Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Rabu, 8 Februari 2012
Sombong Bukan Akhlak Muslim
SOMBONG, bongkak, angkuh, atau takabbur mempunyai satu kategori yang sama, iaitu tergolong dari sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau keji). Sifat ini, walaupun jika terdapat unsurnya yang sedikit sekalipun ia akan mendatangkan kebencian dan kemurkaan Allah swt, malah sifat mazmumah tersebut boleh menghalang kita mendapat Syurga dan menghapuskan segala amal kebajikan kita.
Firman Allah Taala:
"Dan Tuhan kamu berfirman; Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan memperkenankannya. Sesungguhnya mereka yang sombong untuk ta'at sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina-dina" (Surah Al Ghafir: 60).
Sifat sombong atau takabbur boleh dibahagikan kepada dua bahagian;
Takabbur Zahir dan;
Takabbur Batin.
Takabbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam menghina orang yang dianggap level-nya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan releven sepanjang masa, serta tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat yang baik. Imam Al Ghazali berkata di dalam kitab Ihya'-nya, "Orang yang takabbur ialah apabila ditegur dia marah, sedangkan kalau menegur orang lain, caranya (tidak beradab) keras dan kasar".
Takabbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati yang dicela. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam as. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi Adam as sehingga menyebabkan Allah swt melaknat Iblis dan seluruh keturunannya. Oleh kerana itu, sifat mazmumah ini adalah sifat yang paling bahaya jika ia di miliki oleh manusia, kerana sifat ini merupakan sifat warisan Iblis yang akhirnya menempah neraka buat selama-lamanya.
Sombong adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pemimpin jama'ah terutamanya. Di takuti melalui tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jema'ah kerana nama jema'ah akan turut buruk. Sifat ini boleh membawa kebinasa'an kepada petugas dan pemimpin jama'ah. Kerana sifat takbur ia menjadi benteng penghalang masyarakat untuk rapat dengan dia dan jama'ah.
Orang yang takbur mereka lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah swt, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud, "Allah berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang merampas keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyeksanya". [Riwayat Muslim]
Tanda-Tanda Sifat Takabbur
1. Tidak mahu bergaul dengan orang miskin sebaliknya suka memandang berat kepada golongan kaya dan orang kenamaan.
2. Mengambil berat secara berlebihan dalam pakaian.
3. Tidak mahu berucap melainkan dalam perhimpunan yang dihadiri ramai orang.
4. Menggunakan bahasa yang payah dan berbunga dengan berlebihan sehingga sukar difahami. Inilah yang diperingat oleh Baginda Nabi Muhammad saw, "Sesungguhnya Allah benci kepada pemidato dari (golongan lelaki) yang memilih (kata-kata) dengan lidahnya seperti lembu memilih-milih (rumput) dengan lidahnya" (Sunan Abi Daud dan At Tirmizi).
5. Kagum dengan ilmu sendiri dan membodohkan orang lain.
Cara Mengubat Wabak Takabbur
Untuk mengatasi penyakit ini kita mesti bersifat tawaddhu'. Orang yang tawaduk dia hidup dengan semua kategori manusia dan bersedia menyambut semua orang, bercakap dengan semua orang, menziarahi semua orang dan mengasihi semua orang. Dia memberi khidmatnya kepada seluruh jenis manusia tanpa mengira tinggi atau rendah pangkatnya. Dia sentiasa berhubung dengan orang ramai bukan memutuskan dan menjauhi mereka.
Abdullah Ibn Masud r.a. ada menyebut dua perkara yang membinasakan manusia iaitu sikap berputus asa dan rasa bangga diri.
Sifat tawaddhu' akan membuka hati mad’u untuk tertarik dengan apa yang dibawa oleh kita. Apabila bertemu dengan orang ramai, dia yang memulakan salam dengan semua orang yang ditemuinya, bersikap sederhana ketika berkumpul dengan orang-orang fakir dalam satu majlis, makan dengan apa yang dihidangkan kepadanya, dan berjalan di atas muka bumi dengan rasa rendah hati.
Firman Allah Taala:
"Dan hamba Allah yang baik (yang diredhai-Nya); ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan (kesejahteraan)" (Surah Al Furqan:63)
Rasulullah saw turut bersabda, maksudnya, "Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawaddhu' sehingga seorang tidak merasa megah terhadap seorang yang lain, dan juga tidak bersikap melampau di antara seseorang dengan seorang yang lain" (Riwayat Muslim dan Abi Daud)
Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum di bebani dosa. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa di sebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya. Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.
kredit: Ustaz Idris Ahmad
Salam Ukhuwah..~
tokwan..
BalasPadammcm biasa...
kongsi yeap..
NINJA
No hal..~
BalasPadam