Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Sabtu, 11 Jun 2011
Cara Berkesan Nasihat Anak
ANAK adalah anugerah Allah dan menjadi amanah besar kepada ibu bapa agar membesarkan mereka dalam kehidupan beragama dan berakhlak murni. Tersilap atau cuai dalam memberikan perhatian terhadap pendidikan akan mengundang padah buruk. Banyak contoh kini menggambarkan betapa longgarnya pegangan agama dan akhlak.
Antara pendekatan atau pedagogi terbaik dalam mendidik anak ialah dengan memberi nasihat. Ibu bapa seharusnya tidak bosan dan jemu memberikan nasihat bermanfaat dalam aspek kehidupan bersyariat serta berakhlak. Mungkin kisah berikut dapat menyedarkan kita betapa berkesannya kaedah nasihat untuk menyedarkan anak dalam urusan agama dan akhlak.
Shalih bin Amir menceritakan, pada suatu ketika terdapat seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang sangat nakal. Dia sering bermain dan keluar pada waktu malam. Si anak yang nakal itu juga sering berkumpul bersama rakan di sekitar Kota Madinah. Melihat keadaan begitu, si ibu tidak bosan-bosan menasihati anaknya supaya menjadi anak yang baik.
Kata si ibu,“’Wahai anakku, ingatlah dan renungkanlah bencana yang menimpa orang sebelummu yang mereka sudah lupa diri, tidak sedar untuk kembali ke jalan lurus. Insaflah wahai anakku. Apakah akan terjadi jika dirimu terus-menerus seperti begini, menganggur dan keluar tanpa tujuan. Dirimu akan mati pada saatnya nanti. Perbaikilah kelakuan burukmu, wahai anakku.”
Begitulah tanpa rasa bosan di hati si ibu menasihati anaknya, namun belum menampakkan hasilnya. Kelakuan anaknya tetap tidak berubah.
Dilanjutkan kisah dikatakan pada Ramadan, datanglah seorang pendakwah dari Hijaz yang bernama Abu Amir al-Bannan. Dia dipelawa untuk menyampaikan ceramah di Masjid Rasulullah dan permintaan itu dipenuhinya. Pada malam Jumaat selepas solat tarawih, pengajian agama dimulakan.
Orang ramai mendengar isi ceramahnya dengan penuh khusyuk. Dalam ceramahnya, Abu Amir menggunakan pendekatan membawa khabar gembira dan ancaman. Dengan penuh gaya dan mimik muka yang ditunjukkan sangat menyentuh hati orang mengikuti pengajiannya. Apabila dia mengatakan mengenai syurga, raut wajahnya penuh gembira dan sebaliknya tatkala menceritakan keadaan di neraka, wajahnya kusut, muram dan seakan-akan gelisah.
Dalam kelompok orang ramai yang mengikuti ceramah yang disampaikan Abu Amir ialah anak wanita yang nakal tadi. Dia nampak terdiam apabila melihat dan mendengar isi kandungan ceramah Abu Amir. Dengan ekspresi muka Abu Amir dalam penceritaan mengenai neraka dan syurga itu rupa-rupa banyak menyedarkan anak nakal itu.
Sejak itu anak nakal itu mulai berubah dan sudah rajin menunaikan solat dan berkelakuan baik. Si ibu begitu bersyukur kerana anaknya mendapat hidayah Allah dan kembali ke jalan suci.
Apakah pengajaran kisah berkenaan kepada kita semua? Pertama, jangan cepat berputus asa dalam menasihati anak dalam aspek agama dan membina akhlak. Ibu bapa semestinya terus beristiqamah melakukannya demi menyelamatkan anak daripada terjerumus ke lembah hina yang dimurkai Allah. Kedua, ibu bapa seharusnya bersikap sabar dengan kerenah anak dan anggaplah fenomena demikian sebagai ujian Allah kepada kita.
Ketiga, dalam memberikan pengajaran berupa nasihat, kaedah penceritaan dan mimik muka yang sejajar dengan jalinan isi kandungan pengajaran akan memberikan impak positif kepada orang yang mendengar dan melihatnya. Keempat, ibu bapa seharusnya memberi penekanan dalam aspek pergaulan anak. Membiarkan anak lepas bebas tanpa nasihat dan kawalan akan mengakibatkan mereka dengan mudah terpengaruh anasir negatif.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Muawiyah bahawa Luqman al-Hakim pernah menasihati anaknya mengenai aspek pergaulan itu. Kata Luqman: “Wahai anakku, duduk bergaullah dengan orang yang soleh dalam kalangan hamba Allah kerana sesungguhnya engkau akan memperoleh satu kebajikan daripada kebaikan mereka dan mungkin sekali pada akhir majlis itu Allah akan melimpahkan rahmat-Nya ke atas mereka dan engkau juga akan turut mendapatnya bersama mereka. Wahai anakku, jangan engkau bergaul dengan orang jahat, kerana sesungguhnya engkau tidak akan memperoleh sebarang kebaikan dalam pergaulan dengan mereka itu. Bahkan, mungkin pada akhir pertemuan itu, Allah akan menimpakan balasan kemurkaan-Nya ke atas mereka dan engkau juga akan turut terkena bahananya bersama mereka.”
Dalam satu lagi nasihat Luqman kepada anaknya mengenai perihal perilaku pergaulan ialah yang katanya: “Duduk bergaullah bersama golongan yang menyebut nama Allah, kerana jika engkau seorang yang berilmu, maka ilmu itu akan memberikan manfaat kepadamu dan jika engkau seorang jahil, mereka akan mengajarmu. Bahkan, sekiranya rahmat atau rezeki dilimpahkan ke atas mereka, pastinya engkau juga akan berkongsi bersama mereka.”
Ini nasihat cukup baik dan boleh ibu bapa jadikan sebagai teladan. Dalam mendidik anak, elemen nasihat juga seharusnya diketengahkan sebagai salah usaha teras pendidikan di rumah.
Pendidikan agama dan akhlak yang berhemah serta penuh suasana kondusif pasti mendatangkan natijah positif ke atas pembentukan jiwa dan akhlak anak. Untuk mendidik dan mengajar anak agar istiqamah di atas jalan yang benar dan lurus tidak bermakna kita mesti menggunakan kaedah keras seperti merotan, sebaliknya ibu bapa sewajarnya memberikan dorongan dalaman dengan mantap.
Dengan pendekatan pemberian pemahaman yang tetap secara berterusan, pengajaran dan peringatan serta nasihat akan mengukuhkan jati diri jiwa anak sebagai mukmin yang soleh.
Justeru, pendakwah dan pendidik khususnya perlulah melihat kepada keberkesanan metodologi pengajarannya agar pendengar tidak bosan, sebaliknya terpaut dengan proses penyampaian. Demikianlah halnya dalam aspek mendidik anak kita supaya sentiasa membesar dan berkembang subur di atas landasan agama yang luhur.
kredit: Wan Mohd Ruzlan Wan Omar (Penulis adalah seorang guru)
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan