Isnin, 10 September 2012

Beruntunglah Kaki Yang Melangkah

Setiap anggota tubuh badan kita sebenarnya memiliki peranan
yang cukup besar dalam membantu kita mempersiap
bekalan yang bermanfaat untuk kehidupan
yang lebih bahagia di akhirat nanti. 

Mata kita misalnya, jika kita gunakan untuk melihat perkara kebaikan, ia akan mendatangkan pahala kepada kita. Mulut, jika kita gunakan untuk bercakap hal-hal yang bermanfaat, kita juga akan beroleh pahala. Tangan kita jika digerakkan untuk melaksanakan kerja-kerja kebaikan dan mencegah kemungkaran, pahala jualah yang akan dikurniakan Allah s.w.t. kepada kita. Begitu jugalah dengan kaki, jika kita gunakan untuk melangkah ke tempat-tempat kebaikan, pastilah kita akan beroleh pelbagai anugerah yang menguntungkan daripada Allah s.w.t. buat munfa'at diri kita.

Dalam konteks ini, bagi kita yang gemar mengerjakan solah fardu secara berjemaah di masjid, ada berita gembira yang sedang menunggu kita. Keuntungan kita bukan setakat memperoleh ganjaran lumayan daripada Allah s.w.t. melalui solah berjemaah, malah Allah s.w.t.  yang Maha Penyayang turut menjanjikan ganjaran "luar biasa" kepada kita sebaik sahaja kita mula melangkahkan kaki untuk menuju ke masjid. Keadaan ini adalah berasaskan kepada banyaknya sabda Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan keutamaan bagi mereka yang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solah berjemaah.

Melalui beberapa kitab rujukan seperti "Syarhu ad-Durusi al-Muhimmati li ‘Ammati al-Ummati" oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan "Wajibnya Solah Berjemaah di Masjid" oleh Dr Fadhl Ilahi, keutamaan bagi orang yang melangkah ke masjid adalah seperti berikut:

1. Dicatatkan setiap langkah kaki menuju dan pulang dari masjid.

"Daripada 'Ubay bin Ka'ab r.a. tentang kisah seorang 'Ansar yang tidak pernah tertinggal solah berjemaah, dan tidak pula ia menginginkan rumahnya berdekatan dengan masjid, bahawa ia berkata kepada Nabi s.a.w: 'Aku tidak gembira jika rumahku (terletak) berdekatan masjid. Aku ingin agar langkahku ke masjid dan kepulanganku ketika aku kembali kepada keluargaku dicatat.' Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah telah menghimpun semua itu untukmu.”
(Riwayat Muslim)

2. Para malaikat saling berebut untuk mencatatnya.

Daripada Ibnu 'Abbas r.a. , beliau mengatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Malam tadi Rabb-ku tabaarakta wata'ala, mendatangiku dalam rupa yang paling indah.” Lalu Dia berfirman, “Wahai Muhammad! Tahukah engkau, untuk apa para malaikat yang mulia saling berebut?” Rasulullah s.a.w. berkata: ”Aku menjawab, ‘Tidak’. Lalu Dia meletakkan Tangan-Nya di antara kedua pundakku sehingga aku merasakan kesejukannya di dadaku. Lalu aku mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.” Dia berfirman,”Wahai Muhammad! Tahukah engkau untuk apa para malaikat yang mulia saling berebut?” Aku menjawab, ”Ya, tentang kafarat (perkara-perkara yang menghapuskan dosa). Kafarat itu adalah diam di masjid setelah melaksanakan solah, berjalan kaki untuk melaksanakan solah berjemaah, dan menyempurnakan wuduk pada saat yang tidak disukai.”
(Riwayat Tirmizi)

3. Berjalan menuju ke masjid untuk solah berjemaah, juga berjalan pulang dari masjid termasuk salah satu sebab dihapuskan kesalahan dan ditinggikan darjat.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“'Mahukah aku tunjukkan kepada kalian tentang perkara yang akan menghapuskan kesalahan-kesalahan dan juga mengangkat beberapa darjat?' Para sahabat menjawab, 'Tentu, wahai Rasulullah.' Baginda bersabda, 'Menyempurnakan wuduk pada saat yang tidak disukai, banyak melangkah ke masjid-masjid, dan menunggu solah setelah melaksanakan solah. Maka, itulah ar-ribath (berjuang di jalan Allah).”
(Riwayat Muslim)

Daripada 'Abdullah bin 'Amr r.a., beliau mengatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang pergi menuju masjid untuk solah berjemaah, maka satu langkah akan menghapuskan satu kesalahan dan satu langkah lainnya akan ditulis sebagai satu kebajikan untuknya, baik ketika pergi mahupun pulangnya.”
(Riwayat Ahmad)

4. Pahala orang yang keluar dalam keadaan suci (telah berwuduk) untuk melaksanakan solah berjemaah seperti pahala orang yang melaksanakan haji dan umrah.

Daripada Abu Umamah r.a., ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya menuju masjid dalam keadaan bersuci (telah berwuduk) untuk melaksanakan solah fardu (berjemaah), maka pahalanya seperti pahala orang yang melaksanakan haji dan ihram.”
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

5. Orang yang keluar menuju masjid untuk melaksanakan solah berjemaah berada dalam jaminan Allah.

Daripada Abu Umamah r.a., dari Rasulullah s.a.w., baginda bersabda:

“Ada tiga golongan yang semuanya dijamin oleh Allah Ta'ala, iaitu orang yang keluar untuk berperang di jalan Allah, maka ia dijamin oleh Allah s.w.t. hingga Dia mewafatkannya lalu memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya dengan membawa pahala dan ghanimah, kemudian orang yang pergi ke masjid, maka ia dijamin oleh Allah s.w.t. hingga Dia mewafatkannya lalu memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya dengan membawa pahala, dan orang yang masuk rumahnya dengan mengucapkan salam, maka ia dijamin oleh Allah.”
(Riwayat Abu Daud)

6. Orang yang keluar untuk melaksanakan solah berjemaah berada dalam solat hingga kembali ke rumah.

Daripada Abu Hurairah r.a., ia mengatakan, 'Abul Qasim (Rasulullah) s.a.w. bersabda:

“Jika salah seorang dari kalian berwuduk di rumahnya, kemudian datang ke masjid, maka ia berada dalam solah hingga ia kembali. Oleh kerananya, jangan mengatakan demikian (seraya menjaringkan di antara jari-jemarinya).”
(Riwayat Ibnu Khuzaimah)

7. Khabar gembira bagi orang-orang yang berjalan dalam kegelapan (untuk melaksanakan solah berjemaah) dengan memperoleh cahaya yang sempurna pada hari kiamat.

Daripada Sahl bin Sa’ad as-Sa’di r.a., ia mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hendaklah orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid bergembira dengan (mendapatkan) cahaya yang sempurna pada hari kiamat.”
(Riwayat Ibnu Majah)

8. Allah menyiapkan persinggahan di syurga bagi sesiapa yang pergi menuju ke masjid atau pulang darinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Barangsiapa yang pergi ke masjid dan pulang (darinya), maka Allah menyiapkan untuknya persinggahan di syurga setiap kali pergi dan pulang.”
(Muttafaq ‘alaih)

Seperti yang ditekankan oleh Dr Said bin Ali bin Wahf al-Qahtani dalam bukunya yang berjudul "Masjid - Kemuliaan, Fadilat dan Adab-adabnya", perhatikan juga adab-adab yang harus dijaga sewaktu menuju ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah:

1. Orang yang hendak menyertai solah berjemaah di masjid digalakkan berwuduk secara sempurna terlebih dahulu di rumah berdasarkan hadis Ibnu Mas'ud r.a.:

"Tidaklah seseorang yang bersuci secara sempurna (di rumahnya), lalu pergi menuju masjid, melainkan dengan setiap langkah yang ditempuhinya Allah akan mencatat untuknya satu kebaikan, meninggikan darjatnya satu tingkat dan menghapuskan satu dosanya."
(Riwayat Muslim)

2. Orang yang hendak pergi ke masjid hendaklah menjauhi bau-bauan yang tidak enak.

"Dari Jabir bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Barangsiapa memakan bawang putih atau bawang merah, hendaklah dia menjauhi dari kami atau menjauhi masjid kami dan hendaklah dia berada di rumahnya sahaja.'"
(Riwayat Bukhari)

3. Sebelum melangkah ke masjid, seseorang digalakkan untuk menghias dirinya pada kadar yang sepatutnya dan memakai pakaian yang cantik. Hal ini bagi menyahut seruan Allah:

"Wahai Bani Adam, pakailah pakaian kamu yang cantik setiap kali memasuki masjid (untuk mengerjakan solat)..."
(Al-A'raf: 31)

4. Sewaktu sedang berjalan menuju ke masjid, seseorang itu hendaklah berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-tergesa. Hal ini berpandukan hadis berikut:

"Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda: 'Apabila kamu telah mendengar iqamah, tetap berjalanlah kamu menuju solah berjemaah dengan tenang dan tidak tergesa-gesa dan janganlah kamu mempercepatkan langkah kamu. Selanjutnya kerjakanlah raka'at yang kamu dapati (bersama imam) dan sempurnakanlah raka'at yang tertinggal.'"
(Riwayat Bukhari)

5. Kita diperintahkan untuk memilih masjid yang terdekat dengan tempat tinggal kita untuk menunaikan solat berjemaah berdasarkan hadis berikut:

"Daripada 'Abdullah bin 'Umar r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Hendaklah seseorang di antara kamu mengerjakan solah di masjid yang terdekat dengan tempat tinggalnya dan janganlah mencari masjid yang lain.'"

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan