Jumaat, 11 Julai 2014

Meminta-minta

Gambar sekedar hiasan sahaja.

Anas r.anhu telah berkata bahawa satu ketika seorang Ansar telah mendatangi Baginda Rasulullah s.a.w. lalu meminta sedekah. Baginda telah bertanya kepadanya, "Tidakkah ada apa-apa barang dirumahmu?" Dia menjawab, "Ada sehelai guni yang separuhnya saya gunakan untuk alas tidur dan separuh lagi untuk menyelimuti badan. Dia juga ada satu mangkok untuk minum air." Baginda telah mengarahkannya supaya membawa kedua-dua barang tersebut dan dilelong dengan harga 2 dirham. Baginda s.a.w. telah memberi 2 dirham kepadanya serta menyuruhnya untuk membeli makanan dengan 1 dirham dan membeli kapak dengan 1 dirham lagi. Dia membawa kapak dan datang semula, Baginda s.a.w. telah memasang kayu sebagai hulu-kapak lalu bersabda, "Pergilah ke hutan, potong kakyu dan jual. Janganlah engkau dilihat olehku selama 15 hari."

Mematuhi permintaan Baginda s.a.w. beliau datang pada hari yang ke 15 dengan pendapatan 10 dirham. Dengannya beliau telah membeli makanan dan pakaian. Maka Baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda. "Ini adalah lebih baik dari meminta-minta. Kerana meminta-minta cara demikian muka kamu akan menjadi luka-luka pada hari kiamat." Selepas itu Baginda s.a.w. telah bersabda. "Meminta dari orang lain adalah dibenarkan untuk tiga jenis orang sahaja. Yakni;

"Orang yang kerana kemiskinan sudah mendekati kebinasaan. Yang kedua sesiapa yang sudah dikenakan sesuatu hukuman (denda) yang berat. Dan yang ketiga, sesiapa yang sudah terlibat dalam sesuatu kes yang mana ia terpaksa bayar ganti rugi untuk darah."

Pada ketiga-tiga keadaan telah dibenarkan untuk meminta-minta. Bagi sahabat yang menghadapi kemiskinan, didalam peristiwa ini, Baginda s.a.w. tidak membenarkan meminta-minta dan tidak juga mewajibkan nafkahnya ke atas orang lain. Banyak lagi peristiwa terdapat didalam kitab-kitab hadith bahawa nafkah yang diwajibkan adalah zakat sahaja.

Disamping itu ada satu sabdaan Baginda s.a.w. yang termasyur yang bermaksud, "Sesiapa yang melebih-lebihkan dan melampaui batasnya di dalam sedekah (yakni sombong dan keras kelakuan semasa membayarnya), adalah seperti orang yang tidak memberi sedekah".

di petik dari Fadhilat Sedekah.


La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan