadap diri, keluarga, aktiviti-aktiviti dan juga kehidupan saya. Beliau sering menunjukkan minat kepada saya sebagai seorang insan dan bukan sekadar pekerja beliau. Apabila John menelefon saya, beliau sudah tentu ingin bertanyakan urusan syarikat tetapi beliau akan memulakan perbualan beliau dengan bertanyakan anak-anak, isteri atau aktiviti-aktiviti saya. Beliau menunjukkan minat terhadap diri saya dan saya amat menyukainya.

            Apabila saya menyedari akan kuasa minat ini, saya mula menggunakannya untuk membina dan mengekalkan perhubungan dengan kanak-kanak dan pekerja-pekerja saya. Saya masih ingat lagi pada suatu hari saya bertembung dengan seorang pekerja muda di pejabat dan kami mula berbual. Dengan mengambil iktibar daripada sikap John, saya tidak memberi pujian atau galakan kepada beliau. Sebaliknya, saya menunjukkan minat yang ikhlas terhadap diri beliau. “Saya nampak awak baru beli kereta ya, David. Cantik warna kereta awak tu. Di mana awak beli kereta tu?” Muka pekerja muda itu kelihatan teruja! Pengurus Besar syarikat beliau menyedari kereta baru beliau dan mengambil masa untuk memberitahu beliau! Perbualan yang ringkas itu lebih bermakna kepada beliau daripada sebarang pujian dan galakan. 

            Pengajaran daripada cerita ini, anda sebagai ibu bapa dan pendidik boleh memberikan hadiah menakjubkan kepada kanak-kanak dengan menunjukkan minat yang ikhlas dengan kehidupan mereka. Sebagai contoh, jika anak anda pulang dengan hasil lukisan yang dilukis oleh mereka di sekolah, anda mungkin boleh meluahkan perasaan anda, “Wah! Menariknya lukisan adik ni. Adik baru belajar di sekolah ke?ataupun jika di sekolah, anda boleh menunjukkan minat anda dengan seseorang pelajar dengan berkata, “Cikgu dapat tahu bapa awak seorang anggota polis. Awak tahu tak datuk saya dulu pun seorang anggota polis?” Cuba tunjukkan minat yang ikhlas dengan kehidupan dan aktiviti-aktiviti anak-anak dan pelajar-pelajar anda.
kredit: studioperintis


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 26 Julai 2012

Niat Puasa Dan Doa Berbuka Serta Amalan Sunat Bulan Ramadan

Niat Puasa Dan Doa Berbuka Serta Amalan Sunat Bulan Ramadan

Sekadar untuk berkongsi ilmu yang kita dah pelajari. Kita kan manusia selalu lupa dan kena ulangkaji biar sebati dalam kehidupan kita. Mari lah kita belajar kembali lafaz niat doa berpuasa dan berbuka puasa.

Lafaz niat puasa fardhu Ramadan

Ertinya:

Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.


Doa Ketika Berbuka Puasa

Ertinya:

Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.

Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam an-Nawawi dan kitab Feqh as-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.
 


1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
 

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
 

Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?”Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
 

Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
 

2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
 

Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
 

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)
 

3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
 

Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
 

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
 

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
 

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
 

5. Bersiwak atau menggosok gigi.
 

Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)
 

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)
 

6. Bermurah hati dan banyak menderma.
 

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
 
7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
 


Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
 

8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
 

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
 

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim) 


10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
 

Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, Amiinn..


kredit: bungamuslim


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 25 Julai 2012

Puasa Sama, Pahala Berbeza


Ramadan adalah bulan ibadah. Suasana Ramadan itu sebenarnya berada dalam jiwa setiap yang beribadah. Tahap perasaannya tidak sama, berdasarkan tidak samanya kadar ibadah kita. Di samping setiap yang beribadah tidak sama nilainya di sisi Allah, walaupun mungkin sama pada jenis dan bilangannya. Seseorang yang bersolat lapan raka'at terawih bersama sahabat-sahabat tidaklah semestinya setiap mereka mendapat ganjaran pahala yang sama. Ini kerana di antara mereka sudah pasti ada perbezaan pada kadar khusyuk, ikhlas dan kesusahan yang dialami dalam menunaikan ibadah itu.

Seorang peniaga yang meninggalkan perniagaan kerana ingin bersolat tentu tidak sama pahala mereka yang memang mempunyai masa lapang untuk bersolat. Begitulah juga perbezaan-perbezaan yang lain. Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.


Pahala Atas Kesusahan

Hal ini disebut oleh para ulama Usul seperti al-Imam ‘Izzu al-Din ‘Abd al-Salam (meninggal 660H) dalam Qawa’id al-Ahkam. Beliau menjelaskan perbezaan pahala dua amalan yang serupa itu bukanlah perbezaan pahala amalan itu sendiri, sebaliknya tambahan pahala itu diperolehi disebabkan kesusahan yang ditanggung. Beliau membuat contoh seseorang yang mandi wajib pada musim sejuk dan seorang yang mandi wajib pada musim panas. Dari segi mandi, keduanya mendapat pahala yang sama disebabkan sifat mandi itu dari sudut syarat, rukun dan sunnahnya itu sama. Namun yang mandi pada musim sejuk mendapat pahala lebih disebabkan beban yang lebih berat yang terpaksa ditanggung.

Bukannya perbezaan pahala itu pada mandi tersebut, tetapi kepada beban sampingan yang terpaksa ditanggung. Demikianlah kata beliau mengenai mereka yang pergi ke masjid, haji, jihad dan seumpamanya. Pahala diberikan bukan kerana perbezaan tujuan, tetapi kerana perbezaan jalan yang terpaksa ditempuh.


Demikianlah Puasa..

Begitulah puasa, walaupun dari segi puasa, tujuan sama. Juga syarat, rukun dan sunnahnya yang dilaksanakan itu sama. Namun, pahala berbeza bukan disebabkan perbezaan pahala puasa, tetapi perbezaan bebanan yang ditanggung oleh seseorang yang melaksanakan tanggungjawab tersebut. Maka, kita hendaklah tahu bahawa setiap kesusahan yang ditanggung oleh pengamal ibadah itu, ada hitungan pahala di sisi Allah. Tiada siapa yang pernah Allah rugikan amalan baiknya. Ini seperti mana yang Allah tegaskan dalam al-Quran: (maksudnya) “dan sabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Hud, ayat 115)

Keadilan Allah dalam hal ini menjadikan setiap hamba itu mendapat ruangan rahmat yang tersendiri. Seorang yang berpuasa dengan penuh kepayahan disebabkan tugasan harian yang berat, tentu mendapat pahala yang lebih dari seorang yang duduk berehat di pejabat yang selesa, ataupun dalam rumah yang berhawa dingin. Seorang yang bersusah payah mendapatkan sesuap makanan untuk berbuka puasa, ataupun menjamu orang berbuka puasa tentu mendapat pahala tambahan melebihi mereka yang mewah harta dalam berbuka puasa ataupun menjamu orang berbuka puasa.

Demikian seorang yang berpuasa dalam suasana penuh cabaran seperti cabaran di tempat kerja yang di kelilingi mereka yang tidak berpuasa ataupun di negeri yang suasana amat mencabar untuk berpuasa. Berpuasa pada hari yang panas lebih beban dari berpuasa pada hari yang sejuk. Maka, pahala tambahan atas bebanan puasa juga ada diperolehi pada yang berkenaan. Seseorang yang dicabar perasaannya oleh pihak tertentu pada hari dia berpuasa, tetapi dia sabar demi menjaga puasa tentu mendapat pahala yang lebih dibanding mereka yang puasa dalam keadaan tenang dan selesa. Kesemua hal tersebut ada hitungannya di sisi Allah. Maka seseorang hamba Allah hendaklah tahu bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan apa sahaja pengorbanan keranaNYA.

Cabaran dalam berpuasa yang ditempuhi dengan jaya akan menjadikan jiwa insan yang berpuasa itu lebih khusyuk dan tinggi nilai spritualnya. Puasa dalam keadaan tiada rasa dan lapar dan ujian juga ada nilai spiritualnya, namun tentu tidak sama dengan yang mengharungi ujian Allah dalam melaksanakan ibadah tersebut. Setiap individu menerima tingkatan spiritualnya yang tersendiri. Maka, tiada siapa yang tahu siapakah yang lebih tinggi kedudukan puasanya di sisi Allah. Hanya Allah Yang Maha Tahu tentang kedudukan hamba-hambaNYA.

kredit: Dr Asri


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 24 Julai 2012

Menghayati Sunnah Bersahur



Puasa bukan satu penyeksaan, Islam mahu muslim berpuasa, tapi dalam masa yang sama Islam tidak mamu menjadikan bulan Ramadhan bulan yang mengujudkan suasana longlai dan lemah umat Islam. Sebaliknya, ia bulan keinsafan yang cuba menjadikan Muslim merasai kesusahan mereka yang tidak mempunyai makanan dan betapa besarnya erti mendapat makanan. Disamping puasa merupakan ibadah yang dalamnya ada amalan-amalan yang mana muslim disuruh mencontohi Nabi mereka, Nabi Muhammad s.a.w.


Antara sunnah utama puasa ialah bersahur. Makan di penghujung malam, sebelum menjelang waktu subuh bukan satu kebiasaan kebanyakan manusia. Namun atas titah perintah agama muslim melakukannya, menunaikan sunnah Nabi s.a.w. dan padanya ada hikmah yang pelbagai untuk seseorang yang berpuasa. Ini termasuk memberikan kekuatan untuknya pada siang hari, juga melatihnya bangun di waktu sebelum fajaar untuk beribadah kepada Allah. Ini disebut dalam al-Quran: (maksudnya)"Pada waktu sahur mereka memohon keampunan" (Surah Ali 'Imran: 17).


  Dalam hadis pula Nabi s.a.w menyebut: “Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka bersahur itu membawa kita bangun pada waktu doa dimustajabkan dan keampunan diberikan. Moga ia menjadi kebiasaan yang berterusan dalam hidup. Maka tidak hairan jika Nabi s.a.w berpesan:
 “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 



Keberkatan adalah sesuatu yang sangat penting dalam hidup. Kehidupan ini jika hanya bergantung kepada nilai-nilai kebendaan semata akan menemui pelbagai kusut masainya. Keberkatan membawa cahaya kehidupan untuk insan mendapat limpah kurniaan Tuhan melebihi kadar kebendaan ataupun kehidupan materialistic yang dirasainya. Sahur antara punca lahirnya keberkatan. Bagaimana? Allah Maha Pemberi dengan cara yang dikehendakiNYA diluar dari andaian kebanyakan kita.

                                                     Bila Sahur?


Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. Baginda Nabi s.a.w melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu subuh. Kata Zaid bin Thabit:Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.aha: 
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda: “Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.



Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah:187).

                                                       
                                           Dengan Apa Bersahur?

Tujuan sahur bukan menyibukkan diri dengan hidangan. Makanan sahur memadai sesuatu yang memberikan kekuatan kepada orang yang akan berpuasa esok harinya. Kesempatan sahur patut diambil untuk berdoa dan beristighfar setelah makan dan minum apa yang dapat memberi kekuatan pada besok hari. Sebab itu dalam hadis disebutkan tamar sebagai pilihan sahur disebabkan kandungan tamar yang baik untuk tenaga orang yang berpuasa. Sabda Nabi s.a.w: Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

Jika tiada tamar, seseorang boleh sahaja bersahur dengan apa yang memberikan kekuatan untuk berpuasa pada hari tersebut. Mungkin juga ada orang yang tidak gemar tamar, ataupun tidak sesuai tamar untuk kesihatannya, maka agama itu luas untuk diamalkan. Apa yang tidak dapat diamalkan secara literal, boleh dihayati secara maksud ataupun kehendak (maqsad) syarak di sebalik sesuatu galakan ataupun perintah.



kredit: rakangroup




Salam Ukhuwah..~