Bacaan Popular

Jumaat, 26 April 2013

Imam Syafi'e Dan Gurunya Imam Muhammad




Imam Muhammad tempat rujukan orang ramai meminta fatwa, dan fatwa Imam Muhammad diterima tanpa apa-apa soal. Pada suatu hari datang seorang lelaki meminta fatwa dari Imam Muhammad. Ketika itu aku berada disampingnya, demikian kata Imam Syafi'i. Setelah lelaki itu menceritakan masaalah yang dihadapinya dan meminta fatwa dari Imam Muhammad. Setelah mendengar masaalah lelaki itu, lalu Imam Muhammad memberikan fatwanya, dan meyakini fatwanya itu bersandarkan pendapat Imam Abu Hanifah.

Imam Syafi'i bercerita:

"Setelah mendengar fatwa beliau, aku merasa yakin fatwa itu tidak seberapa tepat berdasarkan pendapat Imam Abu Hanifah yang bukunya telah dapat kuhapal. Lalu aku mohon izin kepada Imam Muhamad, untuk memberikan pandangan Imam Abu Hanifah yang telah kuketahui. Imam Muhammad merasa terkejut mendengar pandangan yang kuberikan itu, lalu beliau merujuk kembali kepada kitab "al-Ausat" kepunyaan Imam Abu Hanifah. Ternyata apa yang kukatakan itu memang benar, seperti pandangan Imam Abu Hanifah, lalu Imam Muhammad membetulkan kembali fatwa beliau. Imam Muhammad sangat kagum atas hapalanku".

Setelah sekian lama Imam Syafi'i tinggal dan menuntut Ilmu kepada Imam Muhammad, maka Syafi'i merasa ingin melanjutkan perjalanan untuk menuntut Ilmu Pengetahuan. Hal ini diceritakan Imam Syafi'i kepada Imam Muhammad, dan Imam Muhammad terharu mendengarnya. Imam Muhammad berkata kepada Imam Syafi'i:


"Saya bersetuju atas hasratmu tetapi dengan satu syarat. Syaratnya tidak berat yaitu engkau bersetuju menerima separuh dari harta bendaku. Imam Syafi'i tidak menyangka begitu bermurah hati Imam Muhammad kepada beliau. Meskipun demikian Imam Syafi'i menjawab:

"Paman ! Sebenarnya kedatangan saya kemari adalah untuk menimba Ilmu Pengetahuan bukannya mengumpulkan harta kekayaan. Oleh itu izinkanlah saya kembali menemui ibu saya dan lupakanlah berkenaan pembahagian harta. "Imam Syafi'i menolak tawaran harta dari Imam Muhammad dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga.

Imam Muhammad kecewa

Mendengar penolakanku. Lalu beliau berkata baiklah anakku, jika kiranya engkau menolak separuh harta paman, paman harapkan engkau tidak menolak sedikit hadiah paman sebagai bekal dalam perjalanan. Lalu Imam Muhammad menyuruh pembantu beliau mengambil beberapa pundi uang, seraya berkata:

"Ini sajalah yang dapat kuberikan kepadamu Syafi'i, sebagai hadiah, untuk bekal dalam perjalanan.

"Kali ini saya tak dapat menolak hadiah itu, dikuatirkan beliau akan berkecil hati. Inilah hadiah yang terbesar pernah kuterima selama hayatku, uang sejumlah tiga ribu dinar. Setelah itu akupun bersalaman dengan Imam Muhammad dan mohon do'a restu beliau. Akupun melanjutkan perjalananku menuju Iran. Aku berjalan dari satu kota kesatu kota. Setiap bertemu dengan Ulama yang terkenal Alim aku tidak melepaskan kesempatan untuk menambah Ilmu Pengetahuan dari mereka. Aku mengembara keseluruh pelosok Negeri Iran, beberapa tahun lamanya, dan kemudian kembali semula ke Iraq semasa pemerintahan Harun al-Rasyid yang masyhur itu.


kredit: Ustaz Syed Hasan Alatas


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 25 April 2013

Kesah Antara Langit Dan Bumi



Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Maka berkata bumi dia kepada langit, 

"Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah s.w.t. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung-ganang dan lain-lain." 

Berkata pula langit, 

"Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku." 

Berkata bumi, 

"Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, 

"Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku." 

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah s.w.t. dengan berkata, 

"Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."

Lalu Allah s.w.t. mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah s.w.t. memberi wahyu kepada Jibrail a.s. pada malam  27 Rejab, 

"Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini." 

Jibrail a.s. bertanya, 

" Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?" 

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya, 

"Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu." 

Kemudian Jibrail a.s. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail a.s. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail a.s. menghampiri buraq itu lalu bertanya, 

"Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, 

"Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan." 

Berkata Jibrail a.s., 

"Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu." 

Kemudian Jibrail a.s. memakaikan pelana dan tali-temali kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Wallahu'alam.

Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan Israk dan Mikraj yang kita semua sedia maklum. Semenjak daripada itu langit merasa bangga kerana telah dikunjungi oleh Muhammad s.a.w.


kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 24 April 2013

Umat Muhammad SAW Diseru Meniti Sirat



Allah Taala menyeru: "Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk dihisab dan lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 500 tahun perjalanan."

Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: "Wahai Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada perlepasan dari Allah Taala.. maka dia akan terselamat. Sekiranya sebaliknya maka.. dia akan terjatuh di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!"

Nabi Muhammad SAW bersabda kepada malaikat Malik: "Wahai Malik! Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu.. palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak.. hati mereka akan gementar apabila melihatmu."

Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad SAW. Umat Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad SAW mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: "Ikutlah aku wahai umatku di atas Sirat ini!"

Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar. Kumpulan kedua melintasi seperti angin yang kencang. Kumpulan ketiga melintasi seperti kuda yang baik. Kumpulan yang keempat seperti burung yang pantas. Kumpulan yang kelima berlari. Kumpulan keenam berjalan. Kumpulan ketujuh berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa dosa terpikul di atas belakang mereka.

Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali.. baginda SAW melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat.. baginda SAW akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali. Kumpulan kelapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk.. mereka akan menyeru:
"Wahai Muhammad SAW!"

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan mereka!"

Kumpulan ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka tidak diizinkan untuk menyeberang. Dikatakan bahawa.. di pintu syurga.. ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya tidak terkira melainkan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak kanak yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan.. kurang dan lebih sebelum mereka baligh. Apabila mereka melihat ibu dan bapa mereka.. mereka menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera. Mereka memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan yang amat. Mereka memasuki syurga bersama sama.

Hanya tinggal kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata:
"Aku mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku."

Kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul. Mereka berkata: "Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia."

Malaikat berkata kepada mereka: "Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka."

Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata: "Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka."

Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Ia dipanggil "Tempat Teropong." Kaki kaki mereka akan tergantung di Sirat.

Nabi Muhammad SAW melintasi Sirat bersama orang-orang yang soleh di kalangan yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya.. ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya.

Apabila bendera Baginda s.a.w. menghampiri pintu syurga.. kanak-kanak akan meninggikan tangisan mereka. Rasulullah SAW bersabda:
"Apa yang berlaku pada kanak kanak ini?" Malaikat menjawab: "Mereka menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka." Nabi SAW bersabda: "Aku akan menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka.. Insya Allah."

Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap kaum akan kekal didalam rumah-rumah mereka. Kita memohon kepada Allah Taala agar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.

kredit: aus amani


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 23 April 2013

Di Mana Allah ?



Allah yang menciptakan kita mewajibkan kita untuk mengetahui di mana Dia, sehingga kita dapat menghadap kepada-Nya dengan hati, do'a dan solat kita. Orang yang tidak tahu di mana Tuhan akan selalu sesat, dan tidak mengetahui bagaimana caranya beribadah yang benar. Sifat 'atas' atau 'tinggi' yang dimiliki Allah atas makhlukNya tidak berbeza dengan sifat-sifat Allah yang lain sebagaimana yang diterangkan dalam al Qur'an
dan Hadith sahih, seperti 'mendengar', 'melihat', 'berbicara', 'turun' dan lain-lain.

Aqidah para ulama salaf yang soleh dan golongan yang selamat yaitu "Ahlus Sunnah wal Jama'ah" mempunyai keyakinan sesuai dengan apa yang terdapat dalam Kitabullah tanpa ta'wil (menggeser ma'na yang asal ke ma'na yang lain), ta'til (meniadakan ma'nanya sama sekali) dan tasybih (menyamakan Allah dengan makhlukNya). Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

"Tidak ada suatu apa pun yang sama dengan Allah dan Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat." (AsySyura: 11)

Sifat-sifat Allah ini antara lain sifat 'atas' atau 'tinggi' tadi mengikuti zat Allah. Oleh karena itu Iman kepada sifat-sifat Allah tersebut juga wajib sebagaimana juga Iman kepada zat Allah. Imam Malik ketika ditanya tentang ma'na "istiwa" dalam firman Allah yang bermaksud: 

''Allah yang Maha Pengasih itu "istawa" di atas Arasy." [Surah Taha:4]

Beliau menjawab: Istiwa itu sudah dimaklumi, yaitu bererti "Tinggi." Tetapi bentuknya bagaimana tidak diketahui, kita hanya wajib mengimaninya.

Perhatikanlah jawapan Imam Malik tadi yang menetapkan bahwa iman kepada istiwa itu wajib diketahui oleh setiap Muslim. Tetapi bagaimana tingginya Allah itu hanya Allah saja yang mengetahui. Orang yang mengingkari sifat Allah yang telah ditetapkan dalam al Qur'an dan hadith - antara lain sifat ketinggian Allah yang mutlak dan Allah di atas langit
- maka orang itu bererti telah mengingkari ayat Qur'an dan hadith yang menetapkan adanya sifat-sifat tersebut. 

Sifat-sfat tersebut meliputi sifat-sifat kesempurnaan, keluhuran dan keagungan yang tidak boleh diingkari oleh siapa pun. Usaha sekelompok ulama' yang datang belakangan untuk mena'wilkan ayat-ayat Qur'an yang berhubungan dengan sifat Allah, yang terpengaruh oleh filsafat yang merosak aqidah Islam, menyebabkan mereka menghilangkan sifat-sifat Allah yang sempurna dari zat-Nya. 

Mereka bertentangan dengan method ulama salaf yang dinilai lebih selamat, lebih tahu dan lebih kuat argumentasinya. 


KESIMPULAN

Beriman kepada seluruh sifat-sifat Allah yang diterangkan dalam Qur'an dan hadith adalah wajib. Tidak boleh membeza-bezakan antara sifat yang satu dengan sifat yang lain, sehingga kita hanya mahu beriman kepada sifat yang satu dan ingkar kepada sifat yang lain. Orang yang percaya bahwa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat, dan percaya bahwa mendengar dan melihatnya Allah tidak sama dengan mendengar dan melihatnya makhluk, maka ia juga harus percaya bahwa Allah itu tinggi di atas langit dengan cara dan sifat yang sesuai dengan keagungan Allah dan tidak sama dengan tingginya makhluk, kerana sifat tingginya itu adalah sifat yang sempurna bagi Allah. Hal itu sudah ditetapkan sendiri oleh Allah dalam kitabNya dan sabda-sabda Rasulullah s.a.w. Fitrah dan cara berfikir yang sihat juga mendukung kenyataan tersebut. ALLAH Dl ATAS ARASY

Al Qur'an, hadith sahih dan naluri serta cara berfikir yang sihat akan mendukung kenyataan bahwa Allah berada di atas arasy.

1. Allah berfirman yang bermaksud:

"Allah yang Maha Pengasih itu "istawa" di atas Arasy." [Surah Taha:4]

Sebagaimana diterangkan dalam hadith Bukhari, para tabiin menafsirkan istawa dengan naik dan tinggi.

2. Allah berfirman yang bermaksud:

"Apakah kamu merasa aman terhadap Yang di langit? Dia akan menjungkir-balikkan bumi bersama kamu." (AlMulk:16)

Menurut Ibnu Abbas yang dimaksud "Yang di langit" adalah Allah seperti dituturkan dalam kitab Tafsir Ibnul-Jauzi.

3. Firman Allah yang bermaksud:

"Orang-orang tidak takut kepada Tuhannya yang di atas mereka." (AnNahl: 50)
4. Firman Allah tentang Nabi Isa As:

"Tetapi Allah mengangkatnya kepadaNya." (AnNisa:158)

Maksudnya Allah menaikkan Nabi Isa ke langit.

5. Allah berfirman yang maksudnya:

"Ialah Allah yang ada di langit-langit." (AlAn'am: 3)

Ibnu Katsir mengomentari ayat ini sebagai berikut: 

Para ahli tafsir bersependapat bahwa kita tidak akan berkata seperti ucapan kaum Jahmiyah (golongan yang sesat) yang mengatakan bahwa Allah itu berada di setiap
tempat. Maha Suci Allah dari ucapan mereka. Adapun firman Allah yang bermaksud:

"Dan Allah selalu bersamamu di mana kamu berada." (AlHadid: 41)

Yang dimaksudkan adalah Allah itu selalu bersama kita, dimana Allah Mendengar dan Melihat kita, seperti keterangan dalam Ibnu Katsir dan Jalalain.

6. Rasulullah s.a.w. mi'raj ke langit ketujuh dan berdialog dengan Allah serta diwajibkan untuk melakukan solat lima waktu (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Kenapa kamu tidak mempercayaiku, padahal saya ini dipercayai oleh Allah
yang ada di langit?"
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Rasulullah s.a.w. bersabda:
 

"Sayangilah orang-orang yang ada di bumi maka yang di langit (Allah) akan menyayangimu." (Riwayat Turmidzi).

9. Rasulullah s.a.w. pernah menanyai seorang wanita budak: 

"Di mana Allah?" Jawabnya: "Di langit!" Rasulullah bertanya lagi: "Siapa saya?" Dijawab
lagi: "Kamu Rasulullah." Lalu Rasulullah bersabda: "Merdekakanlah dia karena dia seorang Mukminah! "

10. Sabda Rasulullah s.a.w: "Arsy berada di atas, dan Allah berada di atas arsy. Allah mengetahui keadaan kamu."

11. Abu Bakar Siddiq berkata: "Barang siapa menyembah Allah maka Allah berada di langit, Ia hidup dan tidak mati." (Riwayat Imam Darimi dalam Alradd alal Jahmiyah)
12. Abdullah bin Mubarak pernah ditanya: "Bagaimana kita mengetahui Tuhan kita?" Maka beliau menjawab: "Tuhan kita di atas langit, di atas arsy, berbeza dengan makhlukNya." Maksudnya zat Allah berada di atas arsy, berbeza dan berpisah dengan makhlukNya, dan keadaannya di atas arsy tersebut tidak sama dengan makhluk.

13. Imam Abu Hanifah menulis kitab kecil berjudul "Sesungguhnya Allah itu di atas arsy." Beliau menerangkan hal itu seperti dalam kitabnya "Al-Ilm wal-Muta'allim."

14. Orang yang sedang solat selalu mengucapkan "Subhana rabial'ala (Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi). Ketika berdo'a ia juga mengangkat tangannya dan menadahkan ke langit.

15. Otak yang sihat juga mendukung kenyataan bahwa Allah berada di langit. Seandainya Allah berada di semua tempat, nescaya Rasulullah s.a.w. pernah menerangkan dan mengajarkan kepada para sahabatnya. Kalau Allah berada di SEGALA TEMPAT bererti Allah jua berada di tempat-tempat yang najis dan kotor. Maha Suci Allah dari anggapan itu.


kredit: Syeikh Muhammad b Jamil Zeno; Dar-ul-Hadith Al-Khairiyah, Makkah
Al-Mukarramah


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 22 April 2013

Mengawal Perasaan Bangga Diri



Ini adalah salah satu sifat dari Akhlak Islamiah yang amat susah dimiliki dan dikuasai oleh seorang muslim lantaran terpaksa berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. 

Ibarat ingin memiliki sifat rendah hati seperti ingin memiliki jejaka/perawan yang berakhlak mulia tambahan pula yang dicari itu diketahui mempunyai wajah yang segak/cantik. Mahu lepas kah? Tentu peluang mahu memiliki itu terpaksa melalui pelbagai onak dan duri. Siapa yang sanggup menolak bakal suami/isteri yang berakhlak mulia dan tidak kurang dari segi wajah. Tapi, kepahitan bakal ditempuh sepanjang melalui ujian memiliki segala yang diidam-idamkan sebelum menjelmanya kemanisan.

Tidak mustahil seseorang itu dapat memiliki yang diidam-idamkan tanpa sebarang masalah. Bersyukurlah beliau. Itu nikmat dari Allah. Manakala yang terpaksa berhempas pulas memiliki yang diidam-idamkannya itu tentu mendapat rahsia/hikmah tersembunyi di sebalik ujian yang dilaluinya.

Bersifat rendah hati mestilah kerana Allah bukan kerana manusia. Bukan merendah diri kerana inginkan pujian. Kalau boleh kita selalu berdoa :"Wahai tuhan.. ampunilah daku, jauhilah aku dari sifat takabbur, riak , buruk sangka , ujub, sombong, buruk sangka, ingin dipuji, ingin disayangi, ingin diambil berat, ingin dicintai, ingin di'itu' ingin di 'ini' dan lain-lain keinginan hati" 

Pendakwah selalu diuji dengan sikap u'jub (takjub dengan diri sendiri) dan bangga diri. Namun setelah ditewaskan sikap tersebut, ia datang menjelma semula buat kali berikutnya. Tewas .. datang.. Tewas .. datang.... datang.  Begitulah hingga kita menemui kematian. Saya cuba nak memberi 3 PETUA agar kita sama-sama dapat menewaskan sifat mazmumah ini. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sahaja. Semoga ia dapat dikongsi bersama. Sebagai peringatan, ilmu dan pengalaman manusia terbatas dan lemah. Bandingkanlah apa yang kita ada dengan Kekuasan Allah dan ternyata kita adalah makhluknya!



PETUA PERTAMA! 

Pabila suara perasaan ini menjelma dalam jiwa, cepat-cepatlah kita berselawat ke atas junjungan besar Baginda s.a.w. Anda semua tahu bahawa selawat ke atas Baginda banyak cara lafaznya tetapi satu tujuan. 

Pabila datang bisikan dalam jiwa /hati/diri seperti: "aku ini cantik, aku ini smart, aku ini handsome, aku ini pandai, aku ini baik, aku ni lemah lembut dengan orang tua-tua, pandai jaga hati" dan lain-lain bisikan, maka cepat-cepatlah BERSELAWAT! Jangan menangguh-nangguh ! Insya Allah dalam sekelip mata , bisikan perasaan tadi akan hilang kerna tewas dalam pertarungan dengan kuasa sakti SELAWAT. Tambahan pula selawat ke atas Baginda s.a.w. mempunyai fadhilat tersendiri. *Allah akan berselawat 10 kali ke atas hambanya yang berselawat ke atas Baginda s.a.w. sebanyak 1 kali. Ini baru ganjaran bagi 1 selawat. Bagaimana agaknya kalau anda berselawat dalam bilangan yang banyak? Tentu banyak fadhilat yang diperolehi. 

* Erti 'Allah berselawat' di atas adalah Allah memberi rahmat ke atas yang berselawat.



PETUA KEDUA! 

Pabila datang suara perasaan dalam jiwa /diri/hati kita maka lawanlah perkara tersebut dengan menyandarkannya kepada pihak lain. Agar apa yang dibanggakan oleh kita itu nampak 'lekeh' atau 'tak setaraf' dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Macam mana perkara itu? Macam ini.. 

Datang bisikan perasaan :"aku ini hansome/cantik... tentu ramai yang menaruh perasaan terhadap aku". Bila berhadapan dengan perasaan macam itu, cepat-cepatlah lawan! Begini.. 

Kita lawan dengan suara hati/jiwa :"ada lagi orang yang lebih hansome/cantik dari aku. Siapalah sangat aku ini....". Maksudnya kita cuba alihkan apa yang kita banggakan itu kepada pihak lain yang lebih layak memiliki perkara tersebut. Contoh terdekat macam ini..

Kita kata : > Tapi Sebenarnya.....
kita pandai > orang lain lebih pandai
kita baik > orang lain lebih baik
kita berani > orang lain lebih berani
kita hansome > orang lain lebih handsome
kita cantik > orang lain lebih cantik


Dan kias atau bandingkan perkara-perkara ini dengan lain-lain suara bisikan yang pernah, sedang dan akan menyerang anda kelak! Kedengaran satu kata-kata (saya tidak dapat pastikan samada ianya adalah Hadis Baginda s.a.w. atau kata-kata hikmat ulamak) iaitu:"Jangan selalu melihat kelebihan yang dimiliki oleh mereka di atas kamu tetapi lihatlah apa yang dimiliki oleh mereka yang di bawah kamu. Itulah salah satu tembok untuk menjadikan kamu bersyukur dengan apa yang kamu miliki."



PETUA KETIGA/TERAKHIR!!! 

Iaitulah dengan cara kita melawan suara bisikan dalam diri /jiwa kita yang cenderung untuk memuji diri dengan menyandarkan semua sifat-sifat tersebut kembali kepada Allah jua. Ini hak Allah . Itu hak Allah. 

Contohnya apabila datang suara bisikan seperti:" Aku ini kuat, aku ini handsome, aku ini cantik , aku ini cerdik, aku ini... tahu itu ini, masyarakat hormat aku, aku orang penting, aku orang penyantun, bersungguh-sungguh dalam sesuatu kerja dan lain-lain suara bisikan" maka cepat-cepatlah kembalikan semua sifat-sifat itu kepada Allah.



Cuba lihat kata-kata ini.. kita kata tetapi yang sebenarnya.. 

1)Kita kata kita kuat tapi sebenarnya.. Kekuatan itu milik Allah dan Allah lebih perkasa dari makhluk. 

2)Kita kata kita handsome/cantik tapi sebenarnya.. Handsome/cantik itu hak Allah dan Allah bersifat dengan cantik mengatasi kecantikan manusia.

3)Kita kata kita cerdik/pandai tapi sebenarnya.. Allah lebih mengatasi segala ilmu aku dan ilmu yang aku miliki hanyalah ibarat debu halus yang berada bumi yang luas.

4)Kita kata: Aku ni berakhlak mulia tapi sebenarnya.. Akhlak aku ini adalah pemberian Allah dan Kekasih Allah iaitulah Baginda s.a.w. adalah lebih tinggi akhlaknya dari umatnya. Jauh beza antara aku dan Rasulallah s.a.w.

Insya Allah , dengan melawan kata-kata tersebut tadi kita akan merasa tiada sesuatu pun dalam diri kita ini yang boleh dibanggakan kerna semuanya hak Allah jua. Barulah datang selepas itu sikap merendah diri. Iaitulah merendah hati kepada Allah dan bukannya merendah diri kepada manusia! Sesiapa yang merendah diri kepada Allah dengan sebenar-benar makna merendah diri, saya percaya dia akan menghormati manusia lain di dunia ini kerna dia tahu bahawa semua manusia adalah sama di hadapan Allah. Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang kuat TAQWA!


Salam Ukhuwah..~

Ahad, 21 April 2013

Iman_Nikmat Yang Paling Berharga

Gambar sekedar hiasan sahaja.

Iman tak dapat diwarisi. Dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai. Walau apa pun caranya jua. Engkau mendaki gunung yang tinggi. Engkau merentas lautan api. Namun tak dapat jua dimiliki. Jika tidak kembali kepada Allah.

Itulah antara lirik lagu Iman Mutiara yang didendangkan oleh kumpulan nasyid sensasi Raihan. Ia mengingatkan kita tentang nikmat iman yang begitu tinggi nilainya hasil anugerah Allah yang Maha Kuasa. Tanpa iman apalah erti diri kita dan kehidupan ini. Sedangkan seluruh makhluk Allah bertasbih menyucikan Allah daripada perkara yang syirik. Betapa hinanya dan kerdilnya diri kita jika tidak diberi nikmat iman yang begitu berharga ini. Kita juga teringat firman Allah dalam ayat 56 surah al-Qosas yang bermaksud : 

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk".


Kita telah melihat beberapa peristiwa yang berlaku kepada nabi-nabi dan para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri di mana keimanan merupakan anugerah Allah bukannya boleh diwarisi dan diniagakan. Kita juga dapat melihat bagaimana pertempuran antara iman dan kufur terus berlaku sehingga hari qiamat. Anugerah iman ini tidak diberikan begitu sahaja kepada kita malah kita mesti diuji sebagaimana firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut yang bermaksud: 

"Adakah manusia menganggap bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui mereka yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui mereka yang berdusta".

Iman kita sentiasa diuji setiap masa samada dengan sesuatu yang kecil atau pun yang besar. Berapa ramai dikalangan kita terus hanyut dengan godaan dan hasutan nafsu yang menggila dan tidak sedar imannya hampir terlucut daripada dirinya. Berapa ramai umat Islam hari ini yang hanya Islam pada kulit dan kata-katanya sahaja sedangkan kelakuan dan tindakan mereka tidak melambangkan keimanan mereka kepada Allah secara menyeluruh. Hasil perlaksanaan sistem sekular melahirkan lebih ramai umat Islam yang hanya nampak Islam dan menunaikan kewajipan Islam hanya ditikar sembahyang dan juga pada rukun Islam yang lima sahaja. Mereka menganggap bahawa Islam hanya setakat itu sahaja sedangkan pada hakikatnya Islam bukanlah agama ruhani semata-mata tetapi ia juga melibatkan perkara keduaniaan yang selari dengan kehendak Pencipta iaitu Allah. Ingatlah firman Allah dalam ayat 77 surah al-Qosas yang bermaksud : 

"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang membuat kerosakan".


Lihatlah bagaimana nabi Ibrahim a.s. terpaksa menghadapi ayahnya Azar yang merupakan seorang kafir penyembah dan pengukir berhala dan tidak mendengar malah menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh nabi Ibrahim a.s. Walau pun seorang ayah tetapi nabi Ibrahim a.s. tetap melawan kerana kekufurannya kerana iman tidak mampu berkompromi dengan kekufuran. Begitu juga nabi Nuh a.s. yang terpaksa bertembung dengan kedegilan dan kekufuran anaknya Kan'an begitu takabbur. Pada mulanya nabi Nuh a.s. tetap mengatakan bahawa anaknya itu merupakan daripada kalangannya tetapi setelah diherdik oleh Allah maka nabi Nuh a.s. terus berlepas diri daripada anaknya yang kufur itu. Kita dapat lihat bagaimana akhirnya bila diminta agar anaknya itu beriman dalam keadaan dia dihanyutkan oleh banjir yang besar tetapi dia tetap menolaknya sehingga akhirnya dia mati dalam kekufuran. Kasih seorang bapa walau pun nabi Nuh a.s. sebagai seorang nabi tetapi tidak mampu meniupkan iman ke dalam dada anak yang tersayang kerana iman merupakan anugerah Allah. Begitu juga dengan isteri nabi Nuh a.s. yang engkar dengan dakwahnya. Begitu juga dengan isteri nabi Luth a.s. yang dihancurkan bersama kaumnya yang degil kerana tidak mahu mendengar dakwah nabi Luth a.s. agar meninggalkan perbuatan yang luar tabi'e iaitu liwat. walau pun dia tidak turut sama melakukannya tetapi dia telah berperanan dalam memberitahu kaum nabi Luth a.s. tentang kedatangan dua malaikat yang berupa manusia yang kacak yang menyebabkan kaum mereka terus menuju ke rumah nabi Luth a.s. untuk melakukan sesuatu yang terkutuk. Siapa yang tidak sayang kepada isteri? Tetapi isteri walau pun merupakan orang yang paling rapat kepada suami tetapi seorang suami tidak mampu memberi hidayah kepadanya. Kisah tentang kekufuran isteri nabi Nuh a.s. dan Luth a.s. ini di beritahu oleh Allah melalui ayat 10 surah at-tahrim yang bermaksud: 

"Allah membuat isteri nabi Nuh dan isteri nabi Luth perumpamaan bagi orang-orang yang kafir. Kedua-duanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami lalu kedua-dua isteri itu mengkhianati kedua-dua suami (mereka). Maka kedua-dua suami mereka tidak dapat membantu mereka sedikit pun daripada (siksa) Allah dan dikatakan (kepada kedua-duanya) : " Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)". 

Begitulah juga dengan apa yang berlaku kepada keluarga terdekat Rasulullah s.a.w. sendiri yang menentang perjuangan Islam dan bapa saudaranya sendiri yang sentiasa melindunginya iaitu Abu Tolib sendiri mati dalam keadaan tidak mengucap dua kalimah syahadah.


Kita dapat melihat apa yang sebaliknya berlaku seperti teguhnya iman nabi Musa a.s. walau pun berada di bawah jagaan keluarga angkatnya yang mana Fir'aun sendiri kufur malah mendakwa sebagai tuhan. Begitu juga kekuatan iman Mashitah dan ahli keluarganya walau pun bekerja dengan Fir'aun sehingga mereka mati syahid dalam kawah yang panas. Kita lihat bagaimana permaisuri Fir'aun iaitu Asiah yang tabah walau pun disiksa oleh Fir'aun apabila mengetahui keimanannya kepada Allah. Bagaimana keimanan seorang budak yang kukuh dan merupakan anak murid kepada ahli sihir diraja Namrud tetapi kekentalan imannya hasil daripada pengajiannya dengan seorang alim sepanjang perjalanan pulang dari istana menyebabkan dia lebih memilih untuk mati dalam iman daripada tunduk kepada kekufuran. Iman keluarga Amar bin Yasir yang menyebabkan mereka disiksa sehingga gugur syahid dan Rasulullah s.a.w. telah menyatakan:

"Sabarlah wahai keluarga Yasir sesungguhnya syurga sedang menantimu". 

Kita juga dapat lihat keimanan Suhaib bin ar-Rumi yang sanggup meninggalkan segala harta kekayaannya atas permintaan kafir quraisy semata-mata ingin berhijrah ke Madinah dalam mencari kebahagiaan yang hakiki. Begitulah juga apa berlaku kepada beliau pada malam pengantin di mana ketika mendengar panggilan jihad, dia terus meninggalkan isteri yang baru dikahwini untuk turun ke medan jihad. Dia gugur syahid dalam peperangan ini dan ketika tentera Islam memeriksa mayatnya didapati mayat itu basah. Lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa dia telah dimandikan oleh malaikat. 

Bagaimana kentalnya iman Bilal bin Rabah ketika menghadapi siksaan daripada tuannya. Jika kita fikirkan apa sebenarnya yang diharapkan oleh seorang hamba abdi dengan mempertahankan iman sehingga disiksa begitu teruk melainkan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Kita juga dapat menyaksikan keislaman Umar al-Khattob berkat doa Rasulullah s.a.w. walau pun sebelum Islam terkenal dengan samsengnya sehingga beliau pernah berkata : Sekali pun kaldai al-Khattob memeluk Islam tetapi Umar tetap tidak Islam. Begitulah contoh-contoh yang lain sebagai peringatan kepada kita bagaimana iman ini bukan boleh dikecapi dengan mudah dan ia juga tidak dianugerahkan begitu sahaja tanpa ada sebarang ujian bagi menguji kekentalan keimanan kita. Bersedialah kita setiap masa bagi memastikan keimanan kita tetap dan terus teguh walau pun apa pun berlaku. Jangan sekali-kali cuba melakukan sesuatu yang akan merosakkan iman kita.


Kita tak mahu lahir sebagai orang yang hanya Islam pada kulit dan kata-kata tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah. Terus redha berada dalam kesesatan dan kezaliman sistem ciptaan manusia dan tidak mahu melaksanakan Islam secara lengkap. Mahu memerintah Islam bukannya mahu Islam memerintah mereka. Di hadapan kita ada dua pilihan samada Islam atau kekufuran. Maju dengan Islam atau mundur dengan kekufuran. Kembali megah dan bertamaddun dengan Islam atau hina dan melarat dengan kekufuran. Menjajah dengan Islam atau terjajah oleh kekufuran. Iman anugerah Allah dan Dia boleh mencabutnya bila-bila masa sahaja jika Dia mengkehendakinya. Tidak takut dan gerunkah kita jika iman kita ditarik dan hati kita berubah kerana kita tak mahu tunduk dan patuh kepada Allah seratus peratus malah dalam hati kita masih ragu-ragu dengan keadilan hukum Islam. Seriuskah kita untuk melihat Islam terlaksana sepenuhnya atau pun kita sudah berpuas hati dengan apa yang ada. 

Ingatlah kedatangan Rasulullah s.a.w. bukan semata-mata untuk mengajar cara beribadat tetapi juga untuk mengajar cara memerintah dan mentadbir negara. Mengapa kita terus rela berada di bawah kepimpinan seorang yang bodoh dengan Islah dan menghina ulama'?. Atau kita takut untuk melihat Islam terlaksana kerana masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum?. Tidak pernahkah kita terbaca ayat 93 surah an-Nahlu yang bermaksud: 

"Dan jika Allah mengkehendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja) tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendakinya dan memberi petunjuk kepada yang dikehendakiNya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan".

 Sesungguhnya setiap penciptaanNya ada hikmat tersendiri dan kita mesti tunduk dan patuh serta melakukan segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai seorang hamba yang mesti beribadat dan khalifah yang mengurus urusan berdasarkan Islam bukannya hawa nafsu yang menggila. Apa ruginya kita berada di bawah pemerintahan dan sistem Islam dan apakah untungnya kita terus berada bawah sistem ciptaan manusia?. Allah telah menggariskan perundanganNya untuk kita laksanakan dalam memerintah alam maya ini. Oleh itu mengapa kita mesti menciptakan sistem selain sistem Allah. Siapa kita berbanding Allah yang mencipta kita?


kredit: Badar


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 20 April 2013

7 Alasan Saintis Percaya Adanya Tuhan




Janganlah kamu fikirkan akan dzat Allah kerana akalmu tidak akan mampu memikirkannya, tetapi renungkanlah akan ciptaan Allah.

Artikel dari Mr. Cressy Morisson, bekas Presiden 'New York Academy Of Sciences' yang pertama kali terbit di dalam Reader's Digest Januari, 1948 ;kemudian dengan sokongan Professor C. A. Couldson, F. R.S. Profesor Matematik di Universiti Oxford ianya telah diterbit semula di dalam Reader's Digest November 1960. Rencana ini membuktikan para saintis mengakui betapa perlunya kehadiran tuhan yang maha Pencipta.

Kita masih lagi berada dalam keheningan subuh zaman saintifik dan setiap peningkatan sinar mentari membawa petunjuk akan keagungan maha pencipta. Setelah 90 tahun
sejak Darwin membuat penemuan dengan semangat sains kemanusian dan dengan kepercayaan kepada pengetahuan yang semakin hampir kita dekati menyebabkan kita
semakin bertambah yakin dengan adanya Tuhan.

Untuk diri saya, saya telah menghitung 7 alasan untuk menyimpulkan kepercayaan saya ini. 


Pertama, dengan menggunakan hukum matematik kebarangkalian, kita boleh
membuktikan bahawa alam ini telah direkabentuk dan dicipta dengan kejuruteraan yang maha bijaksana. Jika anda ambil 10 keping wang syiling dan tandakan dari 1 hingga 10, kemudian masukkan ke dalam poket anda dan gaulkan syiling2 tersebut. Sekarang anda cuba anda mengambilnya secara teratur dari no. 1 hingga 10 dan masukkan kembali syiling2 tersebut dan gaulkan mereka kembali, Secara matematik, kita tahu bahawa
kebarangkalian anda untuk mendapatkan syiling bernombor 1 adalah 1 dalam 10, peluang untuk mendapatkan no. 1 dan no. 2 secara berturutan adalah 1 dalam 100 dan peluang untuk mendapatkan 1, 2 dan 3 secara berturutan secara berterusan adala 1 dalam 1000
dan begitulah seterusnya. Peluang anda untuk mendapatkan no. 1,2,3,4,5,6,7,8,9 dan 10 secara berterusan adalah 1dalam 10 juta kali.

Mengikut kaedah yang sama, terlalu banyak keadaan yang ideal dan optima yang diperlukan di dalam kehidupan di atas bumi ini dan ianya pasti tidak akan wujud jika
ianya terjadi dengan sendirinya, Bumi berpusing pada paksinya pada kelajuan 1,000 batu sejam. Jika ianya berpusing pada kelajuan 100 batu sejam, hari2 dan malam2 bumi akan menjadi 10 kali lebih lama dari sekarang, dan kepanasan matahari akan membakar seluruh tumbuhan pada waktu siang dan pada waktu malam pula, kehidupan yang ada ini akan membeku.

Matahari, sumber kehidupan ini, mempunyai suhu permukaan sebanyak 12,000 darjah Fahrenheit dan dunia ini mempunyai jarak yang optima jika dibandingkan dengan matahari supaya pancaran matahari sekadar cukup untuk memanaskan dan tidak terlalu berlebihan. Jika matahari memancar cahaya dengan kadar sebanyak 50% kurang dari yang ada sekarang, kita akan kebekuan dan jika ianya memancarkan 50% lebih pancaran, kita akan terbakar.


Kecondongan bumi sebanyak 23 darjah memberikan bumi 4 musim, jika bumi tidak condong sebanyak itu, wap dari lautan akan bergerak menuju utara dan selatan dan akan
menyebabkan benua2 akan menjadi benua air batu. Jika bulan yang kita ada sekarang cuma berjarak sejauh 50,000 batu dari bumi dari jarak sebenarnya sekarang, air pasang surut dari lautan akan menjadi terlalu besar di mana dalam 2 kali sehari, seluruh benua di
bumi akan ditenggelami air dan gunung ganang pun akan terhakis sama sekali. Jika lapisan teras bumi menjadi 10 kaki lebih tebal dari yang ada sekarang, ianya akan
menyebabkan tiada lagi oksigen yang akan wujud di mana semua kehidupan akan mati. Jika lautan menjadi beberapa kaki lebih dalam dari yang ada sekarang, karbon dioksida dan oksigen akan terlarut semuanya di dalam lautan dan akan menyebabkan tiada tumbuhan lagi akan wujud. Atau jika atmosfera kita menjadi semakin tipis, sebahagian dari meteor akan terbakar di angkasa dan di bumi sebanyak berjuta2 kali dalam sehari dan akan mengenai bumi dan menyebabkan kebakaran di mana-mana jua. Disebabkan alasan-alasan di atas, tidak ada kemungkinan satu dalam berjuta-juta pun bahawa
kehidupan di atas planet bumi ini terjadi secara kebetulan.

Kedua: Keadaan kehidupan itu sendiri untuk menyempurnakan tujuan kehidupan itu sendiri adalah menesfitasi akan kewujudan yang maha bijaksana. Kehidupan itu sendiri, tiada manusia yang benar2 mengerti tentang pengertiannya. Ianya tidak mempunyai
berat atau dimensi, tetapi ianya mempunyai kekuatan dan daya: akar yang hidup akan memecahkan batu.

Kehidupan telah menguasai air, daratan dan udara, telah menguasai elemen dan telah membentuk dan melarutkan elemen dan membuat perubahan kepada kombinasi mereka. Kehidupan, pencipta yang telah membentuk semua kehidupan yang ada, artis yang merekabentuk setiap daunan untuk setiap pohonan dan mewarnakan setiap bunga yang ada. Kehidupan adalah ibarat pemuzik dan membuat setiap burung mempunyai lagu2 cinta mereka sendiri, serangga akan memanggil sesama mereka dalam nada beraneka mereka sendiri. Kehidupan adalah ahli kimia yang agung, memberi rasa kepada setiap buah-buahan dan rempah ratus, dan memberi bauan kepada mawar dan bunga-bungaan lainnya, merubah air dan asid karbonik menjadi gula dan kayu dan dengan membuat demikian, menghasilkan oksigen agar setiap haiwan dapat hidup benafas. Awas, setiap tumpahan protoplasma yang hampir tidak kelihatan, lutsinar dan berbentuk seperti agar2 mampu bergerak dan mandapatkan tenaga dari cahaya matahari. Kehidupan satu sel ini menyimpan mikro-organisma kehidupan itu sendiri dan mempunyai tenaga untuk mengagih-agihkan kehidupan kepada setiap benda bernyawa amat berkuasa tetapi telalu kecil. Kuasa pada setiap tumpahannya adalah lebih besar dari tumbuhan, haiwan dan manusia itu sendiri, kerana setiap kehidupan adalah bermula darinya. Alam semula jadi tidak dapat mencipta kehidupan: batu-batuan yang panas dan kemasinan laut tidak dapat memenuhi keperluan kehidupan.

Tetapi, siapakah yang telah mengujudkan kehidupan itu sendiri?

Ketiga: Kebijaksanaan haiwan itu sendiri telah menyuarakan akan keagungan maha pencipta yang mamasukkan naluri kedalam haiwan. Ikan Salmon menghabiskan beberapa tahun usianya di dalam lautan, akhirnya akan kembali kepada asal usul sungainya: akan berenang untuk kembali kepada sungai dan habitat di mana ia telah dilahirkan. Apakah yang menyebabkan mereka kembali ke tempat asal mereka dengan begitu tepat sekali?

Jika anda mengubah ikan tersebut kepada habitat lain, ikan ini akan mengetahui bahawa dia telah tersalah haluan dan akan berusaha sekali lagi untuk berenang menentang arus untuk menghabiskan destinasinya dengan lebih tepat lagi. Adalah lebih sukar lagi untuk menyelesaikan misteri kehidupan belut. Makhluk ajaib ini berhijrah apabila mencapai umur matang dari setiap kolam dan sungai di mana-mana merata dunia - dari Eropah akan menyeberangi beribu-ribu batu lautan - semuanya akan berkumpul pada lubuk yang dalam berdekatan laut Bermuda. Di sana mereka akan mengawan dan mati. Anak2 belut tanpa pengetahuan yang kita tahu kecuali hidup liar dalam lautan, walau bagaimanapun akan mengetahui jalan pulang mereka bukan sahaja persisiran pantai di mana ibu bapa mereka berasal bahkan sampai kepada setiap sungai atau kolam kecil di mana mereka berasal - menyebabkan setiap bahagian air akan sentiasa didiami oleh belut. Tiada belut Amerika yang ditangkap di Eropah dan begitu juga sebaliknya. Alam semulajadi juga telah melengahkan kematangan belut Eropah selama setahun atau lebih untuk menghabiskan jarak perjalanannya yang lebih panjang. Dari manakah asalnya deria pengemudian mereka ini?

Keempat: manusia mempunyai lebih lagi dari naluri kehaiwanan - keupayaan untuk berlogika. Tiada haiwan yang berkebolehan untuk mengira dari 1 hingga 10 atau untuk memahami pengertian nombor-nombor itu. Di mana naluri ini adalah seumpama nota tunggal kepada seruling, indah tetapi terhad, otak manusia mempunyai kesemua nota-nota untuk semua peralatan dalam sebuah orkestra. Tidak perlu untuk menerangkan lebih lanjut tentang alasan yang keempat ini, terima kasih kepada manusia, logika ini menyebabkan manusia seperti manusia yang ada sekarang yang menerima secebis atau sedikit cetusan dari kebijaksanaan universal yang maha bijaksana.

Kelima: Kewujudan semua benda bernyawa adalah hasil dari fenomena yang diketahui pada masa ini dan tidak pada masa Darwin - keajaiban gen. Terlalu penting bagi gen yang bertanggungjawab terhadap semua manusia hidup di dalam dunia ini jika dikumpulkan di dalam suatu tempat, ruangan yang akan diambil oleh mereka tidak akan lebih dari ruangan yang diambil oleh satu jari manusia. Namun begitu, mikroskopik gen ini dan yang sebangsa dengannya kromosom, tinggal di dalam setiap sel hidup dan merupakan kunci kepada semua ciri-ciri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Satu ruangan jari manusia adalah ruangan yang kecil untuk memenuhi kesemua ciri-ciri manusia seramai dua billion orang. Walau bagaimanapun, fakta ini tidak boleh dipersoalkan lagi. Lantas bagaimanakah gen ini mengunci ciri-ciri warisan manusia dari berbagai peringkat generasi manusia dan mengekalkan psikologi setiap individu di dalam suatu ruangan yang agak kecil?. Di sini evolusi benar-benar bermula dari satu sel yang entitinya mewarisi dan membawa gen-gen. Bagaimana beberapa juta atom, terkunci sebagai mikiroskopik lampau, boleh menguasai dunia dan ianya merupakan contoh ciri-ciri yang berasal dari Kebijaksanaan Maha Agung - hipotesis dari mana lagikah yang mampu membuat ciptaan yang sedemikian rupa?

Keenam: Melalui ciri-ciri ekonomikal, kita terpaksa mengakui bahawa hanya dengan kebijaksanaan yang tidak terbatas telah melihat dan menyediakan satu sistem pengurusan sumber yang maha bijaksana. Beberapa tahun lampau satu spesis kaktus telah ditanam di Australia sebagai pagar-pagar penghalang.

Oleh kerana tidak mempunyai serangga pemusuh di Australia, pokok-pokok kaktus ini kemudiannya membiak dengan kadar yang amat tinggi sehinggakan tumbuhan ini telah memenuhi kawasan sepanjang dan sebesar England, menghalau inhabitan ke Bandar-bandar dan perkampungan, dan memusnahkan ladang-ladang. Sebagai usaha perlindungan,  pakar tumbuhan dan serangga telah menjumpai sejenis serangga yang hanya semata-mata memakan pokok kaktus ini. Ianya membiak secara bebas dan tidak mempunyai musuh di Australia. Serangga ini kemudiannya menguasai tumbuhan ini dan bahaya kemaraan pohonan kaktus telah berjaya dikawal hanya dengan menggunakan serangga mampu untuk mengawal pohonan kaktus untuk selamanya. Ciri-ciri kawal dan periksa (check and balance) telah lama wujud pada alam maya ini.

Mengapakah tidak ada serangga yang pantas memakan menguasai dunia ini? Ini adalah kerana meraka tidak memempunyai paru-paru seperti yang ada pada manusia, mereka bernafas melalui tiub-tiub pernafasan. Bila serangga bertambah besar, tiub-tiub pernafasan mereka tidak membesar dengan nisbah pembesaran tumbuh mereka. Oleh kerana itu, tidak pernah ada serangga yang mempunyai tubuh yang besar dimana had-had pembesaran ini telah mengekang mereka semuanya di dalam kawalan. Jika ciri-ciri pengawalan ini tidak tersedia, manusia tidak akan wujud, bayangkan kita bertemu dengan serangga yang sebesar singa!

Ketujuh: Kenyataan manusia menerima konsep kepercayaan kepada tuhan itu sendiri adalah bukti yang paling unik. Konsep ketuhanan terhasil dari tahap-tahap manusia itu sendiri, tahap yang dipanggil sebagai pemikiran.

Dengan kekuatan daya ini, manusia dan hanya manusia mampu untuk mencari bukti perkara-perkara yang ghaib. Kekuatan ini telah mengungkap segala rahsia: sesungguhnya manusia adalah sesempurna penciptaanNya maka pemikiran telah menjadi kenyataan kerohaniaan. Pemikiran mampu mengesan bukti-bukti penciptaan dan tujuan penciptaan yang hakiki dan tuhan adalah segala-galanya dan tuhan tidak pernah lebih dekat melainkan dengan jiwa manusia itu sendiri. Perkara ini adalah benar dari segi saintifiknya dan juga dari segi pemikiran yang mengungkap keagungan Tuhan dan ciptaannya. W
allahua'lam...



kredit:rakanblog


Salam Ukhuwah..~