Isnin, 20 Ogos 2012

Kisah Syawal 1433



Sepanjang-panjang bulan Ramadhan memang aku tak berpeluang untuk menjawat jawatan Muazin, apalagi Imam sebab ramai yang berebut untuk dua jawatan itu. Jadi cukuplah sekadar jawatan makmum. namun dalam hati aku menaruh harapan agar menjelang Syawal nanti bila korunk semua balik kampong aku akan dapat peluang itu.

Memang benar, Ramadhan yang hujung (29 Ramadhan) aku di pelawa berbuka puasa di Surau oleh Amil yang bertugas disitu untuk mengutip bayaran fitrah (dia kena ada disitu sepanjang masa untuk menunggu orang yang nak bayar fitrah), juadahnya pula kari kambing, perghhh...memang febretku. Maka aku pun bersiap-sedialah untuk berbuka puasa yang penghujung di Surau bersama-sama tiga atau empat jemaah lain (selalunya ramai). Namun bila masa berbuka hampir tiba Muazin tiada, agaknya masing-masing dah balik kampong. Inilah peluang aku untuk azan. Lagi 1 minit nak masuk waktu berbuka aku dah standbye kat microphone. Bila masuk saja waktu aku makan seulas buah kurma dan setegok air dulu kemudian baru azan. Maknanya aku berbuka cepat 40 second dari orang lain.

Rupa-rupanya azan pertama untuk bulan Syawal dapat kepadaku. Rezeki memang dah dicatatkan untukku agaknya. Alhamdulillah...

Seperti biasa solah maghrib hujung Ramadhan dan awal Syawal tak ramai jema'ah, tapi solah Isyak jadi ramai semula. Dan seperti yang aku janjikan dengan beberapa orang jema'ah di Surau tersebut lepas Isyak aku menjemput kesemuanya ke rumah aku untuk takbir raya sambil menjamu selera, menunya nasi himpit kuah kacang serta rendang ayam pencen. Ayam pencen ni pun ada 3 jenis pencen. 1 pencen tentera (muda sikit).  2. pencen JPA (umur 55 seperti dulu) dan 3. Pencen Baru (umur 60 tahun). Ha ha ha... tapi ayam yang bini aku buat rendang ni pencen JPA...tak lembut sangat dan tak keras sangat. Jangan marah gurau-gurau sikit yer...

Solah sunat Aid Fitri memang jema'ah melimpah sampai keluar Surau. Pagi tu aku sampai jam 7.30 pagi. Ambil saf paling depan. Dalam dewan solah dah ramai makmum tapi rata-rata mereka adalah dari Afrika (Arab Afrika) ada yang kulit hitam dan ada yang kulit putih macam Mat Saleh. Jemaah tempatan belum nampak lagi. Agaknya pengumuman semalam dibuat dalam Bahasa Melayu maka orang Melayu boleh datang 5 minit sebelum 8.45 dan orang asing datang sebelum 7.30.

Menjelang jam 7.45 aku menghimpit Bilal dan membisikkan kepadanya supaya elok kita mulakan takbir raya daripada duduk saja-saja, maka dia pun setuju lalu duduk sebelahku dan mula bertakbir. Tugas aku pula ialah kawal teranum (lenggok lagu atau alunan) dan tempo takbir agar alunan-lagu tak meleret ke lagu lain serta tidak jadi terlalu laju.

Takbir raya kalau laju memang tak syahdu. Bila syahdu makaa disitu point kuat sampai boleh melelehkan air-mata bagi orang yang tebal perasaan. Ia hendaklah sesuai dengan telinga Nusantara kita (orang Melayu). Jadi kalau dibiarkan orang Afrika bercampur dengan Bangladesh menguasai takbir raya, sudah pasti teranumnya akan terkeluar dari yang biasa kita dengar. So tugas aku (secara sukarela) pagi raya ialah mengawal teranum, agak-agak nak terkeluar jer, aku akan dekatkan microphone rapat sedikit ke mulut agar suara aku lebih menonjol dari yang lain agar senang di ikut oleh semua yang ada diluar atau dalam Surau. Begitu juga kalau tempo takbir jadi laju maka itu pun tugas aku untuk kawal kelajuannya. Alhamdulillah....jawatan tak bergaji. he he...

Setakat 2 orang (aku dengan bilal) nak kendalikan takbir raya memang tak cukup. Sebab lepas tiga atau lima atau tujuh round mesti nak tukar leader yang lain pula. Kalau bilal past kat aku siapa pula nak control speeding? Jadi mau tak mau kena teruskan sampai ada rakan (tempatan) yang lain datang ke dalam saf. 

Tak lama selepas itu muncul Din (nama ringkas). Bilal menyerahkan microphone kepada Din untuk terus Lead, tapi si Din pula dah past microphone pada seorang Pak Arab yang duduk disebelahnya. Alamak...apa lagu dia nak bawa ni? Sebab Pak Arab tu dari Syria. Memang betul...lagunya sangat jauh berubah. Rasanya mereka yang pernah ke Syria atau Jordan pasti tahu bagaimana takbir disana,

Habis dia Lead round pertama aku sampok dengan teranum Nusantara, Alhamdulillah... aku dapat cover. Masuk round kedua pun sama, dia bawa lagu Syria, aku bawa masuk semula ke Nusantara. Akhirnya bila sampai round ketiga dia menyerahkan microphone kepada Din semula...adushhh...lega rasanya.

Selesai solah sunat Aid Fitri ada dua tiga orang bertanya kepadaku kenapa ada sekali tu takbirnya bunyi lain macam. Aku terangkan kepada mereka kesah Pak Arab dari Syria tu, mereka senyum. Selesailah sudah solah Aid Fitri, aku balik kerumah sambil seret empat lima jema'ah untuk berziarah kerumahku, ajak mereka jamah nasi himpit lagi. Kemudian bergilir-gilir kerumah si Polan, kemudian ke rumah si Polan lain pula. Dah hampir jam 12 tengahari mata mengantuk, aku pergi berbaring di anjung Surau, sebab kalau baring kat tempat lain takut hanyut sampai waktu 'Asar.

Tepat jam 1.20 seseorang mengejutkan tidurku...ohhh...rupa-rupanya aku tertidur. 'Tok Wan cepat pi azan....takder orang nak azan, waktu dah masuk dah". Kata kawan yang mengejutkan aku tu. Sepantas kilat aku masuk bilik azan dan azan untuk solah Zohor. Yahoo...aku dapat azan untuk hari raya yang pertama ini. Alhamdulillah...kalau dah rezeki tak kemana...ermmm....yer lah tuu...

Lepas solah Zohor aku jengah ke rumahku sekejap, anak bujangku sedang meraikan rakan-rakannya yang datang ziarah. Alhamdulillah... rumah yang sering di ziarahi oleh sahabat handai lebih berkah kata Ustaz...

Tiba pula waktu 'Asar aku terlambat sikit. Seorang anak muda dah ambil jawatan Muazin tu. Tak per, tak per. Mungkin kejap lagi bila jawatan Imam kosong, aku boleh ambil jawatan tu. Betul... bila habis Iqamat jawatan Imam kosong. Err...pasti jawatan itu aku sandang. Alhamdulillah... Kalau dah rezeki tak kemana...

Selesai solah 'Asar hujan lebat, kami duduk dalam satu bulatan dalam dewan solah dan seorang jema'ah memulakan bacaan beberapa potong Hadith Nabi s.a.w. dari buku Fadhilat Amal. Selesai baca hadith seorang jema'ah berketurunan India, Habib namanya bercerita bahawa amalan berziarah ini amatlah di tuntut.

Katanya didalam syurga, ahli syurga tak perlu solah atau puasa lagi. Apa yang akan mereka lakukan ialah ziarah antara satu sama lain. Tapi kalangan ahli syurga peringkat bawahan tidak dibenarkan menziarahi ahli syurga dari peringkat atasannya. Jadi yang boleh dilakukan ialah ahli syurga peringkat bawahan menziarahi ahli syurga di peringkat yang lebih bawah dari peringkatnya. Kata Habib, aku cuma mendengar, tidak mengangguk dan tidak mengiyakan. Habib neneruskan ceritanya lagi.

Katanya, Nabi Daud a.s. akan melakukan ziarah terhadap Umat Nabi Muhammad s.a.w. pada setiap hari rabu. Semasa ziarah itu Nabi Daud a.s. akan membacakan al Quran dan surah yang paling disukainya ialah surah Ar Rahman. Ermmm...kata dalam hati aku, aku pun suka surah ar Rahman tu.

Leka mendengar ceritanya sehingga aku lupa bertanya dari mana sumber asal cerita itu. Namun tidaklah menjadi kemaslahatan yang berat kerana memang amalan ziarah-menziarahi itu baik untuk kita lakukan terutama pada perayaan Aid Fitri. Di samping ziarah kita juga di sarankan untuk bertakbir. Erkkk...sambil ziarah sambil takbir?. Biasanya sambil ziarah sambil menonton progrem TV dari pelbagai channel (di Malaysia). Dan lazimnya pula lagu-lagu hari rayalah yang akan berkumandang sampai nak bersembang pun dah tak sempat.

Okeylah kalau nak bertakbir tak boleh, nak bersembang pun antara dengar dengan tidak maka elok senyum saja. Ish...senyum pun tak boleh sebab masing-masing sibuk melayan sms ucapan hari raya dalam telepon bimbit masing-masing. Abang Lang dengan cara Abang Lang, Kak Ngah pulak dengan cara Kak Ngah. Jadi dengan siapa kita nak berbual?

Tiba-tiba satu word yang lazim terpacul, "Jemputlah makan." Kata tuan rumah. Selesai makan minum kalau ada anak kecil maka anak kecil akan dapat 'Cheng Pau'. (Cheng Pau ialah 'Bungkusan Hijau, ia berasal dari 'Ang Pau, yang bermaksud 'Bungkusan Merah'). Budaya kita juga telah bercampur-aduk....tapi perkara yang baik tak per...

Oleh kerana perkara yang mendatangkan kebaikan itu termasuk memberi kegembiraan untuk kekanak maka kita pun buatlah mengikut trend terkini. Lagipun takkan nak bagi minum ajer pada kekanak kan? Mereka datang ziarah biasanya kerana nak 'Cheng Pau' tu, makan tak kisah pun. Bersedekah juga adalah salah satu amalan yang mulia, tapi janganlah melampau-lampau addvertise.

Dan suboh baru kejap ni (2 Syawal 1433) sekali lagi aku dapat jawatan Muazin sebab Bilal Suboh (gelaran yang kami berikan kepada si Yunus) balik kampong pula. Alhamdulillah... kalau dah rezeki tak kemana...

Jadi dengan istilah ringkas, lakukanlah sesuatu yang dapat menggembirakan kekanak serta jiran dan kaum-keluarga kita di hari raya. Teruskan budaya ziarah-menziarahi ini kerana budaya ini di tuntut agama. Namun sering juga kita dengar sebutan dalam media elektronik menyebut kunjung-mengunjung. Perkataan 'kunjung' ni agaknya berasal dari perkataan India atau Hindu kot, kan lebih afdal kalau kita gunakan perkataan ziarah-menziarahi. Ada sesiapa yang tak setuju sila tinggalkan komen dibawah...


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan