Jumaat, 4 April 2014

Poligami Adalah Hukum Allah Bahagian 1




Poligami adalah peruntukan yang diberikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peuntukan tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang. Ianya bukan satu kewajipan, tetapi satu keizinan. Menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zatNya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk. Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya. Malangnya pada mutakhir ini wajah serangan terhadap Islam dan peraturannya bertopengkan agama untuk menghancurkan agama. Inilah hasil kelompok yang ingin memahami Islam daripada golongan orientalis dan musuh-musuhnya, malangnya mereka tidak dapat memahami Islam daripada karya-karya asli para ulama Islam.

Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam: “Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”. (1/29, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Namun golongan yang tidak faham atau yang ingin mencari kesalahan untuk ditempelkan kepada agama sengaja melihat dari mata musuhnya. Hasrat mereka untuk menonjolkan kehebatan pemikiran Dunia Barat dan meperlekehkan Islam. Dalam masyarakat yang umatnya berpegang kepada Islam, golongan ini cuba memutar belitkan nas-nas agama untuk kepentingan pemikiran Barat. Mereka mengambil kesempatan dari kesalahan sikap sebahagian pengamal poligami untuk memukul sistem tersebut. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah: “Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada penyeru-penyeru kepada sistem Barat yang ada di tanahair Arab dan umat Islam mengambil kesempatan apa yang berlaku pada sesetengah muslimin yang menyeleweng. Lalu mereka ini bangkit menyuarakan agar ditutup pintu poligami sama sekali. Mereka ini pagi dan petangnya hanya membicarakan mengenai keburukan poligami. Padahal dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri seperti diamnya orang di dalam kubur mengenai keburukan zina, yang dengan dukacitanya diharuskan oleh sistem perundangan manusia yang menghukum negara-negara umat Islam hari ini."(m.s 31 cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Inilah hakikat yang berlaku pada hari ini, di mana berlakunya perzinaan yang berleluasa yang membabit sebahagiannya lelaki yang mempunyai isteri yang memangsa wanita yang bersedia dimangsa dirinya, yang keburukannya akan menimpa isterinya yang sah dan keluarga. Begitu juga hubungan seks yang begitu yang bebas yang dicerminkan oleh masyarakat yang sedang parah, di samping adanya media massa yang bersedia menjadikan kisah-kisah tersebut sebagai bahan paparan yang menguntungkan. Malangnya golongan ini hanya diam, tiada isu yang hendak dimainkan mereka. Namun jika mereka melihat adanya peluang yang membolehkan mereka memukul agama dengan senjata yang meracun akidah maka mereka jadikan ianya perbahasan yang boleh membantu mereka menimbul keraguan golongan awam yang tidak faham terhadap Islam.

Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi lagi “Adapun pendapat yang menyatakan bahawa berpoligami membawa keburukan kepada keluarga dan masyarakat ianya adalah pendapat yang mengandungi kekeliruan yang nyata. Kita katakan kepada mereka yang keliru ini: Sesungguhnya syariat Islam tidak mungkin menghalalkan untuk manusia sesuatu yang memudaratkan mereka, seperti mana ianya tidak mungkin mengharamkan manusia sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka. Bahkan telah dipastikan menerusi nas (al-Quran dan al-Sunnah) dan kajian bahawa syariat Islam tidak menghalalkan melainkan perkara yang baik lagi manfaat. Juga ianya tidak mengharamkan melainkan yang keji lagi mudarat. Inilah yang digambarkan oleh al-Quran dengan ungkapan yang indah lagi padat ketika menyifatkan Rasulullah S.A.W, seperti yang dikhabarkan oleh buku ahli kitab, iaitu: (maksudnya) " (sifat-sifatnya di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka) Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka." (Surah al-`Araf :157).

Sambung al-Qaradawi: “Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ianya telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudianya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlakua adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134)

Persoalan seperti poligami ini sebenar tidak boleh dibincangkan dengan nada emosi kewanitaan yang tidak terbimbing semata, atau pandangan sekumpulan lelaki yang takutkan isteri mereka. Hukum-hakam syarak memenuhi tuntutan akal yang waras dan logik yang kukuh sekalipun mungkin emosi membantahnya. Jika kita melihat kepada seseorang doktor yang menyuntik seorang bayi dengan jarumnya sehingga menyebabkan bayi tersebut menangis, andainya fikiran kita tidak dipenuhi pengetahuan tentang kebaikan tindakan doctor tersebut, kita tentu akan membantah dan menganggap doktor seorang yang zalim, menginayai bayi tersebut sehingga dia kesakiatan dan menangis. Namun apabila pengetahuan kita cukup kita tidak lagi melihat kepada tangisan bayi tetapi kepada kebaikan yang akan diperolehinya. Demikian juga poligami. Sesiapa yang ingin melihat keindahan hikmah poligami maka baca karya Dr. Mustafa al-Siba`I r.h, iaitu Al-Marah: Bain al-Fiqh wa Al-Qanun.

Sebenarnya bukanlah Islam sahaja yang memulakan keizinan berpoligami. Agama-agama lagi juga telah mengizinkannya. Bahkan pihak gereja seperti yang dinyatakan oleh Waster Mark, telah mengiktiraf poligami sehingga ke kurun yang ke tujuh belas, di mana perlaksanaanya ketika itu begitu meluas.

Kata Dr Zaki Abdul Karim Naik dalam bukunya Most Common Questions About Islam: Tiada dalam mana-mana buku agama (selain Islam) samada Vedas, Ramayanan, Mahabharat, Geetha, Talmud dan Bible had bilangan isteri. Berdasarkan buku-buku tersebut seseorang boleh mengahwini sebanyak mana yang dia suka. Katanya juga: Pada peringkat awal, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri hanya satu. Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud., di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950..(m.s.3 , published by Saba Islamic Media)

Bezanya Islam apabila mengizinkannya menyertainya dengan peraturan dan disiplin yang mesti dipatuhi. Jika disiplin itu tidak dipatuhi hanya diizinkan satu. Maka Al-Quran satu-satu kitab agama di atas muka bumi ini yang menentu satu isteri bagi yang tidak dapat berlaku adil. Ini sama seperti semua perkara di dalam Islam ada peraturannya. Sehingga yang berkahwin seorang (monogami) juga ada disiplin dan peraturan yang mesti diikuti. Persoalan keadilan untuk isteri, bukan sahaja bagi yang berpoligami, yang bermonogami juga mesti adil terhadap isterinya yang seorang tersebut, cumanya konteks pengendaliannya sahaja yang berbeza. Bahkan setiap bapa yang memiliki lebih dari seorang anak juga mesti adil terhadap anak-anaknya.

Dalam banyak kes kecuaian dan kezaliman rumah tangga tidak berfaktor pologami. Bahkan ianya berfaktorkan sikap suami itu sendiri, atau hubungannya dengan wanita luar tanpa keizinan syarak, atau tekanan-tekanan luar. Malangnya hal ini tidal difahami dengan baik oleh sesetengah pengulas poligami. Apatah lagi sebahagian pengulas tersebut adalah wanita yang tidak memiliki rumah tangga. Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Bukanlah poligami yang menyebabkan anak-anak terbiar seperti yang didakwa mereka. Sebaliknya berpunca dari pengabaian bapa terhadap pendidikan anak-anak, mabuk arak, ketagihan dadah, tenggelam dalam nafsu, berjudi, berulang-alik ke kedai kopi, pengabaian keluarga dan lain-lain”. (Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/173, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Islam tidak memaksa lelaki berpoligami, tetapi mengizinkannya sebagai keharusan yang dapat menyelesaikan banyak masalah. Namun pemikiran barat telah menghantui sebahagian pengulas poligami ini. Apabila ada kes ketidakadilan yang dilakukan oleh sebahagian pengamal poligami maka system itu disalahkan. Adalah tidak pelik untuk mereka ini mengikut jejak langkah barat suatu hari nanti mengizinkan hubungan tanpa nikah atas alasan perkahwinan mengongkong wanita dan menzalimi mereka. Bila mereka melihat ada suami yang tidak adil maka perkahwinan akan dianggap menginayai wanita dan patut dicegah.

Allah SWT mengizinkan poligami dengan nas al-Quran dan praktikalnya oleh Nabi S.A.W dan para sahabah. Malangnya di kebelakangan ini ada kecenderungan golongan yang mendakwa muslim meminggirkan al-Sunnah dan ingin hanya berhujah dengan al-Quran dengan tafsiran secara ‘sendiri berhad’ tanpa melihat apa yang menjadi tuntutan untuk seseorang menafsirkan kitab Allah. Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi. Demikian juga Ibn Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari :sanadnya baik.



lihat tulisan Ustaz Mohd Asri "Bahaya Golongan al-Riwaibidoh". klik di sini
 : http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=ust_asri&Number=11611&page=0&view=collapsed&sb=5&o=&fpart=1

bersambung hari jumaat depan...



La haula walla quwwata illa billah..~

1 ulasan:

  1. AsSaLaMuAlAiKuM tok wan...semoga tok wan sehat selalu hendaknya..sy suka membaca blog tok wan..semuanya mengajar sya erti kemanusian...sy doakan semoga tuk wan sehat selalu dan dapat memasukan lagi kata2 semangat untuk pembaca tok wan..

    BalasPadam