Jumaat, 4 Julai 2014

Doa Dalam Bulan Ramadhan



Dinyatakan dalam satu hadith bahawa dalam bulan Ramadhan Allah s.w.t. memerintahkan para malaikat penanggung 'Arasy supaya meninggalkan ibadat mereka masing-masing dan mengaminkan doa-doa orang yang berpuasa. Memang dapat diketahui daripada banyak hadith bahawa doa-doa dalam bulan Ramadhan diterima secara khusus. Tidak ada apa-apa keraguan lagi dalam penyempurnaan perkara ini kerana Allah s.w.t. telah berjanji, dan janji itu diberitakan pula oleh seorang Rasul yang benar.

Walau bagaimanapun, sesetengah orang mungkin telah berdoa untuk tujuan tertentu tetapi doanya tidak juga tertunai. Dengan sebab itu janganlah mereka terfikir bahawa doanya tidak dikabulkan, sebaliknya hendaklah mereka cuba memahami erti kata sebenar penerimaan sesuatu doa.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seseorang Islam berdoa, dengan syarat dia tidak berdoa untuk memutuskan silaturrahim dan tidak juga berdoa untuk sebarang dosa , maka Allah s.w.t. akan berikan kepadanya salah satu dari tiga perkara. Sama ada dia mendapat apa yang telah didoakan, atau sebagai ganti daripada doa itu satu musibah atau keburukan akan dijauhkan daripadanya atau diakhirat nanti pahala akan diberikan mengikut kadar doanya itu." Adalah dinyatakan dalam sebuah hadith bahawa  llah s.w.t. akan memanggil seorang hamba dan berfirman, "Wahai hambaKu! Aku telah memerintahkan kamu supaya berdoa dan Aku juga telah berjanji untuk menerima doa itu. Adakah engkau telah berdoa kepadaKu?" Dia akan berkata, "Ya! Saya telah berdoa." Maka Allah s.w.t. berfirman, "Tiada satu doa pun yang engkau telah pohon, yang Aku tidak tunaikan. Kamu telah minta supaya sekian-sekian kesusahan dijauhkan maka ku telah sempurnakan permintaan itu di dunia dan kamu telah minta supaya kamu dilepaskan daripada sesuatukerisauan tetapi kamu tidak tahu pun kesan daripada permintaanmu itu. Aku telah tetapkan gantian untuk doa itu dengan sekian-sekian ganjaran."

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa sehingga satu demi satu doa-doanya akan diperingatkan dan akan diberitahu sama ada doa itu telah disempurnakan di dunia ataupun doa itu digantikan dengan ganjaran yang diberi di akhirat. Melihatkan ganjaran dan  yang begitu banyak si hamba itu akan berkeinginan, alangkah baiknya jika tidk ada satu pun doanya dikabulkan sewaktu di dunia dulu agar mendapat ganjarn yang begitu banyak di akhirat.

Ringkasnya doa adalah satu perkara yang sangatv penting. Kelalaian terhadap doa adalah satu kekurangan dan kerugian yang sangat besar dan nyatalah bahawa jika kita belum melihat tanda-tanda doa kita diterima, maka janganlah kita merasa hampa. Dalam hadith ada dinyatakan bahawa Allah s.w.t. memerhati kemaslahatan ham-hambaNya. Jika pemberian perkara yang diminta itu ada kebaikan untuknya maka akan diberikan, jika tidak, maka tidak akan diberikan. Ini satu ehsan Allah s.w.t. yang besar kepada kita, kadang kala kerana kurang penelitian, kita akan meminta sesuatu perkara yang tidak sesuai untuk kita.

Disamping itu, ada satu perkara lagi yang mustahak dan penting untuk diambil kira. Banyak di kalangan kita, khasnya wanita terlibat dengan satu penyakit, iaitu kadang-kadang apabila dalam keadaan marah dan runsing, mereka akan mendoakan keburukan untuk anak-anak dan orang-orang lain. Hendaklah diingat bahawa disisi Allah s.w.t. sesetengah waktu merupakan masa yang khusus bagi penerimaan doa. Oleh itu, apa-apa sahaja yang diminta pada masa itu akan dikabulkan. Si jahil itu pada mulanya telah menyumpah anaknya sendiri dan apabila anaknya mati atau terkena apa-apa musibah, dia kesana kemari menangis dan tidak pun dia terfikir bahawa musibah itu adalah perkara yang telah dimintanya sendiri dalam doanya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Janganlah mendoakan keburukan untuk dirimu sendiri, anak-anakmu serta harta dan hambamu." Jangan pula nanti doa itu dipinta ketika waktu khusus penerimaan doa oleh Allah s.w.t. Perhatian yang lebih besar perlu diberi khususnya pada bulan Ramadhan untuk mengelakkan diri (daripada mendoakan keburukan pada bulan ini) kerana pada sepanjang bulan ini banyak sekali terdapat masa khusus penerimaan doa oleh Allah s.w.t.

Saiyidina Umar radhiallahanhu meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. bahawa dalam bulan Ramadhan sesiapa yang mengingati Allah s.w.t. akan diampunkan dosanya dan sesiapa yang meminta sesuatu daripada Allah s.w.t. tidak akan dihampakan.

Telah diriwayatkan bahawa terdapat satu lagi perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian iaitu terdapat beberapa syarat untuk penerimaan doa seseorang. Sekiranya syarat-syarat itu tidak disempurnakan maka kebiasaannya doa akan ditolak. Nabi s.a.w. bersabda, "Banyak sekalin orang yang berada dalam kesusahan menadah tangan kelangit memohon doa dan berkata, "Ya Allah, Ya Allah!" tetapi makananya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dalam keadaan itu bagaimana mungkin doanya diterima.

La haula wala quwwata illa billah..~

1 ulasan:

  1. Nauzubillah...yang kaum wanita terlepas cakap tu takut..mintak dijauhkan,kadang-kadang bila marah takut terkeluar..nauzubillah..as salam

    BalasPadam