Jumaat, 29 April 2011

Dunia Ibarat Kebun Ibadah (tempat menanam amal soleh)


KEHIDUPAN manusia akan berakhir dengan kematian. Panjang mana sekalipun umur seseorang akan ada titik tamatnya dan seterusnya kita akan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.


Dunia umpama ladang akhirat dan dunia juga adalah simulasi akhirat.


Demikian peringatan buat manusia beriman dan kita mesti yakin dengan sebenar-benar yakin bahawa setiap amal perbuatan di dunia akan diberikan ganjaran di akhirat nanti. Besar atau kecil amal seseorang semua dihitung.

Siapa pun kita, pemimpin atau rakyat, raja atau hamba sahaya semua akan ‘pergi’ menghadap Yang Maha Esa. Jadi apakah bekalan yang kita bawa untuk dipersembahkan nanti?


Oleh itu, kita hendaklah menjadi mukmin cemerlang di dunia. Cemerlang dari segi akhlak. Cemerlang dalam lapangan ilmu pengetahuan. Cemerlang dengan amal ibadah dan amal soleh.

Ini kerana kecemerlangan dalam hakikat sebenar yang berpaksikan keimanan, ketakwaan dan menyusuri alur agama akan memberikan impak besar di akhirat nanti.

Dengan itu, selagi kita bernafas dan kudrat yang dipinjamkan Allah kepada kita ini masih bertenaga maka pergunakanlah ia untuk mengumpul perbendaharaan akhirat. Maksudnya melakukan segala amar makruf dan nahi mungkar.


Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan kepada kita yang katanya,
“Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, kelapangan sebelum sibuk, hidup sebelum mati.’ (Hadis riwayat Hakim).


Ini adalah pesanan terbaik buat umat manusia. Peringatan supaya kita tidak lalai dengan nikmat kerana sifat manusia cepat lupa dan terlalu ghairah dengan dunia sehingga pesanan Nabi s.a.w ini kita pandang remeh saja.

Bak kata orang tua ‘Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.’

Sebab itulah Nabi s.a.w menyentuh lagi soal kelalaian manusia ini sebagaimana terdapat dalam sabda Baginda yang bermaksud,

“Dua nikmat yang manusia terpedaya dengannya, iaitu sihat dan kelapangan.” (Hadis riwayat Bukhari).

Memang tepat apa yang Nabi s.a.w kata kerana sudah menjadi lumrah bagi sesetengah manusia mudah dihanyutkan oleh waktu sihat dan masa lapang. Sedangkan kedua-duanya adalah nikmat Allah yang sepatutnya kita gunakan anugerah tersebut dengan pengisian amal ibadah dan amal soleh. Alangkah beruntungnya orang yang dapat melalui kehidupan dengan amal ibadah dan amal soleh sehingga ke akhir hayat.

Ini kerana bekalan yang penuh berisi dengan ganjaran pahala itu akan menjadi bekal diri bagi menghadapi detik cemas di akhirat nanti. Ingatlah, duka dunia duka sementara tetapi sengsara akhirat kekal selamanya. Jadi, isi kehidupan dengan amal menggunung dan pahala melangit.

Sekali lagi marilah menghayati wasiat Rasulullah s.a.w yang ditujukan buat kita semua dalam melayari kehidupan dunia.

Sabda Baginda,
“Seseorang yang meninggal diikuti (dihantar) oleh tiga hal. Maka dua hal pulang dan tinggallah satu. Dia dihantar keluarganya, hartanya dan amalnya. Maka keluarga dan hartanya pulang dan tinggallah amalnya.’ (Hadis riwayat Bukhari).

Inilah hakikat yang mesti semua manusia akui. Harta menimbun sekalipun semua akan kita tinggalkan. Ramai anak pun, semua kita tinggalkan. Hanya amalan yang kita bawa bersama memasuki liang lahad.

Apakah ini masih tidak menginsafkan kita? Apakah kita masih mahu terus dibuai keghairahan dunia sehingga lupa kepada ‘pelabuhan’ terakhir kita iaitu akhirat?

Jadi, kita sebagai mukmin yang beriman kepada Allah seharus menyeimbangkan kedua-duanya, dunia dan akhirat. Dunia dikejar tetapi akhirat tetap tidak dilupai.

Dalam hal ini, Allah ada mengingatkan kita sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud,

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.”

Inilah panduan Allah kepada kita supaya mengambil dunia untuk mendapat pahala dan bukannya mengambil dunia dengan mengisi dosa! Di sini juga ada baiknya kita merenungi mutiara hikmah Saidina Ali Abi Talib sebagai pembuka mata hati menginsafi diri.

Kata Saidina Ali,

“Seharusnya mereka yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan di dalam tiga perkara; berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram.”

Jadikanlah pesanan ini sebagai perisai pembenteng diri dalam memacu ketulenan roh keimanan dan insya-Allah ketiga-tiga perkara itu memandu setiap insan mukmin ke mercu kegemilangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Justeru, binalah diri kita sebagai mukmin setiap hari dan setiap masa supaya memenuhi ruang lingkup penghidupan dengan perkara bermanfaat berteraskan syariat beragama yang luhur. Budayakan diri dengan amar makruf dan nahi mungkar, biasakan diri dengan beramal kebajikan untuk kesejahteraan ummah.

Inilah landasan yang membawa bekalan pahala buat kita. Allah berfirman melalui Surah An-Nisa’ ayat 40 bermaksud,

“Sesungguhnya Allah tiada menzalimi seberat zarahpun kalau ada (yang mengerjakan) satu kebaikan, nescaya Allah akan melipat- gandakannya dan memberikan daripada sisi-Nya pahala yang besar.”

Kita susuri lagi Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 115, Allah memberi jaminan pahala buat insan yang melakukan kebaikan di dunia.



Firman Allah,

“Apa- apa kebaikan yang mereka buat, nescaya tiadalah dikurangkan pahalanya dan Allah Maha Mengetahui orang- orang yang bertakwa.”

Yakinlah dengan jaminan Allah ini. Imam Ibnu Taimiyah mengingatkan kita dengan katanya, “Sangat berbeza antara yang menjadikan agama sebagai tujuan dan dunia sebagai sarana, dengan orang yang menjadikan dunia sebagai tujuan dan agama sebagai sarana. Orang yang kedua inilah yang tidak mempunyai bahagian apa- apa di akhirat.”

Oleh yang demikian, bersama-samalah kita menjadikan dunia yang kita diami ini sebagai kebun buat beramal ibadah dan beramal soleh dengan satu visi mengumpul dana akhirat dan menjadikan segala gerak laku kita sesuatu yang bermanfaat dan berpahala di sisi Allah.

kredit: ct nafisa


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan