Bacaan Popular

Selasa, 15 Oktober 2013

Hidup Ini



Adalah seorang hamba Allah ni , dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang ia menghirup udara rimba yang segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi. 

jeng!jeng!jeng!...bunyi ....aauuummmmm!!!!!.... bunyi harimau yang kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja. Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni.

Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi. dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi.

Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu.
Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi.

Di mulut perigi harimau yang lapar tu menunggunya. Si hamba ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. tengah dok berfikir cam ner nak selamat tetiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi. Aaaaa!!!!...Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya.

Nak tahu ada apa kat bawah tu? ada 2 ekor buaya yang kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. lagilah takut si hamba Allah ni.

Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut.Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi. naik ke atas ikut tali yang hamba Allah tu bergayut, sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak. Cis, kurang ajar punya tikus. Alahhhhaii....cam ner ni.

Pas tu, keluar lagi seekor tikus yang berwarna hitam. naik mengikut tali tadi, cit!cit!cit!cit! sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu. Cis, lagi satu . Macam mana aku nak buat ni....habislah jadi mangsa buaya .

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya. Macam mana nih...Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba...terdengar satu bunyi.... uuuuuuuuuuuuu... bunyi lebah bawa madu. Si hamba Allah ni pun mengdongak ke langit, melihat lebah yang sedang bawa madu. Tetiba stitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si Hamba Allah ni tadi. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata,"Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap ni."

Kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada Harimau yang sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yang menantinya di bawah.

Kalau semua nak tahu , si Hamba Allah itu adalah kita semua. Harimau yang mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah.

2 ekor buaya itu adalah malaikat Munkar Dan Nakir yang menanti kita di alam kubur nanti.

Tali yang tempat si hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya maka pendeklah umur kita.

Tikus Putih dan Hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali tu.

Madu..., madu yang jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah memang sentiasa ingat.

Astagfirullah ul-Azim


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 14 Oktober 2013

Bukan Cantik Rupa Tapi Perangai

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.." Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata,
"Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya
dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak
seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok
bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan
Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar
dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri
rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis
dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang
rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan
ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka
suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan
kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika
si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas
dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya.
Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri
yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak
tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.
Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk
meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau
tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada
suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi
pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada
suami
adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya
wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa
mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya
memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah
cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai
orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti
ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan.

Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati
dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi.
Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan
padanya. Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut
kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita
yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta
makhluk-makhlukNya.

Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa
resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan
jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi
kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang
tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan
dirinya ke jurang neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan
gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan
mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik
indah tetapi hina terdedah menjadi mainan nafsu dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu
adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang
berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di
liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia
dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan
Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang,
berkorban apa saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga
menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina.
Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari
penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.

Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di
mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan
kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke
bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan
bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak
berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya
itu terkandung pengajaran: "Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari
Allahlah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya
padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl: 53

Wallahu a'lam...

Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang
terbaik...

Ahad, 13 Oktober 2013

Tujuh Perkara Ganjil



Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s.w.t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."




*Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu.

*Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s.w.t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s.w.t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.




Sambung pemuda itu lagi, *Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah tersebut, *Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"




Pemuda itu menyambung lagi, *Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Pabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu."

*Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.




*Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah itu, *Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s.w.t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."




*Ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu.

*Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.




*Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,"

*Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.




*Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, *Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."





Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s.w.t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 12 Oktober 2013

Kelebihan 10 Hari Awal Zulhijjah




Apabila tibanya Zulhijjah akan tergambar dalam pemikiran umat Islam ibadah cukup besar dalam syariat iaitu ibadah haji, rukun Islam terakhir wajib dilaksanakan bagi setiap Muslim yang berkemampuan.

Pada bulan ini juga hati umat Islam semakin terpanggil untuk menunaikan ibadah haji di Baitullah dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya. Sesungguhnya Zulhijjah adalah bulan mulia kerana ia bulan ibadah bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak.


Jika pada Ramadan, Allah s.w.t. menyediakan sepuluh malam terakhir untuk hamba-hamba-Nya memperbanyak ibadah qiyam, maka pada sepuluh awal Zulhijjah adalah sepuluh hari (siang) terbaik untuk setiap Muslim memperhambakan diri kepada-Nya.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Demi waktu fajar dan demi sepuluh malam.” Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berpendapat ‘sepuluh malam’ disebutkan Allah s.w.t. bermaksud sepuluh hari awal Zulhijjah. Ini juga pandangan sahabat dan tabiin antaranya Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair dan Mujahid.


Lafaz pujian 10 hari awal Zulhijjah

Sepuluh hari awal Zulhijjah juga hari-hari mulia untuk melafazkan puji-pujian kepada Allah s.w.t. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Surah al-Haj, ayat 27-28)

Ibn ‘Abbas menyatakan, hari tertentu dimaksudkan dalam ayat ini ialah sepuluh awal Zulhijjah. Pada hari itu syiar Islam terserlah dengan pengucapan lafaz pujian kepada Allah s.w.t. terutama lafaz tahmid dan takbir.

Pada sepuluh awal Zulhijjah ini umat Islam digalakkan memperbanyakkan kalimah takbir (Allahu Akbar), tahlil (La ilaha illallah) dan tahmid (Alhamdulillah).


Perkara ini dijelaskan Rasulullah s.a.w. dalam sabda Baginda: “Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan tiada amalan yang lebih disukai-Nya kecuali pada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya takbir, tahlil dan tahmid.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maka perbanyakkanlah lafaz pujian kepada Allah s.w.t. dengan mengucapkan ketiga-tiga zikir ini. Sahabat dan salaf al-soleh akan memperbanyakkan zikir pada sepuluh hari ini dengan takbir sehingga ia kedengaran jelas di pasar dan premis perniagaan.

Diriwayatkan, Nabi s.a.w. menerangkan secara jelas kelebihan sepuluh hari awal Zulhijjah. Daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan pada siang hari yang lebih mulia berbanding hari-hari ini". (iaitu sepuluh awal Zulhijjah). Sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah? Jawab Baginda s.a.w: “Walaupun berjihad di jalan Allah kecuali lelaki yang keluar (berjihad) dengan nyawa dan hartanya dan tidak pulang dengan sesuatu pun (daripada kedua-duanya).” (Riwayat Abu Daud)


Detik manis ditunggu jemaah Haji

Bagi mereka yang menunaikan ibadah haji, hari-hari terakhir pada sepuluh awal Zulhijjah adalah detik manis dan amat ditunggu-tunggu. Pada 8 Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari Tarwiyah, jemaah haji akan memulakan perjalanan sama ada ke Mina mahupun Arafah dalam memenuhi tuntutan manasik haji.

Mereka akan mula berangkat daripada tempat penginapan di Makkah al-Mukaramah dengan berpakaian ihram serba putih untuk menyahut seruan Ilahi dengan laungan talbiah memenuhi langit Makkah.

Hari Arafah pada 9 Zulhijjah dipenuhi amal ibadahkepada Allah s.w.t, tidak kira bagi mereka yang menunaikan haji atau tidak. Hari Arafah antara hari kebesaran bagi umat Islam.

Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Hari Arafah, Hari al-Nahr (Aidiladha) dan hari-hari Tasyrik adalah hari perayaan kita sebagai umat Islam. Ia hari untuk makan dan minum.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan hari Arafah ialah umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji disunatkan berpuasa. Nabi s.a.w. bersabda: “Dengan berpuasa pada hari Arafah aku berharap padanya supaya Allah ampunkan dosa-dosa tahun yang lepas dan juga tahun akan datang.” (Riwayat Muslim)

Hari Arafah juga diterima setiap doa hamba-Nya yang memohon permintaan dan keampunan. Malah doa dipinta kepada Allah s.w.t. pada hari itu adalah sebaik-baik doa dan semulia-mulia waktu untuk diperkenankan oleh-Nya. Sabda Nabi s.a.w: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat Imam al-Tirmizi).


Gunakanlah sebaik-baiknya sama ada bagi mereka yang menunaikan haji mahupun tidak untuk berdoa menadah tangan kepada Allah s.w.t. dengan penuh rasa perhambaan kepada-Nya.


Hajjatul Wada’

Pada hari Arafah juga berlakunya hajjatul wada’, Rasulullah s.a.w. menerima wahyu daripada Allah s.w.t. menandakan lengkapnya risalah yang dibawa Baginda s.a.w. kepada seluruh umatnya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah lengkapkan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam sebagai deen (agama) kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Aidiladha yang dira'ikan pada 10 Zulhijjah pula hari kebesaran dan kegembiraan bagi umat Islam. Pada hari itu umat Islam disunatkan melakukan ibadah qorban bermula waktu dhuha sehingga hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ibadah korban syiar perhambaan kepada Allah s.w.t. Malah ibadah qorban membuka ruang amal kebajikan bagi mereka yang berkemampuan dengan menyalurkan daging sembelihan kepada fakir miskin, anak yatim, jiran tetangga, rakan taulan dan sanak saudara.


kredit: Imam Muda Asyraf



Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 11 Oktober 2013

Puji-pujian Hanya Bagi Allah




Islam tidak menggalakkan kita memuji seseorang di depannya jika kita khuatir orang itu berasa dirinya hebat. Namun, jika seseorang itu dapat mengelak daripada sifat bangga diri, kita boleh memuji di depannya.

Abu Bakrah berkata, “Seorang lelaki disebut di depan Nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang memujinya. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Aduh, saudara memotong leher sahabat saudara".

Baginda s.a.w. mengucapkan beberapa kali dan menambah:


" Jika ada dalam kalangan saudara yang hendak juga memuji juga, katakanlah, saya fikir dia begitu begini meskipun saudara tahu dia memang begitu. Allah yang menentukannya, jangan ada sesiapa mendahului Allah s.w.t. memuji orang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Tabur tanah pada muka


Hammam bin Haris berkata, “Ketika Miqdad melihat seorang lelaki memuji Uthman bin Affan, Miqdad duduk berlutut lalu menaburkan tanah pada muka pemuji itu. Uthman bertanya: Mengapakah saudara ini?

Miqdad menjawab: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila saudara melihat orang yang memuji, taburkanlah muka mereka dengan tanah.”
(Riwayat Muslim)

Ulama membuat kesimpulan boleh memuji orang yang sempurna iman dan yakin orang itu dapat mengawal diri serta mempunyai ilmu pengetahuan yang menyebabkan dia tidak terpengaruh dengan pujian itu. Jika sebaliknya, makruh memuji.

Antara hadis membenarkan memuji adalah sabda Nabi Muhammad s.a.w. kepada sahabatnya Abu Bakar, “Saya harap saudara termasuk dalam kalangan mereka”, iaitu orang yang namanya di panggil masuk di setiap pintu syurga.

Nabi Muhammad s.a.w. juga bersabda kepada sahabatnya Umar bin Khattab, “Apabila syaitan melihat saudara lalu di satu jalan, ia pasti akan lalu di jalan lain.”

Oleh yang demikian takutlah kepada puji-pujian yang datangnya dari mulut rakan sahabat kita sebab kita belum tahu dipenghujung usia kita apakah kita layak menerima pujian yang sedemikian.


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 10 Oktober 2013

Tanah Haram Pada Tanahnya Bukan Pada Orang



Kelmarin Tok Wan ada terima e-mail dari seorang rakan yang berada di Tanah Haram Makkah al Muqarrammah. Isi kandungannya memang patut dikongsi bersama saudara-saudari yang ada niat hendak pergi atau sudah pergi atau nak pergi haji / hajjah lagi. Mereka-mereka yang belum ada niat pun boleh baca pengalaman ini. Beginilah bunyi e-mail tersebut;

DALAM jutaan jemaah haji ke Tanah Haram Mekah ini bukan semuanya ikhlas yang datang untuk beribadah. Seorang Arab di sini berkata kepada saya: "Tanahnya ialah Haram, orangnya tidak haram. Di sini semua boleh jadi."

Namun bagi kita orang Asia Tenggara - saya sebut Asia Tenggara - InsyaAllah kita masih terdiri daripada golongan jemaah yang paling lemah-lembut, pemurah, pembeli-belah tegar dan ikhlas dalam tujuan datang ke sini untuk beribadat.

Bagi hamba Allah yang lain pula, saya melihat mereka beribadat mengikut cara masing-masing. Ada yang terlalu ekstrem, kasar dan tidak pedulikan orang lain. Ia boleh dilihat semasa bertawaf.

Apa yang saya ingin tekankan di sini minggu ini ialah tentang kejadian kecurian. Rupa-rupanya banyak juga yang panjang tangan di sini. Pencuri ini tidak kisah sama ada ia dilakukan di Tanah Haram, Tanah Suci atau Tanah Halal. Itu adalah pekerjaan mereka sebagai pencuri.

Mereka datang ada sebab, iaitu mencuri dan taktik mereka cukup licik. Seorang pegawai Tabung Haji berkata kepada saya "mereka ini adalah sindiket".

Jika saya katakan mereka ini tidak kisah ia berlaku di Tanah Haram Mekah, mereka juga tidak kisah jika perbuatan itu dilakukan di dalam masjid paling suci di dunia orang Islam iaitu di Masjidil Haram.

Akhbar Saudi Gazette Jumaat lalu melaporkan para pegawai keselamatan Masjidil Haram menahan seorang lelaki yang didakwa mencuri dompet duit seorang wanita semasa waktu solat. Pegawai juga menemui pada badannya wang tunai 26,000 riyal (kira-kira RM22,000) dan sejumlah telefon bimbit. Pencuri itu mengaku mencuri daripada pelbagai jemaah haji yang sedang sibuk beribadah.

Sebagaimana saya nyatakan, itu adalah pekerjaan mereka. Mereka datang bermusim dan tindak-tanduk mereka cukup hebat. Rata-rata jemaah Malaysia yang saya temui mempunyai pengalaman tersendiri, kena curi.

"Kalau saya jumpa lagi perempuan hitam itu mahu saya tempeleng dia. Wajah dia masih terbayang-bayang," kata seorang jemaah kepada saya semalam.
Dia hilang wang tunai 500 riyal apabila perempuan itu dalam beberapa orang menghimpitnya dan menyeluk ke poket jubahnya. Yang hairan, perempuan itu tahu pula di dalam poketnya ada wang tunai.

Seorang lagi jemaah lelaki kita baru menukar wangnya di premis tukaran mata wang. Semasa berjalan, taktik yang sama dilakukan oleh sekumpulan wanita dan poketnya ditetas. Wang tunainya sebanyak 3,000 riyal lesap.

Kejadian yang sama berlaku kepada isteri saya malam semalam, selepas solat Isyak di Dataran Masjidil Haram. Telefonnya diambil orang daripada 'beg terkenal' jemaah haji muasasah Malaysia musim ini - beg sandang berwarna kuning - tajaan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Selepas solat selesai, beribu-ribu jemaah berebut-rebut beredar dan ketika isteri saya menuju ke arah saya, saya sedar seorang wanita Afrika berjubah hitam masih mengikutinya dan hanya beredar setelah kami bersama.

Ketika itu terlintas di hati saya sesuatu dan saya berkata kepada isteri saya secara spontan "jaga baik-baik beg galas itu" bimbang nanti ada yang seluk.
Kebimbangan saya terjawab apabila dia mencari telefonnya, telefon itu sudah lesap. Isteri saya tidak sedar langsung yang begnya diusik.

Mungkin kerana naluri seorang suami, saya ada memberitahunya semasa kami hendak keluar dari hotel ke masjid semasa Asar, supaya jangan bawa beg kuning itu. Tetapi alasannya, "macam-macam ada di dalam beg itu."

Semasa saya singgah makan di sebuah kedai makan Malaysia selepas kejadian itu dan kebetulan berjanji dengan rakan sepasang suami isteri yang baru tiba, saya bertanya kepada mereka "apa ada di dalam beg itu?"

Rakan saya itu berkata, "Semua ada. Dompet, dokumen, telefon semua ada."
Bagi saya itulah yang juga ada dalam fikiran pencuri-pencuri itu. Mereka tahu dalam "beg kuning" jemaah haji Malaysia itu "semua ada" dan itulah sasaran mereka.

Seloroh seorang jemaah, beg itu beg BSN. "Nama beg pun bank, mestilah banyak duit..."

Semasa berjalan ke masjid waktu Subuh semalam, saya membuat sedikit ujian. Saya melihat orang Malaysia begitu bersahaja membawa beg kuningnya silang ke belakang. Saya menarik beg salah seorang jemaah. Dia terkejut. Saya mohon maaf dan menerangkan tujuan saya. Saya tanya apa ada dalam beg itu. Dia juga kata "macam-macam ada".

Pada subuh itu juga semasa keluar dari lif hotel, seorang lelaki mengadu beg kuningnya sudah lesap di masjid. Semalam dia membuat laporan kepada pihak Tabung Haji.

Mulai sekarang pihak Tabung Haji harus memberitahu jemaah supaya berhati-hati kerana "beg kuning" itu sudah menjadi "sasaran" pencuri.

Seorang sahabat saya yang juga warganegara Arab Saudi ketika kami berkunjung makan malam di rumahnya beberapa malam lalu, serius berkata:
"Kejadian mencuri menjadi-jadi semasa musim haji. Ia lebih teruk sekarang apabila kerajaan Arab Saudi sudah melonggarkan peraturan potong tangan kepada pesalah mencuri."

Pihak Tabung Haji juga menerima banyak laporan kehilangan wang tunai oleh jemaah haji kita.

Notis peringatan dilekatkan di dalam lif-lif hotel masing-masing. "Banyak kejadian kehilangan wang tunai dilaporkan ketika berada di masjid. Elakkan membawa wang dalam jumlah yang besar."

Benar, Tanah Haram adalah bagi kita orang Islam di Asia Tenggara.
Kita acap kali dipesan oleh mutawif, jika jumpa barang yang tercicir, jangan ambil. Biarkan sahaja. Ini adalah Tanah Haram.

Jika hilang selipar itu bukan cerita lagi. Saya sempat perhati semasa selesai umrah baru-baru ini, ramai jemaah tercari-cari selipar mereka yang lesap "diambil orang" dalam kumpulan yang besar dari rak kasut. Selipar saya pun hilang.

Bagi warga negara lain, kelakuan mereka sukar dijangka. Ada yang tidak tahu menjaga kebersihan. Berebut-rebut. Meludah di dataran masjid, dan solat ikut suka di mana-mana sekali pun.

Pihak keselamatan masjid yang saya perhatikan amat pening dengan perangai itu, sehingga tersembur di mulut mereka "astagfirullahhh..."

Sejuta satu macam kelakuan dan perlakuan dapat dilihat di Tanah Haram ini.
Sebagai seorang wartawan yang dilatih menggunakan ketajaman pancaindera, saya dapat menzahirkannya melalui tulisan ini.

Orang lain hanya boleh sekadar merungut dan berkata-kata sahaja.

Memang benar, cabaran di Tanah Haram ini sungguh hebat sekali. Tempat ini amat sukar dijangka. Ia seperti kisah Seribu Satu Malam. Sesuatu boleh berlaku hanya dengan berkata-kata di hati sahaja.

Memang benar di sini ialah Tanah Haram. Di sini juga ada orang yang baik dan jahat. Yang putih dan hitam. Yang ikhlas dan munafik.

Memang benar tanahnya yang Haram, orangnya tidak.

Bukan sahaja pencuri, yang mengambil kesempatan pun ramai. Pemandu teksinya pun bukan semuanya amanah. Peniaga pun ada yang cuba mengaut untung yang besar.

Ya Allah, Ya Tuhanku, Kau Maha Besar, Kaulah juga Yang Maha Mengetahui dari sekecil-kecil zarah, sehinggalah sebesar-besar perkara. Allahualam.

kredit: Naim Qlate


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 9 Oktober 2013

Air Mata Taubat Nabi Adam a.s.




Hari ini memang
tidak berniat untuk menulis panjang-panjang.
Sebab pertama penat untuk membacanya.
Kesihan pembaca yang selalu baca 
dalam Blog ini.

So... paling sengkat
dan terus kepada point.


Tahukah anda

semenjak Nabi Adam a.s. terkeluar dari syurga akibat tipu daya iblis,
Baginda a.s. menangis selama 300 tahun.
Nabi Adam a.s. tidak mengangkat kepalanya ke langit
kerana terlampau malu kepada
Allah s.w.t.



Baginda a.s.  sujud di atas gunung selama seratus tahun.
Kemudian menangis lagi sehingga air matanya mengalir di jurang Serantip.
Dari air mata Nabi Adam a.s. itu Allah s.w.t.  tumbuhkan
pohon kayu manis dan pokok cengkih.
Beberapa ekor burung telah meminum air mata Baginda.
Burung itu berkata,
"Sedap sungguh air ini."


Nabi Adam a.s. terdengar kata-kata burung tersebut.
Baginda a.s. menyangka burung itu sengaja mengejeknya
kerana perbuatan derhakanya kepada Allah s.w.t.
Ini membuatkan Nabi Adam a.s. semakin hebat menangis.
Akhirnya Allah s.w.t. telah menyampaikan
wahyu yang bermaksud, 


"Hai Adam, sesungguhnya aku belum pernah menciptakan air minum yang lebih lazat dan hebat dari air mata taubatmu itu."




Salam Ukhuwah..~