Jumaat, 11 April 2014

Poligami Adalah Hukum Allah Bahagian 2



Ada dikalangan yang menentang poligami ini cuba menyalah tafsirkan ayat Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 129: (maksudnya) Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).

Kata mereka ayat ini membatalkan apa yang disebut dalam ayat 30 dalam surah yang sama : (maksudnya): “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

Sebenarnya dakwaan mereka secara tidak langsung adalah tohmahan terhadap Nabi S.A.W., para sahabah dan generasi para ulama Islam sejak dahulu seakan-akan mereka semua tidak memahami al-Quran sehingga mengharuskan poligami untuk diri mereka dan umat.

Ayat 129 Surah al-Nisa’ itu sebenarnya membicarakan tentang keadilan mutlak yang tidak mungkin dapat diberikan oleh insan. Keadilan mutlak membabitkan semua aspek; perasaan kasih sayang yang ada di dalam hati, cara hubungan seks dan segalanya. Ini semua bukan dalam batas kemampuan insan. Sehinggakan insan tidak mampu menjadikan kadar kasih sayangnya terhadap anak-anaknya sama, demikian jugalah terhadap isteri-isterinya. Bagi anak yang lebih manja dan pandai mengambil hatinya tentu perasaan cintanya lebih. Demikian juga isteri. Namun apa yang dituntut ialah agar persoalan akhlak pergaulan dan sikap, persoalan kebendaan hendaklah dalam timbangan keadilan dan kesaksamaan kerana itu dalam batas kemampuan insan. Tidak boleh dijadi perasaan cinta di dalam hati membawa kepada ketidakadilan dalam tindakan. Oleh itu sambungan ayat itu menyebut: (maksudnya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Baginda S.A.W menyebut dalam hadith: Daripada `Aisyah R.A: Bahawa Nabi S.A.W membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda: Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki. (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim (meninggal 405H) mensahihkannya dalam Al-Mustadrak 2/554, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut dan disetujui oleh al-Zahabi (meninggal 748H).

Kata Abu Daud ketika meriwayat hadith ini maksud apa yang aku tidak miliki ialah hati, iaitu cinta yang lebih dan kecenderungan hati. (lihat Al-`Azim al-Abadi, `Aun al-Ma’bud, 6/121, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah selagi mana tidak berlakunya ketidak adilan dalam tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut. Malangnya mereka ini hanya ingin menjadikan agama menurut fikiran mereka lalu mereka tidak merujuk apa yang ditafsirkan oleh para muhaddithin (ulama hadith), mufassirin (ulama tafsir) yang muktabar. Antaranya apa yang disebut oleh al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya Al-Jami li Ahkam al-Quran: “Dalam ayat tersebut Allah memberitahu ketidakmampuan melakukan keadilan di antara isteri dalam kecenderungan tabii seperti cinta dan hubungan seks dan perasaan dalam hati. Maka Allah mensifatkan hal manusia bahawa mereka dengan sifat semulajadinya tidak dapat mengawal kecenderungan hati mereka kepada sesuatu perkara atau sebaliknya...kemudian Allah melarang manusia dengan firmanNya: (maksudnya) “janganlah kamu cenderung dengan melampau” yakni jangan kamu sengaja menyakiti, sebaliknya hendak sama rata dalam pembagian dan nafkah, kerana ini perkara yang seseorang mampu melakukannya." (5/407, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Demikian jika mereka merujuk kepada tafsir muktabar yang lain yang menjadikan panduan tafsiran mereka al-Quran itu sendiri, sunnah Nabi dan perjalanan para salaf soleh (generasi awal Islam yang beriltizam). Kata al-Syeikh `Abd Allah Nasih `Ulwan r.h: Musuh-musuh Islam daripada kalangan atheis dan orientalis cuba menentang peraturan Islam dengan menimbulkan tohmahan-tohmahan palsu, keraguan-keraguan dan serangan-serangan yang hasad terhadap Islam demi menimbulkan syak orang ramai terhadap kebaikan peraturan Islam, kesesuaiannya sepanjang zaman dan masa. Maka ada orang Islam yang menyambut pandangan-pandangan mereka serta beriman dengan akidah dan pemikiran mereka dan jatuh ke dalam perangkap syak dan tohmahan mereka. Di antara tohmahan dan serangan yang mereka timbulkan ialah keharusan Islam bagi peraturan poligami. (`Abd Allah Nasih `Ulwan, Ta`addud al-Zaujat fi Islam, m.s: 9, Dar al-Salam, Kaherah)

Adapun pandangan yang mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau mahkamah syariah bagi sesiapa yang ingin berpoligami adalah sesuatu yang ditolak. Para ulama kontemporari telah menjelaskan alasan penolakan ini dalam tulisan-tulisan mereka. Masalah keadilan suami adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai sebelum perkahwinan berlaku. Bagaimanakah mungkin seseorang kadi atau sesuatu pihak dapat mendakwa bahawa si pulan jika beristeri dua tidak akan adil? Bagaimana pula seseorang dapat memutuskan si pulan yang lain jika beristeri dua adil? Bahkan ada orang yang disangka adil tetapi ternyata sebaliknya. Ada yang dianggap pendapatannya kurang tapi bila berkahwin dua, pendapatannya bertambah.

Sikap adil atau bertanggungjawab terhadap isteri bukan hanya kepada yang beristeri lebih daripada satu tetapi juga kepada yang beristeri satu. Kalau hak ini diberikan kepada kadi maka nanti yang ingin berkahwin satu juga akan dinilai oleh kadi sama dia boleh bertanggungjawab atau tidak. Kemudian nanti yang ingin menambah anak atau memperolehi anak juga akan dinilai dia mampu atau tidak? Apakah kita lupa, ramai yang sikapnya berubah menjadi lebih cemerlang selepas perkahwinan, atau rezeki semakin bertambah selepas bertambah bilangan anak.

Sebab itulah Perhimpunan Kajian Islam (Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah) pada muktamarnya yang kedua di Kaherah tahun 1975 membuat keputusan seperti berikut: “Adapun berhubung dengan poligami, maka pihak muktamar memutuskan bahawa ianya adalah harus dengan jelasnya berdasarkan nas-nas al-Quran al-Karim juga dengan syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Adapun penggunaan hak ini adalah terpulang kepada pihak suami, ianya tidak memerlukan keizinan kadi”.

Dr. Abd al-Karim Zaidan menyebut di dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah: “Aku melihat tidak harus dari segi syarak memberikan kelayakan berpoligami ditentukan kadi, atau mengaitkan keharusan berpoligami dengan izin kadi.” Kata beliau juga: “Antara bukti yang menyokong keputusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah di atas ialah tidak pernah disebutkan kepada kita pada mana-mana zaman Islam, sejak Rasulullah S.A.W sehingga ke zaman selepasnya bahawa sesiapa daripada kalangan fuqaha (ulama feqah) mensyaratkan keizinan kadi untuk sesiapa yang ingin berpoligami. Kalaulah syarat ini disyariatkan maka sudah tentu kitab-kitab fekah dan kehakiman (qadha`) menyebut berlakunya atau cadangan mengenainya. Apabila ianya tidak menyebut hal ini sedikit pun, maka inilah dalil yang putus terhadap ijma’ sukuti (ijmak secara diam) mengenai tidak dikaitkan keharusan berpoligami dengan keizinan kadi. Maka cadangan untuk itu sekarang ini adalah memecahkan ijmak. (`Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah, 6/294, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)

Juga Dr Wahbah al-Zuhaili membantah pandangan ini dengan memberikan beberapa hujahnya di dalam al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh. Sila yang ingin pendetilan rujuk di bawah tajuk al-Dakwah ila Ja’l ta`addud al-Zaujat bi Izn al-Qadi. Antara tokoh lain ialah Dr.Muhammad `Uqlah dalam bukunya Nizam al-Usrah fi Al-Islam yang menganggap syarat keizinan kadi sebagai pemikiran yang bid`ah dan boleh membawa kepada hubungan zina. (m.s: 324, cetakan Maktabah al-Rasalah al-Hadithah, Jordan).

Sesungguhnya Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Janganlah kerana sikap atau penyakit seseorang yang teracun dengan racun Barat lalu dia ingin membakar kedai ubat yang menjual poligami. Bagi racun yang dimakan itu ubatnya adalah memahami akidah dan takutkan hukum-hakam Allah. Kembali kepada Islam, membacanya bahan tanpa prajudis dan kebencian. Baiki akidah dan kepercayaan terhadap al-Din ini. ..

apa pandangan kita..




La haula walla quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan