Jumaat, 18 September 2015

Tauhid

Gambar sekadar hiasan

Keyakinan kita terhadap dunia sebenarnya mengatasi keyakinan kita kepada akhirat. Begitu juga nasihat kita kepada anak-anak kita atau rakan taulan. Biasanya nasihat untuk keduaniaan lebih banyak kita faham dari nasihat kearah akhirat. Disitu kita akan menjadi lebih cekap lebih pandai untuk menasihati mereka dalam apa saja bidang yang melibatkan urusan dunia. Contohnya jika ada yang hendak berurusan di kaunter Puspakom pasti ramai antara kita dapat memberi tips atau nasihat bagaimana untuk melalui pemeriksaan kenderaan agar tidak berlaku ulangan pemeriksaan kerana tidak lulus pada ujian pertama. 

Namun berbeza pula jika seseorang memerlukan nasihat untuk akhirat lalu berjumpa seseorang contoh seseorang yang memang didalam masjid. Yang datang berjumpa itu adalah seorang pendosa dan memerlukan nasihat bagaimana untuk menghapuskan dosa dan digantikan dengan pahala. Dalam kata ringkas bagaimana menggantikan maksiat dengan ibadat yang disukai oleh Allah.

Jawapan yang biasa didapati ialah, 'bertaubatlah', tanpa menerangkan bagaimana hendak bertaubat dan bagaimana hendak menggantikannya dengan amal kebaikan. Ini berlaku kerana orang dalam masjid itupun kurang faham tentang tauhid.

Oh... ya! Baru Tok Wan teringat satu kisah lama zaman tabi'in. Kisahnya seorang pemuda yang berpakaian seperti orang miskin hendak beriktikaf dalam sebuah masjid. Pemuda itu duduk dibahagian perkarangan masjid sambil berzikir. Kebiasaan masjid Imam atau Bilal ialah orang yang terakhir meninggalkan masjid. Lalu ketika mana Imam hendak keluar dari masjid dia pun terpandang akan pemuda yang iktikaf itu lalu Imam menegur pemuda tersebut.

"Awak nak beriktikaf dalam masjid ini?" Pemuda tersebut menganggukkan kepala tanpa membuka mulut kerana tidak mahu memutuskan zikirnya.

"Kalau begitu awak perlu makanan", pemuda tersebut tidak memberikan jawapan bahkan menundukkan kepalanya.

"Jikalau tiada makanan lebih baik tinggalkan iktikaf dan dapatkan makanan atau bawa bekal untuk iktikaf" pemuda itu tidak menjawab bahkan terus menundukkan kepalanya.

"Daripada terus beriktikaf dalam masjid tanpa ada makanan lebih baik pergi keluar sana dan cari pekerjaan. Bila dapat wang dan dapat beli makanan barulah boleh beriktikaf." Kata Imam itu lagi dan seterusnya pemuda itu diam meneruskan zikirnya. Nampaknya Imam tersebut mengeluarkan kata-kata bermaksud kedudukan pandangan mata zahirnya terhadap pemuda itu. Nyatak sekali bahawa pemuda itu berkedudukan rendah dari dia (Imam tersebut).

Kemudian tiba-tiba pemuda itu mengangkatkan kepalanya dan memandang Imam lalu berkata. "Yahudi yang berniaga roti disebelah masjid ini telah berjanji untuk bagi saya roti setiap hari selama mana saya terus beriktikaf disini." Kata pemuda itu.

"Alhamdulillah... jikalau begitu bolehlah awak terus beriktikaf disini", jawab Imam dengan perasaan lega dan baru saja dia hendak melangkah meninggalkan pemuda itu maka pemuda itu bersuara pula.

"Awak tidak sepatutnya menjadi Imam dimasjid ini." Kata pemuda itu. Imam yang baru hendak melangkah pergi mematikan langkah dan berpaling semula kepada pemuda tersebut.

"Mengapa awak bercakap begitu?" tanya Imam.

"Tauhid awak telah rosak. Awak lebih yakin kepada seorang Yahudi yang berjanji akan memberikan roti kepada saya daripada Allah yang menjanjikan rezeki kepada setiap hamba-hambaNya". Kata pemuda itu.

Lalu jika andalah Imam itu apakah yang sepatutnya anda buat atau balas balik dari percakapan pemuda itu. Hari ini pun di negara kita orang yang memegang tampok agama seperti Mufti atau Ketua Pengarah JAKIM sendiri telah lemah tauhid. Kes terbaru dimana jerubu menyelubungi negara sejak seminggu sebelum sambutan kemerdekaan tiada siapa-siapa yang berkeinginan untuk solat hajat agar jerubu tidak berlarutan. Bukankah lebih elok jerubu tiada sewaktu lintas hormat Jet-jet TUDM semasa hari perbarisan itu? Mengapa tiada solat hajat sebelum itu? 

Hari ini juma'at 18hb September, yakni dua minggu selepas hari kemerdekaan dan jerubu makin tebal sehingga banyak sekolah terpaksa ditutup barulah dengar JAKIM meminta semua masjid mengadakan solat hajat minta Allah pulihkan keadaan jerubu tersebut. Sepatutnya sebelum apa-apa.... sebelum apa-apa, kepada Allah lah kita meminta dan dalam masa yang sama berusaha dengan pembenihan awan untuk menurunkan hujan. Lupakah kita Allah Maha Mendengar? Allah Maha Mengatur? Allah Maha Menyusun? Allah Maha Berlembut?
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan