Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Sabtu, 12 Februari 2011
Ramai suami tak berilmu?
Assalamualaikum warahmatullah,
Sebelum anda marah dengan tajuk di atas, baik anda baca sehingga habis artikel yang saya petik ini. Selalunya saya tidak berapa minat membaca artikel DCCK* kerana isinya lebih kurang sama dan balik-balik berkisar tentang rumahtangga yang suami tidak bertanggungjawab dan lain-lain. Kali ini kisahnya sedikit berlainan daripada biasa dan saya rasa memang PATUT saya kongsikan di sini untuk tatapan saya sendiri, adik-beradik saya, keluarga saya, teman-teman blogger dan para pengunjung blog juga.
Menurut Norazman dalam emelnya, dia memberi respon dan contoh kepada beberapa kisah yang memaparkan kesulitan hidup kebanyakan wanita setelah suami mereka meninggal dunia, contohnya hak atas harta pusaka. Saya bukanlah seorang yang arif dalam hukum-hakam Islam, namun pada pandangan saya segala permasalahan yang timbul dalam masyarakt kita dan rumahtangga hari ini berpunca daripada pegangan agama kita sendiri. Kerana kita mengamalkannya secara sekerat-sekerat, mengikut apa yang kita suka dan kita merasa senang.
Kita mungkin segera terbayang apabila seseorang lelaki Muslim meninggal dunia secara spontan kita terfikir betapa susahnya kehidupan isteri atau balu dan anak-anak yang ditinggalkan. Kesulitan dari segi material mahupun psikologi. Tetapi sebenarnya kita lupa bahawa apabila berlaku kematian contohnya si suami, maka segala harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala wasiat dan hutangnya, maka baki harta tersebut wajib dibahagikan mengikut hukum faraid dan si balu termasuk golongan yang mendapat bahagiannya walaupun paling paling sedikit (kecuali jika ada pihak yang rela melepaskan haknya dan diberikan kepada si balu tadi.) Berbanding pewaris lain.
Ketika inilah bermulanya episod susah payah si balu tadi membesarkan anak-anaknya dengan pusaka tinggalan arwah suami yang sedikit, di sinilah juga bermulanya pelbagai susulan masalah yang merunsingkan hati setiap balu. Namun di sini saya ingin bertanya apakah itu menjadi kewajipan si balu menanggung nafkah anak-anaknya? Sebenarnya sering berlaku permasalahan atau terlepas pandang atau sengaja melepaskan tanggungjawab oleh sesiapa juga ahli keluarga yang menerima banyak pusaka arwah tadi, contoh: adik-beradik dan ibu bapa arwah.
Perlu kita ingatkan bahawa dalam Islam, sesiapa yang menerima banyak hak dari arwah tadi maka dia telah dipakejkan dengan tanggungjawab yang besar, termasuklah menanggung anak-anak arwah. Bukan bermakna pusaka yang diterimanya untuk kegunaannya seorang sahaja. Sementara itu harta yang diwariskan kepada si balu tadi sebenarnya untuk kegunaan dirinya seorang sahaja. Dan sebaik sahaja dia menjadi balu, maka akan kembalilah tanggungjawab untuk menyara hidup si balu tadi kepada ayahnya (ayah sang balu).
Tanggungjawab
Jika ayahnya tiada, maka tanggungjawab menjaga balu tadi jatuh kepada adik-beradik lelaki balu tadi, dan begitulah seterusnya; mengikut turutan wali untuk pernikahan. Manakala bagi anak perempuan yang masih belum bernikah, seharusnya adik-beradik lelakinyalah (yang mendapat harta lebih banyak) yang patut menyaranya.
Tetapi jika sekiranya semua anak-anak yatim itu masih kecil, maka tugas menyara mereka wajib dipertanggungjawabkan kepada keluarga sebelah bapa atau adik beradik si arwah kerana mereka mendapat bahagian lebih besar daripada balu si arwah.
Jika sekiranya si balu tadi tidak mempunyai ayah atau adik beradik lelaki, maka jaringan keselamatan atau tanggungjawannya menjadi tugas Baitulmal dan kerajaan. Sebagai contoh jika sang balu tadi sudah tidak ada ayah lagi untuk menyaranya atau adik beradik lelakinya juga tidak ada dan tidak mampu, maka di situlah peranan baitulmal ataupun kerajaan untuk menyaranya.
Sebenarnya bukan setakat soal harta sahaja yang kita perlu tahu, malah soal lain juga kita mesti tahu dan ambil berat, bukan setakat mempersoalkan hak semata-mata. Sedangkan hak juga meliputi pelbagai isu dan masalah, termasuklah hak harta sepencarian, hak penjagaan anak, tugas dan hak ibu bapa dan banyak lagi.
Sayangnya kita selalu ingat tentang hak kita, tapi kita lupa tanggungjawab yang datang bersama hak tersebut. Suami sering menekankan haknya terhadap isteri, malangnya dia tidak menekankan tanggungjawab hakikinya sebagai suami itu lebih besar daripada hak yang dikatakannya.
Saya rasa menjadi tanggugjawab pihak tertentu yang menguruskan kursus perkahwinan memberikan penekanan yang lebih terhadap tanggungjawab, bukan hanya tanggungjawab isteri terhadap suami, tetapi tanggungjawab suami lebih besar kepada isteri. Perlu diingatkan juga kepada peserta kursus tentang tanggungjawab lelaki kepada ibu bapanya, adik beradiknya juga anak-anaknya, bukan hanya berebut harta semata-mata. Sayangnya kita sering dengar suami mempersoalkan haknya ke atas isteri. Dan melupakan tugasnya yang hakiki tanggungjawabnya ke atas isteri.
Sayangnya kita sering dengar dalam kursus perkahwinan dan ceramah agama ustaz hanya menekankan tentang hak-hak suami kepada isteri dan tanggungjawab isteri maha besar menjaga kebajikan dan keselesaan suaminya.
Pada saya ini semua kerana masyarakat kita hanya mengamalkan ajaran Islam sekerat-sekerat, ambil mana yang mereka suka dan tinggalkan apa yang mereka kurang minat. Maka muncullah kecelaruan dan tidak ketentuan seperti apa yang berlaku hari ini. Hasilnya imej Islam yang maha suci ini terjejas.
Islam itu hakikatnya bagaikan manusia yaang amat sempurna kejadiannya. Namun sesempurna manapun manusia itu, kalau kita hanya mahu ambil tangan, kaki dan kepalanya dan meninggalkan badannya, hancurlah segala kesempurnaannya dan rosaklah integrasi satu-satu sistem itu. Islam adalah agama yang saling berkait ajarannya, bagaikan sebuah imej yang dipaparkan di TV. Wajib ada segala komponennya dan kemudahan pancaran seperti yang ditetapkan, mesti ada aerial atau decoder. Kalau hilang atau ditinggalkan salah satu komponen ini, maka tak mungkin kita mendapat apa-apa imej yang baik, atau kalaupun baik imej siarannya tidak kelihatan jelas. Dan inilah yang berlaku kepada imej agama Islam kita sekarang, bagaikan imej siaran TV yang terganggu atau rosak, kerana itu kita mestilah mengikut sepenuhnya manual yang diberikan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasul-Nya.
Namun terdapat juga mereka yang kurang periksa ataupun dengan sengaja mahu mengambil kesempatan menyalahkan manual yang diberikan dan pengeluaran manual tersebut. Walaupun hakikatnya orang yang membaca manual itu tidak memasang TV tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Lebih malang lagi kalau ada yang mendakwa manual tidak up to date dan sudah ketinggalan. Sedangkan dia sendiri tidak tahu dan tidak mahu memasang TV tersebut mengikut manual yang ditetapkan.
Kesimpulannya sesebelum seseorang itu memasang TV ajar dia baca manual dengan jelas baru pasang decoder juga aerial, dengan kata lain sebelum kahwin belajar ilmu perkahwinan supaya tak tersadai atau tenggelam dipukul ombak. Saya rasa mungkin ramai yang kurang faham maksud saya, tetapi kalau baca dengan mata hati semuanya mudah dan boleh difahami dengan jelas. Demikian cerita Norazman panjang lebar katanya dia melahirkan pandangan ini setelah melihat banyak masalah dalam rumah tangga berpunca dari mereka yang kurang ilmu.
Belajarlah ilmu saling persefahaman, timbang rasa dan percaya mempercayai antara suami isteri, juga ilmu berkeluarga apa lagi tentang hak.
Kalau faham semuanya mudah.
Sebenarnya bukan tak faham tetapi tak mahu bertanggungjawab, kerana itulah banyak masalah timbul, antaranya perebutan harta pusaka, suami tak mahu beri nafkah anak-anak setelah bercerai dan banyak lagi, semuanya kerana tidak berilmu. Ada pula kawan berkata Mahkamah Syariah tidak langsung menggerunkan kaum lelaki kalau tak bagi nafkah anak. Benarkah begitu?
*dcck ialah www.dcckmona.com
kredit Nina Mazrina
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan