Bacaan Popular

Khamis, 7 November 2013

Tanda-tanda Kekuasaan Allah



"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi setelah matinya (kering) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan di antara langit dan bumi; sungguh terdapat tanda-tanda (keesaan dan kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal". (Al-Baqarah: 164).

Suatu kurnia dan nikmat yang tiada tara yang diberikan Allah kepada manusia adalah "akal". Betapa bernilainya akal adalah hal yang tidak dapat dinafikan oleh siapapun. Yang menjadi topik pembahasan kita adalah bagaimana memanfaatkan akal dengan benar dan sesuai dengan tujuan penciptaannya yang telah digariskan oleh Sang Maha Pencipta, Allah subhanahu wa ta'ala.

Salah satu penggunaan akal yang utama kalau bukan paling utama adalah merenungi, memikirkan dan memahami ayat-ayat Allah, dengan tujuan untuk mengenal Allah, beriman kepada-Nya dan menyembah-Nya. Adalah celaka, jika seseorang tidak menggunakan akalnya untuk mendapatkan hidayah Allah. Dan lebih celaka lagi, orang yang diberi akal dan kemampuan menggunakannya dengan baik, namun tidak membimbingnya menuju hidayah Allah. Hal itu terjadi kerana keengganan dan kesombongannya untuk mengakui kekuasaan Allah. Na'udzu billahi min dzalik. Dan tentunya ada yang sangat beruntung dengan menjadi orang yang mendapatkan hidayah Allah, menggapai nikmatnya iman kepada Allah, dengan menggunakan akal. Hal ini boleh dicapai dengan memperhatikan dan memahami ayat-ayat Allah yang terhampar luas pada alam semesta ciptaan-Nya ini. 


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 6 November 2013

19 Hadith Mengenai Wanita



1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 5 November 2013

Antara Langit Dan Bumi



Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain." 

Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku." 

Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku." 

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tarikh 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini." 

Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?" 

Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu." 

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan." 

Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu." 

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam.

Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Salam Ukhuwah..~

Isnin, 4 November 2013

Doa Akhir Dan Awal Tahun Hijrah

Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan permulaan tahun baru bagi takwin Islam. Ianya bermula sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah dalam tahun 622 masihi.

Selain itu, ianya juga merujuk kepada peralihan daripada sesuatu yang negatif (buruk) atau kurang baik kepada yang lebih baik atau sempurna. Perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a dari Kota Mekah ke Madinah merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Kebiasaannya apabila tiba sahaja tahun baru masihi, kita sering memperbaharui azam masing-masing. Apa kata kali ini azam yang sama kita tekadkan lagi semasa ketibaan tahun baru hijrah ini. Malah jika kita tidak pernah langsung berazam selama ini pada tahun baru hijrah, maka bolehlah kita memulakannya sekarang. Azam ini bolehlah lebih ke arah pengisian rohani dan keagamaan.

Mungkin kepada mereka yang tidak pernah solat berazam untuk mula bersolat, mereka yang bersolat tetapi tidak cukup lima waktu berazam untuk melengkapkan solat lima waktu dan mereka yang bersolat lima waktu berazam untuk meningkat kualiti solat tersebut. Jadikan motto hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya… inilah yang dituntut oleh Islam!.

Di samping itu perkuatkan juga fahaman aqidah, syariat dan akhlak kita. Apabila fahaman kita jelas maka iman dan takwa kita juga akan kukuh. Percayalah lebih rapat kita dengan Allah s.w.t. akan lebih tenang jiwa kita menghadapi kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini.Bacalah doa berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah:



“Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhamad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya.Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku.

Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah!Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhamad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.”

Selepas doa di atas dibaca, berkatalah syaitan,


“Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun”.
Bacalah doa awal tahun ini sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam:


“Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhamad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari Syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhamad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.”

Selepas dibaca doa itu, syaitan berkata,

“Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan”.

Jelas Ibni Abbas, Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malaikat memeliharanya pada tahun itu. Siapa yang berpuasa pada Jumaat pertama Muharam, nescaya diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu.

Selamat Menyambut Awal Muharram.


Salam Ukhuwah..~

Ahad, 3 November 2013

Daripada 6 Kepada 6 Prinsip Melawan Arus



Mari kita terus mencahayakan hati kita dengan menghayati nasihat parasolihiin...

Telah menerangkan setengah Hukamaa` rah.a.....(mafhumnya)....:
Apabila manusia (orang ramai) menyibukkan diri mereka dengan enam perkara, maka hendaklah antum (kalian) menyibukkan diri antum dengan enam perkara yang lain :

[Yg pertama]
Apabila manusia menyibukkan diri mereka dengan MEMPERBANYAKKAN 'AMAL (KATHRATUL A'MAAL),maka
hendaklah antum menyibukkan diri antum dengan MEMPERELOKKAN 'AMAL (MEMPERBAIKKAN 'AMAL /HUSNUL A'MAAL).

[Yg kedua]
Apabila manusia menyibukkan diri mereka dengan PERKARA-PERKARA AL-FADHOOIL (PERKARA-PERKARA YG BERKAITAN DGN KELEBIHAN-KELEBIHAN/ FADHIILAT-FADHIILAT/VIRTUES/MERITS), maka hendaklah antum menyibukkan diri antum dengan MENYEMPURNAKAN PERKARA-PERKARA YG FARDHU ATAU AL-FAROOIDH (ITMAAMUL FAROOIDH).

[Yg ketiga]
Apabila manusia menyibukkan diri mereka dengan MENGISLAHKAN AL-'ALAANIYAH (MENGISLAHKANPERKARA-PERKARA DZOHIRIYYAH / ISLAAHUL 'ALAANIYAH), maka hendaklah antum menyibukkan diri antum dengan MENGISLAHKAN AS-SIRR (MENGISLAHKAN PERKARA-PERKARA BATINIYYAH ATAU SIRR /ISLAAHUSSIRR).

[Yg keempat]
Apabila manusia menyibukkan diri mereka dengan KE'AIBAN-KE'AIBAN ORANG LAIN ('UYUUBUNNAAS), maka hendaklah antum menyibukkan diri antum dengan KE'AIBAN-KE'AIBAN DIRI ANTUM SENDIRI ('UYUUBUANFUSIKUM).

[Yg kelima]
Apabila manusia menyibukkan diri mereka dengan MENG'IMARAHKAN DUNIA (MEMA'MURKAN DUNIA / 'IMAAROTUDDUNYAA), maka hendaklah antum menyibukkan diri antum dengan MENG'IMARAHKAN AKHIRAT (MEMA'MURKAN AKHIRAT / 'IMAAROTUL AAKHIRAH).

[Yg keenam] Apabila manusia atau orang ramai menyibukkan diri mereka dengan MENCARI ATAU MENUNTUT KEREDHAAN ATAU KESUKAAN MAKHLUQ-MAKHLUQ (TOLABU RIDHOL MAKHLUUQIIN), maka hendaklah antum menyibukkan diri antum dengan MENCARI ATAU MENUNTUT KEREDHAAN ATAU KESUKAAN ALLAH TA'ALA (TOLABU RIDHOLLAAHI TA'ALA).

Begitulah mutiara daripada para Hukamaa` rah.a.
Begitulah Enam Prinsip yang perlu dijadikan pegangan hidup............
Jadi amat perlulah bagi kita untuk mengamati satu persatu akan nasihat dan pesanan mereka di atas. Cuba kita tinjau semula pesanan yang kelima di atas i.e. apabila manusia berpusu-pusu mengejar DUNIA, maka hendaklah kita pula
berpusu-pusu mengejar AKHIRAT !! Apabila manusia atau orang ramai begitu tersangat minat dan cenderung kepada perkara-perkara atau urusan-urusan DUNIA, maka hendaklah kita pula begitu tersangat minat dan cenderung kepada perkara-perkara atau urusan-urusan AKHIRAT !!!



Apabila manusia atau orang ramai sibuk BEREBUT-REBUT DANBERBANGGA-BANGGA PULA DALAM MENG'IMARAHKAN DUNIA MEREKA, maka hendaklah kita pula sibuk BEREBUT-REBUT DALAM MENG'IMARAHKAN AKHIRAT KITA!!!! Nampaknya jelas sekali bahawa kita kenalah MELAWAN ARUS majoriti manusia atau orangramai...  kalau ramai orang ke hulu kenalah kita kehilir begitu pun sebaliknya. Ini berma'na kalau orang ramai ke hulu, dan kita pun ke hulu juga, tunggulah kebinasaan diri sendiri..!

Semoga sama-sama kita mengambil i'tibaar.


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 2 November 2013

7 Pintu Neraka Dan 7 Anggota Badan




IMAM GHAZALI rahimahullah berkata bahawasanya agama itu terbahagi kepada dua. Pertamanya meninggalkan maksiat yang ditegah dan satu bahagian lagi adalah mengerjakan segala yang disuruh.

Lazimnya, berbuat taat dan menurut segala yang disuruh itu adalah lebih mudah berbanding dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Kerana itulah Nabi s.a.w. bersabda, “ Orang yang berhijrah itu adalah seorang yang meninggalkan kejahatan dan orang yang berjihad ialah seorang yang memerangi hawa nafsunya.”

Individu yang berbuat maksiat adalah mereka yang mengkhianati Allah dan mengkufuri nikmat yang dianugerahkan-Nya. Ini kerana anggota tubuh badan adalah satu nikmat dan amanah Allah kepada hamba-Nya.

Sekiranya hamba tersebut menggunakan anggota itu kepada perlakuan maksiat, ia telah menyalahi fitrah kejadiannya sendiri. Di waktu inilah seseorang itu menjadi kufur terhadap nikmat Allah.

Oleh itu, hendaklah setiap individu muslim menjaga sungguh-sungguh seluruh anggota badannya terutamanya anggota yang tujuh iaitu memelihara MATA, TELINGA, LIDAH, PERUT, KEMALUAN, TANGAN dan KAKI. Ini kerana Jahannam itu terdiri dari tujuh pintu dan tidak terhumban ke dalamnya anak Adam melainkan maksiat anggota yang tujuh itu.

Mata yang dianugerahkan Allah untuk melihat dan memimpin anggota tubuh yang lain wajib dielakkan dari melihat empat perkara. Peliharalah mata dari melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan, melihat gadis remaja dengan iringan syahwat, melihat kepada sesama muslim dengan pandangan yang menghinakan dan melihat segala keaiban orang lain.

Telinga yang berfungsi untuk mendengar sesuatu harus dicegah dari mendengar segala perkataan bid’ah yang menyimpang dari ajaran agama, mendengar umpat-mengumpat dan kata-mengata, mendengar perkataan yang keji dan juga mendengar perkataan yang batil dan sia-sia.

Lidah diciptakan oleh Allah untuk berkata-kata. Maka hendaklah ia digunakan mengikut fungsinya yang benar. Janganlah sampai ia diseleweng dengan menuturkan kalimah dusta walau untuk tujuan bergurau-senda, mengumpat, menfitnah, bertengkar dan mengucapkan segala perkataan kotor. Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Sesungguhnya dusta itu satu pintu dari sifat munafik.” Tetapi dalam keadaan tertentu kita harus berdusta, misalnya untuk mendamaikan dua orang yang berkelahi atau suami-isteri yang bergaduh, yang mana tidak mungkin mereka dapat didamaikan kecuali dengan berdusta. Begitu juga dengan mengumpat. Ia dibenarkan jika membawa maslahah ( kebaikan ) yang meliputi pada enam keadaan :-

1. Mendedahkan kejahatan penjenayah supaya dihukum pemerintah atau mendedahkan kezaliman pemerintah supaya dihukum oleh rakyat.
2. Mendedahkan perbuatan mungkar seseorang supaya dia meninggalkan maksiat tersebut.
3. Mendedahkan kezaliman seseorang untuk menuntut hak dan keadilan.
4. Mendedahkan kefasikan dan kezaliman seseorang kepada orang yang belum mengetahuinya bagi mengelakkan mereka bersahabat dengan si fasiq atau si zalim itu.
5. Memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali melainkan dengan menyebut keaiban yang ada pada dirinya.
6. Menyebut akan sifat keji orang yang masyhur dengan kezaliman, kefasikan atau kejahatannya.


Selain dari enam situasi di atas, kita dilarang sama sekali dari mengumpat walau apa yang dikata itu ada kebenarannya. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Jangan mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain. Adakah sebahagian kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu benci.”

Perut pula hendaklah dipelihara dari memakan yang haram dan yang syubhah ( tidak jelas antara yang halal dan haram ). Ini kerana makanan yang kita makan akan menjadi darah daging. Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram maka neraka adalah lebih utama untuknya.”

Rasulullah s.a.w. turut bersabda lagi, “ Ibadat dan ilmu yang disertai dengan memakan rezeki yang haram seperti membina rumah di atas himpunan najis.”

Seterusnya, Imam Ghazali mengingatkan kita agar menjaga kemaluan dari segala yang diharamkan ke atasnya oleh Allah. Hendaklah ia dipelihara sebagai mana firman Allah, “ Dan mereka yang memelihara akan kemaluan mereka melainkan ke atas isteri mereka atau ke atas hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tiada dicela.”

Tangan turut harus dijaga dengan sebaik-baiknya dari memalukan dan menjatuhkan maruah sesama Islam. Ia juga janganlah digunakan untuk mencapai tujuan yang jahat atau menyuruh berbuat yang haram.

Manakala kedua kaki pula hendaklah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat maksiat yang ditegah oleh syarak. Dan juga kedua kaki itu hendaklah dikawal dari menghadap pemerintah yang zalim tanpa sebarang keadaan darurat yang mendesak.

Begitulah nasihat Imam Ghazali didalam kitabnya yang agung, ‘ Bidayatul Hidayah .’ Sesungguhnya di akhirat nanti segala anggota tersebut akan memberi kesaksian di atas apa yang dikerjakan di muka bumi ini sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ya-Siin, “ Pada hari Kami kunci mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang telah mereka usahakan.”,


kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 1 November 2013

Allah Pereka Yang Agung



Mari tok nak cerita kisah seorang petani yang pelik memikirkan ciptaan Allah. Mungkin anda semua pernah dengar, tapi tok cerita le jugak nak cari pahala kan.

Suatu hari petani tu mengkritik ciptaan Allah, sedang dia berbaring untuk berehat dibawah pohon berangan terdetik dalam hatinya,"Sungguh tak sepadan buah berangan yang begitu kecil berpohonkan pohonnya yang besar dan tegak merendang ini, sayup2 dipandang dari bawah. sedangkan buah labu yang ku tanam itu pula terlalu besar pohonnya, mana sesuai buah labu yang begitu besar berpohonkan pohon yang halus dan menjalar sehingga tak dapat merendangkan buah2nya yang besar itu.

Sepatutnya buah berangan berpohonkan pohon labu dan buah labu berpohonkan pohon berangan baru sesuai dan sepadan kedua2 jenis buah itu dengan pohonnya masing2."

Sedang dia berkira sendiri, tiba2 jatuh sebiji buah berangan tepat mengenai mukanya yang sedang berbaring mengadap ke atas itu. petani itu terus bangkit terduduk dan terpekik" Subhanallah!!! Maha Agung Engkau Ya Allah lagi Maha Bijaksana, kalaulah buah berangan itu sebesar buah labu dan sesuai dengan pohonnya yang besar seperti yang aku fikirkan, aku tak tau jadi apa muka aku ni sekarang! Ya Allah Sesungguhnya Engkaulah Pereka Yang Agung!"

Sekian, wassalam.

Moral: Jangan sesekali kita mengutuk atau menghina ciptaan Allah samaada manusia atau makhluknya yang lain, kerana Allah Maha Bijaksana sedangkan kita berfikir dengan ilmu yang amat terbatas, seperti kisah Nabi Musa A.S dengan Nabi Khidir A.S.


Salam Ukhuwah..~