Jumaat, 22 Mei 2015

Mal Atau Amal

Gambar hiasan Istana Nabi Sulaiman a.s.

Minggu ini bunyi tajuknya agak pelik namun tidaklah terlalu pelik, yang peliknya cuma perkataan Mal yang tak pernah atau jarang kita dengar. Perkataan sambungan yang kita selalu dengar ialah Baitulmal. Mal bermaksud harta-benda sementara Amal memang telah selalu kiita dengar. Jadi tajuk ini bermaksud antara harta-benda dan amal ibadah. Dah faham tajuk kan?

Antara amal dan amal orang lebih yakin kepada mal dan orang lebih mengetahui nilai mal itu berbanding amal. Contoh mudah bila kita tanya kepada satu orang berapakah harga sebuah kereta Proton Saga. Ohhh... jawapannya sekian-sekian ribu. Kita akan mendapat jawapan yang hampir tepat. Dan bila kita tanya berapa pula harga sebuah kereta BMW yang terbaru? Pasti dan pasti kita akan mendapat jawapannya dari seseorang.

Begitu juga harga atau nilai bagi sebuah rumah berkembar, atau sebuah kondominium atau banglo. Kesemua itu mempunyai nilai dan harga yang berlainan. Ini menunjukkan kita tahu nilai dan harga harta-benda tersebut.

Mari kita tanya pula nilai dua raka'at solat sunat sebelum suboh. Hanya segelintir orang yang tahu jawapannya. Mari kita tanya pula berapa nilai dua raka'at solat sunat selepas  maghrib. Jawapannya terdapat hanya beberapa orang saja yang tahu jawapannya. Ini menunjukkan kita lebih tahu nilai mal dari amal. Seterusnya kita boleh meletak jawapan pukal bahawa kebanyakan orang memburu mal dari amal. Kebanyakan orang juga lebih mahir mengumpul mal dari amal.

Sebenarnya mal bukan maksud hidup kita. Mal cuma keperluan hidup, dan tidak menjadi kesalahan untuk mengumpul mal tapi hendaklah memperbanyakkan amal sebab mal pada suatu hari nanti tidak berguna bagi kita tetapi amal menemani kita ke liang lahad, ke Padang Mahsyar, ke Titian Sirat seterusnya menentukan samaada kita ke syurga atau neraka. Memang dengan RahmatNya Allah membuatkan seseorang itu masuk syurga atau neraka tapi jika tidak diusahakan pasti ia umpama kebun buah-buahan yang mengandungi berbagai jenis buah-buahan, namun oleh kerana tidak dijaga dengan baik maka semak dan belukar memenuhi kebunh tersebut. Bukan saja baja dari tanah itu sudah disebut oleh belukar yang tidak dibuang itu bahkan binatang berbisa termasuk binatang yang buas pun akan berada didalam belukar tersebut. Akhirnya ketika musim buah tiba, kita sendiri takut untuk masuk ke kebun kita sendiri. Bahkan jikalau berjaya masuk pasti buah-buah yang hendak kita tuai itu sudah di tebuk tupai atau sudah di makan oleh haiwan lain.

Begitu jugalah dengan amal kita mal kita. Setiap tahun terutama menjelang perayaan pasti ada jualan murah dan setiap tahun itulah atau selang dua atau tiga tahun sekali pasti kain langsir atau kerusi sofa di rumah kita akan kita perbaharui. Ini kita rasakan perlu kerana ramai sanak-saudara serta rakan-taulan akan mengunjungi rumah kita sempena perayaan tersebut. Untuk tujuan itu kita bersusah payah menabung wang bagi menukar kain langsir, sarung kusyen bahkan ada masanya dinding luar dan dalam rumah juga turut menerima cat baru.

Sepatutnya amal kita pun kita berbuat demikian. Setiap kali tiba bulan Sya'aban kita sudah mula berlatih amalan berpuasa serta sedekah selepas membayar semua hutang puasa tahun lepas sebab menjelang waktu inilah juga Allah ta'ala akan juga mengadakan tawaran besar-besaran. Jika pasaraya mengadakan jualan harga potongan sehingga mencapai 70% atau beli satu dapat 2 percuma maka Allah s.w.t. mengadakan tawaran yang lebih hebat lagi. Para ulamak serta masyaik memberitahu kita melalui kitab-kitab serta hadith Nabi s.a.w. bahawa pada bulan Ramadhan setiap amalan kita digandakan dengan sepuluh kali ganda. Woww... ini umpama beli satu dapat sepuluh. Contohnya dalam bulan Rejab selawat keatas Nabi s.a.w. akan dibalas dengan 10 selawat tapi bila tiba bulan Ramadhan 1 selawat dibalas dengan 100 kali selawat. Bukankah ini suatu tawaran paling hebat yang tidak pernah Allah ta'ala berikan kepada kaum-kaum yang terdahulu.

Paling istimewa pada bulan Ramadhan itu terdapat satu malam yang barang siapa beramal padanya umpama dia beramal selama seribu bulan. Malam tersebut ialah malam Lailatul Qadar. Seribu bulan itu bersamaan dengan 83 tahun. Bayangkan jika sepanjang umur atau tempoh hayat kita berada di atas muka bumi ini (sebelum dimasukkan kedalam perut bumi) kita hanya sempat beramal pada 10 Lailatul Qadar saja, ini bermakna amalan tersebut telah mencapai amalan selama 830 tahun. Pastinya amalan kita sudah melebihi amalan orang-orang yang ta'at kepada Nabi Musa a.s. sebab umur kaum Musa a.s. lebih panjang dari kita, ada yang mencapai sehingga seribu tahun.

Hal inilah yang menyebabkan Nabi Musa serta Nabi-nabi a.s. yang terdahulu merasa cemburu terhadap kita. Masakan tidak menimbulkan cemburu kerana Allah ta'ala mengharamkan sesiapa saja untuk masuk syurga melainkan umat Muhammad s.a.w. masuk terlebih dahulu.

Masya Allah... sudahlah kita umat yang bongsu, lepas tu nak masuk dulu pulak. Ini menyebabkan Nabi-nabi a.s. serta kaum-kaum yang ta'at kepada Nabi-nabi a.s. mereka merasa cemburu. Sedangkan amalan yang mereka cemburukan itu hanya amalan pada malam Lailatul Qadar, belum masuk amalan berjihad di Jalan Allah.

Amalan berjihad di Jalan Allah ini ialah amalan tertinggi dimana setiap pengorbanan kita Allah ta'ala akan gandakan sebanyak 700,000 kali ganda. Ini bermakna setiap 1 ringgit yang kita belanjakan pada Jalan Allah pasti mendapat balasan 700,000 ringgit. Namun ketika amalan itu diteruskan sehingga tiba bulan Ramadhan pasti ganjarannya digandakan lagi sehingga 10 kali ganda lagi menjadikannya berjumlah 7 juta. Bukankah ini suatu tawaran paling hebat yang tidak pernah Allah ta'ala berikan kepada kaum-kaum yang terdahulu.

Sebesar mana pun tawaran gandaan amal yang datang pasti datang pula gandaan mal yang lebih hebat. Siapa yang tak suka Oppo Smartphone? Pastinya ramai terpaksa kerja keras dan sehingga lewat malam untuk mendapatkan Oppo Smartphone. Lalu kita dilalaikan dengan Smartphone tersebut, asyik wasap sehingga tiada masa untuk baca al Quran.

Suatu ketika, sewaktu para Jinn sedang menerbangkan istana Nabi Allah Sulaman a.s. maka seorang petani telah terpandang kehebatan istana Nabi Sulamaiman a.s. itu lantas petani itu menyebut, 'Subhanallah'. Nabi Sulaiman a.s. mendengar sebutan tersebut lalu menemui petani tersebut lalu bertanya kepada petani itu. 'Apakah yang engkau sebut sebentar tadi wahai petani?'. Petani itu menjawab, 'Saya menyebut Subhanallah apabila melihat istana tuan sedang diterbangkan.'

'Benar kata-katamu wahai petani. Sebutan 'Subhanallah' itu akan kekal walaupun dunia ini telah Allah hancurkan sedangkan istana dan kerajaan yang sedang berada dalam kekuasaanku pada masa ini akan lenyap suatu hari nanti.


La haula wala quwwata illa billah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan