Selasa, 1 November 2011

Siapakah Yang Akan Memikulnya


Aku didapati bersalah kerana berzina dengan seorang perempuan beragama Budhha. Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman denda RM 2000 atau penjara 2 bulan. Aku memilih untuk membayar denda tersebut. Dua ribu ringgit tu apalah nak diherankan sangat. Wang aku ada banyak, kapal dilaut gedung didarat bak kata Haji Bakhil dalam filem Labu Labi dulu.

Tapi...err...dapatkah mahkamah syariah membela aku di Padang Masyar nanti dan tolong lepaskan aku dari seksa akibat dosa berzina itu?

Aku harap begitulah sebab aku telah dibicarakan dalam Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Tapi kalau aku disoal sekali lagi aku akan membela diriku sendiri dan mengatakan bahawa didunia dulu aku telah pun membayar denda tersebut yang seumpama Hukum Takzir yang Allah tetapkan dan dengan membayar nilai RM 2000, jadi kenapa aku nak didakwa lagi. Ini betul-betul sesuatu yang tidak adil.

Sepatutnya Hakim Mahkamah itulah yang kena pikul dosa aku. Kalau hakim taknak pikul dosa aku bermakna Mufti negerilah atau Ulamak yang sepatutnya memikul dosa aku. Kesian pada Para Ulamak serta Mufti di negeriku ini. Mereka terpaksa memikul terlalu banyak dosa yang dilakukan oleh begitu banyak Muslimin dan Muslimat. Banyak dosa yang lahir dari perbuatan zina, meminum arak, berjudi, pendedahan aurat yang melampau-lampau dijalan raya, di pusat membeli belah, didalam televisyen dan dalam majalah. Bahkan berada di serata tempat.

Ya Allah...jikalau zuriatku turut bijaksana menuntut ilmu sehingga Universiti Al Azhar, menuntut ilmu dalam hal-hal hukum Mu, aku pinta jangan Kau biarkan mereka menjadi Mufti atau Ulamak kerana dosa yang harus mereka tanggung sangat banyak. Dan jangan biarkan zuriatku menjadi pemimpin negeri, mana-mana negeri dalam negara ini. Biarlah zuriatku menjadi rakyat biasa seperti aku yang masih mempunyai masa untuk menulis dalam blog ini.

Ya Allah Ya Tuhan Yang Mentadbirkan Sekelian Alam...jika aku memilih untuk menerima hukuman rotan 100 rotan pasti aku akan terlepas dari seksa diakhirat nanti. Dan sudah pasti Tuan Hakim serta Mufti negeri dan Para Ulamak tidak perlu memikul dosa sesiapa lagi.

Aku sedar bahawa Engkau Maha Adil...tapi manusia dinegeri yang aku hidup ini tidak mahu menjalankan perintah hukuman seperti yang Engkau tetapkan. Para Pemimpin dinegeri ini masih berbalah tentang itu ini.

Aku pernah membaca dalam kitab yang Engkau kirimkan kepada Junjungan besar kami, Nabi Muhammad saw bahawa pada ketika kejadian ketika bumi digegarkan dengan gegaran yang kuat, sebahagian mereka masih berbalah tentang perkara dunia.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim...ampunilah dosa aku, dosa kedua ibubapaku, dosa sekelian Muslimin dan Muslimat samaada yang masih hidup maupun yang telah mati. Jauhilah kami dari siksa kubur, jauhilah kami dari siksa api neraka. Hindarilah kami dari fitnah manusia dan hindarilah kami dari fitnah dajjal.

Selawat serta salam kepada junjungan besar kami Nabi Muhammad saw serta para keluarganya. Amiinn...


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan