Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Jumaat, 10 Jun 2011
Gelaran Bagi Si Mati
Gelaran bagi si mati, seperti Allahyarham, Almarhum dan sebagainya, merupakan gelaran-gelaran yang sangat sinonim dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Terdapat juga beberapa gelaran lain yang kita gunakan ke atas para ulama', seperti asy-syahid, al-hafiz dan sebagainya..
01.Allahyarham vs Allahyarhamah
Merupakan sebaik-baik gelaran yang kita gunakan. Allahyarham bermaksud 'Allah merahmatinya', atau secara teknikalnya, 'mudah-mudahan Allah merahmati rohnya'.
Adapun gelaran 'Allahyarhamah', maka ia merupakan gelaran yang penulis dapati amat lucu sekali. Ini kerana perkataan Allahyarham itu adalah kata kerja, maka mana mungkin kata kerja kita berikan sifat lelaki dan wanita?
Dengan mengatakan Allahyarhamah, samalah seperti kita mengatakan 'muhammad menulis', dan 'Aisyah menulisah'. Atau 'Ali pergi ke kedai', dan 'Fatimah pergiah ke kedai'.
02.Al-marhum
Merupakan gelaran yang tidak berapa sesuai kita gunakan ke atas si mati. Ini kerana, al-marhum bermaksud 'dia telah mendapat rahmat Allah', atau secara teknikalnya 'secara pasti Allah telah merahmatinya', sedangkan hak mutlak untuk merahmati atau menyeksa seseorang insan bukanlah hak kita.
Itu adalah hak Allah semata-mata, jika Dia hendak merahmatinya, Dia akan merahmatinya, dan jika Dia berkehendak untuk menyeksanya, Dia akan menyeksanya sebagaimana yang Dia Mahu. Kerana itu penulis katakan, gelaran Allahyarham adalah yang terbaik, kerana ini merupakan doa kita, 'mudah-mudahan Allah akan merahmatinya'.
Perlu diingatkan juga, gelaran ini merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh golongan ahli hadis. Adapun gelaran yang menunjukkan seseorang itu secara pasti mendapat rahmat, hanyalah gelaran yang kita guna pakai ke atas:
1) Para rasul
2) Sahabat Rasulullah S.A.W.
03.Arwah
Seperti kita selalu gunakan, 'arwah aki', 'arwah atuk' dan sebagainya. Penulis ingin nyatakan di sini, bahawa perkataan arwah itu merupakan kata jama', atau plural bagi 'roh'. Maka bila kita katakan 'arwah aki', bermaksud 'roh-roh aki'. Jelas itu tidaklah bertepatan dengan maksud yang ingin kita gunakan.
04.Asy-Syahid
Gelaran yang kerap kita gunakan ke atas para ulama' yang kita anggap mati syahid di jalan Allah. Seperti penulis nyatakan di atas, gelaran yang berupa bentuk 'secara pasti' ini, di dalam ertikata ini, 'secara pasti dia telah mati syahid', merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh para ahli hadis.
Ini kerana, memang betul kita mengharapkan beliau mati syahid namun untuk mengatakan secara pasti dia mati syahid, itu bukanlah hak kita. Malah, itu adalah hak Allah semata-mata.
Walaupun pada mata kasar kita dia mati syahid, namun isi hatinya yang sebenar di saat kematiannya dan juga niatnya ketika mati merupakan pengetahuan Allah semata-mata, tiada seorang pun dalam kalangan makhluk-Nya yang mengetahui secara mutlak akan isi hati makhluk yang lain.
Menurut penulis, gelaran yang terbaik ialah Allahyarham, sama jugalah dalam kes tadi.
05. Rahimahullahu taa'la
Seperti selalu kita gunakan 'Imam Abu Hanifah rahimahullah', 'Imam Malik rahimahullah', dan seterusnya. Gelaran ini merupakan setaraf dengan Allahyarham, cuma didatangkan di dalam bentuk perkataan yang lain sedikit. Ertinya juga sama, iaitu 'Allah merahmatinya', atau teknikalnya 'mudah-mudahan Allah merahmatinya'.
06.Alaihis salaam
Merupakan gelaran khas bagi para Nabi dan Rasul, dan gelaran ini bermaksud 'kesejahteraan ke atasnya'. Ini merupakan pegangan ahli sunnah wal jamaah, apabila menyebut mana-mana Nabi dan Rasul, kita sertakan dengan ungkapan alaihissalam.
Adapun puak Syiah Imamiah akan menyebut perkataan ini setiap kali menyebut nama imam-imam mereka, seperti Ja'far As-Saadiq alaihissalaam dan sebagainya. Ini kerana, mereka menganggap imam-imam mereka bersifat maksum, yang mana pegangan ini bercanggah dengan al-Quran dan sunnah yang sahih.
07.Radiyallahu 'anhu
Gelaran yang khas kita gunakan kepada para sahabat baginda Rasulullah S.A.W. Gelaran ini bermaksud 'Allah telah redha kepada mereka (untuk mereka masuk Syurga)', atau dengan kata lain, syurga itu merupakan janji Allah kepada mereka, di atas keimanan dan pertolongan mereka ke atas Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W.
08.Al-Hafiz
Ini bukanlah gelaran yang digunakan bagi si mati, cuma penulis memasukkan di sini untuk menilai serba-sedikit konteks penggunaannya.
Dalam masyarakat kita, al-hafiz digunakan bagi mereka yang menghafal al-Quran secara keseluruhannya. Penggunaan ini tidaklah salah kerana dapat memberi kefahaman kepada orang ramai.
Tetapi hakikatnya, al-hafiz merupakan gelaran bagi mereka yang menghafal 300,000 hadis berserta sanadnya, seperti Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan lain-lain. Ini merupakan penggunaan gelaran al-hafiz yang tepat seperti terkandung di dalam buku-buku akademik.
Sesungguhnya gelaran-gelaran yang kita gunakan ini, mempunyai maksud-maksud yang tersendiri, yang mana jika kita lihat secara teliti, terdapat unsur aqidah di dalamnya.
Seperti juga di dalam penggunaan 'almarhum', berkait rapat dengan hak Allah, dan juga batas hak kita sebagai makhluk dalam menentukan siapakah yang mendapat rahmat, dan siapa pula yang mendapat azab seksa Allah.
Mudah-mudahan selepas ini, kita akan menggunakan gelaran yang berpatutan kepada si mati. Kerana gelaran yang patut itu, bukan sahaja sesuai dengan aqidah Muslim kita, malahan ianya juga merupakan doa yang baik bagi si mati, terutamanya mereka yang kita kasihi.
Mudah-mudahan ada manfaatnya.
Wallahua'lam...
Biodata Penulis
Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin merupakan salah seorang ahli pasukan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Madrasah Al-Wahidah yang bertanggungjawab menggubal sukatan pelajaran bagi Program Pendidikan I-LIFT yang menawarkan pakej pendidikan berteraskan Islamisasi dan Integrasi Ilmu di peringkat taska, tadika & KAFA. Beliau juga merupakan fellow UniMAP, sedang menyambung pengajian di peringkat Ph.D Al-Quran & Sunnah (USIM). Penulis boleh dihubungi melalui www.al-wahidah.com dan www.abu-intisaar.blogspot.com
kredit: Mohd Azri
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan