Selasa, 28 Februari 2012

Petua Kekal Slim - Percuma, Mudah Dan Berfaedah !


Apa saja nampak sedap bila puasa!

Berapa saiz pinggang seluar anda?. Saiz saya 33. Berapapun saiznya tentu kebanyakan orang akan punyai koleksi seluar yang terdiri daripada 2 saiz. Paling leceh apabila setiap setahun saiz seluar kita semakin menaik. Daripada saiz 27 pada umur 17 / 18 tahun meningkat satu demi satu sehinggalah masuk umur 40 tahun kita tak sedar saiz seluar sudah masuk 46 !. Macam mana nak pastikan saiz seluar kita kekal lama dengan hanya satu saiz!

Saya perasan 7 tahun lalu, saiz seluar saya ada 2 saiz 33 dan juga 34. Sebaik saja habis puasa ramadan saiz 33 amat ideal walaupun agak longgar sedikit, saiz 32 paling ngam. Makin lama bulan ramadan ditinggalkan makin ketat seluar bersaiz 33 itu sehinggalah hampir bula ramadan saiz 34 paling selesa di pakai.

Timbul idea kalau selepas habis bulan ramadan saya teruskan puasa, tentu saiz 34 tidak diperlukan. Kalau terus puasa setiap hari macam puasa ramadan, akan makin kecil pulak saiznya, jadi jalan keluarnya ialah dengan puasa 2 kali seminggu untuk kekalkan saiz 33.

Maka nekadlah saya pada satu hari raya puasa untuk terus sambung puasa 6 pada hari raya kedua. Habis saja puasa 6 saya teruskan pula dengan puasa sunat isnin dan khamis. Ternyata teori kekalkan saiz seluar dengan jadikan amalan puasa berkekalan tepat sekali. Sampai sekarang saiz seluar tak pernah berubah walaupun 7 tahun telah berlalu.


Apa Lagi Yang Kita Dapat Dengan Kekalkan Amalan Puasa

Yang paling mula sekali saya dapat ialah cabaran diherdik orang tua-tua bila saya jawab saya amalkan puasa isnin khamis pada orang yang tegur saya slim dan sentiasa maintain berat badan. "Kalau puasa niat nak jaga badan, ustaz kata sia-sia puasa tu". Pedas dan berdesing telinga juga pada mulanya.

Terus datang bisikan kalau begitu tak payah puasalah, sia-sia saja. Saya pekakkan telinga dan kata pada diri sendiri, kalau syaitan ingat dengan herdikan begitu saya akan berhenti buat amalan baik, dia sebenarnya silap, mampus pi lah saya tetap akan puasa.

Macam mana saya nak berlatih ikhlaskan niat puasa kalau saya tak teruskan amalan puasa itu. Biarlah saya puasa sampai mati walaupun tak berjaya ikhlaskan niat sampai ke sudah, asalkan saya ada usaha latih diri ke arah itu.

Dengan kedegilan itu saya berjaya kekal puasa tahun demi tahun. Dan mula dapat merasakan faedah lain selain dari kekalkan berat badan. Antara faedah lain adalah:

Keupayaan tidur nyenyak bila buat keputusan untuk tidur. Tak pernah berlaku lagi hari-hari tertentu seperti dulu yang mana puas berpusing kiri kanan tapi mata masih tak mau lena.

Selera makan yang baik. Latihan puasa 2 kali seminggu banyak mengajar saya nikmatnya semua benda yang dinamakan makanan, walaupun seketul "cucur kodok" (jemput-jemput pisang), nampak amat lazat sekali.

Tidak lagi memilih makanan. Setiap kali puasa semua nak dimakan, tapi latihan tubi setiap minggu membuatkan saya dapat membezakan antara nafsu dengan keperluan. Berbukalah dengan apa-apa saja yang mengenyangkan, nescaya bila dah kenyang, tak ada lagi keinginan nak sumbat perut dengan benda lain.

Semua penyakit sebelum ini hilang entah kemana dan tidak muncul-muncul lagi. Antaranya termasuklah migrain pening kepala, demam selsema panjang, batuk dan lain-lain. Dulu sebulan sekali pasti akan kena demam selsema yang bermula dengan sakit tekak dan berlarutan ke demam selsema selama seminggu. Sekarang bila tekak mula rasa sakit, pada hari rabu, selepas puasa khamis, jumaat semua hilang.

Perut buncit hilang dan menjadi rata macam zaman remaja. Nak dikatakan berketul-ketul 6 biji macam body-builder tu tak lah, tapi secukup rasa dan tak perlu risau untuk masukkan t-shirt dalam seluar.

Jimat masa dan wang sekurang-kurangnya 2 hari seminggu. Tak payah pergi makan, lepak minum dengan kawan-kawan apabila semua orang dah tahu dan tidak akan ajak saya minum pada kedua hari tersebut.

Sentiasa bersedia dengan selesa kedatangan bulan ramadan yang memang dinanti-nanti.
Mungkin banyak lagi kebaikan yang saya dapat yang saya masih belum temui lagi. Bukan untuk membangga diri, tapi sekadar untuk berkongsi moga-moga amalan sunat yang baik ini dapat membantu jiwa, akhlak serta kesihatan umat Islam kepada yang lebih hebat.

kredit: wartashubhi


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan: