Jumaat, 1 Julai 2016

Mal atau Amal

Gambar sekadar hiasan.

Kita sering lupa bahawa kehidupan didunia ini hanya sementara dan akhirat itulah yang kekal. Untuk itu Tok Wan nak peringatkan lagi dan lagi bahawa tujuan Allah s.w.t. menghantar kita kedunia ini ialah untuk beribadat kepada Allah ta'ala sedangkan mencari keperluan dunia itu sebagai keperluan sementara dan kita kena anggap sebagai tugas kedua.

Malang sungguh mereka yang menjadikan memenuhi keperluan dunia sebagai tugas utama sedangkan memenuhi keperluan akhirat sebagai tugas kedua dan lebih malang lagi mereka yang langsung tidak menyediakan keperluan akhirat. Dia terus leka dalam kesibukannya mengejar dunia sehinggalah dia meninggal dunia. Inna lillah.....

Kita anggap saja kita sedang membina sebuah rumah diatas sebidang tanah seluas satu ekar pastinya setelah rumah siap kita akan membuat beberapa penambah-baikan sehingga lengkap dengan segala kemudahan termasuk kolam renang, walhal kita semakin tua dan apabila semua sudah sempurna lututpun dan tak kuat dan tak boleh berenang lagi kerana ada masalah jantung. Segala penyakit ada pada tubuh badan ketika itu. Dan segala penyakit tersebut datang dari perut walhal rakan yang sebaya umur dengan kita yang tinggal dirumah desa kecil cerok sana masih sihat mengayuh basikal pagi dan petang untuk solat berjemaah dimasjid berhampiran.

Sebenarnya segala perintah Allah ta'ala itu mempunyai kebaikan, dan Allah ta'ala juga menghantar RaulNya untuk kita contohi bagaimana cara makannya, cara tidurnya, cara pergaulannya dengan orang ramai, cara beribadahnya dan ingatlah satu perkara yang paling afdal yakni Rasululllah s.a.w. tidak pernah tidak hadir dalam solat jemaah sehinggalah Baginda s.a.w. wafat. Itulah manusia yang sudah dijanjikan syurga baginya namun masih ta'at kepada perintah Allah.

Alangkah baiknya jikalau kita juga buat seperti mana Rasulullah s.a.w. buat. Hal ini elok kita bahagi kepada 3 pecahan yakni pertama cara keterampilan Rasululllah s.a.w., kedua cara hidup Rasululllah s.a.w. dan ketiga cara berfikir Raulullah s.a.w.

Cara keterampilan Rasulullah s.a.w. ialah sentiasa memakai pakaian yang kemas, berjanggut, memotong misainya, memotong kuku, bulu ketiak dan bulu ari-ari. Sentiasa bersugi ketika hendak mendirikan solat atau bangun dari tidur atau ketika memasuki rumah. Sentiasa menutup kepalanya termasuk ketika hendak ketandas serta banyak lagi. Dan para sahabat r.anhum mengikut cara hidup Baginda Rasulullah s.a.w. sehingga Allah redha keatas mereka lalu dibelakang nama mereka ada gelaran RadiAallahu anhu atau anha. Keterampilan ini adalah sunnah dan dalam zaman kerosakan ummat sesiapa dapat memelihara satu sunnah maka akan diberikan ganjaran seratus syahid. Bila ini dapat kita lakukan pasti perhatian Allah ta'ala tertumu pada kita kerana kita juga berterampilan sebagaimana keterampilan Nabi s.a.w. yang paling Allah kasihi itu.

Tetapi itulah kita, masih memakai baju 'T' dengan tulisan berbagai-bagai perkara dan ada pula yang menulis iklan barangan yang bukan milik kita sendiri. Masih ramai yang sanggup memakai seluar jean dan bertutup kepala dengan topi cap yang seolah-olah lidah anjing yang terjulur.

Cara makan kita juga jauh berbeza dengan cara Rasulullah s.a.w. Baginda takkan makan menggunakan meja walaupun meja itu rendah sehingga boleh makan dengan duduk bersila, sedangkan kita makan duduk diatas kerusi menggunakan meja dan kadang-kadang menggunakan sudu serta garfu tak cukup dengan itu ditambah pula dengan pisau, tambah lagi dengan kain alas dada dan riba lalu sebenarnya kita telah terlalu mirip kepada nasrani dan tak kurang juga dimeja makan ada lilin menyala walaupun lampu cinderela sudah cukup terang disitu.

Kita perlu perbetulkan cara makan kita, duduklah bersila dan letaklah peha kita sebagai alas perut dan apabila hampir kenyang maka berhentilah. Makan hanya apabila lapar. Rasulullah s.a.w. tidak makan pada waktu malam jika waktu siang sudah makan dan tidak akan makan siang jika paginya sudah makan. Kita di Malaysia ini 3 kali makan dalam sehari dan apabila mengikuti kursus anjuran Swasta atau Kerajaan akan makan sebanyak 6 kali sehari termasuk suffer, bukankah itu bercanggah sengat dengan cara hidup Rasulullah s.a.w.

Sepatutnya kita menghampirkan diri kepada cara hidup dan keterampilan Rasulullah s.a.w. kerana hanya cara itu yang membawa kejayaan didunia dan diakhirat. Kita lihat sendiri bagaimana Baginda s.a.w. meminta para sahabat r.anhum menipiskan misai dan menyimpan janggut untuk memudahkan pengecaman antara orang-orang Nasara, Yahudi dan Muslim, namun ramai antara kita berbangga dengan misai yang kononnya disebut dalam bahasa Melayu misai cari makan. Carimakan yang bagaimana? Adakah untuk memikat perempuan? Jika itu tujuannya adakah perkara itu baik? Dan jika tujuannya agar nampak garang adakah Rasulullah s.a.w. hendak kita sebagai kaumnya nampak garang? Bukan itu yang Rasulullah s.a.w. ajarkan kepada kita, lihatlah wajah para ulamak yang haqq yang masih wujud pada hari ini menyimpan janggut dan menipiskan mi9sai bahkan langsung tidak bermisai agar lembut dipandang.

Cara fikir Rasulullah s.a.w. juga sangat baik untuk kita ikut yakni fikir risau bagaimana agar setiap insan yang dapat kita temui setiap hari dapat dijauhkan dari azab api neraka. Bukan sekadar itu sahaja bahkan manusia yang akan lahir beberapa detik sebelum dunia diqiamatkan juga akan dapat masuk syurga Allah s.w.t.

Perkara yang sama inilah yang kita kena fikirkan bersama kerana berfikir sejenak lebih baik dari berzikir dengan lidah dan dalam hati dan fikiran merewanang kearah lain. Allah s.w.t. tahu isi hati kita bahkan tahu isi fikir kita dan sudah pasti bila ada fikir risau ini pasti dan pasti membuatkan Allah s.w.t. berbangga kepada para MalaikatNya.

Jadi untuk memenuhi keperluan akhirat kita perlu contohi para sabahat r.anhum Baginda s.a.w. Bagaimana keyakinan mereka kepada kalimah tauhid, bagaimana solat mereka, bagaimana sifat mereka dengan muslim yang lain, bagaimana keikhlasan mereka dalam segala perkara dan bagaimana tindakan mereka untuk menyelamatkan setiap manusia agar kesemuanya dapat masuk syurga dan dapat lepas dari azab neraka.

Bila kita berbalik kepada diri kita sendiri rupa-rupanya kita masih sibuk mengejar dunia, mengejar MAL dan hanya sedikit masa kita tumpukan kepada AMAL walhal malam-malam 10 yang akhir Ramadhan Allah ta'ala berikan kepada hamba-hambaNya dengan pelepasan dari api neraka dan didalam 10 akhir Ramadhan itu ada 'Lailatul Qadr'. Adakah kita mencari tanda-tanda Lailatul Qadr atau terus melakukan amal ibadah untuk mendapat ganjaran yang sebanyak 1000 bulan itu?

Marilah kita perbanyakkan usaha amal dari mengusahakan mal kerana mal hanya didunia ini sahaja yang bakal kita tinggalkan. Oppp... ada satu perkara yang lupa nak ulang sebut bahawa kita selalu mendengar orang Melayu berkata bahawa 'harta tidak boleh dibawa mati', sebanarnya ayat itu tak betul. Hakikat yang ada ialah harta boleh dibawa mati. Bagaimana caranya? 

Harta kita ada dua bahagian, satu bahagian yang sudah kita belanjakan dan yang satu bahagain lagi masih ada kita simpan, mungkin berupa wang dalam bank atau stock pelaburan. Harta atau wang ringgit yang sudah kita belanjakan jika ianya sesuai dengan jalan Allah seperti sedekah kepada asnaf, sumbangan untuk rumah anak-anak yatim atau tabung-tabung masjid maka itulah harta yang boleh dibawa mati sedangkan harta yang sudah kita belanjakan bukan kerana Allah ta'ala dan ada masih kita simpan untuk diguna pakai oleh keturunan-keturunan kita makan itulah harta yang tidak boleh dibawa mati.

Alangkah baiknya jikalau kesemua harta yang masih ada dalam simpanan itu kita belanjakannya pada jalan Allah kerana asalnya pun dari Allah. Dapatkah kita terima sunatullah bahawa semua rezeki yang telah datang kepada kita adalah dari Allah ta'ala untuk menguji kita. Jika demikian kita ini hanyalah posmen yang membawa surat yang mengandungi cek yang bernilai berbagai-bagai. Lalu kita sampaikan cek tersebut kepada tuannya dan kita tidak simpan apa-apa lagi. Kita ini hamba Allah, esok Allah berikan lagi sebab para Malaikat berdoa untuk kita, 'Ya Allah engkau lipat gandakanlah apa yang telah sipolan itu keluarkan hanya keranaMu ya Allah', jikalau Tuan Guru berserbn besar berdoa untuk kita kita rasa Allah akan kabulkan, atau para Ustaz yang mendoakan perkara tersebut untuk kita pun Allah ta'ala akan kabulkan, betul ker kita yakin Allah akan kabulkan doa orang-orang ini. Adakah keyakinan kita kepada doa para Tok Guru dan Ustaz ini atau doa para Malaikat yang akan kabul.

Jikalau tidak pasti mana satu jawapan p[ilihan yang betul baik periksa semula iman, kerana tanpa iman apa perkara yang ghaib pun tak dapat masuk. Kita lebih yakin benda yang kita nampak yakni mal dari benda yang tidak boleh nampak yakni9 amal.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

2 ulasan: