Ahad, 19 Februari 2012

Main Cak-cak Dengan Adek


Masa kecik-kecik dulu Tok Wan suka main cak-cak dengan adek-adek yang masih kecil. Bila adek yang kecil tu dah besar sikit dah tak seronok main dengan dia. Mak bawa balik adek baru dari hospital. Tok tanya mak 'Mak ambil kat mana adek nie?' Mak kata, 'Ambil kat hospital'. Hampir setiap tahun mak akan bawa balik adek baru, jadi Tok Wan ada banyak peluang untuk bermain dengan adek-adek yang masih kecil.

Adek beradek Tok Wan sebenarnya ada tiga belas orang (13). Dan sebenarnya Mak tok wan dah meninggal dunia. Al Fatehah untuk arwah mak yang banyak mengajar tok wan jadi dewasa.

Semasa muda mak kawen kali pertama dengan seorang lelaki yang kemudiannya setelah mendapat dua anak lelaki mereka bercerai, mak kawen pula dengan ayah tok wan, setelah mendapat empat orang anak ayah tok wan pula meninggal, kemudian mak kawen lagi dan dapat tujuh orang anak. Jadi dalam kalangan anak-anak mak tok wan ialah anak ke enam.

Rumah kami masa tu di Jalan Travers Kuala Lumpur, rumah quaters KTM. Kalau korunk semua nak tahu lokasi tepat rumah tok wan ialah dekat tempat korunk tunggu KTM Komuter di KL Sentral tu. Itulah tapak rumah tok wan dulu. Setiap pagi buka jer pintu depan nampaklah tersergam indah bangunan Muzium Negara.

Waktu yang paling riuh dalam rumah kami ialah waktu makan malam (kira-kira jam 6.30 waktu tu, waktu sebelum jam di ubah menjadi cepat 30 minit).

Waktu itulah mak paling sibuk menyediakan pinggan makan kami adek-beradek. Masing-masing ada pinggan (pinggan tin / pinggan ayan) masing-masing. Tak puas-puas mak berleter dalam banyak hal bila masing-masing berebut pinggan atau berebut lauk. Waktu tu kami tak kesah lauk apa pun janji ada makan. Memang nak makan waktu tu agak susah, makanan jenis mewah jarang ada, yang selalu Mak buat ialah sambal tumis ikan bilis.

Dalam sibuk-sibuk makan tu sempat juga mak bersuara lagi. "Jangan pukul orang tengah makan". Itu ayat yang selalu mak pesan. Ketika kanak-kanak tok dan adek beradek sering bergaduh. Kadangkala ketika makanpun bergaduh lalu terlepaslah pukulan rambang "kedebuk!" kena belakang ketika tengah suap makanan ke dalam mulut. Apa lagi tersedak dan tersembul keluar nasi dari mulut.

Bila dah dewasa ni baru tok perasan ada hikmah dari larangan mak itu.

Perbuatan pukul orang ketika makan merupakan pantang mak. Siapa yang langgar pantang tersebut alamat cari nahas yang amat besar. Bukan saja sesama adik beradik. Siapa saja yang nak rotan anak yang tengah makan akan ditegah oleh mak. Sampai dah tua sekarang ini tok wan bila melihat orang yang tengah makan mendatangkan satu perasaan syahdu dan belas yang amat sangat kepada orang yang tengah makan tersebut.

Budak atau orang dewasa atau orang tua, seburuk manapun perangainya yang membuatkan kita meluat pada individu tersebut, apabila melihat dia sedang menyuapkan makanan ke dalam mulutnya akan menyebabkan perasaan meluat pada orang itu hancur luluh. Terus timbul perasaan belas dan kasih pada orang yang tengah makan.

Tok percaya jiwa kita akan terbentuk menjadi jiwa yang pemaaf dan lembut.

Patut lah orang tua-tua dulu kata waktu makan tak baik marah-marah atau pukul memukul antara adek beradek maupun orang lain. Waktu tak makan sebelah petang ketika cuaca redup elok kita main cak-cak lagi dengan adek kita, jikalau adek dah besar-besar mainlah dengan anak-anak, kalau anak pun dah besar-besar elok main dengan cucu pula. Kalau semua pun takder mainlah dengan anak jiran.

Semuga kita semua menjadi insan yang pemaaf dan lembut hati sanubari.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan