Sabtu, 17 November 2012

Menuduh Orang Sesat Itu Adalah Satu Kesesatan

Gambar sekadar hiasan sahaja.

Nampaknya ramai anggota masyarakat cuba dipengaruhi untuk mengetahui siapa yang sesat daripada apa yang sesat. Oleh itu mereka terdorong untuk menuduh satu golongan atau individu itu sebagai sesat. Menuduh sesat terhadap orang lain adalah satu tuduhan yang sangat berat.

Jika kita sedar betapa beratnya implikasi dan akibat yang terpaksa ditanggung di akhirat kerana menuduh orang sesat, pasti kita lebih berhati-hati kerana sesat adalah tuduhan yang boleh berbalik. Jika orang yang kita tuduh tidak sesat, kitalah yang sesat. Tegasnya, cepat menuduh sesuatu pihak sebagai sesat (sedangkan diri kita sendiri tidak mempunyai bukti yang jelas dan nas yang kukuh melainkan hanya bertaklid dengan cakap-cakap pihak lain) adalah satu kesesatan.

Perkataan sesat tidak boleh ditafsirkan mengikut selera dan kehendak hawa nafsu semata-mata. Kayu ukur menilai kesesatan bukan fikiran dan perasaan, tetapi Al Quran. Kemudian disusuli oleh hadis Nabi Muhammad s.a.w. Kalaulah dalam kehidupan kita sendiri Al Quran tidak jadi panduan malah jarang sekali dibaca….. bagaimana sewenang-wenangnya kita tergamak menuduh orang lain sesat? Kalau begitu sikap kita samalah keadaannya dengan Firaun yang menyesatkan Nabi Musa a.s, Abu Lahab yang menyesatkan Nabi Muhammad s.a.w. atau Namrud yang mengatakan Nabi Ibrahim a.s. itu sesat. Musuh-musuh Allah itu merasa diri merekalah yang paling benar walaupun hakikatnya merekalah orang yang sesat lagi menyesatkan.

Hal yang terbalik dan songsang ini telah terjadi sekali lagi. Manusia yang hidupnya bergelumang dengan riba, mendedahkan aurat, bergaul bebas, cuai sembahyang, hasad dengki, takbur, sombong, pembohong dan lain-lain sifat mazmumah telah tampil ke tengah masyarakat sebagai juara memerangi atau menuduh kekesatan. Begitu juga dengan media yang saban waktu menyiarkan gambar pendedahan aurat, cerita fitnah dan melaga-lagakan umat, sibuk-sibuk bercakap mengenai kebatilan dan kesesatan.

Sepatutnya marilah kita sama-sama berdialog dalam diri, muhasabah seluruh lisan dan tindakan, lahir dan batin, apakah ciri-ciri kesesatan ada dalam diri kita? Kalau kita melihat orang lain itu berada dalam kesesatan, sepatutnya kita membimbing dan mendoakan mereka, bukan dengan jalan membuat tuduhan atau menyisihkan mereka. Contohnya, kita melihat orang yang tidak sembahyang, jangan kita cepat menuduh dia sesat dan sebagainya, kita bimbing dan doakan mereka. Begitu juga di masa yang sama kita fikirkan diri kita yang sudah berbuat sembahyang ini, apakah ibadah kita ini sudah diterima oleh Allah s.w.t. atau tidak, jangan kita merasa yang kita sudah mengerjakannya, kita sudah merasa selamat.

Kumpulan-kumpulan dakwah atau harakah juga, tidak boleh mengatakan kumpulan dakwah atau harakah dia sahaja yang betul, kumpulan dakwah dan harakah orang lain tidak betul. Termasuk juga individu-individu yang sudah beramal atau menjadi pejuang agama, boleh mengatakan pihak individu lain tidak betul amalannya atau perjuangannya.

Begitu juga, kita jangan memandang hina kepada orang kafir kerana kekafiran mereka, kita sepatutnya mendakwah dan mendoakan mereka, moga-moga dia akan beriman kepada Allah s.w.t. Mana tahu dengan izin Allah s.w.t. dia mendapat taufik dan hidayah dan mati dalam beriman kepada Allah s.w.t. dan kita yang sekarang sudah boleh beramal dan beriman ini, ditakuti nanti mati dalam kekufuran. Sesungguhnya nasib kita belum tahu apakah mati dalam iman atau mati dalam kekufuran, patutnya inilah yang kita fikirkan dan tangisi selalu. Janganlah kita menjadi orang yang tertipu dalam beramal.

Jika kita sibuk berjuang mendedahkan kesesatan atau kebatilan, mengapa hanya separuh-separuh sahaja contohnya; mendedahkan aurat itu satu kesesatan, tidak ada tapi-tapinya lagi. Alasan yang mengatakan ia perlu untuk hiburan, sukan dan apa juga sebab, tidak diterima. Jika tidak percaya, cuba tanya ulama-ulama yang punya autoriti (kalaupun segan pada ulama-ulama yang rasmi). Jika ada ulama yang berani bekata: mendedahkan aurat harus kerana bersukan, berlakon, menari dan lain-lain, jelaslah ulama Us Suuk (ulama jahat). Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang dipaparkan melalui media hiburan atau ruangannya di dada akhbar adalah sesat…. jika tidak percaya, sila tanya ulama….

Jangan lupa untuk tanyakan lagi mengenai riba, mengenai ramalan bintang-bintang, memaparkan cerita-cerita rogol, cerita zina, iklan wayang, karenah bintang filem dan para artis, jangan lupa! Tanyakan semuanya pada ulama. Kemudian paparkan jawapan mereka dalam ruangan istimewa, supaya seluruh masyarakat tahu.

Kesesatan tetap satu kesesatan, walaupun ia nampak gagah dengan pendukungnya yang ramai, punya kuasa dan banyak harta. Kebenaran tetap satu kebenaran walaupun ia kelihatan dhaif, pendukungnya sedikit dan kelihatan seolah-olah akan kalah untuk mengatasi kebatilan. Yang menang tidak semestinya benar, yang kalah tidak semestinya salah. Kita ada hari lagi yang mana ketika itu yang benar pasti menang dan yang salah pasti kalah. Ketika itu pasti tiba, kerana kebenaran itu pasti dibela oleh Allah. Firman Allah s.w.t.  yang bermaksud:“Yang haq (benar) dari Allah, jangan kamu menjadi orang yang menentang.”

Nampaknya pada saat ini, ketika ini, yang batil masih gagah dan lanjut usianya. Sengaja Allah sunnahkan begitu buat menguji pendukung kebenaran dan sebagai satu cara untuk lebih menyesatkan golongan yang sesat. Agar dengan itu tersaring pejuang Islam yang palsu dan pendukung kesesatan pula akan merasa “confident” dengan kesesatan. 

Bila ada golongan yang bising-bising mengenai zikir, konon ada kumpulan yang berzikir hingga lupa tegak kemajuan dan lupa tanggungjawab, tentulah golongan yang langsung tidak berzikir rasa betul kerana mereka tidak pun dapat teguran. Malah tidak ada siapa pun berani menegur orang yang lupa untuk sembahyang maghrib dan isyak ketika satu-satu perlawanan sukan diadakan di stadium-stadium besar. Bukan itu sahaja, penonton siaran itupun tidak pernah ditegur agar sembahyang maghrib. Kalau peribadi pemain lagi-lagilah tidak…. Sepatutnya para ulama bersuara tentang hal ini, jangan bila soal cara berzikir sampai nak patah leher kita berhujjah tapi bila soal waktu sembahyang yang terang-terang dilanggar tidak pula diendahkan. 

Saya berterima kasih atas teguran jujur lagi ikhlas yang bertujuan membetulkan sesuatu kesilapan. Tapi jika ia dilontarkan penuh prasangka dan tidak bertolak ansur, saya rasa itu di luar batas peri kemanusiaan. Ada pihak yang menyeru anak muda jangan dekati kumpulan dakwah, yang katanya menyeleweng dan menyesatkan…. teguran itu bagus. Tapi perlu juga ingatkan anak muda jangan dekati kumpulan rock, panggung-panggung wayang, pita-pita vcd atau Video dan aktiviti-aktiviti yang terlibat dengan pergaulan bebas lelaki perempuan. Kenapa diam membisu dalam perkara-perkara yang jelas haram tetapi lantang dalam soal-soal yang masih boleh dipertikaikan.

Mengapa kita tidak berhati-hati juga dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah seperti membina dan menghormati patung-patung berbentuk manusia dan binatang? Mengapa kita tidak sensitif dengan ucapan: “Kalau semua nak ikut Islam susahlah….” “Hukum Islam tak sesuai lagi zaman ni…..” “Hukum rejam dan rotan pada para penzina tidak berperikemanusiaan.” “Tidak logiklah kalau semua nak ikut Quran dan sunnah.” Ucapan-ucapan ini, sesungguhnya boleh menjejaskan akidah. Dan ia selalu kedengaran diucapkan oleh ramai orang, tidak kira orang besar atau orang kecil, yang berkuasa mahupun rakyat jelata, yang kaya atau yang miskin. 

Kekalutan kita terhadap perkara-perkara yang masih boleh diperbahaskan secara baik, yang masih kabur antara masalah iktikad atau masalah furuk, janganlah sampai menutup mata kita terhadap perkara-perkara yang jelas betul tapi belum ditegakkan, yang jelas salah tapi belum dihapuskan. Saya rasa belum ada ulama yang menghalalkan judi, tetapi mengapa judi masih berleluasa malah diiklankan di khalayak ramai? Begitu juga dengan arak, mengapa kilang-kilang arak terus didirikan atas alasan ekonomi dan kita tidak pernah pun menentangnya secara lantang? Mengapa kita tidak pernah memikirkan jutaan umat Islam yang masih terjebak dengan riba melalui pinjaman berbunga di bank-bank sedangkan kita telah sepakat mengatakan riba adalah haram dan balasannya neraka? Mengapa kita tidak menangis memikirkan berapa ramai anak gadis kita yang masih mendedahkan aurat? Ketika kita sibuk menyesatkan orang lain, musuh-musuh Islam telah menyelinap masuk ke dalam rumah kita menyiarkan program-program tv yang jelas mungkar tetapi kita tidak sedar dan masih sibuk mencari sesat orang lain. Apakah program tv, pertunjukan rock, tarian, pendedahan aurat oleh artis tempatan dan luar negeri itu hukumnya halal? Sila jawab. 

Tapi jika kita masih mengatakan itu haram, mengapa kita tidak memeranginya? Entah berapa ramai orang Islam yang mengaut dosa mata, tergeliat fikirannya, rosak hatinya kerana program-program itu…. tapi kita masih terima hujjah yang mengatakan: “Kita tengok hiburannya bukan auratnya…” Apakah hujjah ini diterima Allah s.w.t? Apakah hujjah ini yang akan kita jawab di padang Mahsyar… terpulanglah pada para ulama menjelaskan hal ini sejelas-jelasnya, tanpa selindung-selindung lagi. 

Oh…. mungkin kita boleh berhujjah lagi, perkara-perkara itu memang jelas haram tapi memandangkan keadaan dan situasi, kita perlu berhikmah, bertolak ansur dan membuat peningkatan amal secara bertahap-tahap. Kita perlu berbincang untuk menyebarkan kefahaman kepada semua kaum tentang Islam, jika tidak, Islam dianggap menyusahkan. Begitulah suara yang selalu kita dengar.Tapi peliknya, mereka hanya berlembut dengan orang yang ada kuasa dan ada harta, sebaliknya sangat keras dengan harakah Islam atau kumpulan-kumpulan dakwah. Kalau mereka boleh bertolak ansur dengan orang lain atas alasan masyarakat berbilang kaum, masyarakat masih kurang ilmu dan sebagainya, kenapa tidak berlembut dengan harakah Islam atau gerakan dakwah atas alasan sama-sama ingin kebenaran? Kalau dengan pihak yang jelas mengiklankan kemungkaran kita boleh bekerjasama, mengapa tidak dengan orang yang bercita-cita ingin menegakkan kebaikan. Walaupun mungkin cara orang yang bercita-cita untuk menegakkan kebenaran itu tidak kita setujui, tapi itu lebih baik daripada orang yang terang-terang menjadi pelupur hiburan Barat, dedah aurat dan pergaulan bebas. 

Tapi inilah yang tidak berlaku. Kita tegas dan kasar dengan orang yang bercita-cita baik dengan tuduhan sesat tapi duduk semeja dengan pelupur kemungkaran.

kredit: Dr Akhmal 


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan