Bacaan Popular

Jumaat, 7 Mac 2014

Tabaruj Bahagian Pertama



Mulai bulan mac 2014 ini Tok Wan cuma akan buat posting seminggu sekali sahaja yakni setiap pagi jumaat. Untuk kali ini Tok Wan nak kemukakan hal Tabaruj.



Firman Allah Taala:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, supaya mereka mengenakan jilbab ke seluruh badannya, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal; kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)

Di dalam surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."


Di atas adalah di antara nash syar'I yang menjadi dasar berpakaian dalam Islam dan berhias (untuk wanita).

Kemudian pada ayat lain Allah berfirman:
"…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Ayat ini pula menceritakan tentang larangan bertabarruj sebagaimana orang jahiliah dahulu.


Baiklah, berdasarkan seluruh nash-nash mengenai aurat dan berhias, di hadapan kita sekarang ini ada beberapa persoalan yang perlu dipecahkan, antaranya ialah: 


1) Batasan aurat - Anggota asas yang disepakati oleh para ulamak agar ditutup ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua telapak tangan.

2) Apakah muka termasuk aurat - Muka pula telah diperselisihkan di kalangan mereka, ada yang kata ia adalah aurat dan ada yang kata bukan aurat.

Kalau, kita pilih pendapat yang mengatakan bahawa muka adalah aurat… Habis cerita. Soal gincu, bedak, losyen dan celak dsbnya sudah tentu tak timbul. Ia nyata haram dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi. Tetapi, bagaimana jika kita memilih bahawa muka itu bukan aurat - kebanyakkan kita memilih pendapat ini -, di mana kedudukan celak, gincu, bedak dan bla.. bla…bla…

Sekarang ini kita pilihlah kononnya bahawa muka itu bukan aurat… Tetapi, sebelum itu lebih baik kita bincangkan dahulu mengenai masalah tabarruj, yang sudah tentu berkaitan dengan soal muka bukan aurat.


Apa itu tabarruj yang di maksudkan di dalam firman Allah:
"…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu (pertama)". (Al-Ahzab:33)

Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.

Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Tabarruj berasal dari kata BARAJUN, bererti luas. Dan ada yang mengatakan ia berasal dari kata BURJUN yang bererti tinggi.


Selesai mengenai erti tabarruj… Dan, lihat kembali ayat al-Quran: "….orang-orang jahiliyah dahulu."

Tabarruj yang dikaitkan dengan orang-orang jahiliyah dahulu. Siapakah mereka itu? Pada zaman mana orang-orang jahiliyah dahulu berada? Di dalam tafsir al-Qurthubi menyatakan beberapa pendapat mengenainya: 

1. Iaitu masa antara Adam dan Nuh a.s., ini adalah pendapat al-Hakam bin Uyainah.
2. Ibnu Abbas berpendapat: Masa di antara Nuh dan Idris a.s.
3. Al-Kalbi: Masa di antara Nuh dan Ibrahim a.s.
4. Jamaah: Masa di antara Musa dan Isa a.s.
5. Abu Aliyah: Masa di antara Daud dan Sulaiman a.s.
6. Al-Sya'bi: Masa di antara Isa a.s. dan Muhamad s.a.w.

Namun semua pendapat itu tidak disandarkan dengan satu sumber yang kukuh dan sahih. Cuma yang pasti, semua mereka di atas bersepakat mengatakan bahawa jarak masa antaranya dan masa Nabi Muhamad s.a.w. dibangkitkan sebagai Rasul adalah jauh (jangkamasa yang begitu lama). Dan, apabila al-Quran menyebutkan "jahiliyah dahulu" - dahulu/lama/pertama - bermaksud di sana ada yang dikatakan sebagai `jahiliah baru' atau `jahiliyah kedua'.

Bila masa jahiliyah kedua berada? Iaitu selepas jahiliyah pertama dan sedikit masa sebelum kebangkitan Nabi kita Muhammad s.a.w.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj? Buruk sangatkah mereka ini? Hodoh sangatkah perangai depa ni? Ya, gambarannya lebih kurang begini: 

Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal pakaiannya - memakai baju dari lu'lu', atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Era jahiliyah kedua yang akan berhubung dengan era kebangkitan Muhammad s.a.w. sebagai rasul tidaklah sampai ke peringkat begitu teruk. Namun ada juga sedikit sebanyak tabarruj yang berlaku, hingga kadangkala sampai ke peringkat telanjang terus. Ini dapat dibuktikan melalui hadis riwayat Muslim, bagaimana kaum wanita zaman itu bertawaf mengililingi Ka'abah dalam keadaan telanjang bulat.

Sekarang ini jelaslah sudah mengapa Allah mengaitkan al-jahiliyah al-`Ula (jahiliyah pertama/dahulu) dengan tabarruj. Dan, dengan penjelasan di atas tidaklah bermakna yang terlarang ialah bertabarruj seburuk orang-orang jahiliyah pertama, kalau kurang daripada itu tidak mengapa. Tak apalah kalau tabarruj sikit-sikit. Ini adalah fahaman yang salah, kerana Allah menyebutkan sifat-sifat tabarruj jahiliyah pertama adalah bertujuan memberi penjelasan realiti yang berlaku ketika itu, bukannya mahu mengaitkan pengecualian hukum selain daripada itu. Ia lebih berbentuk penjelasan tentang keji dan berlawanannya perbuatan itu dengan citarasa serta naluri kemanusiaan.

Perlu diingatkan bahawa maksud tabarruj yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat - berdasarkan kepada siapa dia berhadapan. Kalau di hadapan dengan lelaki asing, apa yang perlu ditutup. Jika tidak memenuhi kehendak ini, maka dia sudah tergolong di dalam perempuan ynag bertabarruj. Begitulah seterusnya ketika di hadapan mahram, orang gaji dsbnya…

Ya, selesailah sudah penjelasan mengenai tabarruj. Saya harap ia mudah difahami dan tidak membosankan. Dan, kita teruskan lagi ke pembahasan selanjutnya. Kali ini mengenai berhias pula. Tapi tunggulah pada hari jumaat depan dalam bahagian kedua.


La haula walla quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan