Ahad, 3 Julai 2011

Slogan di Mulut, Hakikatnya Bagaimana?


Pernah dengar slogan ini?



Allah ghoyatuna (Allah tujuan kami)



Ar-Rasul qudwatuna (Rasul teladan kami)



Al-Quran dusturna (Al-Quran panduan kami)



Al-Jihad sabiiluna (Jihad jalan kami)



Al-Mautu fi sabilillah asma amanina (syahid cita tertinggi kami)



Inilah slogan yang sering kita laungkan tanda ke'izzahan seorang muslim. Tapi praktikalnya bagaimana? Hanya diri sendiri mampu merungkai persoalan ini berdasarkan Iman dan Taqwa seseorang.



01. Kita mengatakan bahawa Allah matlamat kami. Jadi, setiap kali Doa Iftitah, kita perbaharui perjanjian kita dengan Allah:

"inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamaati lillahi rabbil 'aalamin"

Maksudnya: Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya pada Allah



Tetapi hakikatnya? Jawablah dengan hati yang jujur.



Mengapa sering kita lewatkan solat apabila bertemu dengan kepentingan peribadi sedangkan kita tahu bahawa solat adalah penghubung antara kita dengan Allah?



Mengapa nikmat pancaindera sering kita gunakan untuk tujuan yang sia-sia dan untuk tujuan maksiat?



Mengapa mata ini sering memandang pada perkara yang haram?



Mengapa telinga ini sering mendengar perkara haram dan lagha?



Mengapa lidah ini sering berkata dusta, mengumpat dan berkata yang sia-sia?



Mengapa lidah ini sentiasa berat untuk berzikir pada Allah?



Mengapa diri ini sering mengeluh apabila ditimpa kesusahan sedangkan kita tahu bahawa ujian itu dapat menghapuskan dosa lalu dan tingkatkan darjat orang yang beriman?



Mengapa kita tidak redha dengan ketentuan yang diberikan-Nya seolah-olah kita tidak yakin dengan qada' dan qadar Allah?



Mengapa diri ini mengaku ikhlas beramal, tetapi masih suka akan pujian manusia?





MENGAPA DAN MENGAPA?



Tanya pada diri dan rungkaikan persoalan itu dengan amal. Sesungguhnya, Allah telah berfirman dlm surah al-Imran ayat 31:

"Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku (ikut perintah-Nya, tinggalkan larangan-Nya, cari redhaNya).



Terkesan dengan kata-kata Ibn Ato'illah dalam kitab Hikam:

"iza arodta an ta'rifa qodroka 'indahu, fanzur fi maza yuqimuka".

Maksudnya: Jika kamu mahu tahu martabatmu di sisi Allah, maka lihatlah sejauh mana kamu letakkan Allah dalam hatimu".



Sejauh mana kita mampu letakkan kebesaran Allah dalam diri, itulah dia martabat kita di sisi Allah.



Contohnya: Kita tahu bahawa Allah Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Menghitung, tapi kita tetap buat juga maksiat pada Allah, seolah-olah kita tak endahkan Allah, BERERTI KITA JUGA TIDAK DIPEDULIKAN ALLAH..



Jom teliti syair Rabiatul Adawiah:

Engkau derhaka,

Tapi mengaku cinta pada-Nya,

Inilah keanehan zaman,

Jika benar engkau cinta,

Tentulah kau mentaati-Nya,

Kerana selalu,

PENCINTA AKAN TAAT PADA KEKASIHNYA.



02. Kita mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w teladan kami. Kami cinta Nabi. Kami sayang Nabi. Tapi hakikatnya bagaimana?



Adakah kita telah khatam sirah hidup Nabi Muhammad s.a.w?



Bagaimana kita boleh mengaku cinta Nabi sedangkan sirah hidup Baginda, banyak yang kita tak tahu?



Jika cinta itu ada, pasti banyak yang kita tahu tentang dirinya kerana tak kenal, maka tak cinta.



Apakah benar kita cinta Nabi dengan sebenar-benar cinta?



Berapa kali kita selawat pada Nabi dalam sehari?



Apakah kita mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian?



Ibrahim Adham ada mengatakan bahawa salah satu tanda hati mati ialah:

"Kamu mengaku cintakan Rasulullah, tapi kamu abaikan sunnah Baginda".



Mengapa sering sahaja kita berasa malu untuk melakukan kebaikan kerana takut dipandang 'lain' oleh teman-teman sekeliling?



Malu utk membaca al-Quran di tempat awam, malu utk berpakaian sunnah, malu jika dikatakan 'warak'?



Sedangkan Allah telah berfirman:

"Janganlah kamu berasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman." [al-Imran:139]



Sesungguhnya, para sahabat Nabi dahulu amat bangga dengan agama ini. Saidina Umar tidak malu dan tidak takut untuk mengumumkan ke-Islamannya, Tsumamah bin Usal tidak malu untuk bertalbiah dengan kuat di hadapan Quraisy Mekah sewaktu mengerjakan umrah, dan banyak lagi kisah para sahabat Baginda yang dapat kita ambil iktibar.



Ingatlah, Mustafa Masyhur ada mengatakan: "Kita perlu berasa 'izzah (mulia) dengan Islam kerana ia dapat mendorong kita beramal dan berusaha untuk mendalami Islam".



Jadi, usah takut, usah malu: SAMA-SAMA KITA BAWA IMEJ ISLAM PADA SAHABAT-SAHABAT SEKELILING. Biarlah mereka pandang kita pelik kerana bukanlah pandangan manusia itu yang kita cari, tapi pandangan Allah itu lebih utama.



03. Kita mengatakan bahawa al-Quran panduan kami. Tapi hakikatnya?



Berapa banyak masa kita peruntukkan untuk membaca al-Quran dalam sehari berbanding masa kita bersama laptop atau hanset?



Apakah kita beramal dengan hukum hakam di dalamnya?



Apakah kita kasih pada al-Quran sebagaimana kita sayangkan laptop, hanfon ?



Mengapa kita lebih suka tidur selepas Subuh berbanding membaca al-Quran?



Mengapa kita lebih suka mendengar lagu berbanding mendengar kalam Allah?



Mengapa kita lebih suka mendendangkan lagu yang melalaikan hati berbanding mentadabbur al-Quran yang dapat mendekatkan diri dengan Allah?



Apakah kita beriman dengan kesuluruhan isi al-Quran?



Di mana al-Quran di hati kita?



Tepuk dada, tanya Iman. Andai sebelum ini kita sering mengabaikan al-Quran, ayuh mula berdamping dengannya.



Andai selama ini kita sering tinggalkan al-Quran di atas meja tanpa terusik, jom kita tadabbur maknanya.



04. Kita sering mengatakan jihad jalan kami. Imam Ibn Qayyim mengatakan bahawa jihad itu ialah jihad melawan nafsu, jihad untuk beramal dengan apa yang diketahui, dan jihad bersabar di atas bebanan amalan tersebut.



Tetapi hakikatnya bagaimana?



Di tahap manakah jihad kita??



Mengapa kita sering utamakan nafsu berbanding tuntutan agama?



Mengapa kita masih susah untuk jihad melawan nafsu tidur untuk bangun qiamullail?



Masih terasa berat untuk solat berjema'ah di surau?



Malas untuk korbankan masa dan tenaga pergi ke majlis ilmu?



Apa sebenarnya jihad yang mampu kita lakukan demi meraih Syurga Allah?



Kita tidak mampu menderma banyak wang untuk Islam, kita tidak mampu pergi berjuang di Palestin melawan tentera Israel. Kita tak mampu bangun qiam setiap malam.



Jadi, apa yang kita mampu sebenarnya? Muhasabah diri, perbetulkan peribadi. Sesungguhnya, jihad ini memerlukan semangat muslim pejuang, bukan sekadar duduk sahaja tanpa turun berdakwah dan amar ma'ruf nahi mungkar.



Firman Allah:

"Berangkatlah kamu baik dgn rasa ringan mahupun rasa berat, dan berjihadlah dengan hartamu dan jiwamu di jalan Allah." [at-Taubah:41]



Jadi, ayuh persiapkan diri dan minda untuk berdepan dengan segala kerenah dalam perjuangan kerana sesungguhnya, dalam jihad ini, seorang Mukmin akan berdepan dengan lima dugaan iaitu

* Orang mukmin yang benci padanya
* Orang munafiq yang benci padanya
* Orang kafir yang mahu memeranginya
* Syaitan yang hendak menyesatkannya
* Nafsu yang sentiasa bertarung dengannya.





05. Kita sering mengatakan mati syahid cita-cita tertinggi kami.



Tapi hakikatnya bagaimana?



Apa amalan kita untuk memburu syahid tersebut?



Apakah kita sudah menjadikan jihad sebagai komitmen harian kita dan syahid sebagai cita-cita tertinggi kita?



Semua punya cita-cita seperti Khalid al-Walid. Dia ingin jika suatu saat nanti Allah memanggilnya, dia bukan berada di atas tempat tidur , tetapi dia ingin mati ketika sedang menjalankan amanah dakwah.



Tetapi kita, berkorban masa sekejap untuk jalankan amar ma'ruf nahi mungkar pun kita tidak sanggup kerana fikirkan study dan exam.



Bagaimana agaknya kita ingin memasang cita setinggi ini? Ia umpama seperti orang yang bercita-cita untuk miliki sebuah istana besar, tetapi dia tidak pernah berusaha dan bekerja untuk mendapatkanya. Apakah dia dapat mencapai impiannya itu?



Jadi bangkitlah sahabatku pendokong Islam. Bukan sekadar berdakwah dalam facebook dan blog, malah kita turun padang menyaksikan sendiri bagaimana tenatnya umat Islam sekarang, terutama kondisi sahabat-sahabat kita di kampus dengan masalah sosial, tidak tutup aurat, dating, mencuri dan banyak lagi.



Syeikh Amjad Azzahrawi ada menyebut bahawa: "Dunia hari ini sedang terbakar, wajib ke atas setiap muslim untuk mencurahkan air walau sedikitpun untuk memadamkan kebakaran tersebut."



Sahabatku pendokong Islam,

Penerus mata rantai perjuangan Rasulullah,

Sesungguhnya jalan yang dipilih ini,

Bukanlah setenang air di kali,

Malah penuh dengan onak dan duri,

Tambah dengan virus dunia,

Kadang tersadung, kadang berdarah,

Sering juga kita terluka,

Malah pernah bersilang kata,

Tapi usah biarkan ia menodai ukhuwah kita,

Malah jadikanlah ia sebagai wasilah,

Untuk mematangkan diri kita,

Sahabatku pendokong Islam,

Di sebalik kepayahan pasti terselit kesenangan,

Di sebalik musibah pasti ada hikmah,

Walau perjuangan ini tidak dibentangkan hamparan mewah,

Namun bukan keindahan sementara ini yang kita impikan,

Tapi nun jauh di sana yang ABADI nan HAKIKI.

Ya Allah,

Berikan kami kecekalan, ketabahan dan keyakinan,

Seperti mana para sahabat dan awliya',

Di kala kami diuji dalam tarbiyyah-Mu,

Sesungguhnya syahid yang kami impikan,

Syurga kami idamkan,

Dan redha-Mu terhadap kami,

Janganlah Kau biarkan kami,

Dibelenggu dan dicengkam nafsu kami sendiri.


kredit: solihah



Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan