Jumaat, 6 Januari 2017

Orang Mukmin

Surah al Mukminun.

Selalu kita dengar perkataan mukmin tapi kita tak berapa faham apa maksud perkataan mukmin yang sebenarnya. Apa beza orang Islam, orang Mukmin dan orang Beriman. Ya... sebenarnya Allah s.w.t. telah jelaskan untuk kita mudah faham dalam al Quran dengan surah al Mukminun. Surah ini diturunkan bertepatan dengan keadaan solat pada zaman Rasulullah s.a.w. dimana dalam solat boleh pandang sana pandang sini serta menjawab salam. Setelah turunnya ayat ini maka tidak ada lagi percakapan lain dari percakapan didalam solat sahaja. Tapi kali ini kita bukan nak cerita pasal solat tapi pasal mukmin.

Kita juga sudah banyak kali dengar satu hadith yang maksudnya berbunyi,' Doa adalah senjata orang Mukmin'. Ini hadith memang popular. Dan dalam hadith ini disebut orang Mukmin bukannya orang Islam. Jadi orang Islam janganlah perasan sangat dengan hadith ini sebab maksud hadith ini bukan untuk ko rang.

Seperti yang dijelaskan dalam surah al Mukminun bahawa yang berjaya dunia dan akhirat adalah orang Mukmin, yakni mereka yang solat dengan khusyuk. Jadi jikalau kita nak jadi orang Mukmin pertama kena ada solat khusyuk seperti dalam ayat kedua surah tersebut. Seterusnya kena ada sifat sentiasa menjaga lidah yakni jaga setiap perkataan, juga termasuk dalam maksud ayat ketiga disini ialah menjauhkan diri dari perkataan serta perbuatan yang tidak berguna.

Memang mudah untuk menjadi seorang Mukmin sebab Allah sudah atur ciri-ciri orang Mukmin dalam al Quran dan al Quran boleh dilihat dan dibaca secara percuma dalam semua surau dan masjid di Malaysia, so tak perlu bayar pakar motivasi untuk membuat jasbah sampai tahap kita dapat menanam sendiri azam untuk diri sendiri untuk menjadi orang Mukmin. 

Ayat seterusnya ayat yang ke empat bermaksud,'Dan orang yang sentiasa menunaikan zakat', ceewahh... very simple kan!! siapa yang tak bayar zakat tu maknanya bukan orang Mukmin dan doa dia tidak kabul walaupun dia dah buat solat hajat panggil orang masjid datang rumah dia bagi makan dan doa panjang-panjang tapi tak mustajab dek kerna tak bayar zakat. Sebab itu kalau mahu doa mustajab ajaklah beberapa orang Mukmin datang kerumah jamu mereka makan dan mohon agar mereka berdoa bagi pihak kita pasti Allah kabul. 

Tapi biasanya kita ini melihat kedudukan dan paras rupa juga. Kita akan melihat Imam itulah yang lebih baik baca doa dari bilal yang berserban besar tersebut, itu kita yang buat andaian, kita yang buat penilaian sebab kita anggap kita pandai buat pemilihan siapa-siapa yang sesuai untuk memimpin bacaan doa, sedangkan mereka yang sangat makbul doanya sedang bersembunyi dibelakang sana.

Ayat kelima pula menyebut termasuk mereka yang menjaga kemaluannya. Hari ini kita dapat melihat terlalu ramai orang mempamirkan kemaluan mereka . Baik si lelaki maupun si perempuan tidak malu-malu makan sambil berdiri atau sambil berjalan bahkan ada yang makan dan minum dengan tangan kiri. Mereka sudah tiada rasa malu dan oleh kerana malu itu telah beransur-ansur pergi dari mereka maka kemudian nanti dengan lidah mereka pula terpacul perkataan-perkataan yang memalukan. Lihatlah saja pakaian mereka, Allah perintah perempuan tutup kepala mereka sehingga paras dada mereka selak tepi sikit dan pinkan pada bahu kiri atau kanan bagi menampakkan juga perhiasan yang sepatutnya disembunyikan. Jadi bagaimana doa kita nak makbul.

Dan ayat ke enam menyebut,'Kecuali keatas isteri-isteri mereka atau hamba yang dibawah kuasaannya, mereka inilah yang kesuciannya tidak tercela'. Ini Allah ta'ala yang sebut, so siapa kita nak memandai-mandai mentakrifkan orang lain sebelum kita perhatikan betul-betul empat lima perkara yang telah disentuh dalam ayat awal surah al Mukminun.

Nabi s.a.w. pun dah sebut bahawa kusyuk dalam solat akan mula-mula diangkat dimana sehingga dalam sebuah masjid tidak terdapat seorang pun yang khusyuk...errr... termasuk Imamnya, patutlah masa nak raya dulu bila lepas solat satu orang mulakan dialog berkaitan pembakaran mercun yang terlalu awal sedangkan puasa baru 2 hari lantas ramai yang menyampuk termasuk Imam sebab jika semua mereka khusyuk pasti tidak terkesan dengan bunyi mercun atau bunga api tersebut. Adooii... kantoi rupanya.

So...sekarang kita sudah tahu sikit-sikit bagaimana yang dikatakan orang Mukmin atau Mukminat. Bolehlah kita usahakan untuk menjadi Mukmin sejati, banyakkanlah membaca al Quran, kurangkan bercakap perkara tidak berfaedah terutama perkara dunia dan banyakkan percakapan untuk membesarkan Allah s.w.t. InsyaAllah pasti kita akan tergolong dalam kalangan orang Mukmin. Setelah dapat capai tahap orang Mukmin barulah kita akan belajar pula untuk menjadi orang Beriman.

Orang beriman ini sebenarnya ditakuti oleh syaitan serta jinn. Kalau setakat solat awal waktu secara berjemaah di masjid dan tak pernah tertinggal takbiratul ula selama lebih 40 hari dah bertahun-tahun setan dan jinn tak heran. Anda sebenarnya hanya seorang abid @ ahli ibadah, bukan orang Mukmin dan bukan orang Beriman. Baca balik semula al Quran dari mula sampai habis. Alahai bukan banyak mana pun cuma 604 halaman, dalam tempoh 40 hari pasti boleh qatam dan pasti jumpa apa orang beriman dan apa orang mukmin serta banyak lagi.

Jikalau kita mendapat sepucuk surat dari Istana Raja dan surat tersebut mempunyai 12 halaman pasti kita akan baca berulang-ulang sebab itu surat dari Raja atau Sultan yang ditujukan kepada kita. Bukti surat itu dari Raja ada pula cop mohornya. Tapi kita ada al Quran yang memang daripada Raja segala Raja, tapi kita malas baca dan tak ambil pot.

Marilah kita perbaiki diri kita sendiri @ islah diri, mudah-mudahan Allah ta'ala akan memberi taufik dan hidayah kepada kita serrta dapat kita amalkan mana-mana bahagaian yang baik serta dapat sampaikan kepada yang tidak menemui perkara itu.
.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan