Bacaan Popular

Selasa, 20 Oktober 2009

Cara Memikat Hati Wanita


Cara Memikat Hati Wanita



Kadangkala orang lelaki beranggapan terlalu mudah untuk mendapatkan hati seorang wanita, namun tidak semua. Setiap manusia mempunyai hati dan naluri yang berbeza yang mempengaruhi sikapnya. Di sebalik kelembutan seseorang wamita itu terselit juga keegoaannya yang jarang mereka tonjolkan. Oleh itu kaum adam belajarlah cara untu menambat hati wanita yang anda sayangi.

Perempuan inginkan perhatian dan kasih sayang, terutamanya dari orang yang disayangi. Oleh itu tunjukkan sifat keperihatinan dan kasih sayang yang tiada nilai kepada mereka. Bila mereka rasa terhibur dan bahagia mereka akan menjadi seorang pasangan yang amat setia dan cinta sepenuh hati. Sekiranya kasih sayang yang mutlak telah didambakan kepada orang yang disayanginya, segala pengorbanan akan dilakukan tanpa memberi sebarang nilai-itulah perempuan.



Gunakan sepenuhnya teknologi yang ada di zaman sekarang. Seringlah menelefon atau menghantar e-mail untuk bertanyakan khabar atau paling minima mengucapkan Hai untuk menunjukkan bahawa dia sering di hati kamu. Bagi mereka walaupun satu ungkapan atau satu ayat, ia merupakan sesuatu yang sangat berharga dan begitu bahagia menerimanya.



Berkongsilah masalah dengan mereka, cuba dengar pendapat mereka, sekurang-kurangnya mereka akan berasa yang mereka itu penting dalam diri kamu dan diperlukan.



Jangan kamu ambil remeh-temeh pada perkara yang amat penting bagi mereka. Mereka sangat kuat ingatan terhadap tarikh-tarikh penting, contohnya hari ulang tahun. Apa salahnya buat surprise sekali sekala kepada orang yang kita sayangi. Mereka akan dapat rasakan yang kamu betul-betul menyayanginya.



Perempuan terkenal dengan sifat manjanya. Mereka sering ingin melakukan sesuatu bersama orang yang disayangi. Mereka akan meminta bantuan kamu walaupun mereka mampu melakukannya. Jangan menolak sekiranya kamu tiada halangan ketika itu.Inilah masanya untuk kamu menonjolkan ke macho an kamu!.



Pujuklah mereka dan tenangkan mereka sekiranya mereka dalam kesusahan. Ketika ini mereka benar-benar inginkan kamu di sisi mereka.



Jangan kedekut memberi pujian kepada mereka kerana mereka berhak mendapat pujian.



Berbincanglah kamu selagi kamu boleh berbincang dan berbincanglah bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu masalah.



Jangan kamu menggunakan kuasa veto kamu dalam membuat keputusan. Cuba memahami keinginannya dan kemahuannya. Sesetengah perempuan tidaksuka menyatakan secara terus terang tentang apa yang mereka inginkan, kadang-kadang mereka suka berkias dan memberi contoh cerita orang lain kepada kamu. Jadi kamu kenalah peka dan gunakan kepakaran kamu untuk memenangi hati mereka.



Jangan lupa, mereka juga ada ego yang terselit di celah-celah kelembutan mereka. Apabila mereka terancam atau tercabar..lahirlah sifat amarah, cemburu dan cepat merajuk. Masalah akan timbul bagi mereka yang suka memendam terhadap sesuatu yang mereka tidak puas hati.



Mereka akan meletup pada suatu hari. TETAPI kamu jangan sama-sama meletup. Kamu juga jangan lupa dalam diri kamu wujud satu sifat kepimpinan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam keadaan yang terkawal .Cari sebab mengapa ia terjadi dan bawa berbincang. Ditahap ini kesabaran, toleransi dan komunikasi amat penting.



Lakukan dalam keadaan ketika mereka sudah sejuk . Mungkin kamu juga boleh cool kan diri kamu dengan berfikir secara positif contohnya mengapa mereka cemburu. Itu kerana mereka SAYANGkan kamu!


Salam Ukhuwah..~

Sabtu, 10 Oktober 2009

Trend Mengurangkan Rasa Berdosa


Saya benar-benar kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun di perantauan, kembali ke Malaysia di era seperti hari ini, memang membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah mendengar tempias American Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent dan lain-lain. Talk of the town kadangkala diisi dengan isu siapakah yang sepatutnya mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang sememangnya tempat pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi dari Ireland zaman berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan.

Namun ia hanya acara biasa. Kerja-kerja harian orang ramai berlangsung seperti biasa ... tiada yang luar biasa.

Saya terkasima semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for good, ketika membaca pengumuman nama Rais Yatim diberikan peranan sebagai Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang baru. Hairan bin Ajaib, apa yang saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan tanda tanya. Mengapakah seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam hal ehwal berkaitan undang-undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai menteri di sebuah kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan joget, pesta budaya dan orang filem Malaysia yang sering berbalah sesama sendiri. Adakah ini menjadi langkah ke arah memandulkan politik Rais Yatim?

Namun, kehairanan saya terjawab apabila saya membaca temuramah bersama Rais Yatim di akhbar The Star bersama HL Wong [17 April 2004] di bawah tajuk "Stop `Arabising' Malay Culture" atau "Berhenti MengArabkan Budaya Melayu". Tegasnya, temuramah itu menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu mengembalikan semula identiti Melayu yang padanya telah terpadam oleh proses Islamisasi yang diterjemahkannya sebagai Arabisasi. Antara budaya Melayu yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari. Orang Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari menari kerana ia telah mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas beliau.

Nampaknya apa yang dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di dalam masyarakat kita. Usahlah pergi jauh, kampung saya sendiri telah terasa kesannya. Seingat saya, kali terakhir kampung saya dihiruk-pikukkan oleh Joget Lambak ialah semasa saya masih di bangku sekolah rendah. Itu bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya semenjak 20 tahun yang lalu. Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah kerana kampung saya telah diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa Sudan membuang bahasa asli mereka dan mengambil sepenuhnya Bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan mereka. Kampung saya masih pekat 'kome', 'mike' dan sambal belacannya. Namun yang pasti, apabila masjid makin ramai yang datang, perempuan makin ramai yang tutup aurat, emak ayah makin gemar menghantar anak ke kelas fardhu 'ain, maka dengan sendirinya Joget Lambak terketepi dan terhakis dari keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya kekal sebagai salah seorang daripada beberapa orang anak kampung yang reti Bahasa Arab.

Tetapi, selepas 11 tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan dengan suatu pengalaman pahit di malam itu. Hanya beberapa ratus kaki dari rumah saya, kenduri kahwin jiran yang siang tadi diTahlilkan dan di'doa selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni berjoget terlambak-lambak. Berdentam-dentum dram dan gitar, anak-anak muda terloncat-loncat dan lebih mendukacitakan saya, ia berlaku bersebelahan masjid.

Aduh... gelisah saya sepanjang malam di samping anak-anak saya yang tidak boleh tidur akibat kebisingan mereka yang berlanjutan hingga ke tengah malam. Walaupun anak saya lahir di bandar yang penuh orang mabuk dan saling berbunuhan sesama sendiri (di Belfast), namun fitrahnya masih merintih kedamaian yang dibunuh 'orang kahwin' malam itu.


RAKYAT KETAGIH HIBURAN

Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di Ireland, rancangan realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu demi satu, tetapi di Malaysia, lima program berjalan serentak. Ada untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga untuk orang tua yang sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali supaya jiwa rakyat yang hari ini telah beruban, terusik kembali untuk mengenang zaman remaja mereka di taman-taman bunga. Semua berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke cloud nine masing-masing.

Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan kepada hiburan malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana yang tidak menghiburkan, tiada makna dan tiada nilai.

Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa, suara-suara menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh.

Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan. Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang sudah ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian kembali berhibur. Tarian dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan, namun nama-nama Tuhan diselitkan jua. Akhirnya muncullah suatu trend baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan yang bagaimana? Mentor saya memberikan analogi yang menarik. Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang berair dan kelam penglihatannya.

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu Nabi Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia akan meilhat dengan pandangan Allah. Pandangan Allah itu adalah world view yang berasaskan tauhid.

Tauhidic Mindset itu adalah suatu pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa yang baik di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa yang keji di sisi Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini tidak dapat dicapai oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada mata di hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya penari dan penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi kita sedar yang kita sudah terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa berdosa. Sama seperti seorang artis yang pergi umrah. Menangis-nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa semula.

Namun diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa berumrah itu. Sedangkan tidak sedikit pun kemungkarannya yang ditinggalkan. Namun, dengan menggunakan hasil nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia dapat mengurangkan rasa berdosa tersebut. Sama juga seperti orang yang menyamun harta orang lain, menipu dan menindas, kemudian
sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang sedikit rasa bersalah atau berdosanya.

Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam pengajarannya ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA!

Ya Allah.. selamatkan kami dari fitnah akhir zaman.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~