Rabu, 3 April 2013

Jaga Aurat Jaga Amalan



JAGA AURAT TANDA MALU PADA ALLAH


AURAT yang dimaksudkan dalam syariat Islam adalah bahagian tubuh yang tidak patut diperlihatkan kepada orang lain. Seseorang wanita harus menutupinya pada waktu solat dan pada saat berhadapan dengan orang lain.

Hadis riwayat Ibnu Hakim bermaksud: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w, manakah dari aurat kami yang boleh diperlihatkan dan mana yang tidak? Maka jawab Nabi: 

"Peliharalah auratmu, kecuali terhadap isterimu atau hamba sahayamu."

Saya bertanya pula; "Kalau orang itu berkumpul satu sama lain?" Jawab baginda s.a.w; 

"Kalau boleh tak seorangpun melihat auratmu, maka jangan sampai ia melihatnya."

Tanya saya pula, "Kalau seorang dari kami dalam keadaan bersendirian?" Maka baginda s.a.w. menjawab, 

"Maka terhadap Allah s.w.t sepatutnya orang lebih berasa malu daripada terhadap sesama insan."

Semua ulama fikah berpendapat menutup aurat bagi wanita yang sudah akil baligh adalah satu kewajipan, apabila tidak dilaksanakan akan mendapat dosa. Perbezaan muncul ketika menetapkan batasan aurat wanita harus ditutup ketika solat dengan orang lain.

Dalam hal ini ada tiga pendapat:

- Semua anggota tubuh wanita adalah aurat, mulai dari hujung rambut sampailah hujung kaki; menurut mazhab Ahmad dan pendapat Ibnu Taimiyah.

- Semua tubuh wanita kecuali wajah, tapak tangan dan telapak kaki, menurut mazhab Abu Hanifah.

- Semua tubuh wanita kecuali wajah dan telapak tangan sahaja; menurut mazhab Maliki dan Syafie.


Timbulnya perbezaan ini kerana ulama berbeza fahaman dalam mentafsirkan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (zinah) selain dari yang nyata mesti terbuka."

Dalam tafsir ar-Razi yang diambil Yusuf Qordhawi dijelaskan bahawa pendapat yang dianggap lebih kuat dalam memahami seperti zinah adalah anggota tubuh. Wanita tidak boleh menampakkan anggota tubuhnya selain daripada biasa terbuka iaitu wajah dan telapak tangan.

Dibolehkannya membuka kedua anggota seperti kata ar-Razi untuk kepentingan bekerja, mengambil dan memberi. Oleh kerana itu wanita diberi ruksoh untuk membukanya.

Aurat anak perempuan yang belum akil baligh namun sudah membangkitkan syahwat lelaki yang sihat sama seperti aurat wanita dewasa. Jika masih terlalu kecil dan belum membangkitkan syahwat tetap diharamkan melihat kemaluannya selain terhadap orang tua dan pengasuhnya.

Untuk kepentingan pendidikan, lebih baik seorang ibu memperkenalkan anak perempuannya sejak belum baligh mengenai batas aurat yang mesti ditutup, misalnya di luar rumah, paha dan betisnya tertutup; atau menggalakkannya memakai tudung ketika keluar rumah.




PAKAIAN MENUTUP AURAT

ALLAH memberikan pakaian kepada manusia agar auratnya ditutup sebagaimana firman Allah dalam surah al-A'raaf ayat 26, bermaksud: 

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat."

Untuk itu, Allah memerintahkan nabi supaya menyampaikan seruan berbunyi:

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri mukmin semua, supaya mereka menutup tubuhnya dengan jilbab mereka. Dengan demikian itu mereka lebih patut dikenal dan mereka tidak diganggu, 
(surah al-Ahzab ayat 59).

Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya wanita Arab keluar rumah tanpa mengenakan jilbab. Pakaian mereka memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian daripada kecantikan dan perhiasannya.

Ayat itu diturunkan Allah sebagai penyelamat wanita muslimah agar tidak menjadi korban gangguan orang munafik dan fasik. Allah juga memerintahkan mereka memakai jilbab, supaya wanita muslimah dikenali sebagai wanita yang terpelihara.

Jilbab adalah pakaian khusus muslimah yang tidak dipakai oleh wanita lain, kerana pengertian dari jilbab itu sendiri adalah:


1) Pakaian yang menutupi semua badan dari atas sampai ke bawah.

2) Pakaian yang lebar dari kerudung (kerudung lebar sampai ke bawah).

3) Pakaian luar wanita seperti jubah.

4) Menurut Ibnu Arabi, jilbab adalah pakaian yang menutupi seluruh badan dari kepala hingga mata kaki.


Pakaian selain jilbab yang digunakan untuk menutup aurat adalah al-khimar, sejenis kain penutup yang biasanya menutup kepala wanita, disebut juga dengan kerudung seperti mana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: 

"Dan hendaklah mereka menghulurkan kerudung ke dada mereka."

Dalam tafsir ar-Razi ketika menjelaskan ayat di atas, wanita pada zaman jahiliyah memakai kerudung dan membiarkannya panjang ke belakang, sehingga leher dan kalung kelihatan, maka Allah memerintahkan wanita muslimah untuk menutupi dada mereka, sehingga leher, kalung, anting-anting dan dada mereka tertutup dan tidak kelihatan sesuatu kecuali wajah sahaja.



Ciri-ciri pakaian yang memenuhi syarak

PAKAIAN yang digunakan untuk menutup aurat adalah pakaian yang dapat menutupi seluruh tubuh wanita kecuali yang bukan termasuk aurat. Pakaian berkenaan tidak sempit, tidak menggambarkan bentuk badan, bukan pakaian untuk dipamerkan, kebanggaan tidak menyerupai pakaian lelaki, tidak menyerupai pakaian wanita kafir, tiada wangi-wangian dan pakaian yang tidak mempunyai gambar makhluk hidup.

Adapun model pakaian tidak ada dalil dalam al-Quran dan hadis yang menjelaskan secara terperinci, malah model apapun boleh digunakan selama ia tidak bertentangan dengan ciri di atas.

Pernah seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Umar mengenai pakaian bagaimanakah yang harus ia kenakan? Ia menjawab: 

"Yang tidak membuat iri hati orang yang bodoh dan tidak mengundang cemuhan orang yang lemah lembut".



Suara wanita aurat

DALAM fiqh ala Al-Mazahib Al-Arba'ah dijelaskan bahawa suara wanita bukanlah aurat. Isteri Nabi Muhammad s.a.w berbicara dengan sahabat beliau dan juga mendengarkan hukum ad-Din yang diajarkan oleh Ummaahatul Mu'minin itu. Namun, suara wanita boleh menjadi haram jika membangkitkan nafsu dan menggoda kaum lelaki.

Oleh kerana itulah Allah melarang wanita berkata-kata dengan suara yang lemah lembut menggoda sehingga dapat membangkitkan nafsu lelaki, sepertimana firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud: 

"Hai isteri nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa, maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapakanlah perkataan yang baik."

kredit: Anak Melaka


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan