Khamis, 21 Julai 2011

Mengapa Hati Terhijab ?


Hati, mempunyai kebolehan memandang dan mengenal sesuatu, merasa senang susah, lahir atau ghaib khususnya Allah SWT. Inilah kelebihan manusia daripada haiwan-haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan Allah. Ini difirmankan Allah:

Terjemahannya: Apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka.
(Al AnfaaI: 2)

Hati yang terang-benderang begini dimiliki oleh para 'ariffin, muqarrobin dan solehin. Hati mereka nampak dan kenal betul sifat-sifat keagungan Allah. Sebab itu mereka dapat benar-benar menghambakan diri kepada Allah SWT. Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak nampak dan tidak kenal Allah. Ini juga ada difirmankan oleh Allah SWT:

Terjemahannya: Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu benar sama seperrti orang yang buta (mengetahui) ? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran.
(Ar Ra'd: 19)

Firman Allah lagi:

Terjemahannya: Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang lalai.
(An Nahl: 108)

Begitulah hati orang-orang kafir dan munaflk yang menyebabkan mereka menolak kebenaran. Walaupun kita umat Islam, hati kita juga masih buta. Buktinya ialah kita masih tergamak membuat dosa (kecil atau besar). Orang yang masih buat dosa ialah orang yang tidak takutkan Allah. Orang yang tidak takutkan Allah ialah orang yang tidak kenal siapa Allah. Tidak kenal Allah ialah lantaran kerana hati telah buta.

Sabda Rasulullah SAW

Terjemahannya: Sesungguhnya seorang mukmin apabila melakukan dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya, maka jika dia bertaubat dun berusaha membuangnya selamatlah hatinya, dan kalau bertambah dosanya bertambahlah terkunci hatinya.

Kalau mata kita buta, kita tidak dapat melihat, tidak mengenal malah tidak dapat berjalan lagi. Begitulah kalau hati buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi. Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, seksa kubur, dan lain-lain lagi. Dan bila amalan itu tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati. Firman Allah:

Terjemahannya: Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.
(Al Baqarah: 10)

Mereka akan terseksa di dunia dan di Akhirat. Di dunia mereka kecewa, putus asa, keluh kesah, tidak tenang. Di akhirat lagi pedih. Antara penyakit hati yang Allah maksudkan itu ialah hasad dengki, dendam, buruk sangka, tamak, gila dunia, bakhil, pemarah, penakut, riak, ujub dan sombong.

Langkah pertama yang wajib diambil untuk mengubat penyakit hati kita ialah mengubat hati yang buta itu. Bila hati tidak buta lagi penyakit-penyakit hati lainnya akan hilang dengan sendirinya. Kalau mata buta, kita pergi ke pakar mata. Mungkin dicuci, dibedah dan sebagainya. Kalau hati yang buta, kita kenalah membuat rawatan yang sesuai pula untuknya.

Untuk itu mari kita lihat dulu apakah sebab-sebab hati terhijab? Antaranya adalah memakan makanan haram dan makanan syubahat, sama ada sedar atau tidak.

Bersabda Rasulullah SAW bermaksud:

Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan.

Hati kita ialah seketul darah yang mengandungi sel-sel darah merah dan zat-zat besi. Sel dan zat-zat itu datangnya daripada makanan yang kita makan. Kalau makanan kita bersih (halal mengikut syariat Islam) maka sel dan zat itu juga bersih maka hati kita juga turut bersih. Sebaliknya kalau makanan yang kita makan itu
kotor (haram dan syubahat) sama ada benda itu haram atau duit yang digunakan untuk membelinya haram maka sel dan zat-zat besi, zat-zat yang membina hati itu kotor, busuk dan gelap.

Hati seperti wadah yang terdedah. Hati yang kotor tidak akan menerima taufik Allah sebab Allah tidak akan beri taufik dan hidayah kerana taufik itu sangat tinggi harganya. Umpamanya, kita tidak akan memasukkan makanan ke dalam pinggan yang kotor. Bila hati tidak boleh nampak kebenaran, tidak terasa kebesaran, kehebatan, kasih sayang, didikan dari Allah, tidak terasa anugerah Allah, penjagaan Allah, pengawasan Allah, pembelaan Allah (intisari Islam ialah rasa zauk. Kalau hati tidak merasa, maka kita tidak dapat hidayah dan taufik lagi) maka jadilah kita orang yang sesat dan sentiasa terlibat melakukan maksiat dan mungkar.
Bersabda Rasulullah SAW:

Terjemahannya: Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.
(Riwayat: Al Bukhuri & Muslim)

Firman Allah:

Terjemahannya: Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.
(Al Maidah: 88)

Periritah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan kita sedar ianya haram maka kita akan berdosa di samping hati kita turut gelap. Tetapi kalau makanan yang haram dan syubahat itu kita makan, tanpa diketahui ianya haram dan syubahat maka tidak berdosa tetapi hati kita yang terbina dari makanan itu tetap akan gelap.

Atas dasar inilah Sayidina Abu Bakar Al Siddiq mengorek balik hingga muntah-muntah makanan yang telah ditelannya setelah dia tahu yang makanan itu sumbernya adalah syubahat. Amirul Mukminin itu cukup takut kalau-kalau makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu kerana bimbang kalau-kalau ada saki-baki makanan yang tinggal dalam perutnya, maka beliau pun berdoa: "Ya Allah, jangan Engkau bertindak atasku akan apa yang telah jadi darah dagingku. "
Begitu Sayidina Abu Bakar menjaga hatinya. Sebab itu hatinya jadi terang-benderang. Jadi, tidak hairanlah beliau cukup kuat keyakinan dengan Allah. Rasulullah SAW sendiri memuji beliau dengan sabda baginda:

Terjemahannya: Kalau ditimbangkan iman Abu Bakar dengan iman seluruh manusia kecuali Nabi dan Rasul nescaya dia masih lebih

Imam Nawawi semasa hidupnya tidak makan buah-buahan di Damsyik kerana merasakan syubahat. Dia menjaga hatinya. Hati yang terang-benderang akan mempunyai basirah (pandangan batin) yang tajam yang dapat menembus alam ghaib dan alam kerohanian. Bila alam ghaib yang hebat itu ternampak oleh kita maka alam benda ini sudah tidak bererti apa-apa. Bandingannya begini:

Katakanlah suatu hari kita dijemput menjadi tetamu raja maka masuklah kita ke istana. Di sana kita akan dilayan dengan layanan istimewa, dengan pakaian dan makanan, peralatan dan perhiasan yang tidak pernah kita jumpa. Alangkah gembiranya dan rasa-rasa tidak mahu balik lagi ke kampung kita. Sebab kampung kita sudah tidak berharga apa-apa lagi dibandingkan dengan kehidupan indah di istana. Begitulah keadaan mereka yang nampak kehebatan alam ghaib, alam yang ada ini sudah tidak berharga lagi. Kerana itulah Sayidina Abu Bakar r.a boleh mengorbankan semua harta bendanya kepada jihad fisabilillah hingga tiada apa-apa lagi untuk anak isterinya.

Beliau mahu menebus kehidupan di alam ghaib yang maha hebat itu dengan menggadaikan seluruh harta benda dunia yang murah ini. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain dan mujahid-mujahid Islam semuanya, telah mereka korbankan dunia yang sedikit ini untuk membeli kehidupan akhirat yang agung di alam baqa nanti.
Firman Allah:

Terjemahannya: Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mukmin, diri dan harta mereka dengan (harga) Syurga untuk mereka.
(At Taubah': 111)

Mari kita ubati hati kita dengan mengelak dari memakan yang haram. Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah:

- Jangan makan benda yang zatnya jelas haram seperti arak atau makanan yang dicampur arak atau daging yang tidak disembelih.

- Jangan makan makanan yang bernajis sama ada sifatnya najis (kerana dibuat dari bahan yang tidak halal) atau kerana cara menyucinya tidak betul yakni tidak menurut syariat, menjadikan ia tetap najis (tetap tidak halal).

- Jangan makan daging sembelihan yang tidak halal dan pembersihannya tidak menurut syariat.

- Jangan makan makanan yang dibeli dengan duit yang haram (sekalipun makanan itu halal). Duit yang haram adalah seperti rasuah, duit riba, duit curi dan tipu.

- Jangan kita makan dari usaha yang haram seperti riba, pelacuran, judi, nombor ekor dan lain-lain.

Adapun makanan syubahat ialah makanan yang kita ragui halal atau haram dan duit syubahat ialah duit yang sumbernya kita ragui halal atau haram. Kedua-dua makanan dan duit yang syubahat itu wajib dielakkan supaya kita berpeluang memperolehi kejernihan batin untuk mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya.

Hari ini banyak makanan di kedai-kedai makanan yang menulis perkataan "HALAL" dan "ISLAM" untuk tanda perniagaan mereka. Kita harus hati-hati juga sebab musuh Islam telah melacurkan kata "HALAL" dan "ISLAM" itu untuk keuntungan perut dan poket mereka sahaja. Mereka tidak langsung takut pada Allah dan tidak ingin untuk mencari keredhaan-Nya. Makan makanan yang halal tetapi berlebihan juga satu lagi faktor penentu kepada corak hati kita. Sabda
Rasulullah SAW:

Terjemahannya: Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Allah benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib. Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja). Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat. Atas dasar inilah para solafus-soleh hanya sedikit makannya.

Rasulullah SAW selalu berlapar perut. Baginda pernah meletakkan batu di perut dan kemudian mengikat perutnya dengan kain agar dengan itu tidak terasa kekosongan perut yang memang kosong. Baginda jarang kenyang. Tiga hari berlapar, satu hari kenyang. Dan selalunya satu hari baginda berpuasa, satu hari berbuka.Nabi Sulaiman a.s yang kaya-raya itu juga begitu hidupnya. Selalu berpuasa dan kalau makan hanya roti kering dan air sejuk. Nabi Yusuf a.s ketika menjadi menteri Mesir pun sehari puasa sehari berbuka. Bila ditanya mengapa baginda berbuat begitu, jawabnya, "Di hari aku lapar, aku dapat merasa aku adalah hamba yang memerlukan pertolongan Allah. Di hari aku kenyang aku dapat bersyukur pada Allah SWT yang memberikan rezeki."

Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrobin dan orang-orang soleh. Mereka berjuang dengan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina. Dan cara hidup mereka itulah yang wajib kita contohi. Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang sentiasa mengajak kita lalai dari Allah.

Mari kita ubati hati kita dengan cara mengurangkan makan. Antara langkah-langkah praktik yang mesti diambil untuk mengurangkan makan ialah:


1. Hidangan makanan kita janganlah lebih dari dua jenis lauk. Ini adalah amalan Sayidina Umar. Beliau tidak makan lebih dari dua jenis lauk. Sebab bila lauk sudah bermacam-macam jenis, nafsu kita tambah besar untuk merasa semua jenis lauk.

2. Makanan itu biarlah sederhana, jangan terlalu sedap. Sebab kalau terlalu sedap kita tidak mampu mengawal nafsu dari makan lebih.

3. Jangan simpan berbagai lebihan makanan dalam rumah, sebab bila ada makanan kita sentiasa berfikir untuk makan. Sebaliknya kalau tidak ada simpanan makanan, nafsu kita tidak akan mengajak kita fikir makan sahaja.

4. Cuba banyakkan puasa sunat seperti di hari Isnin dan Khamis atau paling kurang tiga hari dalam sebulan.

Harus difahami bahawa langkah-langkah di atas ialah untuk membersihkan hati dan membuatkan hati kita terasa kita hamba Allah yang lemah dalam serba-serbi hal kita. Pandangan dan Pendengaran yang Haram Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: "Duri mata turun ke hati." Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati. Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya. Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran itu.

Hati yang sentiasa menerima pandangan dan pendengaran yang mungkar ialah hati yang gelap pekat, buta dari melihat keagungan Allah. Hati itu tidak lagi takut pada Allah, malah hilang cinta dan rindu pada Allah SWT. Saya rasa kita semua tentunya ada pengalaman sendiri terhadap perkara ini. Kalau setiap hari hati kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa. Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program TV, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu pop, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lagi rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa Akhirat.

Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi. Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran. Allah berfirman:

Terjemahannya: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercantum (benih) yang akan Kami mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami menjadikan dia mendengar dan melihat.
(Al Insaan: 2)

Tujuan Allah memberi kita mata dan telinga ialah untuk mencari dan mengenal pencipta kita iaitu Allah SWT. Kemudian supaya kita sedar diri untuk berbakti dan menurut perintah-Nya.

Firman-Nya:

Terjemahannya: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.
(Adz Dzaariyat : 56)

Kita mesti merasai diri kita sebagai hamba dalam melaksanakan perintah suruh dan larang daripada Allah. Yang penting ialah rasa kehambaan itu. Hidup bukan untuk dunia tetapi hidup untuk Allah dan untuk mencari bekal kembali ke Akhirat.Untuk tujuan ini kita dikurniakan Allah pendengaran dan penglihatan. Gunakanlah kedua-duanya sebaik mungkin sebagai alat untuk sampai ke matlamat yang diredhai-Nya.


kredit: kawansejati


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan: