Jumaat, 22 Januari 2016

Siapalah Sangat

Gambar sekadar hiasan sahaja.


Hari itu aku pergi ke Pekan Sungai Besi dengan dua tujuan. Tujuan pertama ialah Balai Polis nak jumpa S.M. Noor untuk bagi surat jemputan dan kedua ialah makan kari kambing dikedai mamak kesukaan aku di pekan kecil  itu. Tengah sedap-sedap menikmati makan tengahari kari kambing tersebut tiba-tiba datang seorang lelaki India separuh umur duduk depan aku. Dari corak pakaiannya nyata seperti India yang ikut lori sampah Alam Flora. Dia diam duduk dibangku berkongsi meja depan aku tanpa memandang pada aku. Aku memandangnya dan apabila dia perasan aku sedang memandangnya diapun menoleh melihat aku, serentak itu juga aku mempelawanya ikut makan sambil menggayakan anggukan kepala. 'Terima kaseh' katanya sambil senyum menampakkan giginya yang putih melepak.

Taknak perbualan terputus maka aku menanyakan soalan lazim, 'Sudah habis kerja ka?' Segera dia jawab, 'Belum habis lagi. Sekarang rehat tunggu solat zohor, lepas solat zohor lagi satu kali masak.' Katanya.... ooo... dia ini Islam, tukang masak rupa-rupanya. 'Lagi apa mau masak?' Tanyaku kepadanya, 'Itu kambing punya kari satu hari mesti dua kali mau masak.' Ermmm... rupa-rupanya kari kambing yang aku tengah makan ini dia yang masak. Masya Allah... untung dapat jumpa tukang masak yang hebat ni. Ehhh... apa pulak hebatnya kan... kan ker Allah lagi hebat.

Akhirnya setelah beberapa soalan lazim maka diapun menceritakan bahawa dia bangun pagi jam 3.30 pagi, solat tahajut mohon pada Allah supaya Allah ta'ala menolongnya masak agar makanan yang dimasak lebih sedap. Lepas solat tahajut dia akan baca surah al Baqarah, surah al Ma'idah dan juzu' Amma sampai habis. Apabila azan suboh maka dia akan kemasjid berhampiran (yakni surau jumaat sementara - sementara menunggu masjid Ibnu Khaldun siap). Lepas solat suboh baru dia mula memasak. 'Lepas solat suboh ada zikir ka?' Tanyaku padanya. 'Itu mesti bang Aji' katanya padaku, walhal aku belum buat haji lagi. 'Tiap-tiap hari lepas solat suboh saya mesti zikir, waktu masak pun saya zikir juga' katanya menambah. Aduuhhh... dahsyat rupanya India ini. Nampak macam pekerja AlamFlora bahagian memungut sampah tapi disisi Allah ta'ala dia manusia yang masyur di Kerajaan Langit.

Kemudian aku menerangkan kepadanya bahawa amalan itulah yang menyebabkan pemilik restoran ini boleh bertahan. Perniagaan menjadi bertambah maju, pekerja lelaki saja ada 6 orang termasuk 1 tukang masak mee goreng dan 1 lagi bancuh air. Pekerja perempuan pula 4 orang termasuk yang basuh pinggan dan cedok nasi untuk pelanggan. Jikalau tiada amalan setinggi itu sudah pasti ramai peniaga lain yang irihati lalu mencari bomoh-bomoh hebat atau tukang-tukang sihir untuk merosakkan perniagaan tersebut. Ada restoran yang masakannya sudah basi walaupun baru dua jam dimasak. Ada yang masak nasi tapi tak masak-masak sampai tengah-hari. Ada yang pelanggan lalu depan kedainya tapi tak nampak pun bahawa kedai itu buka. Inilah permainan yang boleh ditepis dengan amalan-amalan yang Allah suka. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut Allah suka dan apabila Allah suka sudah pasti tiada sesiapa yang dapat berbuat khianat keatas perniagaan mereka. 

Jikalau kita lihat mereka (tukang masak) ini, siapalah sangat mereka, pakaian selekeh, cara duduk pun seperti orang tidak berilmu. Namun sebenarnya ilmu yang ada dalam dadanya membuatkan syaitan pun takut untuk mendekatinya. Aku kata begitu sebab aku pernah dengar satu hadith yang ulamak bagitau bahawa seorang berilmu lebih ditakuti syaitan berbanding seribu abid.

Selesai makan dan solat zohor di surau jumaat sementara yang depan Balai Bomba itu aku pun melangkah ke stesen LRT untuk pulang. Belum pun sempat sampai stesen LRT satu orang menegurku. Ini mamak yang berniaga berhampiran Balai Polis pula, namanya Syed Kadir. Syed Kadir ni ada abang nama Syed Hamid di Pandan Indah. Kalau pergi Pandan Indah nampak Restoran Syed Hameed yang depan Menara MPAJ tu dialah yang punya.

'Apa khabar Aji.' Aji lagi... dia menegurku. 'Alhamdulillah'. 'Mari makan saya belanja ini hari'. Katanya padaku. 'Jazakallah...saya sudah makan... abang engkau apa khabar?'. 'Alhamdulillah, baru minggu lepas jumpa sama dia, dia cakap ini janggut mau kasi simpan panjang sikit pasal itu hari aku pergi umrah punya jam orang cakap aku punya muka serupa budak-budak.' Kata Syed Kadir padaku. 'Ya lah Kadir... itu janggut mesti mau simpan, itu misai mesti mau kasi nipis... tunjuk hurmat sama Rasulullah s.a.w.'. 'Ya... betul la Aji.' 'Kepala kasi tutup sama songkok, janggut sudah ada, misai kasi nipis awak sudah ada 3 sunnah. Satu sunnah boleh dapat 100 pahala syahid, kalau sudah ada 3 sunnah awak sudah ada 300 pahala syahid.' Kataku padanya. 'Betul la bang.' Setelah berbual seketika aku meneruskan langkah kestesen LRT. 

Tambang LRT memang sudah naik mendadak, tapi umur aku juga sudah mendadak, sudah 63 tahun dan memang layak menerima tambang konsesi. Dulu sebelum tambang LRT naik kos ke Sg Besi cuma 70 sen, kini RM 1.30 akalu guna Kad Rapid RM 1.20. Ishhh... laluan konsesi cuma 60 sen. Syukur ada kawan-kawan yang baik hati dan ada kenderaan awam yang masih mengutamakan Warga Emas macam aku ini.
.
.
La haula wala quwwat illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan