Jumaat, 6 Mei 2016

Jalan Iman

Gambar sebagai hiasan sahaja.

Sebenarnya tiada nama jalan yang dinamakan dengan nama Jalan Iman di Kuala Lumpur, kalau Jalan Aman adalah di kawasan berhampiran Jalan Ampang. Namun ada lorong-lorong yang akan menuju kepada Jalan Iman yang tidak dapat kita lihat dengan mata. Dan empat lorong tersebut ialaj;

Pertama, alat penglihatan kita yakni mata hendaklah kita melihat segala ciptaan Allah ta'ala yang mampu kita lihat dengan mata. Lihatlah bagaimana air hujan yang sama jenis yang diturunkanNya menjadikan bunga-bunga muncul dalam berbagai warna dan buah-buahan keluar dari bumi dalam berbagai bentuk dan rasa walhal tanah yang sama dan air hujan yang sama menyiraminya.

Kedua ialah telinga kita sendiri, kita gunakan telinga kita untuk mendengar tentang hebatnya Allah dalam percakapan yang selalunya muncul dalam masjid ketika menunggu waktu solat isyak selepas solat maghrib. Dengan telinga itulah kita mendengar dan terus mendengar walaupun telinga tersebut telah banyak kali mendengar perkara yang sama. Termasuk dalam hal ini ialah mendengar bacaan hadith Nabi s.a.w. yang rata-rata dan kebanyakan masjid ada satu masa yang dikhaskan untuk memperdengarkan bacaan hadith. Ada masjid yang bacaan hadith dibuat selepas solat zohor, ada selepas solat asar dan jikalau tiada bacaan hadith dilakukan dalam masjid itu maka bertanyalah kepada jawatankuasa masjid dan jika benar-benar ianya tiada dilakukan maka tugas andalah membaca hadith tersebut.

Ketiga ialah percakapan. Gunakanlah percakapan kita setiap masa dan dimana sahaja untuk membesarkan Allah kerana jika kita banyak bercakap tentang kebesaran makhluk seperti ekzos motorsikal sebab kita memang pakar ekzos pasti kita yang rugi sebab dengan berbuat demikian sudah pasti kehebatan ekzos akan masuk dalam hati kita. Hati kita ini lembut dan besar menyebabkan segala macam benda boleh masuk dengan mudah dan ianya bergantung kepada penglihatan, penglihatan serta pendengaran kita saban hari.

Dan yang ke empat ialah pemikiran kita sendiri. Bagaimana kita menggunakan pemikiran kita setriap hari. Jika setiap hari dan setiap masa kita memikirkan kebesaran Allah maka Allah akan masuk kedalam hati kita, begitulah jika kita sentiasa memikirkan rumah baru yang sedang dalam proses pembinaan maka rumah tersebutlah yang akan berada dalam hati kita. So... secara pukal jika pemikiran kita sentiasa berada kepada susah payah Rasulullah s.a.w. mendakwahkan manusia ketika di Makkah dulu maka susah payah itulah yang akan masuk dalam hati kita dan jika kita berhasrat hendak membantu kerja-kerja Rasulullah s.a.w. maka hasrat tersebut akan masuk berada dan beraja dalam hati kita. Inilah yang menyebabkan Allah semakin hampir kepada kita sebab Allah sangat syang serta kasih kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Begitulah secara pukal cara hendak mencari Jalan Iman.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan