Pagi semalam (hari khamis) jam 9.00 pagi aku singgah di surau kat rumahku untuk solat dhuha sebelum keluar mencari keperluan ke Jalan Pasar. Memang surau terletak dihala jalan menuju stesen LRT kenderaanku dari dulu hingga kini. Semasa melangkah masuk kepagar surau serentak itu juga masuk dua orang anak muda pakai baju batek dan diatas kepala ada ketayap putih. Selepas bersalaman dia memperkenalkan dirinya tukang urut dan kedatangannya ke surau itu ialah untuk mengurut Pak Kassim. Pak Kassim sebenarnya disurau itu merupakan salah seorang Pak Noja. Nak kata dia Tok Siak pun boleh juga sebab banyak kerja yang dia buat dengan ikhlas.
Sejak beberapa tahun yang lalu kulihat Pak Kassim dah tak boleh solat seperti biasa. Dia akan solat dengan duduk atas kerusi sebab lututnya sakit. Puas berurut kesana kemari namun tak juga baiknya. Hari ini tukang urut dua beradek itu datang ke surau tersebut semata-mata untuk mengurut kaki Pak Kassim. Wahhh... beruntungnya tukang urut datang cari kita kataku pada anak muda itu. Lalu aku pun minta nombor talipon mereka.
Harga hantaran atau sedekah juga aku tanyakan maklumlah setiap sesuatu pekerjaan itu ada upahnya lalu jawabnya seberapa ikhlas sajalah. Kemudian bagaimana jikalau cuma lima ringgit? Tanyaku lagi. Alhamdulillah katanya dengan senyum. Ishhh... macam main-main.
Selesai solat dhuha aku lihat Pak Kassim sudah meniarap dan anak muda itu (seorang saja) mula mngurut badan bahagian belakang serta kaki Pak Kassim. Aku meninggalkan mereka dengan urusan mereka dan berlalu untuk memenuhi keperluanku juga.
Setiba aku di Jalan Pasar benda pertama yang aku cari ialah kain warna biru laut, warna yang biasanya pelajar perempuan sekolah menengah pakai. Tapi kain yang hendak aku beli itu bukan untuk kain sekolah anak-anak perempuanku tapi untuk buat blue screen. Minggu depan salah seorang Ustaz yang popular dalam rancangan Astro akan jadi bahan rakamanku. Ustaz itu tak suka shooting tempat awam jadi aku akan shooting dia dalam studio guna blue screen dan bila siap nanti konon-konon dia bercakap di tempat awam.
Lagi satu perkara aku nak beli lampu sorot yang menggunakan teknoloji LED. Lampu jenis ini tak banyak gunakan kuasa elektrik. Dapat empat biji yang setiap satu 50 watt dah cukup terang dalam studio untuk menghilangkan bayang pada blue screen dan pencerahan pada objek yang hendak aku rakam nanti.
Pusing punya pusing dah jumpa kain. Pusing lagi cari benang. Dah jumpa benang baru cari lampu. Alamakkk... yang 50 watt dah kehabisan, tinggal 30 watt saja. Ishhh... 30 watt pun 30 watt lah... ambil juga. Lepas test semuanya boleh menyala dengan baik aku pun ambil teksi untuk balik kerumah. Sampai kerumah letak barang-barang satu tempat dan segera ke surau untuk menanti solat zohor. Sampai di surau aku terperanjat. Apa tidaknya... sepeninggalan aku dari jam 10.00 pagi tadi sampai waktu tinggal lagi sepuloh minit nak masuk waktu azan zohor masih tak habis urut lagi, kan dah tiga jam masa berlalu.
Dengan tidak menunjukkan muka kehairanan yang teramat sangat (pasti dengan senyum tak kesah pun) aku pun bertanya berapa lama biasanya mengurut? Dengan senyum selamba dia kata dua jam. Uikkk. 10.00 pagi sekarang dah dekat kul satu mana datangnya dua jam. Ahhh... alasan memendekkan waktu yang sememangnya panjang. Aku tinggalkan mereka dengan urusan mereka dan aku terus ke tempat wudu'.
Selesai wuduk azan pun berkumandang. Pak Kassim dan budak muda tukang urut itu segera menyudahkan urusan masing-masing. Selesai solat sunat zohor empat raka'at ku lihat Pak Kassim duduk disebelahku. Inilah kali pertama aku melihat dia boleh duduk tanpa bantuan kerusi. Wahh... aku bukan terperanjat lagi tapi gembira kerana Pak Kassim yang selama ini solat dengan duduk atas kerusi tengahari itu sudah boleh duduk macam orang lain.
Tapi kalau dah begitu cara urutnya sehingga kaki orang yang bertahun-tahun tak boleh lipat sampai boleh lipat kembali seperti waktu muda takkan bayarannya ikut ikhlas saja.
Pak Kassim memberitahu kepadaku ada orang bergelar Datuk ofer gaji bulanan RM 5,000 untuk urutannya tapi dia tak nak. Bagus juga dia tak nak sebab kalau dia nak bermakna urutannya kerana wang ringgit dan bukan lagi kerana Allah ta'ala. Kemujarapan urut akan hilang sedikit demi sedikit sebab urut untuk dapatkan wang.
Bila aku renung-renung memang benarlah. Orang muda ini urut sambil mengadakan perhubungan dengan Allah ta'ala. Yang menyembuhkan kaki yang bertahun-tahun sakit tak boleh lipat itu ialah Allah bukan minyak urut atau tukang urut itu. Jadi tak rugilah jikalau sebelah pagi tadi aku dah simpan nombor talipon dia dalam henfonku.
Allah lah yang menyembuhkan segala-galanya dan bukan ubat, minyak atau tukang urut itu. Keyakinan yang kuat bahawa Allah yang menyembuhkan penyakit dan bukan ubat, sebab ubat juga berhajat kepada Allah ta'ala. Keyakinan bahawa yang menyembuhkan penyakit adalah Allah ta'ala maka keyakinan itulah yang datang dalam diri pemuda tersebut. Keyakinan yang kerananya Allah ta'ala telah menghantar ribuan bahkan ratusan ribu para Nabi untuk manusia.
Hari itu aku nampak depan mata aku sendiri kebesaran Allah. Ke'ajaiban yang Allah hendak aku tengok. Ada hadith yang menyebut solat orang yang duduk di kerusi pahalanya cuma separuh saja dari orang yang berdiri. So... pemuda tersebut telah membuatkan Pak Kassim kembali berdiri dalam solatnya. Korang tahu ker berapa banyak saham yang dapat dia kumpol untuk negeri akhiratnya. Aku pun tak tahu.
La haula wala quwwata illa billah..~
Bukan semua org ada keikhlasan hati yg tinggi...hanya org2 yg hebat :)
BalasPadam