Bacaan Popular

Selasa, 7 Mei 2013

Ganjaran 10 Kali Ganda Pahala Bagi Yang Sabar



ISLAM menuntut umatnya supaya sentiasa bersabar. Setiap dugaan dan halangan hidup seharian perlu ditempuhi dengan reda dan penuh keinsafan. Umpamanya apabila ditimpa kemalangan atau musibah, hendaklah menyerahkan diri dan bertawakal kepada Allah. Sikap sabar akan memberi ganjaran kepada manusia baik di dunia atau akhirat.

Ini dijelaskan dalam al-Quran bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredaan Allah dan membuat kebajikan. Allah menjanjikan balasan yang baik dan kemenangan yang menggembirakan.

Sabar adalah antara sifat golongan beriman dan menjadi salah satu amal soleh. Orang yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala besar.

Ini seperti firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau wanita sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak pula dianiaya sedikit pun...” – (Surah an-Nisa, ayat 124).

Justeru, hendaklah kita berlumba-lumba membuat kebaikan seperti bersedekah, menolong orang dan ringan dalam mengerjakan amal ibadat. Begitu juga dalam hal berkaitan sifat sabar, terutama ketika berhadapan dengan masalah seharian. Pergaulan dengan jiran, rakan dan saudara mara perlu dijaga dengan baik.

Sekiranya timbul perbalahan perlu ditangani dengan adil, saksama dan penuh kesabaran. Kehilangan sifat sabar hanya akan mengeruhkan keadaan, bukan menyelesaikan masalah. Sifat sabar membuktikan kewibawaan, peribadi dan ciri Muslim sejati serta mulia. Belajarlah menghormati jika kita mahu diri dihormati dan disegani orang lain.

Ganjaran sabar di dunia ialah mendapat kemenangan dan kejayaan hidup dalam menegakkan kebenaran Allah. Firman Allah bermaksud: “Ya, cukuplah jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka akan datang menyerang kamu seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.” – (Surah Ali Imran, ayat 125).

Orang bersabar dengan ujian Allah dan sebarang kesusahan dalam mempertahankan keimanan amat dikasihi Allah serta diberikan kurnia yang banyak. Tentunya hidup kita akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang masa. Firman Allah bermaksud: “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan kepada mereka...” – (Surah Ali Imran, ayat 170).

Begitu juga orang yang kuat dalam kesabaran kerana mempertahankan iman juga akan mendapat keuntungan. Sebenarnya pelbagai ganjaran dan balasan akan diberikan oleh Allah kepada orang bersabar. Ini kerana melalui sifat sabar akan membentuk jiwa yang kuat dan mental yang berani untuk menghadapi segala cabaran dan peristiwa yang boleh mengganggu gugat keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Ganjaran besar seterusnya menunggu orang yang sentiasa sabar dengan ujian Allah pada akhirat. Diketahui bahawa keuntungan, kesenangan, harta benda dan wang yang banyak yang diperoleh di dunia hanyalah sementara. Sebaliknya keuntungan dan kebahagiaan pada akhirat akan kekal dan abadi. Perkara inilah yang akan dinikmati oleh golongan beriman dan sabar dalam keimanannya.

Ini dapat dihayati melalui maksud firman Allah: “Hai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah waspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” – (Suruh Ali Imran, ayat 200).

Allah menyediakan tempat kembali yang mulia dan mengangkat kedudukan hamba-Nya yang sabar dan beriman ke tempat yang terpuji dan berserta dengan anbia dan salaf al-soleh. Mereka inilah yang akan menerima catatan amal di sebelah kanan dan mendapat layanan sempurna pada akhirat kelak iaitu dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tidak dapat digambarkan dengan akal fikiran.

Seterusnya hikmah sifat sabar dapat kita pelajari melalui ayat berikut.

Firman-Nya bermaksud: “Orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh kelak akan kami masukkan ke dalam syurga...” – (Surah an-Nisa, ayat 122).

“Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya...” – (Surah al-Anam, ayat 160).

“Kecuali orang sabar (terhadap ujian) dan mengerjakan amal soleh, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” – (Surah Hud, ayat 11)

Jelaslah, sabar adalah sifat yang membawa kebajikan. Malah Allah menggandakan pahala bagi orang yang membuat kebajikan dengan 10 kali ganda. Orang yang sentiasa bersabar akan mendapat keampunan daripada Allah terhadap segala dosa yang pernah mereka lakukan dengan pahala yang besar.

Oleh itu, sentiasa ingat bahawa sabar itu separuh daripada iman agar hidup kita sentiasa bahagia dan sejahtera.


"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 6 Mei 2013

Tentang Tidur Dalam Islam



Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:

"Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."

Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang. Kesan Mengantuk Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti. Banyak kes-kes kemalangan dilapurkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur. Justeru itu kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya. Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun.

(Dr. Stanley Coren; 'Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,' Psychiatric Times, March 1998)

Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun. (Dr. Stanley Coren;Ibid) Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis.

(Rujukan: Tinker Ready (2000); 'Naps: The Art of Snoozing')

Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan 'Lancet' pada pada bulan Oktober, 1999.

(Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)

Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah

Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:

"Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi s.a.w.mendengar perkataan Salman, Baginda s.a.w.  bersabda: "Benarlah Salman." (Bukhari)

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi s.a.w. telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda s.a.w. diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang sunat Teraweh. Nabi s.a.w. pun terus mengeluarkan arahan:

"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur."
(Bukhari-Muslim)

Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang. Tidur secara yang munasabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.



Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah s.a.w. ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata:

"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji.

Salam Ukhuwah..~

Ahad, 5 Mei 2013

Menikah / Berkahwin_Murah Rezeki



Berkahwin atau mendirikan rumah tangga merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: 

"Perkahwinan itu sunnah aku. Sesiapa yang menolak sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku."
(Riwayat Bukhari) 

Hari ini sering kita melihat bahawa sesuatu perkahwinan itu suatu perkara yang rumit dan menyusahkan. Kenapa perkara ini boleh terjadi ? Ramai di antara kita yang beranggapan, nak kahwin mesti ada kereta, mesti ada wang yang banyak, mesti ada itu dan ini ... 

Cuba kita ambil iktibar dari kisah yang berlaku lebih kurang 1400 tahun dahulu yang mana boleh kita jadikan panduan hidup ini. Insya Allah.

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki ini mengaku dirinya seorang yang miskin. Kemudian ia meminta jalan keluar agar terlepas dari belenggu kemiskinan. 

Rasulullah s.a.w tanpa banyak fikir lagi terus menyuruh lelaki itu berkahwin. Lelaki ini sangat senang dengan saranan yang diberikan Rasulullah s.a.w. Dengan keyakinan yang mantap, akhirnya lelaki itu berkahwin. Setelah sekian lama berkahwin, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah s.a.w. dan mengadukan nasibnya, 

"Ya Rasulullah saya sudah berkahwin tetapi masih tetap miskin, bagaimana ya Rasulullah?". 

"Kahwin lagi," jawab Rasulullah s.a.w. singkat. 

Si lelaki tanpa banyak bertanya lagi. Beliau percayakan kepada Rasulullah s.a.w. Sebab tidak mungkin Rasulullah s.a.w. mahu menipu ummatnya. Akhirnya lelaki itu berkahwin lagi dengan gadis lain. 

Namun beberapa waktu kemudian lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah s.a.w. dan mengadukan masalahnya : 

"Ya Rasulullah, isteri saya sudah dua tapi saya masih miskin, bagaimana ya Rasulullah...?" keluh lelaki itu. 

"Kahwin lagi," jawab Rasulullah s.a.w. singkat. Hati lelaki itu berasa senang apabila mendengar jawapan Rasulullah s.a.w.

Kemudian beliau berkahwin buat kali ketiga. Namun setelah beberapa lama keadaan tetap juga belum berubah. Mulanya ia malu mengadu kepada Rasulullah s.a.w, tapi apakan daya ia masih tetap miskin. Dengan berat hati beliau mendatangi Rasulullah s.a.w. dan menyampaikan masalahnya. 

"Ya Rasulullah, engkau telah menyuruhku menikah untuk ketiga kalinya, tapi aku tetap miskin. Sekarang apa yang harus kulakukan?", adu lelaki itu. 

"Berkahwinlah lagi," kata Rasulullah s.a.w.

Akhirnya si lelaki itu menikah buat kali keempat. Dan benarlah kata Rasulullah s.a.w. Ternyata isteri keempatnya ini membawa berkahwin di dalam kehidupannya. Dengan kepandaiannya menenun, ia mengajar kemahiran tersebut kepada tiga madunya. Akhirnya usaha tersebut mendatangkan keuntungan dan kekayaan. Perusahaan industrinya maju dan mampu mencukupi keperluan rumah tangga lelaki itu serta isteri-isterinya. 

Sabda Rasulullah bermaksud : 

"Carilah rezeki dengan menikah"
(Riwayat Ibnu Abbas) 

Firman Allah Taala bermaksud :
 

"Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui."
(surah an-Nur :32) 

Dengan mengambill iktibar dan teladan dari kisah di atas, Insya Allah jika niat kita ikhlas dan murni serta tujuan berkahwin itu kerana Allah ta'ala, tidak mustahil segala gejala-gejala sosial dapat dihindarkan.


Salam Ukhuwah.
.~

Sabtu, 4 Mei 2013

Allah Murka Orang Yang Tidak Kotakan Apa Yang Dia Kata



Ramai dikalangan orang Islam mengeluh kerana ketinggalan dalam berbagai bidang dan terpaksa mengahadapi hari-hari yang berlalu tanpa sebarang kemajuan, sedangkan mereka tidak dapat mengenal pasti apakah sebab disebalik perkara tersebut.

Mereka mencari sebab dan alasan yang jauh sedangkan rahsia sebenar ada pada diri mereka sendiri.

Kelemahan jiwa orang Islam hari ini telah sampai keperingkat yang paling teruk apabila tidak memiliki upaya kehendak yang mencukupi untuk bangkit melaksanakan apa yang ia katakan.

Kemahuan untuk merdeka, mendapat kebahagiaan, hidup senang dan sebagainya terbelenggu dengan cagaran memiliki daya kehendak yang tinggi untuk merialisasikan apa yang dikata.

Bukan mereka tidak mahu jadi kaya, tetapi kemahuan mereka yang lemah tidak dapat membebaskan mereka dari sifat malas berkerja, mereka mahu menjadi pejuang tatapi cinta mereka kepada keselesaan membelenggu mereka dari bengkit memikul tanggungjawab perjuangan, mereka mahu menjadi ahli ibadat tetapi kelekaan mereka dan cinta mereka kepada dunia tidak memberi mereka masa untuk berzikir dan bertaqarub kepada Allah dan mereka mahu infak di jalan Allah tetapi takutkan kefakiran telah membelenggu tangan mereka dari membelanjakan duit fi sabilillah.

Dalam pada itu mereka juga tergolong dalam golongan orang bercakap besar. dalam setiap pertemuan mereka menyanyikan lagu perubahan, tajdid dan pembinaan semula, pada hakikatnya mereka lemah dan bercakap tidak serupa bikin.

Allah mengutuk perbuatan mereka dan sifat lemah yang ada pada mereka Firman Allah dalam surah as Saf ayat 1, bermaksud: 

“Wahai orang yang beriman ! kenapa kamu kata apa yang kamu tidak lakukan?, besar kemurkaan Allah terhadap kamu, kerana kamu kata apa yang kamu tidak lakukan.”

Mereka bukan sebenarnya tidak mahu lakukan tetapi "kehendak" yang mereka miliki tidak sampai ketahap "al azimah" yang sepatutnya, sebab itu mereka cakap nak buat itu dan nak buat ini kerana mereka faham akan kepentinganya, tetapi yang menyedihkan ialah mereka tidak miliki keimanan sejati yang dapat menggerakkan anggota sehingga mereka dapat mengotakan apa yang mereka katakan.

Imam Abdul Qadir al Jailani menyebutkan dalam siri ceramahnya yang masyhor empat perkara yang mensia-siakan agama kamu:

1. Kamu tidak lakukan apa yang kamu tahu.

2. Kamu lakukan apa yang kamu tidak tahu.

3. Kamu tidak belajar apa yang kamu tidak tahu dan

4. Kamu menghalang orang dari belajar apa yang mereka tidak tahu .

Dalam menegaskan kepentingan perkara ini Imam al Banna berkata: "Sebelum saya bercakap kepada kamu mengenai sembahyang, puasa, kehakiman, pemerintahan, adat, ibadat, sistem dan maumalat, terlebih dahulu saya mahu bercakap mengenai hati yang hidup, ruh yang hidup, jiwa yang sedar, perasaan yang sensitif dan iman yang mendalam".

Menunjukkan kepada kita bahawa tanggungjawab solat, puasa, puasa, kehakiman, pemerintahan, adat, ibadat dan sistem maumalat tidak dapat dilaksanakan tanpa memiliki jiwa yang kental dengan keimanan. Tanpanya kata-kata hanya akan tinggal kata-kata sahaja. Tiada solat yang didirikan, tiada puasa yang sebenar, tiada dakwah , tiada jihad. Tiada apa-apa, yang tinggal hanyalah cakap kosong sahaja.

Ambillah pengajaran wahai orang yang berfikir!

Imam al Banna menambah lagi; "Keimanan yang kental ini akan merubah peribadi muslim menjadi model yang dikehendaki oleh Islam".

"Islam mahu peribadi yang mempunyai sentimen yang dapat merasai keindahan dan kejelikan, kepekaan yang benar yang dapat mengetahui mana yang betul dan mana yang salah, kehendak yang kukuh tidak lemah menghadapi kebenaran serta tubuh badan yang sejahtera dapat memikul beban tanggungjawab kemanusian dengan sebaiknya dan menjadi alat dalam merialisasikan kehendak baik dan menyokong kebenaran".


Kebahagiaan terletak pada kemenangan memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak yang berlebih-lebihan. ( Imam Al-Ghazali ).


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 3 Mei 2013

Kaedah Menyuburkan Jiwa


i. Muraqabah selalu kepada Allah

Apabila seseorang muslim yang hendak melakukan sesuatu pekerjaan mengetahui bahawa Allah selalu melihat dan selalu bersamanya dan juga mengawasi gerak-gerinya insyaallah dia akan sentiasa bertindak mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah didalam Al-quran dan As-Sunnah.


ii. Selalu ingat kepada kematian dan kehidupan selepasnya.

Seseorang itu harus menanamkan didalam hatinya akan kepastian ajal yang akan menjemputnya dalam waktu yang singkat mahupun lama. Dia harus juga membayangkan jannah (syurga) yang cantik dan indah. Dengan cara ini hati akan sentiasa peka dan akan menimbulkan rasa takut kepada Allah yang akhirnya akan menghasilkan amal saleh untuk menghadapi kematiannya.


iii. Membayangkan hari akhirat dan kejadian di dalamnya.

Hendaklah membayangkan peristiwa besar yang akan terjadi di akhirat nanti seperti kenikmatan ahli syurga dan kesengsaraan ahli neraka. Ini akan melahirkan rasa tunduk, tawadhu’ dan khusyuk. Ini juga akan merangsang seseorang untuk bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah.

iv. Memperbanyakkan tilawatil Al-Quran dengan tadabbur.

Tilawah yang diiringi kehadiran hati akan melahirkan kekhusyukan, dapat mempertajamkan pandangan hati dan menyembuhkan penyakit pada hati.


v. Hidup akrab bersama Rasul dengan mengikuti sirahnya.

Rasulullah merupakan uswatun hasanah dan figure atau idola yang sempurna bagi ummah. Sebagai manusia kita harus menyambung lidah para nabi (da’wah-menegakkan islam) dan mencontohi perilaku Baginda semampu yang boleh. Antara beberapa contoh kehidupan nabi yang harus diteladani iaitu:

a)Ibadahnya 

b)Kezuhudannya (cara Beliau berinteraksi dengan dunia) 

c)Ketaqwaannya (takutnya kepada Allah) 

d)Kesabaran dan kelembutannya 

e)Keteguhannya dalam memegang prinsip 

f)Kekuatan fizikalnya 

g)Keberaniannya



vi. Selalu bersahabat dengan orang-orang pilihan yang berhati bersih dan berilmu pengetahuan dien (agama).

Untuk menjadi muslim yang baik tidak cukup dengan hanya tekad dan usaha sendiri tetapi memerlukan bantuan daripada orang lain. Oleh itu kita perlu mencari seorang teman kerana teman mempunyai pengaruh yang cukup besar kepada jiwa seseorang individu. Ciri-ciri teman yang baik ialah:

a)Komitmen dengan syariat islam dengan niat yang tulus ikhlas, jujur dalam ketaatan dan istiqamah (berterusan) dalam beramal. 

b)Dalam diri mereka tidak nampak sama sekali kemaksiatan, bidah ataupun hal-hal yang menyalahi syara’. 

c)Mereka menyibukkan diri dengan kelemahan dan aib diri sendiri. 

d)Mereka beramar ma’ruf nahi mungkar dengan landasan kekuatan iman dan keberanian.

e)Diwajah mereka tampak ada cahaya keimanan. 

f)Mereka memerhatikan permasalahan umat islam dan bersemangat menghadapi pelbagai masalah yang dihadapi umat. 

g)Bergerak secara jujur demi tanggungjawab da’wah dan memiliki semangat yang ikhlas dalam jihad dan islahul ummah (memperbaiki ummah).


vii. Zikir di setiap waktu dan keadaan.

Didalam Al-Quran dan Al-Hadith banyak sekali kita temukan perintah untuk berzikir. Hal ini kerana zikir merupakan suatu perkara yang penting. Zikir merupakan wasilah diri kepada Allah. Dengan zikir insyaallah hati akan menjadi tenang dan jernih. Kita sekurang-kurangnya perlu mengamalkan serta menghafal zikir Al-Ma’thurat (disusun oleh Asy-Syahid Hassan Al-Banna) di waktu pagi, petang dan malam.

viii. Menangis disaat berkhalwat kerana takut kepada Allah.

Tangisan seorang mukmin sejati lahir daripada rasa takut kepada:

a)Kematian sebelum bertaubat. 

b)Istidraj (pemberian tanpa redha) dengan berbagai nikmat yang menyebabkan suul khatimah (mati tidak dalam iman yang benar kepada Allah). 

c)Sakaratul maut dan tercabutnya roh. 

d)Pertanyaan dua malaikat dan siksa kubur.

e)Hari hisab dan saat menyeberangi titian sirat. 

f)Neraka dan pelbagai siksanya. 

g)Diharamkan baginya syurga dan pelbagai kenikmatan.

Dengan perasaan sedih, hati akan menjadi kuat dan selalu berusaha keras untuk melaksanakan segala perintah Allah


ix. Bersungguh-sungguh membekali diri dengan ibadah-ibadah nafilah (mandub- baca sunnah).

Semakin dekat seseorang hamba kepada Rabbnya dengan melakukan amalan sunat [seperti qiamullail (berjaga malam untuk beribadah) & solat sunat], semakin kuat pulalah jiwanya.


kredit: almukmeen


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 2 Mei 2013

Harta Benda Adalah Ujian Terbesar



IMAN adalah aset rohani manusia yang tidak ternilai harganya. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah ditentukan dengan kadar keimanan yang ada pada diri masing-masing.

Sesiapa yang paling kuat dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia dalam pandangan Allah. Keimanan yang kuat itu mahal harganya. Ia tidak mungkin diperoleh begitu saja tanpa berhadapan dengan perjuangan yang sukar.

Ini kerana, Allah akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan cubaan hidup untuk melihat dengan jelas hasil daripada ujian itu, mutu iman setiap manusia, apakah ia emas atau tembaga.

Firman Allah yang bermaksud: 

“Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
(Surah Al-Mulk, ayat 2).

Sesungguhnya dalam hidup ini setiap individu tidak dapat lari atau dipisahkan daripada pelbagai ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan.

Amat rugi anggapan individu yang berasakan hidup ini hanya senang semata, suka dan bahagia atau hanya menganggap hidup ini penuh duka.

Pada hal, setiap bahagia dan sengsara, untung dan rugi, sihat dan sakit dan segala macam kejadian yang menimpa, adalah perjalanan hidup yang sudah menjadi ketetapan Tuhan.

Begitu juga dengan keadaan manusia, ada yang miskin, kaya atau kurus dan gemuk.

Segala-galanya adalah fitrah alam yang diciptakan Allah sebagai renungan dan ujian kepada hamba-Nya yang sentiasa berfikir terhadap kebesaran pencipta.

Berkenaan dengan iman, ujian ketika hidup ini adalah ukuran terhadap usaha dan iman seseorang sama ada berjaya atau tidak.

Semuanya terletak pada sejauh mana kemampuannya menghadapi ujian itu.

Proses ini juga berlaku kepada iman dan takwa seseorang kepada Allah seperti mana diterangkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
 

“Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan dan demi sesungguhnya kami menguji orang terdahulu daripada mereka maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui orang berdusta.” 
(Surah al-Ankabut, ayat 1 hingga 3).

Ayat ini memberikan pengertian bermakna berkaitan hubungan manusia dengan hidup sebagai hubungan ujian dan cubaan.

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan yakni dengan berkata ‘kami sudah beriman kepada Allah’, sedangkan mereka belum diuji Allah.

Ini kerana, setiap ujian dan cubaan yang dihadapkan Allah kepada hambaNya adalah garis penentu untuk menentukan siapa yang benar-benar beriman dan siapa hanya membuat pengakuan lisan, sedangkan dari segi amalannya mereka berdusta kepada Allah.

Sesungguhnya, ujian kesusahan dan kesakitan adalah ujian paling ringan, kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji kesabaran dan kerelaan seseorang menerima qadar dan qada’ Allah.

Apabila ternyata kesabaran, maka Allah akan tetapkan pahala dan seterusnya dihapuskan sebahagian daripada dosa atau dipertingkatkan darjat hingga ujian itu menjadi nikmat dan kurniaan yang besar dari Allah untuk hamba-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 

“Setiap orang Islam yang ditimpa bencana sama ada yang terkena duri atau lebih berat daripada itu, maka itu adalah semata-mata ujian, kerananya Allah akan hapuskan perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosanya sebagaimana pokok kayu menggugurkan daunnya.” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Manakala, ujian Allah melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula adalah lebih berat daripada ujian kesusahan dan kesakitan kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian itu.

Apabila diberi kekayaan dan kedudukan Allah, mereka gagal menjadikan dirinya sebagai Muslim sempurna yang dijadikan khusus oleh Allah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Bertepatan dengan perkara ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

“Akan datang suatu zaman atas umatku, bahawa mereka sangat sukakan lima perkara dan melupakan lima perkara yang berlainan dengannya. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan, mereka sukakan rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan manusia dan melupakan Tuhan Penciptanya.”
(Riwayat Bukhari).

Dalam hadis lain pula, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” 
(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Daripada hadis ini, jelas bahawa ujian terbesar kepada umat Muhammad s.a.w. adalah ujian berupa harta benda dan kekayaan.

Dengan harta benda dan kekayaan menyebabkan banyak di antara manusia tergelincir daripada prinsip dan akidah Islam serta tidak dapat mempertahankan diri sebagai Muslim bermaruah tinggi dan berakhlak mulia.

Allah tidak memandang kepada paras rupa, tetapi melihat kepada hati dan amalan... tidak ada beza seseorang di sisi Allah ta'ala kecuali iman dan taqwa.


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 1 Mei 2013

Terpesona / Takjub


Maaf mengganggu... saya hanya nak sampaikan sebuah cerita yang saya dapat, yang membuatkan hati saya amat tersentuh. Cerita ini saya dapati selepas menghadiri sebuah kolokium wanita di tempat saya beberapa tahun yang lalu. Ustazah yang menceritakan ini dulu pernah mengajar di Kisas.

Ceritanya begini. Suatu hari, dia travel, saya kurang ingat ke mana dan dari mana. dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Si suami seorang guru Penolong Kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengah hari tapi belum masuk waktu zohor.

Kedua-dua suami isteri ini masih disekolah waktu itu. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang kesemuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu manakala yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah, waktu zohor masuk. Abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam. Sewaktu dalam raka'at kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang.

Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jema'ah. dia ikuti ruku' apabila imam ruku'. Dia ikut sujud apabila imam sujud, dan selesai imam memberi salam, dia bangun menyelesaikan satu raka'at solatnya yang tertinggal. Subhanallah... adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk.

Ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa ta'atnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ. Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu.

Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun sebaik selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil semuanya sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh entah berapa tahun sibuk menagmbil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir. Mereka solat jema'ah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat, si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jema'ah sepanjang mereka solat.

Sekali lagi cerita tak berakhir di situ. Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, 

"Anak2... hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa...".dan 8 orang anaknya termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan. Subhanallah... bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati.

Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya Fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki. Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman.

Cuba kita tanya diri kita sendiri... berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga... berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk... berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik-adik mereka... dan berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang ta'at melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa.

Subhanallah... Alhamdulillah...

Moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan i'tibar buat kita semua yang rata-ratanya masih belum berumahtangga.


Salam Ukhuwah..~