Bacaan Popular

Rabu, 31 Julai 2013

Imam Malik R.A Dihukum Kerana Fatwa Talak



Imam Malik dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak di dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.

Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.

Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang harus diketahui oleh umat manusia.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya :

“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.”

Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.” Insya Allah.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 30 Julai 2013

Mencari Malam Lailatul Qadar



ADA satu malam yang kedatangannya sangat dinantikan oleh umat Islam pada setiap bulan Ramadan. Malam itu disebut Lailatulqadar.


Al-Quran menyebutnya sebagai malam yang penuh berkat (al-Dukhan: 3) dan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan (al-Qadr: 3).


Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah s.w.t. kepada hamba-Nya.


Biasanya, dalam menanti malam tersebut, umat Islam melakukan ibadat seperti solat malam atau membaca al-Quran untuk memperoleh Lailatulqadar.



Memperoleh Lailatulqadar


Mendapatkan Lailatulqadar merupakan pengalaman kerohanian dan individual.


Ulama mengatakan bahawa tidak semua orang berjaya mendapatkan malam 1,000 bulan ini. Dengan kata lain, Lailatulqadar tidak boleh ditemui begitu sahaja iaitu dengan hanya berjaga pada malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.


Ini kerana berjumpa dengan Lailatulqadar merupakan kemuncak prestasi dari segi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan kerohanian sepanjang bulan Ramadan.


Nisfu Syaaban


Sebahagian ulama percaya bahawa malam Lailatulqadar tidak hanya ada pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan Syaaban.


Menurut mereka, Lailatulqadar turun pada malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban). Malam yang juga biasa dirayakan oleh kebanyakan umat Islam di seluruh dunia.


Pada malam itu turun beberapa kebaikan daripada Allah s.w.t. seperti syafaat, keampunan dan pembebasan daripada azab.


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Tatkala datang malam Nisfu Syaaban, Allah s.w.t. memberikan keampunan-Nya kepada penghuni bumi, kecuali bagi orang yang syirik dan berpaling daripada-Nya." (Riwayat Ahmad)

Waktu Lailatulqadar



Kebanyakan ulama dan orang Islam percaya bahawa Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadan, khususnya dalam 10 malam terakhir pada bulan ini. Tidak seorang pun yang tahu bila sebenarnya Lailatulqadar akan berlaku.


Namun, daripada beberapa riwayat diketahui bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memberikan beberapa tanda mengenai akan terjadinya malam penuh berkat itu. Seperti adanya hawa yang sejuk, suasana damai dan cuaca cerah.



Lailatulqadar dalam al-Quran



Al-Quran menyebut tentang Lailatulqadar dalam surah al-Dukhan ayat 3-4 dan surah al-Qadr ayat 1-5. Dalam surah al-Dukhan, al-Quran menggunakan istilah malam yang penuh berkat, malam ketika semua urusan manusia seperti hidup, mati, rezeki dan musibah dijelaskan Allah s.w.t. dengan penuh hikmah.


Sementara dalam surah al-Qadr pula Allah s.w.t. menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam ketika Jibril dan para malaikat lain turun ke bumi dan malam yang penuh kesejahteraan hingga ke pagi.


kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 29 Julai 2013

Puasa Bukan Bebanan




Kelebihan puasa Ramadan tidak dapat disangkal, maka pendidikan mengenai kewajipan melaksanakan ibadah ini perlu ditekankan seawal usia anak-anak.


SEBAGAIMANA ibadat-ibadat lain, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan yang merupakan rukun Islam yang ketiga ada tujuan dan matlamatnya.


Antaranya, ibadat puasa adalah bagi pembinaan takwa sebagaimana penegasan Allah dalam dalam al-Quran yang bermaksud: 


Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar bertakwa. (Al-Baqarah: 183)


Pun begitu sebagaimana ibadat-ibadat lain dalam Islam yang tidak membebankan penganutnya, demikian halnya dengan ibadat puasa, dalam beberapa keadaan, kecuali berpuasa pada bulan Ramadan.


Bagaimanapun pengecualian sama ada kepada golongan wanita dalam keadaan haid atau bagi menyusukan bayi, orang yang dalam musafir dan yang uzur syari'e, mereka kena menggantikan (qada) puasa wajib bulan Ramadan pada bulan yang lain.


Tidak seperti sembahyang, kaum wanita yang meninggalkan kerana haid atau nifas tidak diwajibkan qada bagi sembahyang-sembahyang waktu yang ditinggalkan.


Pengecualian daripada kewajipan berpuasa dan tuntutan mengqadanya, kalau tidak mampu qada kena dibayar fidyah sebagaimana terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud: 

(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka), (maka wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ia yang tinggalkan itu berbuka) pada hari-hari yang lain. Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Barang siapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 184)


Jika dibandingkan dengan sembahyang yang diwajibkan melakukannya lima waktu sehari semalam sepanjang tahun, puasa hanya diwajibkan sebulan dalam setahun.


Maka munasabahlah kalau terpaksa ditinggalkan, ia diwajibkan qada. Ini kerana puasa bulan Ramadan sangat tinggi nilainya iaitu setiap amalan yang dilakukan diberikan pahala berganda.



Malah ada satu malamnya bila dilakukan sesuatu amalan pahalanya sama nilainya dengan melakukan amalan selama 1,000 bulan.


Sedangkan umat Nabi Muhammad s.a.w. hampir tidak ramai yang hidupnya sampai 1,000 bulan.


Demikianlah betapa Allah dalam ketegasan memerintahkan hamba-hamba-Nya melaksanakan titah perintah-Nya, masih juga diberi kelonggaran supaya hamba-hamba-Nya tidak merasa terbeban dengan apa yang tidak mampu mereka lakukan. Namun ini bukan bermakna diberi kesempatan untuk tidak dilaksanakan terus.


Oleh itu, adalah amat wajar diberi seksaan yang amat pedih bagi hamba-hamba Allah s.w.t. yang masih liat menunaikan titah perintah-Nya dan memilih menyertai syaitan dan iblis laknatullah melakukan apa yang dilarang-Nya.


Apatah lagi dari masa sepanjang 24 jam sehari semalam, hanya kira-kira separuh darinya sahaja yang ditegah daripada makan dan minum serta diharamkan berbuat apa yang dihalalkan pada bulan biasa.

kredit:  RAMLI ABDUL HALIM 


Salam Ukhuwah..~

Ahad, 28 Julai 2013

Bulang Ramadhan Mengurangi Kesibukan Dunia



BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri ke arah kebaikan. Di bulan Ramadan kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan turut diseru untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat.


Ini bertujuan membentuk hati dan rohani agar akrab kepada Allah s.w.t. di samping mengejar ganjaran yang telah disediakan di bulan Ramadan. Antara perkara yang digalakkan sepanjang Ramadan ialah:



1. Bersahur



Termasuk salah satu perkara yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Bangun pada waktu sahur dan bersahur itu merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain.


Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) ialah makan sahur. (Riwayat Muslim dan Abu Daud)


Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari sebaliknya ia mengandungi keberkatan baik dari sudut waktu sahur dan juga perbuatan sahur itu sendiri.


Sabda Rasulullah s.a.w: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan.(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



2. Banyakkan Bersedekah


Sedekah merupakan perkara yang amat dituntut kepada umat Islam. Ia merupakan ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana firman Allah s.w.t: 

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18)


Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terbaik dalam bersedekah. Beliau seorang yang begitu dermawan lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekahnya melebihi bulan lain selain Ramadan.


Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling dermawan. Dan Baginda s.a.w. lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika Baginda s.a.w. bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah s.a.w. melebihi angin yang berhembus. (Riwayat Al-Bukhari)



3. Membaca Al-Quran


Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran. Pada bulan inilah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. dan pada bulan Ramadan juga malaikat Jibril akan menemui Rasulullah untuk mengajarkan al-Quran.


Baginda akan membaca dan belajar al-Quran secara langsung dengan Malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Ibnu Abbas berkata: Jibril menemuinya setiap malam (di bulan Ramadan) untuk mengajarkan al-Quran. (Riwayat Al-Bukhari)


Oleh itu, kita diseru memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan terutama pada malam hari kerana waktu itu merupakan waktu terbaik untuk beribadat di samping kurang kesibukan dunia ketika itu.



4. Memberi makan untuk berbuka


Selain daripada bersedekah, amalan memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk mereka berbuka puasa amat digalakkan. Amalan ini membolehkan pelakunya meraih ganjaran yang sama sebagaimana orang yang diberikan makanan itu.


Rasulullah s.a.w. bersabda: 

"Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun." (Riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)


5. Solat di malam Ramadan


Solat merupakan medan yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah s.w.t. Digalakkan kepada umat Islam untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat terutama solat malam seperti solat sunat terawih, solat taubat, qiamullail dan sebagainya.


Daripada Abu Hurairah berkata : Rasulullah s.a.w. sangat menganjurkan untuk solat malam Ramadan tanpa mewajibkan dan bersabda: 

Barang siapa yang melakukan solat malam Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Muslim dan Al-Tirmizi)

kredit:  MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 27 Julai 2013

Ibadah Tidak Ikhlas Jika Niat Mahu Dipuji




Penghayatan Islam secara keseluruhannya hanya dapat dibentuk apabila terdapat kesatuan dalam penghayatan akidah, ibadah dan akhlak. Aspek ini penting kerana seseorang itu akan berubah kefahaman, perasaan dan tingkah lakunya ke arah yang lebih baik apabila mendalami ilmu.

Ini selaras saranan al-Quran dan hadis supaya setiap individu Muslim meningkatkan ilmu pengetahuan. Aspek akidah memang mempunyai hubungan yang kuat dengan aspek ibadah kerana seseorang yang beribadah kepada Allah s.w.t. wajib mengakui keesaan Allah s.w.t. pada zat serta sifat-Nya.


Ibadat yang disertai dan dicampur dengan syirik kepada Allah s.w.t., tidak akan diterima berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga.” (Surah al-Nisa’, ayat 36)

Begitu juga hubungan antara akidah dengan akhlak, yang saling berhubung kait antara satu sama lain bagi membentuk peribadi Muslim. Sifat ikhlas dalam beribadah iaitu suci hati melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. dengan menjauhkan segala syirik.


Beribadah hendak dipuji


Orang yang beribadah kerana hendak dipuji atau takut dicela orang, maka ibadahnya tidak ikhlas kerana Allah s.w.t. dan orang seperti ini termasuk dalam golongan yang tidak beradab kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Jika terabai aspek akidah, ibadah dan akhlak yang disebut sebagai nilai kerohanian, bererti terabai satu faktor kekuatan serta ketahanan dalam diri umat. Sejarah kalah menang umat Islam terdahulu dalam peperangan mengesahkan pentingnya iman dan kerohanian.

Kekuatan inilah yang melayakkan tentera Islam mendapat pertolongan Ilahi (bantuan malaikat) dalam Perang Badar. Namun, Allah s.w.t. tidak menurunkan tentera bantuannya dalam Peperangan Uhud akibat penyelewengan rohaniah dalam kalangan sekumpulan tentera Islam.

Ketika umat Islam tertanya-tanya punca kekalahan di Uhud itu, Allah s.w.t. memberikan jawapannya melalui firman yang bermaksud:
“(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? Dan (kemudian) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: Dari mana datangnya (kemalangan) ini? Katakanlah (Wahai Muhammad): (Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali-Imran, ayat 165)

Amirul Mukminin Umar al-Khattab dalam amanatnya kepada Panglima Saad Ibn Waqas yang sedang berhadapan tentera Kisra: “Kita tidak akan dapat mengalahkan musuh hanya dengan kekuatan bilangan dan kekuatan kita, tetapi kita hanya mungkin akan menang kerana maksiat yang dilakukan oleh musuh dan ketaatan kita kepada-Nya, andainya kita juga sama seperti mereka, sama bergelumang maksiat, merekalah yang akan menang kerana kekuatan mereka memang mengatasi kekuatan kita.”


Kemerosotan rohaniah

Sejarah membuktikan unsur kerohanian telah merosot dalam pelbagai aspek kehidupan umat Islam akibat serangan tamadun Barat yang lebih bersifat materialistik. Malah, dalam tamadun Islam sendiri wujud masalah kemerosotan rohaniah, pemusnahan tasauf dari fiqh, pemisahan tazkiyah dari tarbiyyah dan pemisahan hakikat dari syariat.

Akibatnya, ada yang mengamalkan fikah yang sudah kehilangan makna kerohaniannya, di samping wujudnya kalangan mengamalkan tasauf menyimpang daripada fikah. Sesungguhnya pendidikan rohani bagi generasi kini memerlukan pendekatan bersepadu, mengintegrasikan rohani, ilmu dan amali.

Pembinaan watak insan Muslim perlu meliputi pembinaan jasmani dan rohani untuk memberikan ketahanan mengharungi kesusahan manakala pembinaan akliah pula bagi memberikan kecekapan merencana kehidupan.

Pembinaan rohaniah untuk mengeratkan hubungan dengan Allah s.w.t. bertujuan memurnikan niat dan matlamat segala amal demi mencari keredaan Allah. Perkara ini bertujuan menambahkan tawakal dan rasa kebergantungan kepada Allah s.w.t.

Perkara ini turut diperkukuhkan oleh tokoh ulama Profesor Dr Yusof al-Qardhawi yang menyatakan bahawa ajaran Islam itu saling berkaitan dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Akidah membuahkan ibadat dan ibadat membuahkan akhlak.

Oleh itu, jika terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan dalam sistem pembinaan diri umat Islam, ia perlu diperkukuh, diperbaiki serta bimbingan yang berterusan daripada ulama serta pendakwah.


kredit: Dr Burhanuddin Jalal


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 26 Julai 2013

Didik Anak Berpuasa



MENDIDIK dan menggalakkan anak berpuasa sangat penting sebagai pendidikan awal kepada mereka tentang kepentingan ibadah puasa. Lebih-lebih lagi bagi yang baharu hendak mula berpuasa. Seperti kata peribahasa, 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya' yang membawa maksud untuk mendidik dan mengajar anak biarlah sejak dari awal lagi atau dari kecil.


Sebagai ibu bapa, pendidikan mentaati Allah SWT dan rasul-Nya mestilah bermula dengan pendidikan iman, akhlak dan adab. Anak-anak dalam lingkungan empat atau tujuh tahun yang pertama kali menunaikan ibadah puasa hendaklah diberikan rangsangan dan motivasi bahawa pahala berpuasa sangat besar ganjarannya.


Justeru, jelaskan kepada anak-anak berkaitan firman Allah SWT yang bermaksud:Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Al-Baqarah: 183)


Ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak yang baharu pertama kali berpuasa. Nabi SAW pernah bersabda: "Barang siapa berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengetahui segala batas-batasnya serta memelihara diri daripada segala yang baik, nescaya dipelihara diri daripadanya, nescaya dosa itu menutup segala dosa yang lalu." (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).


Pendidikan keimanan itu mestilah tersemat di hati dan dibuktikan dengan amal serta yakin dengan ajaran-Nya. Iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak terpisah walaupun berbeza dari segi takrif. Ini kerana amal itu adalah hasil iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal.



Teknik Rasulullah


Kaedah dan teknik pendidikan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sangat berkesan boleh dijadikan contoh dan panduan iaitu menjelaskan kepada mereka bahawa ibadah puasa dijanjikan syurga oleh Allah SWT dan akan mendapat balasan pahala di sisi-Nya.


Sebagai ibu bapa kaedah dan teknik pendidikan secara berhikmah, lemah-lembut, penuh rasa kasih sayang menyatakan semua oran Islam diwajibkan berpuasa dan mereka akan beroleh ganjaran pahala yang besar.


Jelaskan juga kepada anak-anak yang baru pertama kali hendak memulakan ibadah puasa akan keseronokan berpuasa iaitu orang yang berpuasa akan menikmati ibadah berbuka serta terangkan ibadah puasa dapat menghapuskan segala dosa yang lalu serta dijauhkan daripada neraka selama 70 tahun. Selain itu orang yang berpuasa juga diberikan hadiah syurga melalui pintu Ar-Rayyan daripada Allah SWT.


Beritahu anak-anak yang baharu hendak mula berpuasa. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: Daripada Abu Umamah katanya: "Ya, Rasulullah tunjukkanlah kepadaku amal yang dengannya aku boleh masuk syurga." Rasulullah SAW menjawab: "Berpuasalah kerana tiada (ibadah) yang menandinginya." (Riwayat Ibnu Majah)



Memotivasi anak-anak


Sebagai ibu bapa mestilah memahami kemampuan anak-anaknya untuk berpuasa. Bagi anak yang pertama kali hendak berpuasa boleh digalakkan berpuasa sebagai permulaan separuh hari. Kemudian diikuti dengan satu hari. Jika mereka masih bertahan, maka bolehlah diteruskan puasa tersebut.


Di samping itu, adalah lebih berhikmah sekira diberikan kata pujian kerana dengan cara itu semacam memberi rangsangan buat mereka.


Kajian psikologi Islam menyatakan, rangsangan kepada kanak-kanak yang berusia empat atau tujh tahun adalah melalui contoh teladan daripada kawan-kawannya yang berpuasa.


Mereka juga boleh digalakkan melalui pemberian hadiah sebagai permulaan. Biasanya hadiah yang menarik itu adalah apa yang mereka mahu yang berpatutan dan mampu dilakukan oleh ibu bapa sebagai motivasi anak-anak berpuasa.


Kanak-kanak lebih terpengaruh dengan kawan sebaya. Ada ibu bapa yang menggalakkan anak-anak berpuasa dan jika berpuasa mereka akan dibawa ke masjid untuk solat terawih bersama kawan-kawannya.


Berkaitan dengan iman, Imam al-Ghazali menghuraikan pengertian iman dengan katanya: "Pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."


Hal ini harus difahami oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak berpuasa. Justeru, ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak kepentingan bersahur supaya anak-anak tidak berasa letih dan lapar semasa berpuasa.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bersahur itu berkat, sebab itu janganlah kamu tinggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang yang bersahur." (Riwayat Ahmad)


kredit: AMINUDIN MANSOR



Salam Ukhuwah..~

Khamis, 25 Julai 2013

Antara Sabar Dan Mengeluh



Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan teladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah azza wajalla . Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah s.w.t. dalam sebuah hadith Qudsi,:
 

" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: 

" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabdanya pula, 

" Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah. Dan yang paling penting usah mengeluh bila ditimpa sesuatu yang kita tidak ingini.


Salam Ukhuwah..~

Rabu, 24 Julai 2013

Siapa Kita


Kucing dalam gambar ini sebenarnya tak sombong
cuma wajahnya saja yang kelihatan sombong.

Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu
sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Aalamin, Tuhan
sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit
pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.


Siapakah orang yang telah mati hatinya?

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui
ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2
kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.


Siapakah orang dunggu kepala otaknya?

Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan
kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.


Siapakah orang yang kuat?

Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.


Siapakah orang yang lemah?

Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran
itu.


Siapakah orang yang bakhil?

Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.


Siapakah orang yang buta?

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.


Siapakah orang yang tuli?

Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.


Siapakah orang yang sibuk?

Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.


Siapakah orang yang manis senyumannya?

Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil erkata,"Ya Rabbi (Wahai Tuhanku) Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir
senyuman.


Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?

Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.


Siapakah orang yang kaya?

Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.


Siapakah orang yang miskin?

Orang yang miskin adalah orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.


Siapakah orang yang pandai?

Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.


Siapakah orang yang bodoh?

Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.


Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?

Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.


Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?

Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.


Siapakah orang yang gila itu?

Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.


Siapakah orang yang rugi?

Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.


Siapakah orang yang selalu ditipu?

Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.


Siapakah orang yang paling cantik?

Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?

Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.


Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?

Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.


Siapakah orang yang mempunyai akal?

Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa
neraka.


Siapakah org yg bijak?

Orang yg bijak ialah org yg tidak membiar atau membuang email ini begitu sahaja, malah dia akan menyampaikan pula pada org lain.




Sekadar Pesanan


Salam Ukhuwah..~

Selasa, 23 Julai 2013

Kesilapan Dan Kecuaian Umat Islam Pada Bulan Ramadan



Elak melakukan kesilapan dalam melaksanakan sesuatu ibadah termasuk ibadah puasa, sama ada kekeliruan, kekurangan …

Sebahagian kita melakukan kesilapan dalam melaksanakan sesuatu ibadah termasuk ibadah puasa sama ada disebabkan kekeliruan, kekurangan mahupun juga ketiadaan ilmu tentangnya. Oleh sebab itulah sebelum tibanya bulan Ramadan lagi kita digesa supaya membuat persediaan mental dan fizikal bagi menyambut ketibaannya dengan penuh keinsafan serta kegembiraan dan berusaha menunaikan ibadah yang difardukan atas kita itu dengan penuh kesungguhan.

Antara persediaan penting yang perlu dilakukan termasuklah mendapatkan ilmu secukupnya berkaitan dengan bulan Ramadan serta ibadah puasa. Sebagai contoh ialah cara terbaik menyambut Ramadan, hikmah berpuasa dan hukum-hakam ibadah puasa, misalnya perkara-perkara sunat, makruh dan yang mengurangkan pahala serta membatalkan puasa, selain keringanan (rukhsah) yang diberikan kepada individu tertentu untuk tidak menunaikan ibadah puasa serta cara menggantikannya.

Beberapa kekurangan dan kesilapan yang dapat dilihat dalam amalan atau tindakan umat Islam pada bulan Ramadan termasuklah:

1. Tidak meneladani amalan umat Islam terdahulu dalam menyambut ketibaan Ramadan
Jika diamati, sambutan yang diberikan terhadap kedatangan Ramadan amat berbeza antara masyarakat Islam kini dengan umat Islam terdahulu. Ibn Rajab al-Hanbali menyebut daripada Ma`la ibn al-Fadl, “Mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan supaya mereka ditemukan dengan Ramadan dan berdoa enam bulan lagi (selepas Ramadan) agar Allah menerima amalan mereka.”(Mohamad Noor Mohamad Endut, Ensiklopedia Ramadan, hlm. 82)

2. Menyambut Ramadan tanpa memohon keampunan daripada Allah S.W.T.
Dr Mani` `Abdul Halim Mahmud mengatakan, “Terdapat tiga perkara penting yang mesti dilakukan oleh umat Islam sebagai persediaan penting sebelum kedatangan bulan penuh kemuliaan, iaitu Ramadan.

Pertama, taubat nasuha daripada sebarang dosa, kedua, berazam dan berjanji untuk tidak mengulangi dosa yang telah dilakukan itu, dan ketiga, berusaha untuk mengetahui hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah puasa agar dapat melaksanakannya dengan sempurna.

Selain itu, usaha dilakukan bagi membersihkan diri dengan menggantikan akhlak buruk dengan akhlak terpuji dan mengukuhkan hubungan antara sesama umat Islam. Semua perkara ini memudahkan setiap Muslim mendekatkan diri kepada Allah dan menunaikan ibadah dengan penuh keikhlasan.” (Mohamad Noor Mohamad Endut, Ensiklopedia Ramadan, hlm. 88)

3. Makan dan minum dengan bebas setelah puasa terbatal dengan sengaja
Sesiapa yang puasanya terbatal bukan disebabkan sebarang keuzuran yang diterima, iaitu melakukan sesuatu tindakan dengan sengaja misalnya makan dan minum, melakukan hubungan seksual, mengeluarkan air mani (al-istimna`), dan sebagainya, maka ia mesti menahan diri daripada makan dan minum atau melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sepanjang hari berkenaan bagi menghormati bulan Ramadan.

Perkara ini disebut dalam Hadith yang berikut yang bermaksud, “Sesiapa yang telah makan hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu.” (Al-Bukhari) Larangan tersebut merupakan denda terhadap individu tersebut kerana hukum bagi perbuatannya berbuka dengan sengaja ialah haram dan puasa yang terbatal dengan sengaja itu wajib diqada’ pada hari yang lain.

4. Meninggalkan sama sekali amalan bersahur
Tindakan meninggalkan sahur adalah amat merugikan kerana amalan bersahur mempunyai banyak manfaat. Antaranya termasuklah sahur dan makanan yang dimakan semasa bersahur dijamin keberkatannya oleh Allah s.w.t.

Perkara ini disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadith-hadith yang berikut yang bermaksud, “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan,” (al-Bukhari dan Muslim) dan “Hendaklah kamu bersahur, sesungguhnya sahur itu merupakan makanan yang diberkati.” (Al-Nasa’ie). Hadith ini menegaskan bahawa makanan sahur memiliki keberkatan tersendiri yang hanya dapat dirasai oleh individu yang meyakininya dan sentiasa berusaha memelihara amalan bersahur kerana bertujuan menurut Sunnah Nabi S.A.W.

Keberkatan (barakah) merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kerana melaluinya kita akan memperoleh segala kebaikan. Justeru, dalam apa juga perkara yang dilakukan dalam kehidupan, kita mesti berusaha mencari keberkatan.

Tiada gunanya kita memiliki sesuatu dalam kuantiti yang banyak, misalnya harta tetapi tiada keberkatannya. Sebaliknya, adalah lebih bermakna sekiranya harta yang dimiliki sedikit namun ada keberkatannya. Merujuk khusus kepada ibadah puasa, sahur menyalurkan keberkatan kepada ibadah yang dilaksanakan sepanjang hari dan juga dalam kehidupan secara umumnya.

Selain sumber untuk mendapatkan keberkatan, sahur juga berperanan menyediakan tenaga dan kekuatan fizikal kepada umat Islam. Kekuatan fizikal dan kecergasan amat diperlukan bagi melaksanakan ibadah puasa dan aktiviti seharian.

Hal ini penting khususnya bagi membuktikan bahawa umat Islam tidak menjadi lemah sehingga menimbulkan fitnah terhadap ibadah yang dilaksanakan. Bahkan sebaliknya mereka menjadi individu yang amat produktif dan aktif dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang dipikul.

Dalam sebuah Hadith, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu memohon bantuan dengan makanan sahur bagi (memberikan kekuatan untuk) berpuasa pada siang hari.” (Al-Hakim)

5. Memilih untuk bersahur pada waktu tengah malam
Bersesuaian dengan maksud sahur (sahr) itu sendiri yang merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam, maka bersahur disunatkan pada waktu-waktu tersebut berbanding dengan waktu yang jauh lebih awal daripadanya.

Dengan kata-kata lain, bersahur terlalu awal bukan sesuatu yang digalakkan, apatah lagi disebabkan perasaan malas untuk bangun pada sepertiga atau akhir malam. Tindakan ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. kerana Baginda sendiri melewatkan sahur Baginda sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuknya waktu subuh. Baginda berhenti bersahur dengan tujuan untuk bersiap sedia mendirikan Solat Subuh.

Sekiranya seseorang terlewat bangun dan waktu bersahur masih berbaki, ia masih boleh bersahur sehinggalah terbitnya fajar sadiq, iaitu waktu subuh. Waktu imsak yang ditetapkan bukan menunjukkan tamatnya waktu bersahur tetapi sebagai peringatan bahawa waktu bersahur sudah hampir tamat.

6. Tidak memanfaatkan waktu bersahur untuk beribadah dan beristighfar
Sebahagian besar umat Islam hanya bangun pada waktu sahur semata-mata untuk makan dan minum sahaja sedangkan waktu sepertiga akhir malam itu merupakan saat-saat terbaik untuk melaksanakan ibadah atau amal salih serta waktu mustajab untuk berdoa serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T. memuji amalan mulia golongan bertaqwa melalui firman-Nya, “Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Surah al-Zariyat 51 : 18). Perkara yang sama dinyatakan dalam ayat 17, Surah Ali `Imran. Sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasai’e menyebut bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi (maksudnya),“Wahai Rasulullah, pada waktu bilakah doa paling didengari (Allah s.w.t.)?” Nabi bersabda, “Pada penghujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardu.”

7. Kurang berdoa ketika berpuasa dan berbuka
Sebagaimana yang dimaklumi, Allah s.w.t. amat mencintai hamba-hamba-Nya yang sentiasa mempamerkan sifat kehambaan mereka, iaitu dengan berdoa dan memohon kepada-Nya. Allah s.w.t. juga menegaskan bahawa Dia Maha Mendengar dan pasti memperkenan doa mereka (Surah al-Baqarah 2 : 186), iaitu sekiranya doa yang dipohon itu memenuhi syarat serta adab-adabnya. Ramadan yang membawa limpahan rahmat kepada umat Islam seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memohon keampunan, kesejahteraan, kelapangan, dan apa juga yang dihajati kepada Allah s.w.t. Hal ini lebih-lebih lagi pada waktu-waktu yang mustajab, iaitu ketika hendak berbuka. Perkara ini ditegaskan dalam sebuah Hadith yang bermaksud,“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa kelebihan bahawa doanya tidak akan ditolak ketika ia berbuka (atau hampir berbuka).” (Ibn Majah)

8. Kurang memberi perhatian terhadap pemilihan makanan semasa berbuka dan bersahur
Kita umumnya menyedari tanggungjawab untuk memilih makanan yang halal dan baik atau berkhasiat, sama ada ketika berbuka mahupun bersahur. Hal berkenaan bertujuan memastikan ibadah yang dilaksanakan bukan sahaja diterima oleh Allah s.w.t. tetapi juga dapat memulihkan, mengekalkan, serta meningkatkan kesihatan. Sebagaimana disyorkan oleh Nabi s.a.w. dan merupakan sunnah yang perlu diikuti, kurma perlu dijadikan makanan berbuka atau jika tiada, memadai dengan air kosong.

Sebagaimana sering diperkatakan, kandungan gula ringkas dalam kurma yang sangat tinggi membolehkan tenaga diserap dengan pantas oleh tubuh. Selain itu, kurma juga mengandungi protein, serat, vitamin A & C, serta zat mineral yang semuanya baik lagi berkhasiat untuk tubuh. Berbuka dengan memilih makanan yang baik dan berkhasiat serta dalam kuantiti sederhana, penting bagi mendapatkan tenaga untuk beribadah dengan sempurna pada malam hari.

Demikian juga ketika bersahur. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik sahur orang Mu’min ialah tamar.” (Abu Daud, Ibn Hibban, dan al-Baihaqi). Di samping kurma, kita juga digalakkan supaya mengambil makanan yang lambat dihadam pada waktu sahur bagi membantu mengekalkan tenaga untuk jangka masa yang panjang. Makanan lambat dihadam ini merupakan makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.

Antaranya termasuklah bijirin penuh seperti beras basmathi, beras perang, oat, barli, dan sebagainya; makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan buah-buahan kering; dan kekacang seperti kacang dal.

Seterusnya kita juga digalakkan untuk mengambil makanan yang mengandungi protein seperti ikan, ayam, daging, telur atau tauhu. Sementara minuman pula, kita digalakkan untuk meminum air kosong secukupnya atau susu dan jus buah-buahan. Pemilihan makanan yang tidak baik atau memudaratkan kesihatan sepanjang Ramadan sebaliknya mendedahkan individu yang berpuasa kepada penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

9. Mengabaikan Solat Subuh dan mengutamakan Solat Tarawih
Tindakan mengabaikan solat fardu dan sebaliknya mengutamakan solat sunat jelas merupakan kecuaian besar dan amat wajar dibetulkan. Seharusnya solat fardu itulah yang lebih diutamakan kerana ia dituntut untuk dilaksanakan oleh setiap Muslim. Sebagaimana diketahui, solat fardu merupakan kewajipan yang mesti dilaksanakan.

Sekiranya kita menunaikannya, maka kita akan memperoleh pahala dan sebaliknya jika ditinggalkan, kita akan menanggung dosa. Namun bagi perkara atau amalan sunat, sekiranya ia dilaksanakan, kita akan memperoleh pahala dan sebaliknya jika ditinggalkan, tidak menyebabkan kita menanggung dosa. Kelebihan besar yang ada pada solat fardu yang ditunaikan secara berjemaah juga sering diabaikan oleh umat Islam.

Justeru, kita dapat melihat masjid dan surau dipenuhi jemaah ketika Solat (sunat) Tarawih namun masjid dan surau lengang ketika Solat Subuh sedangkan Nabi s.a.w. menyebut dalam Hadith Baginda bahawa individu yang mendirikannya secara berjemaah memperoleh pahala menghidupkan seluruh waktu malam.

10. Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat fardu
Ini merupakan kesilapan yang sangat besar dan memerlukan tindakan pembetulan, iaitu melalui nasihat serta teguran kepada individu yang melakukannya. Solat merupakan rukun Islam kedua dan tiang agama yang mesti dipelihara. Perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja menyebabkan keislaman seseorang tidak lengkap. Jika dibaratkan sebagai rumah, maka keadaannya senget atau tidak stabil. Berhubung dengan ibadah puasanya, Allah jualah yang menentukan nilainya.

11. Kurang cergas atau produktif dalam melaksanakan tugas
Ibadah puasa yang dilaksanakan seharusnya menjadi pendorong utama pelaksanaan tugas seharian dengan penuh amanah, cemerlang, dan lebih produktif. Hal ini disebabkan ibadah puasa memupuk dan meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pengawasan Allah s.w.t. terhadap setiap gerak-gerinya (ihsan). Selain itu, umat Islam juga perlu menjadikan penglibatan Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda dalam beberapa buah peperangan pada bulan Ramadan sebagai sumber dorongan dan motivasi.

12. Melakukan pembaziran wang, makanan dan masa
Pembaziran wang, makanan, masa dan apa juga perkara merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama Islam. Al-Qur’an memberikan amaran keras terhadap sikap keji ini dan menjadikan orang yang boros sebagai saudara syaitan yang kufur kepada Allah S.W.T. (Surah al-Isra’ 17 : 26-27).

Meskipun menyedari kewajipan bertindak menurut semangat dan tarbiyah Ramadan, namun malangnya sebahagian besar umat Islam kelihatan sering melakukan pembaziran wang, makanan, dan masa. Misalnya ketika memperuntukkan masa dan membeli makanan serta barang-barang lain di pasar atau bazar, sepanjang Ramadan sehinggalah ketika hampir menyambut kedatangan Syawal.


kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Isnin, 22 Julai 2013

Sombong Bongkak Angkuh Dan Takbur




Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu sifat mazmumah (sifat tercela @ keji). Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh menghalang kita mendapat balasan syurga.

Firman Allah yang bermaksud:" Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina."(Al-Mukmin:60)

Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua jenis, iaitu takbut zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat orang lain.

Imam Al-Ghazali berkata : "Orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar."

Takbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini maksiat hati yang dicela. Contohnya, iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam.Dengan angkuhnya ia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya. Takbur juga boleh dibahagi kepada tiga, iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap rasul-Nya dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.

Takbur terhadap Rasulullah s.a.w ialah enggan mengikut petunjuk dan sunnahnya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Orang Yahudi pula enggan berbuat demikian kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Orang Yahudi berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain, iaitu takbur sesama manusia. Mereka sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap diri mereka berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.

Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya. Imam Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :


1. Apabila berjumpa kanak2, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak2 belum dibebani dosa.

2. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.

3. Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu di dadanya.

4. Apabila melihat orang jahil anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita dosa dalam keadaan mengetahuinya.

5. Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.

6. Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.


Wassalam

kredit: dr hana haniff....

Ya Allah..hiasilah kami dengan sifat mahmudah.. dan jauhkan kami dari sifat mazmumah

Ya Allah tetapkanlah hati kami dan janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami. Amiinn......



Salam Ukhuwah..~

Ahad, 21 Julai 2013

Batasan Iman Dan Kufur

Gambar Masjid Al Irshad sekedar hiasan sahaja.

Muqaddimah :


Iman merupakan sesuatu yang cukup penting dalam kehidupan seorang mukmin. Hukum syara' telah menjelaskan bahawa Iman dan Islam itu ada pintu masuk dan juga pintu keluarnya. Sesungguhnya ikrar dan mentasdiqkan dua kalimah syahadah itu menjadi pintu dan kuncinya. Seseorang dianggap keluar daripada Iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau i’tiqad yang membatalkan ikrar dan tasdiq keimanan. Oleh itu sesiapa yang bercakap atau melakukan perkara-perkara yang menunjukkan keingkarannya terhadap ikrar syahadah maka syahadahnya terbatal dan keluarlah ia dari Islam.


Pengertian Iman Dan Kufur :

Iman : Ikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan perbuatan.

Kufur : Ingkar dengan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya beriman setelah ditegakkan segala hujjah-hujjah, disampaikan kebenaran itu dan dinyatakan kepada mereka yang melakukan amalan-amalan yang dianggap ingkar menurut nas-nas yang sahih.



Batas-Batas Keimanan :

Iman dan kufur dibatasi oleh empat batas-batas utama. Setelah itu sesuatu ucapan atau perbuatan yang membawa maksud yang disengajakan untuk melanggar keempat-empat batas ini, maka ia akan mengeluarkan seseorang itu dari Iman dan Islam. Antara batas-batas utama yang menjadikan terbatalnya Iman seseorang itu adalah :


1. Mengingkari atau mencela sifat Rububiyyah Allah s.w.t.

Menjadi keutamaan dalam kehidupan seorang mukmin ialah mentauhidkan Allah s.w.t. dalam apa jua urusan samada rezeki, kehidupan, kejadian alam dan sebagainya. Sesungguhnya Allah s.w.t. lebih mengetahui segala apa yang berada di bawah pentadbiran-Nya.

Sebagai contohnya, terdapat sebahagian daripada umat Islam hari ini seolah-olah tidak merasai bahawa apa yang diterima adalah daripada Allah s.w.t. Apabila digertak oleh mana-mana pihak, mereka merasakan bahawa pihak tertentu akan menggugat mata pencarian mereka, lantaran bagai lembu yang dicucuk hidung, mereka menurut segala arahan walaupun bersalahan dengan syari’at Islam.





2. Mengingkari atau mencela sifat Uluhiyyah Allah s.w.t.

Kebanyakan daripada umat Islam meyakini bahawa segala penciptaan adalah kekuasaan Allah s.w.t. Namun tidak ramai yang berusaha untuk melakukan pengabdian secara mutlak hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata. Seolah-olah tidak merasai bahawa segala apa yang dilakukan akan dipersoalkan di padang mahsyar nanti.

Merelai yang lain daripada Allah sebagai kuasa yang menghalalkan dan mengharamkan atau kuasa perundangan dan kuasa pemerintahan. Firman Allah yang bermaksud ;

“ ….. ingatlah..hak mencipta dan memerintah adalah hak Allah…”
* Surah al-A’raf : ayat 54



3. Mengingkari atau mencela Rasulullah s.a.w., kerasulannya dan apa yang dibawanya dalam rupa hukum syari'at. Perkara tersebut berlaku dengan i’tiqad, perkataan dan perbuatan, di mana sesiapa yang melakukannya batallah imannya dan keluarlah ia dari Islam.

Umpamanya mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai gundik yang ramai dan hanya tahu memuaskan hawa nafsu semata-mata lantaran memiliki isteri yang melebihi 4 orang. Ada segelintir daripada mereka yang mengaku Islam tetapi meragui apa yang disampaikan oleh Baginda s.a.w. Firman Allah yang bermaksud ;

“ Dan jika engkau bertanya kepada mereka ( tentang ejekan-ejekan itu ), tentulah mereka akan menjawab : “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah : Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya, kamu memperolok-olok dan mempermainkan?…..”
* surah at-Taubah : ayat 65



4. Menolak atau menentang hukum Syari'at Allah. Menyakini bahawa syariat, perundangan, hukum dan hudud yang telah disyariatkan oleh Allah tidak mengandungi sebarang hikmat adalah perbuatan kufur terhadap Allah.

Sepertimana yang banyak berlaku kini, perlaksanaan hukum yang tidak berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah yang bermaksud ;

“Maka demi Tuhanmu ( Wahai Muhammad ), pada hakikatnya mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu sebagai hakim terhadap perselisihan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa keberatan untuk menerima hukuman yang dikenakan dan mereka menerima sepenuhnya…”
* surah an-Nisa’ : ayat 65


5. Keengganan mengiktiraf nikmat Allah samada nikmat berbentuk lahiriah atau sebaliknya. Firman Allah yang bermaksud ;

“ dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa yang kamu hajati. Sekiranya kamu ingin menghitung nikmat Allah ke atas kamu nescaya kamu tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia ( yang ingkar ) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya….”
* Surah Ibrahim : ayat 34


6. Mencintai hidup dunia lebih daripada hidup di akhirat dan menjadikan dunia sebagai matlamat utama yang unggul dan terakhir. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud ;

“ Katakanlah ( wahai Muhammad ) : “jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri ( atau suami-suami ) kamu, dan kamu keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah ( tempat tinggal ) yang kamu sukai, ( jika semuanya itu menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan ( daripada ) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksa-Nya ); kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang yang fasiq (derhaka)….”[/ITALIC
* surah At-Taubah : ayat 24.



Penutup :

Daripada penjelasan ringkas di atas, adalah wajar kita memandang berat terhadap persoalan keimanan agar nikmat keimanan dan keyakinan kepada kebenaran yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. itu dijaga dengan sebaik yang mungkin. Tegakkan kalimah syahadah dalam kehidupan kita seharian, keluarga dan seterusnya masyarakat serta negara. Sebarang penyelewengan akan membawa kerugian yang besar bukan sahaja di dunia, bahkan jua di akhirat.



Wallahua’lam….

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 20 Julai 2013

Facebook dan Ramadhan


Apa agaknya hukum menziarahi dan bertandang di Facebook semasa bulan Ramadan? Mungkinkah hukumnya haram? Atau …

Apa agaknya hukum menziarahi dan bertandang di Facebook semasa bulan Ramadan? Mungkinkah hukumnya haram? Atau barangkali juga makruh? Jika ia haram, apa yang akan berlaku terhadap puasa kita, dan jika ia makruh apakah mungkin ia akan memberi kesan terhadap pahala puasa kita?

Sebelum kita membuat sebarang kesimpulan berkenaan aktiviti ini, adalah baik sekiranya kita memahami terlebih dahulu tentang Ramadan itu sendiri dan apa yang diharapkan oleh agama Islam terhadap umatnya. Apakah sebenarnya pandangan Allah terhadap bulan Ramadan.

Di hujungnya nanti, barulah akan kita akan faham di mana letaknya Facebook dan yang seangkatan dengannya di sisi Ramadan.

Pada suatu ketika pada bulan Syaaban dan ia merupakan hari yang terakhir dalam bulan Syaaban berkebetulan ia merupakan hari Jumaat, Rasulullah SAW menyampaikan khutbah Jumaat kepada umat Islam yang berkaitan dengan Ramadan. Ujar Baginda SAW, Ramadan merupakan bulan yang agung kerana di dalamnya sarat dengan keberkata dan salah satu malamnya, mempunyai nilai yang jauh lebih baik berbanding seribu bulan.

Padanya bulan itu terdapat kewajipan pelaksanaan puasa. Dalam khutbah berkenaan juga, Rasulullah SAW turut menyebut tentang ganjaran-ganjaran yang bakal diraih oleh individu Muslim yang melaksanakan ibadah fardu dan amalan-amalan sunat (Mafhum Hadis yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi).

Manakala dalam sebuah Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, antara mesej yang hendak disampaikan ialah fahaman bahawa setiap amalan yang dikerjakan oleh manusia itu adalah untuk dirinya sendiri (manfaatnya adalah untuk yang melakukannya). Walau bagaimanapun, puasa itu adalah untuk Allah SWT.

Apabila disebut ia adalah “untuk Allah”, bermakna puasa itu merupakan suatu persembahan makhluk ataupun hamba kepada Pencipta atau Tuhannya. Manifestasi ketundukan, kepatuhan atau ketaatan oleh seorang hamba yang tidak punya sebarang daya kecuali dengan izin Tuhannya.

Ibarat seseorang yang ingin memberi hadiah kepada orang yang dikasihi, tentulah ia akan memilih barangan yang hebat dan berkualiti tinggi untuk dijadikan sebagai hadiah dan persembahan kepada orang yang disayangi. Maka, sewajarnya kualiti puasa yang akan dipersembahkan kepada Allah SWT adalah puasa yang berkualiti tinggi.

Jika logam emas mempunyai gred-gred yang tertentu, sedangkan emas itu sendiri sudah merupakan logam yang bernilai tinggi, begitulah analoginya untuk puasa, yang kita bicarakan di sini puasa dalam bulan Ramadan.

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab beliau, Ihya Ulumuddin, terdapat tiga tingkat puasa iaitu, iaitu puasa umum, puasa khusus, dan puasa khusus yang lebih khusus lagI.

Puasa umum berada di tingkat yang paling bawah iaitu puasa yang sekadar menahan diri dari makan, minum dan perbuatan yang menyebabkan terbatalnya puasa.

Manakala puasa khusus pula (tingkat kedua), di samping menahan perkara-perkara yang dinyatakan tadi, turut memelihara seluruh anggota tubuh dari perbuatan maksiat atau tercela. Ataupun, menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurang atau menghilangkan pahala puasa.

Sementara puasa khusus yang lebih khusus (tingkat teratas) adalah menahan hati dari segala hasrat yang sia-sia dan bertahan daripada memikirkan perkara-perkara yang bersifat duniawi semata-mata. Tidak ada perkara yang difikirkan dan dihayati melainkan Allah SWT sahaja.

Kembali kepada persoalan utama tentang lawatan ke Facebook yang sebenarnya boleh juga digunakan dalam mencari rumusan tentang sebarang aktiviti di internet dalam bulan Ramadan. Setelah difahami tentang ketiga-tiga tingkatan puasa, atau tiga jenis kualiti puasa, maka di sinilah kita akan hubung kaitkan dengan aktiviti “berziarah” dan “bertandang” ke laman-laman sosial di internet--tentang implikasinya terhadap puasa yang sedang dilaksanakan.

Sebenarnya, jika lawatan kita ke internet itu menyebabkan kita melihat perkara-perkara yang ditegah, tentunya ia akan mengurangkan bahkan barangkali melupuskan pahala puasa, bahkan, kita mungkin akan mendapat dosa sekiranya mata kita melihat atau melayari perkara-perkara maksiat.

Selagi apa yang wujud dalam internet itu tidak menyebabkan puasa kita terbatal, maka puasa kita tetap sah tetapi ia sesuatu yang tidak menguntungkan kita, sedangkan sebagai umat Islam kita amat disarankan untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin ketika dalam bulan Ramadan.

Pada saya, Facebook ialah perkampungan maya, setiap pemilik akaun merupakan tuan rumah dan friends adalah jiran-tetangga. Dalam perkampungan maya ini, terdapat “kedai”, “tempat hiburan”, “berita atau maklumat terkini”, “bank resepi” dan pelbagai bentuk informasi. Kita bebas menyapa jiran-tetangga, begitu juga sebaliknya.

Seperti dalam kehidupan realiti, kita juga bebas untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling. Persoalannya, apakah bahan yang dijadikan sebagai bahan bualan? Apakah bahan-bahan yang boleh meningkatkan kualiti iman atau, sebaliknya adakah kita berbual tentang hal yang sia-sia?

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga Muslim, Rasulullah SAW memberi amaran kepada umat Baginda yang sedang menjalani ibadah puasa dengan mengatakan bahawa terdapat lima cara pahala puasa musnah sama sekali iaitu dengan berbohong, mengumpat, mengadu domba, bersumpah palsu dan melihat sesuatu dengan hawa nafsu.

Tentu kita tidak menafikan bahawa semua aktiviti yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah SAW ini boleh berlaku dalam Facebook dan yang seangkatan dengannya.

Facebook merupakan medium semata-mata, tetapi manusialah yang akan menjadikan ia sebagai sesuatu yang boleh memangkinkan pahala ataupun sebaliknya. Telah pun dinyatakan sebelum ini bahawa Facebook ibarat sebuah kampung dalam bentuk maya.

Jika kita seorang yang cintakan agama, tentunya kita akan mencintai puasa kita dan seterusnya kitalah yang akan menjadikan suasana akaun Facebook yang dimiliki sebagai suasana yang memelihara pahala puasa. Bukankah kita boleh mewujudkan sebuah perkampungan yang mesra Ramadan?

Pilihlah jiran-tetangga yang akan mempunyai jiwa yang mencintai Islam, tentunya kita tidak akan gundah dengan pahala puasa kita. Ini kerana, status-status yang akan kita baca di halaman rumah kita hanya status yang baik-baik.

Akan wujudlah perkampungan yang akan saling ingat-mengingati. Perkampungan maya yang baik akan mempengaruhi pemikiran yang baik dari semua aspek termasuklah untuk menghargai masa yang ada. Contoh yang mudah adalah, pada setiap hari Jumaat akan ada pemilik akaun yang mengemas kini statusnya dengan menyatakan kebaikan membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Status sebegini sebenarnya mampu memberi pengaruh kepada friends dan menarik friends untuk membaca al-Quran.

Ujar Rasulullah SAW, “Perumpamaan teman yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Ada kalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya”(Hadis riwayat Bukhari).

Maka, untuk merumuskan apakah hukumnya melawat Facebook semasa Ramadan, hukumnya ada pada diri kita.Tepuk dada, tanyalah iman.

kredit: Siti Shamsiah bt Md Supi. Peg Penyelidik Kanan Pusat Kajian Shariah Undang-undang dan Politik IKIM


Salam Ukhuwah..~

Jumaat, 19 Julai 2013

Jangan Buang Masa



Diceritakan bahawa Alam dunia amat sekejap tempohnya berbanding dengan perjalanan barzah dan mahsyar di akhirat kelak. Tentu malaikat hairan dengan manusia yang bertungkus lumus untuk keduniaan yang paling lama pun kita hidup sampai seratus tahun je. Itu pun kalau umur panjang.

Sedangkan alam selepas mati, alam barzah, padang mahsyar, dan ke titian sirat yang penuh ranjau dan halangan...di katakan oleh ulamak lamanya alam akhirat sebelum sampai ke keputusan syurga neraka itu berpuluh ribu tahun lamanya. Logikkah kalau akal yang sihat sekiranya kita lebih mengutamakan dunia dari akhirat???

Diceritakan lamanya di padang mahsyar itu sehingga manusia sanggup berkata kepada Allah s.w.t. agar mereka dimasukkan saja ke neraka kerana tak tertanggung azabnya di mahsyar yang terlalu lama....Maka sebab itulah dikatakan bahawa orang yang beruntung itu ialah orang yang ketika hidupnya didunia, segala apa-apa yang dilakukannya didunia ... matlamatnya tetap akhirat. Dia di dunia, tapi pemikirannya di akhirat.

Ketika didunia dia dah tahu apa yang dia akan hadapi di alam barzah...apa akan terjadi di mahsyar ...apa akan terjadi di titian sirat... dan akhirnya apa yang ada di syurga dan neraka. Nanti bila Allah s.w.t. tiba-tiba tarik nyawa kita...kita taklah terkejut beruk. Kata Syeikh Nuruddin, antara tipu daya syaitan ialah menagguhkan amalan.

Orang yang berumur belasan tahun...dibisikkan oleh syaitan, "Aku muda lagi.... nantilah bila aku dah kahwin baru aku pergi masjid berjemaah dan beribadah"... bila dah kahwin dibisikkan lagi "Aku baru je kahwin.... sibuk... masa ni lah aku nak kumpul duit banyak-banyak... nak besarkan anak.. nak kumpul harta..... kerja keras.. nanti umur 40 aku dah stabil baru aku pegi masjid dan beribadah"....

Bila sampai umur 40... dibisikkan lagi "Alamak sekarang ni sibuklah dgn masalah anak-anak.... anak-anak exam... ada anak yang sakit.... ada yang bermasalah... anak nak masuk Uni... banyak benda nak kena settle ni, tunggu pencen lah baru aku gi masjid"....

Bila dah pencen pulak... badan pun dah tak kuat.... ditakdirkan Allah s.w.t. kita sakit.... duduk lama tak boleh.... berdiri lama tak boleh.... macam-macam tak boleh.... nak beribadat dah tak kuat.... nak pegi majlis ilmu dah tak kuat.. nak puasa sunat dah tak boleh.... akhirnya sibuk dgn dunia sampai lah dicabut segala kenikmatan yang diberi oleh Allah masa dia muda dan sihat.

Alhamdulillah bagi yang masih boleh hidup sampai tua dan sempat bertaubat. Berapa ramai yang umur belasan tahun... umur dua puluhan... umur tiga puluhan... empat puluhan yang direntap nyawanya oleh malaikat maut ketika masih sibuk dengan urusan dunia semata-mata?

Mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi kesedaran sementara kita masih berpeluang. Berkat bulan Ramadhan ini. YA Allah berikanlah kami taufiq dan hidayah mu ya Allah.. Berikanlah kami kebaikan dunia dan akhirat. Amin Allahuma amin.

Kata ustaz Ihsan.... Malam2 disaat orang lain nyenyak tidur... amalkan bertafakur kepada Allah s.w.t. ... at least 10-15minit. Hanya kita dengan Allah. Tak payah doa yang canggih-canggeh ... sebut dalam bahasa Melayu pun takpe... sebut dengan niat berbicara dengan Allah... berkhalwat dengan Allah...

Matlamatnya untuk bertafakur dengan Allah s.w.t. ..... Amalan bertafakur adalah amalan para solihin yang sudah ditinggalkan oleh kebanyakan orang. Sedangkan bertafakur itu salah satu kaedah yang sangat berkesan untuk seseorang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. ... selain zikir. InsyaAllah cuba buat dan amal. tengok Astro berjam-jam... takkan takleh 10 minit dating dengan Allah.

Peringatan ini untuk diriku yang sering lupa. Mudahan bermunafa'at juga untuk yang membaca.


Salam Ukhuwah..~

Khamis, 18 Julai 2013

Puasa Menjana Pribadi Muslim



SEBAGAI ibu bapa Muslim, mereka wajib memberikan penerangan dan penjelasan tentang puasa Ramadan kepada anak-anak yang baharu hendak memulakan ibadah puasa.


Penerangan dan penjelasan ini penting kepada anak-anak sebagai asas ilmu pengetahuan mereka tentang ibadah puasa di bulan Ramadan.


Disebabkan ibu bapa mengambil mudah dan merasakan penerangan dan penjelasan tentang puasa Ramadan dan puasa-puasa yang lain tidak penting, banyak kalangan anak-anak tidak mengetahui tentang definisi dan hikmah yang tersirat dalam amalan berpuasa.


Jelaskan kepada mereka tentang definisi puasa iaitu puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu.


Daripada istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.


Puasa merupakan satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim pada bulan Ramadan.


Disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW daripada Thalhah bin 'Ubaidillah, sesungguhnya apabila Nabi Muhammad SAW melihat anak bulan. baginda berdoa: "Wahai tuhan yang telah menampakkan awal bulan kepada kami dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam. tuhanku dan tuhanmu ialah Allah, bulan yang benar dan baik." (Riwayat Tirmizi).


Setiap kali Rasulullah SAW menyaksikan terbitnya anak bulan Ramadan yang disebut hilal, baginda mengucapkan doa seperti yang disebutkan di atas.


Doa ini tidak hanya diucapkan baginda ketika hilal bulan Ramadan, tetapi juga pada bulan-bulan lain.


Disebutkan doa ini dalam amaliah Ramadan adalah untuk menyempurnakan sambutan Ramadan.


Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berbukalah kamu dengan melihatnya. Jika awan menutup anak bulan, maka sempurnakan hitungan bulan Syaaban 30 hari." (riwayat Bukhari dan Muslim)


Jelaskan kepada anak-anak tentang rukun puasa. Puasa mempunyai dua rukun sahaja, iaitu niat, menahan diri.


Iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan dan minum bermula dari terbit fajar (Subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).


Puasa terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu sama ada wajib sunat makruh atau haram. Puasa wajib adalah seperti puasa Ramadan, puasa qada, puasa nazar dan puasa kafarah.


Puasa sunat pula ialah puasa Arafah (9 Zulhijjah) bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Puasa pada 9 dan 10 Muharam. Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Puasa enam hari dalam bulan Syawal. Puasa pada tiga hari pertengahan bulan, iaitu 13,14 dan 15 hari bulan pada setiap bulan Hijrah.


Puasa makruh ialah puasa sunat pada hari Jumaat atau Sabtu dan puasa sepanjang tahun. Yang haram pula ialah puasa pada hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha. Puasa pada hari-hari tasyrik, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. Puasa pada hari syak, iaitu pada 30 Syaaban.


Perlu dijelaskan akibat buruk tidak berpuasa. Antaranya, mendapat kemurkaan daripada Allah SWT, kehidupan menjadi tidak tenteram, mudah berputus asa, dibenci dan dipinggirkan oleh masyarakat seterusnya tidak menyumbang kepada kemakmuran negara.


Golongan orang yang harus berbuka puasa juga patut dijelaskan. Islam agama yang sesuai dengan fitrah dan tidak membebankan.


Antara golongan yang harus berbuka puasa ialah orang yang menghidap penyakit yang memudaratkan.


Orang yang sakit tenat. Orang yang bermusafir melebihi dua marhalah. Orang yang terlalu lapar. Orang tua yang tidak mampu berpuasa. Perempuan mengandung atau menyusukan anak.


Puasa menjana keperibadian Muslim. Bulan puasa iaitu bulan Ramadan akan dapat mendidik amal, iman dan ketakwaan kepada setiap Muslim. Selain berpuasa menahan lapar dan dahaga umat Islam juga diminta menjauhi dusta, fitnah, mengumpat dan melihat perkara yang haram.


Tidaklah sempurna puasa dengan semata-mata meninggalkan makan dan minum, bahkan sesungguhnya puasa adalah disertai dengan meninggalkan atau mendengar perkataan yang sia-sia pada siang hari.


Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat, berkat, pengampunan dan pembebasan diri daripada azab neraka. Pada bulan ini Allah SWT menurunkan Lailatulqadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.


Ada lima keistimewaan bagi umat Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan.
Pertama, Allah SWT datang melihat mereka, jika ini yang terjadi maka untuk selamanya dia tidak disentuh azab.


Kedua, bau mulut mereka yang berpuasa bagaikan minyak kesturi.


Ketiga, para malaikat memohon keampunan siang dan malam untuknya.


Keempat, Allah SWT menyuruh syurga menghiasi keadaannya sebagai balasan orang yang berpuasa.


Kelima, pada akhir bulan Ramadan Allah SWT mengampunkan dosa mereka semua.

kredit: DR. AMINUDIN MANSOR
                  Bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.


Salam Ukhuwah..~