Jumaat, 18 Mac 2016

Kem Ibadah

Gambar hiasan sahaja.


Hari senin lepas 14 haribulan March aku membawa 19 orang remaja dalam progrem 'Jelajah Berbasikal' sejauh 30 km dari Desa Tun Razak menuju ke Rumah Rehat Gunung Nuang. Bersama-samaku ialah pembantuku seramai 4 orang dan 7 orang pemuda dari SRS PPR Desa Tun Razak sebagai Marsyall. Nampak progrem ini dari luarannya seperti suatu progrem riadah tapi sebenarnya ianya adalah progrem Khemah Ibadah yang sengaja aku atur kelihatan seperti satu progrem sukan lasak. Ada mee disebalik udang.

Hari pertama aku dapat mengesan dari seramai 19 peserta yang berumur dari 13 hingga 19 tahun itu hanya seorang saja yang boleh jawab kepada soalan rukun Islam yang pertama. Kebanyakan menjawab solat 5 waktu sehari semalam sebagai rukun Islam yang pertama. Dari situ kita boleh mengenal tahap pengetahuan agama dalam diri mereka. Bila tiba waktu solat budak yang berumur 13 tahun itulah juga satu-satunya yang boleh iqamah, jadi ini menunjukkan kerja aku tambah banyak. Jika anda dapati ada bebudak seperti ini ditempat anda bermakna anda juga sudah ada kerja yang perlu dilaksanakan segera sebelum anda tiba di Masyar.

Sebelah malam aku ajak mereka buat halaqah Quran. Memang nyata ramai bacaan tunggang langgang dan yang tak reti nak baca tiga Qul pun ramai. Al Fatehah hanya separuh saja yang boleh diterima. Jadi untuk membuat mereka membaca surah al Fatehah dalam solat dengan betul adalah tugas kita. Memang kerja ini yang aku suka, kerja tanpa siapa-siapa bayar gaji kecuali Allah ta'ala. Soal makan minum bebudak itu tak susah sangat sebab sudah ada peruntukkan dari Jabatan Perpaduan dan sedikit infaq dari ibu bapa bebudak itu serta infaq dari lelaki yang aku tidak kenal di Masjid Mustaqim Dusun Tua sewaktu kami berhenti untuk solat suboh ketika perjalanan pergi.

Opsss... lupa nak habaq mai. Kami bertolak jam 4 pagi sebab itu set time untuk berhenti solat suboh lagipun waktu itu jalan raya tidak sibuk  dan dengan bantuan 7 Marsyal serta dibantu dengan 2 buah kereta Polis maka keselamatan dijalan raya memudahkan. Allah bagi mudah, minta satu kereta peronda dapat dua pulak.

Bukan baru ini aku sedar kekurangan yang ada pada para remaja tentang rukun Islam bahkan aku pernah jumpa remaja yang langsung tidak dapat menyebut kalimah Toyyibah. Tidak pelik dizaman ini aku berjumpa dengan remaja sedemikian sebab aku sudah berjumpa banyak perkara pelik dan semua ini Allah tentukan untuk aku temui dan buat kerja seperti yang Allah mahu yakni ajar mereka mengucap kalimah shahadah, ajar mereka tentang rukun iman.

Hari kedua mereka didedahkan dengan sunah-sunah para Rasul. Yang pertama empat sunah-sunah yang ada pada setiap Rasul ialah pertama malu, kedua berwangi-wangian, ketiga bersugi gigi dan keempat nikah. Wahh... bila tiba bab nikah semuanya suka. Tapi nikah dengan ikut tertib bukan selepas mengandong baru nak nikah, itu dosa besar namanya. Para remaja tak sedar mereka melakukan dosa sebab mereka sendiri datang dari keluarga bermasalah. Ibu dan ayah dirumah tak pernah solat tak pernah ajar mereka perkara-perkara agama bahkan semua perkara berkaitan agama diserahkan kepada sekolah agama.

Sekolah agama walaupun kebanyakannya berdekatan dengan Masjid namun ketika solat fardhu hanya beberapa orang saja murid termasuk ustaz yang datang untuk solat berjemaah walhal solat berjemaah itu juga adalah termasuk sunnah. Bukannya ustaz yang mengajar disekolah agama itu tak tahu bahawa solat berjemaah dapat 27 ganjaran berbanding solat sorang-sorang dan kenapa nak solat disekolah agama itu sedangkan Masjid hanya sebelah sekolah. Ini yang mushkil. Mushkil sebab ditempat azan dilaungkan ia tidak datang tapi hanya solat berjemaah didalam sekolah, lainlah jikalau hujan terlampau lebat atau ada harimau liar sedang berkeliaran dikawasan sekolah atau masjid.

Walaupun terpaksa bergelut dengan perbelanjaan diluar jangka yang tinggi namun aku berpuas hati sebab waktu doa akhir sebelum memulakan perjalanan balik aku lihat ada yang menitiskan air mata terutama ketika doa bermaksud 'sesungguhnya wahai Allah kami tak tahu apa-apa Ya Allah. Engkau ajarlah kami Ya Allah. Kami lemah Ya Allah dan jika tidak dengan izin serta QudratMu pasti kami tidak mampu untuk mengayuh basikal sejauh ini dan ketika kami hendak balik sebentar lagi kami masih mengharap Qudrat dariMu Ya Allah'.

Kalau dah ada air mata menitis dari kelopak mata peserta yang menundukkan wajahnya aku yakin Allah akan membantu memahamkan mereka tentang Agama yang hebat ini. Ya Allah walaupun hidayat itu hak mutlakMu tapi aku mohon jadikanlah sedikit pengorbanan dariku serta rakan-rakanku untuk Engkau jadikan asbab bagi Engkau tebarkan hidayat kepada remaja-remaja ini. Engkau campaklah kefahaman agama dalam hati mereka agar mereka mampu datang kerumahMu ketika azan dilaungkan dan setiap perempuan dapat menutup aurat mereka dengan sempurna dan setiap anak-anak dapat menta'ati kedua-dua ibu bapa mereka. Ya Rahim Ya Razak Ya Wahhab hanya kepada Engkau tempat aku mengadu, tempat aku mohon pertolongan serta keampunan, ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua ibubapaku dosa sekelian muslimin dan muslimat serta dosa syirik yang tersembunyi dalam diriku samaada yang aku sedari atau tidak dan jauhkanlah sku dari azab kubur dan azab api neraka. Hindarilah aku dari fitnah manusia samaada yang masih hidup atau yang telah mati dan hindarilah aku dari fitnah Dajjal al Masih.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan